Sultan Mizan cipta rekod baru Sukan SEA, dan beberapa orang kenamaan lain yang merupakan jaguh sukan

Masuk je tarikh 19 Ogos 2017, Sukan SEA edisi ke-29 akan bermula di Kuala Lumpur. Kalau korang nak tahu sebenarnya ni adalah kali keenam Malaysia dipilih sebagai tuan rumah. Sebagai tuan rumah, Malaysia telah letak target untuk jadi juara kesuluruhan yang mana kali terakhir kita jadi juara pada Sukan SEA 2001. Rupanya dah lama kita tak jadi juara keseluruhan ye.

So untuk mencapai target, negara kita telah menghantar ramai atlet pada temasya kali ni. Dalam ramai-ramai tu rupanya ada seorang raja dan jugak seorang menteri telah terpilih untuk mewakili Malaysia sebagai atlet. Diorang adalah Khairy Jamaluddin (Menteri Belia & Sukan) sebagai atlet sukan polo dan Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai atlet ekuesterian.

KJ bukan setakat jadi maskot, dia juga jadi atlet. Imej dari Utusan.

Tersenarainya kedua-kedua golongan kenamaan ni sebenarnya amat mengejutkan kita semua. Tapi apa yang menjadi isu adalah bila Khairy Jamaluddin (KJ) yang dipilih mewakili sukan Polo dipertikaikan oleh seorang lagi atlet sukan Polo yang merupakan golongan kenamaan juga iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ). Ya! TMJ yang jadi Presiden FAM sekarang tu!

Isu yang berlaku antara KJ dan TMJ tentang sukan polo serta terpilihnya Sultan Mizan sebagai salah satu atlet Sukan SEA telah membuktikan bahawa golongan kenamaan ni pun sebenarnya power jugak dalam bidang sukan.

Jadi kali ni SOSCILI cuba bongkar orang-orang kenamaan yang biasa kita dengar namanya tu sebenarnya merupakan seorang atlet yang power. Antaranya ialah…

1) KJ ketua team kelab tempatan Polo

Sebelum KJ terpilih sebagai atlet Sukan SEA, dia sebenarnya dah lama bergiat dalam sukan ni sejak sebelum jadi menteri lagi. Kelibat KJ mula mendapat perhatian apabila dia dan pasukannya (Jogo Polo) berjaya layak ke separuh akhir Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016.

Tapi pasukan KJ telah kalah kepada juara bertahan Putra Polo yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia sekarang (juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia). Orang kenamaan lagi!

“Sememangnya kami kecewa selepas tahun lepas juga tewas di separuh akhir tetapi itulah sukan. Perlawanan hari ini cukup sengit, kami hampir mengatasi Putra Polo tetapi mereka layak untuk menang.” – KJ, dipetik dari Mstar

Keputusan kesuluruhan berakhir dengan dijuarai oleh Pasukan Putra Polo yang mengalahkan pasukan Head Hunters dari Singapura. KJ dan pasukannya pulak dapat tempat ketiga kesuluruhan selepas me­numpaskan lawannya dalam penentuan tempat ketiga.

KJ je yang tukar seluar. Imej dari Twitter KJ.

Waktu Kejohanan Terbuka Malaysia ni rupanya ada 12 pemain yang sedang bersaing untuk mendapatkan tempat di Sukan SEA. Salah seorangnya adalah KJ sendiri. Mungkin ramai yang akan pertikai, mestilah dia terpilih sebab menteri kan. Tapi Timbalan Majlis Olimpik Malaysia dah jawab,

“Mereka perlu melalui saringan dan menjalani latihan mengikut fasa yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN). Tiada keistimewaan (kepada Khairy) kerana kita mahukan pasukan yang mantap,” – Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, petikan dari Mstar.

KJ juga berharap kalau dia terpilih, dia akan dapat ambil inspirasi dari atlet lain. Dia juga tidak mahu liputan mengenai dia mendapat perhatian yang lebih berbanding atlet lain. Akhirnya, 7 pemain telah dipilih untuk mewakili negara yang mana salah seorangnya adalah KJ sendiri. Penyertaan KJ ni menjadikan dia menteri kabinet pertama sertai temasya sukan sebagai atlet.

(UPDATE 17/8/2017: Pada perlawanan pertama Polo, Malaysia akan menentang Brunei. Apa yang menarik, pasukan Brunei turut diwakili oleh empat orang kerabat diraja Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah)

Sebelah KJ tu Jejai bekas suami Nora Danish dan Fasha Sandha. Imej dari Mstar.

Memang terbukti sukan polo ni memang sukan orang-orang kenamaan. Sejarah terdahulu pun tercatat yang sukan polo ni orang kenamaan yang tergila-gila nak main. Sampaikan waktu pemerintahan kerajaan Byzantine ada seorang raja (Maharaja Alexander) ni mati sebab penat main sukan polo. Pemerintah empayar kerajaan Islam juga tidak terlepas meminati permainan ni sebab ada catatan menyatakan Salahuddin Al-Ayyubi pun turut bermain sukan ni.

Sampai satu masa sukan ni pun masuk ke Argentina dan menjadi negara yang diiktiraf sebagai pemain Polo yang terhebat di dunia.Tak kiralah kuda ke orang, semua menjadi rebutan dunia. Sampaikan kelab-kelab tempatan Malaysia waktu Kejohanan Terbuka Malaysia 2016 tu pun turut import pemain dan kuda berkualiti dari Argentina.

Kuda berkualiti adalah kuda yang main skipping. Gif dari Giphy

Kehebatan Argentina ni tak berhenti sampai situ je. Sebuah kejohanan Polo yang diadakan di Argentina yang dianjurkan juga adalah yang paling tinggi tarafnya di dunia. Kiranya yang masuk tu pun bukan calang-calang orang jugak lah dan kalau korang nak tahu, ada orang kenamaan Malaysia ni bersama pasukannya tiap tahun main kat situ. Orangnya adalah…

2) TMJ adalah orang Asia pertama bermain di liga Polo peringkat tertinggi

Mesti ramai terkejutkan rupanya TMJ ni power main Polo walaupun dia Presiden FAM? Baru-baru ni dilaporkan yang TMJ bersama pasukannya Johor Ellerstina akan menyertai kejohanan di Argentina pada bulan September nanti.

Sebenarnya, TMJ mengakui telah memenangi 42 kejuaraan sukan Polo termasuk di Australia, India, England, Argentina, Malaysia dan Singapura. Dia juga pernah memenangi 2 kejuaraan peringkat tertinggi di Metro Open Argentina. Fuh! Satu masa dulu, dia juga mengakui pernah beberapa kali mendapat jemputan untuk mewakili negara termasuk Sukan SEA tapi dia menolak.

“Bukan saya tidak mahu bermain, ini kerana pertandingan Sukan Sea ini adalah satu pertandingan peringkat lebih rendah dibandingkan dengan pertandingan tertinggi antarabangsa yang saya sertai di Argentina.” TMJ, petikan dari Berita Harian.

Presiden FAM rupanya power main polo. Imej dari Twitter Johor Southern Tigers.

Dia dikatakan menyertai kejohanan tu tiap tahun. Setelah senarai pemain Polo yang akan mewakili Malaysia dalam sukan SEA dikeluarkan, TMJ adalah antara yang bersuara melalui laman FB Southern Tiger.

“Ia (Malaysia) telah menjadi tempat di mana ahli-ahli politik mahu menjadi selebriti dan ahli sukan. Di mana seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo boleh dipilih untuk mewakili negara.” TMJ, petikan dari Malaysia Kini.

Dia juga mengatakan ramai orang tertentu yang cuba melobi untuk menjadi atlet Polo di Sukan SEA sedangkan ramai lagi orang yang layak. Selain mempersoalkan, TMJ juga mencabar skuad Polo Sukan SEA untuk berlawan dengan pasukannya sebagai respon terhadap isu ni. Walaupun macam tu, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim (Pengurus Pasukan Polo Negara) mengatakan yang TMJ terlebih layak untuk mewakili negara dalam Sukan SEA.

Macam yang diterangkan Datuk Zekri bahawa TMJ bukan tak boleh jadi wakil negara, tapi terlebih layak sebenarnya. Kalau nak dibandingkan level dia dengan KJ pun jauh sebab KJ ada handicap 0 dan TMJ ada handicap 3. Apa kejadahnya handicap ni?

Secara ringkasnya, handicap ni merupakan level setiap pemainan yang dianugerahkan based on penyertaan dan pencapaian seseorang pemain. Level handicap ni bermula dari -2 hinggalah 10 (Hanya ada 9 orang je kat dunia ni yang ada handicap 10). Setiap pasukan ada empat pemain yang mana handicap setiap empat tu kena campur untuk dapatkan jumlah handicap pasukan. Contohnya:

-2+0+2+4= 4

So handicap pasukan ni 4. Apa yang penting handicap pasukan ni? Pentingnya untuk tengok tahap sesuatu kejohanan tu. Contohnya ada satu kejohanan tu menetapkan handicap pasukan tak boleh lebih dari 10. Jadi kena buatlah team yang bila dicampur tak lebih 10. Macam Sukan SEA 2017, handicap pasukan diletakkan antara 4 hingga 6.

Polito Pieres ni handicap 10. Imej dari Southerntigers.

Bayangkan TMJ yang handicap 3 ni masuk. So, nanti level yang lain kena lah cari yang rendah supaya campur-campur jadilah 6 untuk paling maksimum. Sebab tu lah agaknya dikatakan terlebih layak. Macam kejohanan yang disertai TMJ di Argentina, pastinya perlu handicap pasukan yang tinggi sebab tu dalam team TMJ ada yang handicap 10. Macam tu lah serba sikit sistem handicap ni.

Kalau korang nak tahu ada beberapa lagi orang kenamaan yang sebenarnya ada handicap yang kat Malaysia ni. Contohnya Sultan Ahmad Shah (Bekas Presiden FAM) ada Handicap 5 kot.

Sukan Polo ni kita pun selalu tengok gambar dimana perlu ada kuda (pony) dan kayu pemukul (52” stick) yang perlu diguna untuk memukul bola ke dalam gol. Tapi ada satu lagi sukan berkuda yang tak perlukan kayu melainkan kuda sahaja. Golongan kenamaan kat negara kita pun ada yang jaguh dalam sukan ni iaitu…

3) Sultan Mizan ada dalam ranking dunia kategori kuda lasak

(UPDATE 15/8/2017: Pada 12 Ogos 2017, Sultan Mizan disahkan telah menarik diri atas faktor kudanya yang tidak berada dalam keadaan baik. Tapi, nampaknya disebabkan ada seorang atlet ekuesterian yang tak dapat beraksi, Sultan Mizan akan bertanding semula.)

Sultan Mizan telah pun terpilih sebagai salah seorang dari kontinjen negara yang bakal bertanding dalam sukan Ekuesterian Kuda Lasak (Endurance). Baginda juga adalah salah seorang daripada empat ekuesterian terbaik negara yang berada dalam ranking dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).

 

 

Nervous kuda tu agaknya. Imej dari Kenaliterengganu

Apa bendalah Ekuesterian Kuda Lasak ni? Ramai yang terfikir ekuesterian ni mesti orang yang naik kuda lepas tu lompat  atas palang tu kan. Minta maaf lah ya, itu ekuesterian jenis Jumping. Kalau kat Malaysia yang famous sukan ni mestilah Qabil Ambak dan adik-beradiknya. Untuk Ekuesterian Kuda Lasak ni, ia adalah acara di mana rider akan naik kuda sejauh 10 batu sampai 100 batu menurut FEI. Setiap 40 km biasanya akan ada ‘vet gate’ di mana doktor haiwan akan buat check up pada kuda sama ada layak untuk teruskan atau pun tak.

Kuda ni bersenam bila kena check dengan doktor haiwan. Gif dari Giphy.

Siapa yang dapat habis cepat dan kuda dia masih ok. Itulah pemenangnya. Inilah sukan yang bakal disertai Sultan Mizan. Aktifnya Sultan Mizan dalam sukan ni menyebabkan dia ada dalam ranking dunia yang dikeluarkan FEI. Kami dah check ranking baginda di website data FEI dalam acara Endurance yang baginda sertai tahun ni. Ranking baginda macam kat bawah ni:

Open Riders World Endurance Ranking: 1491 dengan point 34
Open Combination World Endurance Ranking: 1900 dengan point 34

Nama kuda yang Sultan Mizan pakai pulak adalah NAWAN DE FIGNOLS. Oleh kerana namanya telah tersenarai dalam ranking dunia dan baginda merupakan antara orang yang power dalam sukan ni sampai kejohanan kuda lasak dunia tahunan yang diadakan di Terengganu pun turut dinamakan sebagai Sultan Mizan Cup.

SULTAN MIZAN nombor 3 Piala SULTAN MIZAN. Imej dari NST.

Kejohanan Piala Sultan Mizan adalah Kejohanan Kuda Lasak sejauh 120 km di Lembah Bidong yang menguji ketahanan penunggang dan kuda. Sepanjang menyertai acara tu, Sultan Mizan pernah menjadi juara pada tahun 2013 dan mendapat tempat ketiga pada tahun 2016.

(UPDATE 20/8/2017: Sultan Mizan yang berrtanding pada acara kuda lasak 80 km telah berjaya meraih pingat emas. Apa yang membanggakan, baginda juga turut mencipta rekod baru Sukan SEA)

Asal orang kenamaan je mesti main kuda. Tak ada ke yang tak guna kuda? Jangan risau ada.

4) Sultan Azlan Shah dulu pemain hoki Perak

Dunia hoki negara pernah menangisi kemangkatan Sultan Azlan Shah. Sebab apa? Sebab rapatnya Sultan Azlan Shah ni dengan dunia hoki Malaysia. Sultan Azlan Shah menurut laporan memang betul-betul peminat hoki dari kecil lagi. Bukan sekadar minat, baginda betul-betul main hoki.

Baginda pernah mewakili pasukan Perak sebagai pemain hoki satu masa dulu. Waktu tu juga, pasukan Perak berada pada tahap terbaik. Walaupun baginda tak main sampai peringkat antarabangsa tapi kepimpinan baginda dalam dunia hoki waktu tu telah sampai ke peringkat Antarabangsa tau.

Sultan Azlan dengan team Perak. Imej dari GSAS.

Buktinya, baginda pernah jadi Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) dan juga Naib Presiden Persekutuan Hoki Dunia (FIH) selama dua penggal. Dari cetusan Idea Sultan Azlan juga membawa Malaysia ke taraf antarabangsa apabila memperkenalkan Piala Sultan Azlan Shah. Kejohanan ni bertaraf antarabangsa dengan kehadiran pasukan-pasukan handal dunia.

Dalam masa yang sama jugak dia tak pernah lupa jaga kebajikan pemain hoki Malaysia dengan memperkenalkan Yayasan Hoki Malaysia yang mana menjaga kebajikan dan bagi biasiswa untuk pemain.

Orang kenamaan negara lain jadi atlet sampai dapat pingat Olimpik kot!

Isu perbalahan orang kenamaan sebagai atlet sukan adalah sesuatu yang tak sihat. Sebab apa? Sebab negara luar pun ada atlet diorang dari golongan kenamaan yang siap dapat masuk Olimpik lagi. Tak payah pergi jauh-jauh, negara Thailand pun dah ada orang kenamaan yang masuk Olimpik  empat kali iaitu Prince Bira of Siam acara kapal layar.

Ada juga orang kenamaan yang bukan setakat masuk Olimpik, tapi jadi pemenang pingat emas. Atlet tu adalah Sheikh Ahmad bin Mohammad Hasher (kerabat diraja Dubai, UAE). Bukan acara berkuda, tapi pemenang pingat Emas acara menembak Double Trap di Olimpik 2004.

Tak baik riak tau. Imej dari Uaenoc.

Sama ada orang awam atau orang kenamaan ke, orang kulit putih atau hitam ke, eloklah pegang kata-kata jaguh pecut Olimpik 1936, Jesse Owens bila jadi atlet ni. Cerita pasal dia difilemkan yang mana waktu tu, orang kulit hitam merayu kat dia untuk tarik diri dari Olimpik di Jerman bawah pimpinan Adolf Hilter. Jawabnya,

“Out there, there ain’t no black and white. There’s only fast and slow. Nothing matters, not color, not money, not even hate.” – Jesse Owens

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT