“Servis Sidek” ajaran Hj Sidek ini pernah diharamkan pihak antarabangsa

Pada 2 Mac 2018, satu-satunya pemain badminton yang hidup serta berada dalam pasukan Juara Piala Thomas 1949 dah pun meninggalkan kita semua. Teoh Seng Khoon dah dikebumikan di Ipoh pada usia 99 tahun. Pemergian dia dah mengingatkan kita kembali sejarah kegemilangan badminton negara yang lama dan panjang.

Teoh bersama Piala Thomas pertama negara. Imej dari The Star.

 

Memang tak dapat dinafikan, kalau dilihat dalam sejarahnya, siapa tak kenal dengan anak-anak Sidek, yang pernah mengharumkan nama negara dalam sukan badminton suatu masa dahulu. Tapi, perlu diingat bahawa negara kita juga memang terkenal sebagai jaguh badminton sejak dahulu lagi. Hal ni terbukti apabila…

Ketika kita di zaman darurat, pemain kita dah menang Piala Thomas

Menurut sejarawan dan penganalisis sukan, Prof Khoo Kay Kim, sukan moden di Malaysia mula diperkenalkan dan dimajukan oleh pihak British. Ini kerana, pihak British melihat sukan sebagai satu medium yang baik dalam menyatukan masyarakat. Antara sukan moden yang diperkenalkan adalah bola sepak, badminton, ragbi, hoki dan sebagainya. Kalau cerita pasal sukan yang diminati orang Melayu, sudah semestinya bola sepak.

Disebabkan pihak British sangat mengutamakan sukan, maka majoriti rakyat terlibat dalam sukan-sukan tersebut. Tapi satu perkara yang menarik adalah, negara kita mula melibatkan diri dalam kejohanan badminton sejak sebelum merdeka lagi. Apa yang lebih menarik, kita menang dalam kejohanan tu.

“Dulu, seorang Australia pernah bertanya kepada saya, bagaimana keadaan di negara ini pada masa darurat. Dia tanya adakah sama keadaannya seperti Vietnam ketika Perang Vietnam? Saya kata padanya; jika kamu mengkaji sejarah sukan moden di negara ini, zaman kemuncaknya adalah masa darurat.” – Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Sejarawan negara & penganalisis sukan. Katanya kepada SOSCILI.

Home Guard wanita, masa zaman darurat. Imej dari amyliashameera.blogspot

Hal ini terbukti apabila kita memenangi Piala Thomas pada tahun 1949, ketika kali pertama kejohanan itu berlangsung. Lepas tu, Malaya teruskan kemenangan tiga kali berturut-turut apabila menang lagi pada 1952 dan 1955. Oleh kerana itulah, Prof Khoo menganggap zaman keemasan sukan di negara ini adalah ketika di zaman darurat.

“British bawa banyak tentera dari negara luar yang aktif sukan. Maka kita di negara ini juga turut sama aktif. Siapa ada masa untuk komunis?” – Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Sejarawan Negara & penganalisis sukan. Katanya kepada SOSCILI.

Seperti yang dicatatkan tadi, Malaya/Malaysia tak sunyi dari kemenangan badminton di peringkat dunia antarabangsa. Antara nama besar yang muncul adalah Wong Peng Soon yang meraih banyak kejayaan dari tahun 1940 hinggalah 1955.

Dia jugak digelar sebagai “The Great Wong” apabila menjadi juara perseorangan lelaki Terbuka Malaya sebanyak lapan kali (1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 &1953). Manakala juara terbuka Singapura sebanyak tujuh kali (1938, 1939, 1940, 1947, 1948 , 1949 & 1951), malah menjadi orang Asia pertama memenangi Terbuka All England pada 1950. Wong meneruskan kejayaannya apabila memenangi Terbuka Seluruh England sebanyak empat kali.

Wong Peng Soon catatkan kemenangan 3 kali Piala Thomas dan 4 kali Terbuka England. Imej dari liipohmali.blogspot

Munculnya adik beradik lagenda badminton negara

Selain Wong, ada lagi beberapa jaguh badminton lain seperti Ong Poh Lim, Ismail Marjan, Eddy Choong, David Choong, Tan Yee Khan, Ng Boon Bee, Punch Gunalan dan ramai lagi. Pada era 1980-an pula, muncul adik beradik yang menggegarkan arena sukan badminton negara, mereka inilah yang dikenali sebagai Anak-anak Sidek atau Sidek Bersaudara.

Siapa yang lahir zaman 1990-an tu, mesti akan kenal dengan komik dan animasi Anak-anak Sidek. Nama-nama watak macam Bun (Misbun), Ajib (Razif), Alan (Jalani), Aman (Rahman), Rasyid (Adul) dan Hj Sidek mungkin tengah bermain dalam minda kita sekarang. Nama-nama mereka jugak sangat sinonim dengan sukan badminton negara, bila cakap pasal Anak-anak Sidek je, maka terlintas di fikiran kita mengenai badminton.

Lagenda-lagenda badminton negara. Imej dari ashyqinosmin.blogspot

Ini semua adalah hasil dan jasa Datuk Hj Sidek Abdullah Kamar yang tegas mendidik anak-anaknya, terutamanya dalam bidang sukan badminton. Mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa Hj Sidek juga adalah seorang pemain badminton professional. Sebabnya, dia pernah jadi juara peringkat daerah Kuala Langat tiga kali berturut-turut dan jadi Juara Melayu Selangor pada 1964. 

Anak-anaknya (Sidek Bersaudara), mula membuat kemunculan pada awal 1980-an dan seterusnya menggegarkan arena badminton antarabangsa. Antara pencapaian adik-beradik ini adalah  Piala Thomas, Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Terbuka Seluruh England hinggalah kepada Kejohanan Dunia. 

“Misbun bukan sahaja mengikut jejaknya (bapanya) malah memperbaiki pencapaian itu dengan menguasai peringkat kebangsaan dari 1981 hingga 1986, naib juara di tiga kejohanan iaitu Piala Dunia 1982, Seluruh England 1986 dan Grand Prix Dunia 1988.

….Razif-Jalani pula membentuk pasangan beregu paling mantap sebagai juara Seluruh England 1982, meraih pingat emas Sukan Komanwel Brisbane dan muncul atlet pertama Malaysia memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona 1992.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Allahyarham Datuk Hj Sidek Abdullah Kamar, berjaya mendidik anak-anaknya dengan ketegasan. Imej dari Youtube & Wikipedia.

Manakala, Rasyid pula berjaya memenangi Piala Thomas 1992, pingat emas Sukan Komanwel Auckland 1990 dan Victoria 1994 serta pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996. Rahman pula berjaya menjuarai beregu lelaki Terbuka Swiss(1988), Juara Beregu Lelaki Terbuka Kanada dan Juara Beregu Lelaki Terbuka Jerman 1990.

Dari kejayaan demi kejayaan itulah, maka terbinanya sebuah tugu berbentuk raket dan bulu tangkis di depan rumah mereka di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor. Hj Sidek meninggal dunia pada 17 Oktober 2005, setelah hampir dua bulan bertarung dengan pelbagai jenis penyakit. Jasanya, sehingga kini tetap akan dikenang.

Perkarangan rumah Hj Sidek, di kampung Kanchong Darat, Banting.

Servis Sidek (Servis S) diharamkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF)

Salah satu idea dan teknik yang diperkenalkan oleh Hj Sidek adalah Servis S (Sidek). Servis ini agak unik dan ia digunakan oleh Sidek Bersaudara. Tapi, cara servis ini mula mendapat bantahan ramai kerana dianggap sebagai memberi kelebihan kepada satu pihak.

“Cara nak melakukan servis ini adalah dengan cara sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, manakala bahagian bulunya pulak menghala ke arah permukaan gelanggang. Sebelah tangan lagi pulak memegang raket dengan kedudukan untuk membuat pukulan backhand (pukul bulu tangkis dengan pergelangan tangan dan bukannya dengan hayunan keseluruhan tangan).”

Sevis Sidek yang jadi kontroversi. Imej dari arkibnegara.blogspot

 

Bila pukulan dibuat, bulu tangkis tu akan berpusing-pusing melayang ke arah gelanggang lawan. Servis ni dikatakan akan menyukarkan pihak lawan untuk membalas balik pukulan sebab diorang kena betul-betul pastikan bila kepala bulu tangkis akan menghadap ke arah diorang, sebelum dipukul kembali. Ini kerana, kalau silap langkah pukulan akan jadi tak sempurna atau bulu tangkis tu akan melekat kat jaring raket. 

Disebabkan servis ni dianggap kontroversi, maka banyaklah bantahan yang timbulkan oleh pihak-pihak antarabangsa. Ini kerana, teknik ni bukan je boleh dibuat oleh adik-beradik Sidek sahaja, tapi semua pemain badminton boleh menggunakannya. Jadinya pada Mei 1981, England dan Denmark mencadangkan supaya pindaan dibuat dan Servis S diharamkan. Tapi cadangan tu dibantah Malaysia dan Indonesia.

Kalau yang macam ni, dah lama kena haram. Imej dari Giphy.

Setahun lepas tu, pada May 1982, dalam mesyuarat Persatuan Badminton Dunia (IBF) sekali lagi isu ini diperdebatkan. Akhirnya, pada 1 Julai 1982, keputusan dibuat untuk mengharamkan Servis S setelah majoriti negara meyokong. Itulah penangan Servis Sidek yang pernah menjadi kontroversi dalam arena badminton antarabangsa.

Pemain Denmark pun berguru dengan Misbun

Satu perkara yang membimbangkan sukan badminton negara adalah tiadanya pelapis yang dilihat betul-betul sesuai untuk menggantikan Lee Chong Wei sebagai jaguh badminton dunia. Hal ini ditambah lagi apabila Misbun Sidek bertindak meninggalkan BAM pada 2011. Disebabkan tindakannya itu, BAM nampaknya berada dalam krisis kerana kehilangan seorang jurulatih yang sangat berwibawa.

Krisis ini berlaku disebabkan adanya perselisihan pendapat di antara Misbun dan pihak BAM. Hal ini dikatakan bermula apabila pihak BAM memperkenalkan struktur baru dalam sistem kejurulatihan dan latihan kepada pasukan kebangsaan. Sistem itu membuatkan Misbun dan Rashid diberikan enam pemain elit untuk dilatih yang diketuai oleh Lee Chong Wei.

“Bagaimanapun Misbun dikatakan tidak gembira dengan senarai pemain yang diberikan oleh BAM kerana permintaannya untuk melatih pemain remaja utama negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan anaknya, Misbun Ramdan Misbun tidak dipenuhi.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Sistem tu taklah semudah ni. Imej dari Giphy.

Pada tahun lepas, Misbun sekali lagi mengkritik BAM apabila mendakwa persatuan itu menghadapi masalah wang, yang menjadi punca kegagalan mereka melahirkan pemain-pemain pelapis yang berbakat. Selain itu, Misbun juga mengkritik sistem latihan yang dianggapnya ketinggalan.

“Lapan tahun lalu, saya pernah menyuarakan masalah sistem latihan negara ketinggalan zaman, tetapi ia tidak diterima…Saya pernah dipelawa Ketua Jurulatih Badminton China, Li Yongbo untuk melawat pusat latihan mereka dan saya kagum dengan saiz dan kecanggihan pusat latihan mereka.” – Misbun Sidek, dipertik dari Free Malaysia Today.

Kejayaan Denmark pada tahun lepas dalam Piala Thomas jugak dikatakan berpunca dari Misbun. Hal ni jadi perhatian bila satu gambar yang menunjukkan Misbun bersama dengan dua orang pemain Denmark tersiar di media sosial. Diorang dikatakan datang jauh-jauh dari Denmark ke Malaysia untuk berguru dengan Misbun.

“Mereka berjumpa Misbun kerana ingin mengetahui bagaimana Chong Wei masih kompetitif sehingga kini…Misbun juga mengenali mereka ketika bersama-sama Chong Wei dahulu dan mempunyai pengetahuan tentang pemain Denmark.” – Datuk Jalani Sidek, dipetik dari BH Online.

Gambar Misbun Sidek dan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus di Kelab Badminton Nusa Mahsuri. Imej dari BH Online.

Perkara ini sekali lagi menunjukkan ilmu yang ada pada Misbun sangat diperlukan dalam sukan badminton negara. Kalau orang luar pun tahu pasal perkara ni, takkanlah kita yang kat Malaysia ni nak sia-siakan saja. Tak gitu?

Misbun dah bagi amaran kat pemain-pemain muda

Tapi pada hari ini, mungkin harapan kita untuk melihat pengganti Chong Wei masih lagi cerah. Ini kerana, nampaknya Chong Wei berjaya memujuk sifunya itu untuk kembali ke pangkuan BAM. Misbun pun dah bagi amaran kat pemain-pemain muda supaya bersedia dengan cara latihan radikal yang akan digunakannya. 

“Mereka dibayar untuk bermain dan berlatih, jadi bila dibayar sudah tentu persatuan telah memberi garis panduan dan mereka tak boleh salahkan persatuan sekiranya nama mereka digugurkan. Setiap pemain perlu bersedia dan perlu tahu bahawa saya tidak perlukan mereka. Ini amaran daripada saya.” – Misbun Sidek, Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki. Dipetik dari Sinar Harian.

Imej asal dari alchetron.com

Menurut bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar, kembalinya Misbun itu ke BAM adalah sangat baik tapi dalam waktu yang sama agak terlewat. Bagaimanapun, beliau tetap yakin bahawa Misbun dapat mewarnai kembali arena badminton negara kerana Misbun terkenal sebagai seorang jurulatih yang baik dan berdedikasi.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita berharap BAM akan cuba sedaya upaya dalam melahirkan lebih ramai lagi pelapis-pelapis jaguh badminton seperti yang pernah ada di masa dahulu. Perkara ini juga tak boleh diserahkan kepada Misbun semata-mata, kerjasama dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam mencapai cita-cita ini.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.