Al-Arqam: Pertubuhan yang paling berpengaruh tapi telah diharamkan oleh kerajaan

Kalau nak diceritakan tentang ajaran sesat dekat Malaysia ini memang banyak jugaklah. Tapi korang tahu tak ada satu ajaran yang dikatakan sesat dari Malaysia yang sangat berpengaruh. Fahaman ini dah bertapak kat Malaysia hampir 50 tahun. Malah menurut akhbar Utusan, pengikut mereka tu bukan terdiri dari orang Malaysia je, tapi ia turut berkembang kat negara lain.

Haritu masa kami tulis cerita pasal ajaran sesat Joestown atau people temple ramai jugak yang request dan nak tahu pasal Al-Arqam. So, hari ni SOSCILI nak cerita detail sikit tentang sejarah Al-Arqam dan macam mana satu kumpulan berpengaruh di Malaysia ini dikatakan sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tertubuhnya Al-Arqam kerana kecewa terhadap PAS

Sejarah Darul Arqam bermula dengan pegangan mereka terhadap Tarekat/aliran Muhammadiah yang telah diasakan oleh Sheikh Muhammad Suhaimi bin Abdullah yang dilahirkan di Wonosobo, Jawa Tengah. Setelah dia meninggal dunia pada tahun 1923, aliran ini telah disebarkan para pengikutnya yang lain dan hanya jadi popular apabila ianya dibawa oleh pengasas Al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad.

Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya. Sumber dari abuyaattamimi.wordpress.com

Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya telah dilahirkan pada 30 Oktober 1938 di Kampung Pilin Rembau, Negeri Sembilan. Setelah bapanya meninggal dunia dia telah dijaga oleh bapa saudaranya iaitu Lebai Ibrahim yang juga merupakan pengamal hardcore tarekat Muhammadiah dan dari sinilah Ashaari mula mengenal dan mengamalkan aliran yang pernah mengemparkan Malaysia.

Kalau korang nak tahu, Ashaari pada mulanya adalah seorang ahli aktif PAS selama 10 tahun (1958-1968) yang pada masa itu di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Oleh sebab dia merasakan pergerakan PAS pada masa tersebut lemah dan tidak menekankan aspek ilmu, akhirnya dia telah menubuhkan sebuah gerakan sendiri yang diberi nama Jemaah Muhammadiah yang kemudianya dinamakan semula sebagai Al-Arqam sempena nama sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Arqam bin Abi Arqam.

Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli Al-Arqam pada tahun 1968, pergerakan ini kemudian bertambah kepada 40 orang ahli pada tahun 1976. Keahlian mereka kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehinggakan pada tahun 1987 pengikut mereka telah dikatakan seramai berpuluh-puluh ribu orang dan bukan takat kat Malaysia je tapi dari serata dunia.

Penubuhan Al-Arqam dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati Abuya terhadap halatuju PAS yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmi pada ketka itu. Sumber dari azmieyusoff.blogspot

Menurut fakta yang kiteorang jumpa dari Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan telah terpengaruh dengan pergerakan Al-Arqam.

Kegemilangan Al-Arqam dan business mereka yang power

Pencorakan Al-Arqam bermula pada tahun 1972 apabila Abuya menubuhkan perkampungan Islam di Sungai Penchala, Selangor. Kawasan seluas 5 hektar ini telah dibeli sendiri oleh Abuya dan rakan-rakanya untuk dijadikan tempat tinggal dan markas kegiatan Darul Arqam.

Walaupun mereka sudah diharamkan pada tahun 1994, tapi kita memang tidak boleh menafikan kehebatan mereka dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Korang bayangkanlah, dalam perkampungan yang tak sampai 20 tahun diwujudkan tadi, mereka telah berjaya memiliki 52 kedai runcit di seluruh perkampungan, 20 pasar mini, 36 kedai buku dan alat ibadatserta 18 restoran di seluruh pelusuk negara. Malah, mereka juga memiliki 56 kilang perusahaan di seluruh tanah air.

Antara produk makanan keluaran mereka yang mendapat sambutan hangat pada masa itu ialah cili sos dan kicap. Malah, produk ini turut dijual di kedai bukan Islam. Kira hebat jugaklah mereka ini sebab masa itu, syarikat pengeluar makanan Islam sangat kurang.

Abuya ketika pembukaan perkampungan Al-Arqam. Sumber dari chedinsphere.blogspot

Selain itu, mereka juga berjaya menerbitkan pelbagai bahan bacaan meliputi buku agama dan majalah untuk kanak-kanak, remaja, wanita dan dewasa. Antara majalah yang pernah mendapat permit penerbitan ialah Al-Arqam, Al-Mukminah, Al-Nasihah, Al-Munir, Al-Qiadah dan Al-Imam sebelum ia ditarik balik pada 1990.

Bukan takat itu sahaja, mereka juga memiliki klinik kesihatan dan unit perundangannya sendiri. Malahan, setahun sebelum mereka diharamkan, Al-Arqam telah pun melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat antarabangsa. Time ini mereka juga menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 anak syarikat.

Tak cukup dengan itu, Al-Arqam juga membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan yang diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC) dan pada tahun inilah, Abuya mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia dan Indonesia.

Antara produk keluaran Al-Arqam pada tahun 80-an dan 90-an. Sumber dari iskandarx.com

Sekarang business mereka lagi dahsyat sebenarnya, di bawah syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd, mereka dah ada 800 cawangan perniagaan di dalam dan luar negara. Yang lagi memeranjatkan, perniagaan mereka juga ada di 16 buah negara termasuklah Perancis, German, United Kingdom, China dan Australia. Bidang dan kepakaran mereka pula terdiri daripada pelancongan, industri makanan, media, kesihatan dan juga kejuruteraan.

Tengok macam bagus je mereka ni, tapi kenapa ada yang mengatakan ia sesat?

Sebenarnya, masa mula-mula dulu tak ada apa isu pun Al-Arqam ini. Tapi isu-isu pasal yang mengatakan kesesatan mereka tu mula timbul pada tahun 1979 apabila akhbar yang diterbitkan kumpulan ini telah merujuk pengasas Tarekat Muhammadiah, Sheikh al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam.

Bila kecoh pasal isu ini, Abuya telah dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memberikan penerangan dan beliau sendiri telah menafikan tentang pendakwaan ini.

Inilah buku Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan kepada pertubuhan Al-Arqam. Sumber dari islamiq.sg

Tapi, akhirnya penyelewengan mereka ini tak tahan lama dan bila JAKIM buat sisasatan dan mereka telah menjumpai bukti yang mengatakan Sheikh al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi dalam Tarekat Muhammadiah iaitu pegangan ahli-ahli Al-Arqam sendiri. SOSCILI pun pernah cover tentang buku Aurat/Tarekat Muhammadiah  yang telah di haramkan oleh pihak Kerajaan (tekan link ini).

Malah menurut akhbar Utusan lagi, kesesatan mereka juga terbukti apabila mendakwa Rasulullah SAW dan para sahabat boleh ditemui secara jaga (majlis yaqazah) selain melalui mimpi. Abuya juga mendakwa yang dirinya adalah dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad SAW yang memegang panji-panji Al-Mahdi. Korang boleh tengok penerangan Bani Tamim dari Mufti Perlis (tekan link ini).

Dalam keadaan yang makin bercelaru ini, Abuya telah ditahan menggunakan Internal Security Act (ISA) oleh pihak polis pada tahun 1994, manakala pertubuhan Al-Arqam juga telah diharamkan oleh kerajaan berpandukan Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun yang sama dan diikuti penguatkuasaanya di negeri-negeri lain. (Baca huraianya kat sini)

Keratan akhbar tentang penangkapan abuya. Sumber dari Utusan Malaysia

Akhirnya, pada 25 Oktober 2004 Abuya telah dibebaskan setelah 10 tahun ditahan dibawah ISA dan tahanan rumah. Pada tanggal 13 Mei 2010, bekas pemimpin Al-Arqam ini telah meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center kerana jangkitan paru-paru dan jenazahnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau untuk dikebumikan.

Kemunculan Ummu Jah dan beberapa yang dikatakan sebagai kesesatan Al-Arqam semakin tersebar

Walaupun pengasas kepada kumpulan ini telah meninggal dunia pada 13 Mei 2010, kumpulan ini masih kuat lagi dan kini dipimpin pula oleh isteri Abuya sendiri iaitu Hatijah Aam ataupun lebih dikenali sebagai Ummu Jah. Untuk pengetahuan korang, Masa Ummu Jah ni take over Al-Arqam, lagi banyak sebenarnya fahaman yang dikatakan sesat itu semakin tersebar.

Antaranya, dia  memberitahu pengikutnya yang Abuya sebenarnya tak meninggal dunia tetapi hanya ghaib dan akan kembali semula ke dunia. Kalau korang nak tahu, hal ini sebenarnya sama dengan fahaman yang dipegang oleh golongan Syiah walaupun mereka antara penentang kuat Syiah pada masa tersebut.

Para pengikut Syiah mempercayai kepada 12 orang imam termasuklah Saidina Ali bin Abi Thalib. Imam mereka yang terakhir pula adalah Imam Mahdi Al-Muntazhar (Imam Mahdi yang ditunggu). Sumber dari academia.edu

Dalam mazhab Syiah, mereka menolak ijmak tetapi menerima bahawa imam-imam mereka adalah maksum (terpelihara daripada dosa) dan Imam terakhir mereka iaitu anak Imam Hasan Askari kononnya dighaibkan oleh Allah (sedangkan Imam Hasan Askari itu takde anak) dan akan muncul sebagai Imam Mahdi. Konsep ini kemudianya ditiru oleh Ummu Jah, iaitu Abuya tak mati, sebaliknya dighaibkan dan akan muncul sebagai pemuda Bani Tamim.

Tambah pelik lagi, setiap perjumpaan atau masjlis-majlis keraian yang mereka adakan, 3 kerusi kosong akan diletakkan di bahagian hadapan dengan beranggapan bahawa Rasullulah, Imam besar mereka Sheikh al-Suhaimi dan pengasas Al-Arqam sendiri Abuya hadir pada majlis tersebut dalam keadaan ghaib.

Tak cukup dengan itu, Ummu Jah juga telah menerbitkan buku kontroversi seperti Tsunami: Bukti Abuya Putera Bani Tamim. Untuk pengetahuan korang, dalam buku ini cakap kejadian tsunami di bumi Acheh pada tahun 2004 adalah di atas kehendak dan perintah Ashaari/Abuya sendiri.

Bukan takat itu sahaja, dua lagi buku beliau Sex suci islam dan bingkasan daripada Makkah dan Madinah turut mengundang kemarahan orang ramai apabila cara-cara melakukan sex ditulis dan turut dikaitkan dengan Rasullulah SAW.

Bila dah nampak makin sesat, mereka pun telah diburu oleh pihak polis dan jabatan agama sampaikan mereka larikan diri ke Arab Saudi. Selepas kira-kira tiga tahun menetap di Mekah, Ummu Jah dan pengikutnya ditahan pula dengan penguat kuasa Arab Saudi dan dihantar pulang ke Malaysia. Tak cukup dengan itu, sampai je mereka kat KLIA, Hatijah dan pengikutnya telah ditahan pula oleh JAIS atas tuduhan mengamal amalan meragukan, bidaah dan aktiviti nasyid yang berunsur syirik.Yang hak akan bangkit dan yang bathil akan lenyap, akhirnya pada 8 November 2013, dia dan pengikutnya melafazkan sumpah dan bertaubat dari segala kefahaman, keyakinan dan amalan yang telah difatwakan sesat. Dia juga telah berjanji untuk memberi kerjasama kepada JAIS dan JAKIM untuk menghapuskan saki baki Al-Arqam. Ummu Jah akhirnya meninggal dunia pada 22 Oktober 2015 akibat serangan strok di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar.

Keratan Akhbar tentang kisah Ummu Jah yang sudah bertaubat. Sumber dari Berita Harian

Apa jadi dengan Al-Arqam sekarang?

Walaupun Al-Arqam sudah diharamkan pada tahun 1994, namun ada yang mendakwa saki baki pengikut mereka masih lagi bertapak di Malaysia dan terus berkembang. Ada juga yang cakap, antara sebab mengapa pertubuhan ini masih begitu kuat kat Malaysia ialah kerana ianya tidak hanya menumpukan akhirat semata-mata. Sebaliknya lebih menonjol sebagai organisasi yang seimbang dengan kehidupan dunia.

Banggunan pejabat Al-Arqam di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur masih dikunjungi pengikut yang taksub dengan ajaran tersebut. Sumber dari KOSMO

Untuk pengetahuan korang, pertubuhan ini memberi penekanan kepada pembinaan sosioekonomi sebagai teras untuk memastikan pengikutnya bertahan. Rufaqa Corporation Sdn. Bhd (Sekarang pakai nama Global Ikhwan Sdn Bhd) yang ditubuhkan pada 1997 dan diasaskan sendiri oleh Ashaari misalnya, adalah contoh terbaik bagaimana tersusunnya pengurusan organisasi di bawah Al-Arqam.

Sebenarnya memang ada pun saki baki terutamanya mereka yang berhaluan kiri dan tidak sehaluan dengan Ummu Jah mahu menghidupkan semula ajaran Al-Arqam dan menegakkan Kerajaan Roh.

Contohnya, pada 1 April 2016 Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan telah melumpuhkan dua organisasi yang mengendalikan 15 premis di Bandar Seri Sendayan apabila mereka mewajibkan pekerja mereka membaca doa yang diselitkan nama pengasas kumpulannya iaitu Allahyarham Ashaari Muhammad.

Walaubagaimanapun, dua organisasi ini tadi takde kaitan pun dengan syarikat yang ditubuhkan Al-Arqam iaitu Global Ikhwan Sdn Bhd. Bekas pengikut yang juga pengarah GISB Holdings, Datuk Md Som Abd Jalil bagitahu, mereka memang tak tahu pun ada lagi orang cuba nak hidupkan balik ajaran yang dikatakan sebagai sesat ini. Mereka juga bagitahu sebenarnya mereka semua dah lama bertaubat dan bersumpah untuk tidak mengulangi ajaran berkenaan.

Menurut kenyatan pengarah GISB Holdings. Syarikat mereka sekarang tidak lagi terlibat dengan pergerakan Al-Arqam. Sumber dari gisbholdings.com

Apa yang kita perlu rujuk untuk memastikan kita tidak terjebak dalam ajaran sesat ni?

Jika disorot sejak dari kewafatan Nabi Muhammad SAW hingga ke hari ini, terlalu banyak kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang muncul menggugat ajaran Islam.

Bukan setakat ajaran sesat sahaja yang nak menyesatkan korang, ada juga pemikiran yang telah difatwakan sesat seperti liberalisme, pluralisme agama dan lain-lain lagi turut bertapak Malaysia, tapi sampai sekarang diperdebatkan kerana definisi masing-masing tidaklah mudah diterangkan secara hitam putih.

Jadi buat masa sekarang kita bolehlah merujuk kepada mufti negeri masing-masing sekiranya ktia tidak pasti akan kebenaran satu-satu amalan itu. Namun apa yang lebih baik daripada itu kita sendiri perlu mendalami ilmu fardhu ain dan fardu kifayah agar tidak mudah terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin yang kadang-sangat lain pendapatnya. Sememangnya menuntut ilmu itu adalah sangat digalakkan dalam semua umat Islam.