Ketika didakwa Zakir Naik dapat kerakyatan, lebih 50 000 orang Malaysia lepaskan kerakyatan sendiri

Kenapa ramai sangat yang nak jadi rakyat Malaysia ni? Adakah sebab diorang nak bantu Malaysia capai jumlah penduduk 70 juta orang menjelang tahun 2020 macam yang Tun Mahathir harapkan?

Sejak beberapa tahun ni, memang banyak isu permohonan kerakyatan (kalau dalam Perlembagaan guna perkataan kewarganegaraan) Malaysia yang timbul. Nak lagi bila menjelang pilihanraya, atau bila melibatkan nama-nama besar seperti…

Zakir Naik dikatakan jadi rakyat Malaysia?

Siapa tak kenal Dr. Zakir Naik ni dia noob. Seorang yang expert dalam memberi hujah perbezaan agama, ada siaran TV sendiri dikenali sebagai Peace TV, dan juga pengasas Islamic Research Foundation (IRF).

Baru-baru ni, ada media dari India mendakwa yang dia dapat kewarganegaraan dari Malaysia yang dikatakan sebahagian dari pakej penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 2013. Tapi kenyataan tu dinafikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Menteri Dalam Negeri).

PERKASA pun bagi anugerah kat Zakir Naik. Besau keris tu brader. Imej dari Mynewshub

Sebaliknya, rupa-rupanya dia dapat taraf Penduduk Tetap (Pemastautin Tetap) lima tahun yang lepas lagi. Kiranya Zakir Naik ni dah ada IC merah (MyPR) lah kot. Dia juga dikatakan tak tinggal pun kat Malaysia tapi duduk kat beberapa negara lain.

“Beliau (Zakir) mendapat status penduduk tetap pada lima tahun lepas, beliau bukan warganegara Malaysia” – Datuk Ahmad Zahid Hamidi, dipetik dari Bernama.

Naik nama Malaysia kat sini. Imej dari Times of India

Jadi kenapa media India ni tiba-tiba nak hebohkan benda ni? Rupa-rupanya, kerajaan India on the way nak tahan Zakir Naik ni sebab dia dikatakan menjadi penyumbang dana kumpulan pengganas dan terlibat dengan penggubahan wang haram. Selain tu, ada dakwaan yang cakap dia menjadi pencetus permusuhan agama di India. Disebabkan tu, kerajaan India bersungguh nak siasat dia dari dulu lagi.

“Baru baru ini, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir bagi menghalang pergerakannya keluar dari Arab Saudi selepas beliau ingkar saman berulang kali terhadapnya agar satu siasatan dibuat terhadapnya.” – Dipetik dari Bernama

Apa yang mengejutkan, dia sebenarnya dah disahkan dapat kewarganegaraan Arab Saudi yang diberi oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. Laporan mengatakan dia nak mengelakkan diri daripada ditangkap kerajaan India. Maknanya sekarang ni memang tak dapatlah dia nak jadi orang Malaysia sebab dah jadi warganegara lain. Jadi penduduk tetap je lah.

Habibi! Aku orang Arab. Gif dari Giphy.com

Kalau korang nak tahu, Penduduk Tetap/Permanent Residential (PR) dan warganegara ni memang berbeza walaupun kedua-duanya masih tertakluk bawah akta dalam Perlembagaan Persekutuan (Sumber PDF). Kalau dari segi warna IC memang confirm lain iaitu biru (warganegara) dan merah (PR).

“Orang yang minta PR ni ialah orang yang ada warganegara lain tapi dia nak bergerak bebas dekat Malaysia tak perlu keluar masuk setiap 3 bulan cop passport semua” – Atiqah Zulaikha, Pelajar Jurusan Undang-Undang UIA ketika dihubungi SOSCILI

Diorang yang ada PR ni jugak tak perlu deal selalu dengan imigresen macam penduduk sementara (IC Hijau). Apa yang membezakan PR dengan warganegara pulak, diorang tak dapat hak macam warganegara dapat contohnya tertiary education, bayaran untuk hospital kerajaan dan yang sewaktu dengannya. So, kalau bab bayaran ni, diorang mungkin kena lagi mahal. Macam tu lah nasib Zakir Naik sebab ada PR kan.

Jadi, kalau Zakir Naik tak dapat jadi warganegara sebenarnya ramai lagi yang berebut, termasuklah…

Artis-artis luar negara sibuk nak jadi penduduk tetap dan warganegara Malaysia

Bila sebut artis-artis luar negara ni sebenarnya bukanlah negara yang jauh sangat. Negara sebelah je, Singapura dan Indonesia. Memang banyak dalam industri seni kita ni adalah warganegara Singapura dan Indonesia yang memohon nak jadi Penduduk Tetap (PR) Malaysia.

Bila sebut isu kewarganegaraan dengan artis ni, nama yang naik mestilah abam sado Aaron Aziz kan. Nama dia melonjak masa menang anugerah Artis Paling Popular ABPBH 2011. Lepas tu, Zed Zaidi selaku Timbalan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) waktu tu pertikai kenapa warganegara Singapura yang dapat anugerah ni. Mengamuklah peminat Abam Sado. Tapi tak lama lepas tu, keluar berita yang Aaron Aziz dan sekeluarga dah dapat taraf PR pada Jun 2012.

Artis dengan artis biasalah gaduh. Imej dari Suara TV

Sebenarnya bukan Aaron Aziz je, ramai juga yang mohon PR tapi taklah famous macam dia. Contoh macam Ady Putra yang jadi Jai dalam KL GangsterDia yang dah menetap 12 tahun kat Malaysia, akhirnya dapat juga taraf PR. Selain tu ada lagi sorang Adi, iaitu Adi vokalis Sixth Sense yang kahwin dengan orang Malaysia mohon PR jugak.

Tu baru PR, belum lagi warganegara. Kalau korang nak tahu, ada juga artis luar yang beria-beria nak jadi warganegara Malaysia dan nak jadi seniman kat sini macam Imran Ajmain dari Singapura,

“Sebenarnya saya ingin dikenali sebagai anak Kuala Lumpur. Saya nak jadi seniman di negara ini dan mahu dapatkan kerakyatan di sini.” – Petikan dari Utusan

Tapi sebelum-sebelum ni pun ada je artis luar yang dapat kewarganegraan. Contohnya artis dari Singapura yang akhirnya dapat taraf warganegara Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Dato’ M. Nasir yang jadi warganegara Malaysia secara naturalisasi.

Bila sebut jadi warganegara secara naturalisasi ni, perkara ni banyak terjadi kepada pemain bola sepak luar negara yang main kat Malaysia. Kalau tak percaya.

Pemain bola sepak jadi warganegara Malaysia secara naturalisasi

Kalau ikut Perlembagaan Persekutuan dalam bab Pemerolehan Kewarganegaraan, ada empat cara nak dapat taraf warganegara (Sumber PDF):

1) Kuatkuasa undang-undang: Contoh mak ayah lahir dekat Malaysia, dan anak tu lahir kat Malaysia. Automatik anak tu jadi warganegara Malaysia
2) Pendaftaran: Contoh mak warga asing, ayah warga Malaysia, jadi nak anak jadi warganegara kena daftar untuk dapat status warganegara.
3) Naturalisasi: Contoh dia tak ada apa-apa hubungan perkahwinan dengan sesiapa yang ada warganegara Malaysia, tapi dia ada memenuhi beberapa syarat dalam peruntukan Perlembagaan (contoh: bermastautin tetap lebih 12 tahun) jadi dia boleh mohon dan kerajaan akan tentukan.
4) Penggabungan Wilayah: Contoh kalau ada wilayah baru yang akan masuk jadi sebahagian Malaysia, so automatik jadi warganegara.

Sebahagian syarat untuk penaturalisasian. Imej dari Perlembangaan Persekutuan PDF

Jadi terbukti yang naturalisasi ni boleh melayakkan seseorang mohon jadi warganegara. Cara naturalisasi ni banyak digunakan oleh ramai pemain bola sepak antarabangsa, FIFA sendiri benarkan. Jadi Malaysia pun tak terlepas juga.

Antara pemain bola sepak yang telah mendapat status warganegara Malaysia secara naturalisasi adalah antaranya Junior Eldstal (Sweden), Brendan Gan (Australia) dan Mehmet Fekri Sereny (Turki). Tapi ada juga yang menolak macam Dion Cools (Belgium) yang dikatakan ibu dia ada darah Sarawak. Naturalisasi ni tujuan dia untuk bagi pasukan Malaysia bersedia untuk Kelayakan Piala Asia 2019.

Sebelum tu pun, zaman Ong Kim Swee ada juga pemain naturalisasi dengan nama Darren Lok yang duduk England tapi ada darah Malaysia. Aktiviti naturalisasi dalam bola sepak ni juga berlaku di peringkat bola sepak negeri macam kes Pengurus Pasukan Pahang berminat nak dapatkan status warganegara untuk pemain dia Samureh dari Gambia.

Mana satu Samureh? Cuba teka. Imej dari semuanyabola.com

Nampak macam bersungguh pula sesetengah pihak ni jadikan orang luar menjadi warganegara Malaysia. Tapi tahu tak, ramai orang Malaysia yang ada warganegara tapi…

Berpuluh ribu orang Malaysia yang melepaskan status warganegara

Mesti macam ramai terkejut, ada juga orang Malaysia dah tak nak jadi warganegara Malaysia ke? Keep calm and eat popcorn. Memang ada banyak kes sebegitu. Pada 2016, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan yang 54 406 warganegara Malaysia melepaskan kewarganegaraan diorang sejak 2010 sampai Januari 2016.

Pada  2014, seramai 7,843 rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada negara ini, 6,678 pada tahun 2013; 8,983 pada tahun 2012; 11,080 pada 2011 dan 10,644 pada 2010. – Petikan dari Sinar Harian

Apa yang mengejutkan, pada tahun 2016, ada 1102 rakyat Malaysia yang lepaskan status warganegara untuk jadi warganegara lain. Kalau dikira purata setiap bulan ianya 367 sebulan. Ramainya! Tapi kenapa?

Alasan yang diberi rakyat Malaysia yang berbuat demikian adalah kerana memperoleh kewarganegaraan negara lain. – Petikan dari Sinar Harian

Goodbye Mr. Najib and friends! Gif dari Giphy.com

Selain tu, dilaporkan yang ada satu juta rakyat Malaysia yang lahir di sini tapi sekarang tinggal kat luar negara sebagai penduduk sementara, penduduk tetap atau rakyat negara sana. Kesan orang Malaysia berhijrah ramai-ramai ni pun dapat dikesan pada duit yang keluar dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tahun lalu (2015), seramai 2,200 rakyat Malaysia juga telah mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka apabila mereka melepaskan kewarganegaraan dan meninggalkan negara ini, menyebabkan aliran wang keluar sejumlah RM154.6 juta. – Petikan dari Mstar

Terkejutkan? Ramai betul yang tak nak jadi rakyat Malaysia. Lagi-lagi diorang yang belajar dan bekerja kat sana sejak sekian lama. Diorang rasa lebih berbaloi dengan tawaran kerja yang ditawarkan syarikat sana. Sampai kerajaan pun risau sebab mereka yang expert dalam bidang tertentu tak kembali untuk menyumbang kat negara sendiri.

Jawapan kenapa mereka yang expert tu tak nak balik Malaysia semula ada pernah dijawab oleh Matluthifi, Vlogger terkenal Malaysia. Macam dalam video ni.

Tapi, kerajaan tetap berusaha untuk memujuk para expert ni balik dengan mempekenalkan Returning Expert Programme (REP). REP ni telah ditugaskan oleh kerajaan kepada Talentcorp untuk menghubungi expert kita yang kat luar negara untuk kembali berkhidmat kepada tanah air sejak 2011 lagi. Walaupun ada yang cakap tak berhasil tapi tetap ada progress dia.

Lebih dari 4000 golongan profesional dari Malaysia sudah diterima masuk bawah REP semenjak inisiatif ini diambil alih (Talentcorp) pada Januari 2011 – Sumber dari The Malay Mail Online

Dalam usaha memujuk diorang kembali ke Malaysia, walau macam mana  pun, ada juga kes kita bergaduh sesama kita dan minta kerajaan lucutkan warganegara orang yang buat hal tu.

Lucut kerakyatan sebab hina Azan dan Sultan

Kalau korang ingat dulu, ada satu parti politik ni minta lucut kerakyatan/kewarganegaraan seorang rakyat Malaysia iaitu Alvin Tan sebab dia dikatakan mempersendakan azan melalui video di Facebook. Dia juga dikatakan dah banyak buat video-video kontoversi yang menghina institusi negara.

Macam kes Ali Abd. Jalil pula, kewarganegaraan dia diminta beberapa pihak untuk dilucut sebab menghina Sultan Johor dan Selangor di Facebook. Dilaporkan yang dia sekarang pun dah ada kat Sweden dan duduk sana lepas dapat suaka politik.

Diorang saling nasihat menasihati pulak. Imej dari Suara TV

Kes-kes minta lucut warganegara orang lain ni memang banyak tapi kebanyakannya perlu disiasat dulu. Kalau dia memenuhi kriteria untuk dilucut, baru kerajaan boleh lucutkan dan bukan senang-senang je. Sedangkan yang join pengganas pun tak boleh suka hati sahaja nak dilucutkan warganegara.

Macam yang disebut KDN berkaitan permintaan supaya dilucutkan mereka yang join militan IS kat Syria dan Iraq.

“Sebenarnya, mereka yang lahir, ibu bapa asal orang sini (Malaysia) tidak semudahnya dibatalkan kewarganegaraannya, walaupun sertai IS. Ia berbeza bagi mereka yang diberi kewarganegaraan oleh kerajaan, di mana kewarganegaraannya boleh dibatalkan bila-bila masa jika terlibat IS” – Petikan dari Free Malaysia Today

ISIS pun main Twitter k. Imej dari The Independent

Jadi tak semudah itu nak lucut untuk mereka yang jadi warganegara sebab lahir kat sini. Syarat-syarat nak lucut ni boleh tengok dalam Perlembagaan Persekutuan bab Penamatan Kewarganegaraan. Tapi untuk yang jadi warganegara secara pendaftaran dan naturalisasi, ia lebih mudah terlucut. Ye lah, kerajaan dah bagi warganegara kau buat hal kan.

Menjadi warganegara yang ada peranan

Kalau ikut sumber Jabatan Perangkaan Negara, penduduk Malaysia dah mencapai jumlah 31.7 juta orang. Jumlah ni akan terus meningkat dari tahun ke tahun. Kita pun tak tahu pada masa akan datang berapa pula jumlah yang akan lepaskan kewarganegaraan sendiri. Harapnya ia berkurang.

Sementara kita yang berstatus warganegara ni mesti ada peranan macam menyumbang kebaikan dan menjadi check and balance kepada kerajaan. Kita boleh jadikan Dato’ M. Nasir sebagai contoh, walaupun asalnya bukan Malaysia, tapi sumbangan dia dalam menghidupkan seni asli Melayu memang mengalahkan orang asal Malaysia sendiri. Sampaikan dia dapat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari UUM.

M. Nasir ni lah yang nyanyi Satu Hari Di Hari Raya tu. Imej Berita Harian

Pada masa yang sama, kerajaan pula mesti mengawal pemberian kewarganegaraan kepada orang yang betul-betul nak menyumbang kepada negara ni sahaja. Supaya tak berlaku kes-kes macam bagi warganegara kepada pendatang asing untuk pilihan raya macam sebelum-sebelum ni. Barulah kita dapat hidup bersama dengan aman dan tenteram tanpa prasangka.

Menyumbang jangan sampai menipu. Imej dari hidayahkassim.com

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT