Tak tahan jadi mangsa buli, pelajar ini akhirnya mengambil nyawa sendiri

13 Reasons Why merupakan sebuah rancangan bersiri yang ditayangkan di Netflix. Ia mengisahkan seorang remaja perempuan, Hannah, yang dikatakan tiba-tiba je bunuh diri. Kejadian tersebut meninggalkan persoalan kepada semua orang sebab Hannah tak tinggalkan sebarang nota pun menjelaskan perbuatannya itu.

Tapi Hannah ada tinggalkan tujuh keping audiotape yang bagitau 13 sebab kenapa dia bunuh diri. Sesiapa yang dapat audiotape tu merupakan salah seorang penyebab kematian dia, dengan kata lain, mereka adalah orang yang telah membuli Hannah sampai menyebabkan dia tertekan dan bunuh diri.

Cerita mendapat banyak respon positif dan negatif di seluruh dunia. Ia juga telah menimbulkan banyak kebimbangan dan rasa kurang senang daripada ibu bapa dan kaunselor di sekolah. Mental health atau kesihatan mental adalah sesuatu yang agak taboo (pantang) di Amerika, dan agak kurang dibincangkan di Malaysia.

Macam mana pula dengan tahap kesedaran kat Malaysia?

Seramai 3 daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah mental

Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah untuk menunjukkan kekuatan. Biasanya yang jadi pembuli ni juga disebabkan tekanan rakan sebaya (peer pressure). Buli bukan je dari segi fizikal malah ia jugak boleh terjadi melalui mental dengan menggunakan perkataan atau perbuatan yang menyakitkan hati orang lain.

Kesihatan mental ni bukannya sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kes yang pernah berlaku kat Malaysia ialah kes Arlina Banana, seorang personaliti media sosial yang pernah buat pengumuman nak bunuh diri sebab cyberbullying yang berlaku terhadapnya. Pada masa yagn sama, orang ramai dapat tahu yang yang Arlina juga ada BPD (Borderline Personality Disorder).

Arlina Banana dan depression. Gambar dari Says.

Kat Pulau Pinang pula, seorang pelajar terjun dari tingkat 17 sebuah bangunan disebabkan cyberbullying. Beberapa hari sebelum membunuh diri, dia ada menyatakan niatnya dan dihalang kawan. Tapi nampaknya ianya tak diendahkan. Kawan baik mangsa kemudiannya menaikkan status dan menyuruh pembuli tersebut tampil ke pengkebumian mangsa untuk meminta maaf dan supaya ianya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Saya harap kesemua pengguna media sosial tidak menyalahgunakan keyboard di tangan yang mampu menjadi setajam pisau. Menyakiti seseorang dengan menggunakan alasan kebebasan bersuara, awak rasa awak akan diingati sampai bila-bila? Saya harap awak tahu bahawa saya sedang bercakap tentang awak.” – Dipetik dari Lobak Merah.

Pada tahun 2015, seramai 3 daripada 10 orang dewasa di Malaysia disahkan mempunyai masalah mental. Perkara ni disahkan oleh Menteri Kesihatan dalam kajiannya tentang health awareness. Secara tak langsung ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10% dalam masa dua tahun saja!

Buli boleh menjejaskan mental seseorang, dan penyakit mental juga boleh menyebabkan seseorang jadi pembuli

 

Berdasarkan sebuah kajian, buli adalah perlakuan yang boleh berjangkit dan merebak dalam persekitaran masyarakat. Ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan mental seseorang. Pendedahan berterusan kepada buli boleh membawa kepada negativiti di tempat kerja dan sekolah.

Berdasarkan kajian seorang profesor psikiatri kanak-kanak di Finland – jika mangsa penah dibuli masa kanak-kanak, ia akan meningkatkan risiko kemurungan yang memerlukan rawatan psikiatri di kemudian hari. Berdasarkan kajian Medscape Medical pula, kanak-kanak yang didiagnosis dengan gangguan mental ada tiga kali kemungkinan boleh jadi pembuli.

Ni ha aku ambik gambar dia makan durian semalam. Imej dari Forbes

Selain tu juga, peer pressure ataupun tekanan rakan sebaya juga merupakan penyebab seseorang itu membuli, iaitu untuk nampak lebih “cool” daripada target mereka.

Berdasarkan laporan daripada  American Journal of Public Health, pelajar yang mempunyai kawan yang pernah menyakitkan seseorang secara fizikal atau mental mempunyai 183% potensi untuk melakukan benda yang sama terhadap orang lain.

Selain buli, urbanisasi merupakan sebab lain bagi gangguan mental

Fast-paced Japan. Dari giphy

Kepesatan pembangunan negara juga boleh jadi salah satu sebab. Sebagai contoh negara yang kita boleh ambil ialah Amerika, China dan juga Jepun. Malaysia juga sekarang ni tak terkecuali dengan masalah yang sama.

Kawan kami di Cilisos pernah cover pasal Mental Disorder di Malaysia dan sempat menemuramah Dr Chua, seorang ahli psikologi klinikal yang mengatakan,

“Tahap tekanan yang lebih tinggi dan kekurangan sokongan sosial, membawa kepada tekanan dari segi kewangan.” –  Dr Chua.

Amerika juga tak terkecuali dengan masalah kesihatan mental yang salah satunya disebabkan pembangunan. Malah, setakat tahun 2014, kadar bunuh diri di Amerika Syarikat adalah yang tertinggi berbanding negara lain disebabkan tekanan hidup.

Berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, ianya juga merupakan punca kedua utama kematian untuk rakyat Amerika dalam kumpulan umur 10 hingga 34 tahun.

Manakala sebuah kajian di China menunjukkan yang kebanyakan orang di China berpindah ke kawasan bandar disebabkan pembangunan yang pesat dan kerja yang terjamin. Malangnya, ianya tak macam diimpikan sebab banyak masa dihabiskan untuk bekerja keras membayar segala keperluan keluarga.

Bukan orang dewasa saja yang mengalami masalah ni, malah tekanan perasaan juga turut dialami oleh orang tua dan kanak-kanak yang terjejas disebabkan kurangnya masa bersama keluarga dan pengabaian disebabkan kerja.

Dekat Jepun pula, kita semua tahu macam mana membangunnya negara matahari terbit tu. Korang juga mungkin pernah dengar pasal Gunung Aokigahara, iaitu tempat orang Jepun selalu bunuh diri. Pada tahun 2014 saja, sebanyak 25,000 orang iaitu kira-kira 70 orang yang bunuh diri setiap hari.

Paling mengejutkan, bunuh diri adalah punca utama kematian kanak-kanak Jepun yang berumur di antara 10 dan 19. Sebuah negara yang sangat kompetitif, bunuh diri juga bukanlah sesuatu yang hina di Jepun. Malah, sesetengah orang menganggap bunuh diri sebagai satu cara terhormat dan bertanggungjawab.

Kalau diberi peluang, adakah kita mampu mencederakan orang lain?

Pada tahun 1974, seorang penggiat seni dengan nama Marina Abramovic pernah mementaskan sebuah persembahan seni yang dipanggil ‘Rhythm 0’. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana seseorang itu boleh melakukan sesuatu ke atas orang lain yang tak bertindak balas.

Untuk persembahan tersebut, terdapat 72 barang objek disediakan di atas meja, dan orang ramai boleh gunakannya untuk buat apa yang mereka suka terhadap Marina.

Kesemua objek untuk digunakan pada Marina, model objek. Image dari tate.org

 

Mula-mula cuma jurugambar yang mendekati dan ambil gambar Marina sebagai objek art ni. Lepas tu, beberapa orang mula ambil barang atas meja untuk bereksperimen ke atas Marina dengan mula mengelar dia dan mengoyakkan pakaiannya. Tak kurang juga yang mengubah tempat dia, mula cuba untuk buat sesuatu yang memalukan dia dengan lekatkan pelbagai benda kat dia.

Keadaan jadi semakin teruk 3 jam pertama, bila orang mula gunakan pisau cukur dan mula lukakan dia, dan melakukan pelbagai jenis gangguan seksual keatasnya.

Lepas habis je art performance tadi, Marina pun mula berjalan dalam kalangan pemangsa tadi. Berdasarkan pemerhatian dia, takde siapa yang akan mengaku dan berani berhadapan atas apa yang dorang lakukan. Dorang juga tak nak dinilai dan dipertanggungjawabkan dengan apa yang diorang lakukan.

“Karya seni ni mendedahkan sesuatu tentang manusia. Ia menunjukkan betapa cepatnya seseorang boleh menyakiti orang lain bila ada peluang.

Ini menunjukkan bagaimana mudahnya untuk mengasari seseorang yang tak boleh melawan, dan yang tak mampu mempertahankan diri mereka. Ia menunjukkan kalau peluang di depan mata, majoriti ‘orang normal’ menunjukkan diri mereka yang sebenar, penuh keganasan.”- Marina Abramovic, ketika menceritakan pengalaman menakutkan semasa Rhythm 0.

Kita perlu lebih serius membanteras kes buli dan kesihatan mental

Mungkin dekat Malaysia kita tak selalu bincangkan hal ni. Tapi, berdasarkan kajian yang telah dilakukan di luar dan dalam negara, tak terlewat untuk kita faham tentang kes buli dan mental yang boleh membawa kepada kes bunuh diri. Masyarakat kena berfikiran terbuka supaya tidak ada stigma buruk dan perkara buruk boleh dibendung.

Disebabkan penyakit mental ni bukanlah sesuatu yang kita boleh nampak secara luaran, ramai antara kita yang tak boleh nak mengenal pasti tanda-tanda dan mengetahui macam mana untuk membantu. Tapi benda paling baik kita boleh buat ialah dengan berbuat baik kepada orang lain.

“Be kind, for everyone you meet is fighting a hard battle.”- Ian Maclaren (tapi selalu disalahkaitkan dengan Plato)

Kalau korang rasa sangat tertekan, korang boleh telefon The Befrienders di talian 03-7956 8144/03-79568145. Apa yang bestnya pasal The Befrienders ni ialah, korang boleh hubungi dorang untuk meluahkan apa-apa sahaja masalah yang korang hadapi.

Artikel berkaitan: