4 sebab kenapa Amerika dan Arab Saudi sangat kamceng

Baru-baru ni kecoh berita pasal Najib berucap depan pemimpin-pemimpin dunia kat Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi bertujuan untuk melawan gerakan ekstrimisme dan keganasan. Macam yang disebut oleh Raja Salman selaku tuan rumah:

“Sebagai sebahagian dari peperangan melawan keganasan, kita ingin menyatakan kesungguhan untuk membersihkan gerakan Daesh dan organisasi pengganas yang lain, tidak kira apa jua agama, kumpulan dan aliran pemikiran.” – Petikan ucapan Raja Salman dari Arabnews

Ramai yang bangga dengan Najib sebab diberi peluang oleh Raja Salman sendiri untuk berucap depan Trump dan lebih 50 pemimpin dunia Islam yang datang. Dalam ucapan Najib, memang nampak jelas yang kita dan Arab Saudi sangat rapat dan berganding bahu melawan keganasan.

“Tuanku, antara persetujuan utama yang dicapai dalam lawatan Tuanku baru-baru ini ialah penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur. ” – Petikan dari Berita Harian

Rupanya, inilah antara hasil lawatan Raja Salman ke Malaysia dulu. Pusat Keamanan ni dikatakan akan menjadi mercu tanda kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi untuk melawan ekstremisme dan keganasan. Pusat ni juga mula beroperasi pada Jun 2017 yang akan dirasmikan oleh Timbalan Mahkota Arab Saudi.

Raja Salman dan Najib comel je selfie. Imej dari Al Arabiya English

Tapi itu Malaysia dan Arab Saudi punya cerita. Nampak munasabah jugaklah sebab kita dua-dua negara Islam. Tapi macam mana pulak Donald Trump boleh ada kat persidangan ni sekali?

Dulu Anti-Islam tapi sekarang join persidangan negara Islam

Sekarang ni ramai yang tertanya-tanya. Trump selaku Presiden Amerika Syarikat yang dikatakan begitu anti-Islam telah memilih Arab Saudi dan persidangan Islam sebagai destinasi pertama dia lawat. Macam dalam ucapan dia masa persidangan tu,

“Berdirinya saya bersama anda semua adalah sebagai wakil rakyat Amerika, demi menyampaikan mesej persahabatan dan harapan. Inilah sebab mengapa saya memilih untuk melawat nadi dunia Islam sebagai lawatan luar negara pertama saya,  sebuah negara yang berkhidmat untuk menjaga dua kota suci menurut kepercayaan Islam.” – Petikan dari CNN

Trump masihkah you ingat? Imej dari CNN

Jadi betul ke Trump ni anti-Islam dan tak suka pada Islam lagi-lagi dengan Muslim Travel Ban dia tu? Atau kedatangan dia sebenarnya hanya untuk mewarisi hubungan Amerika Syarikat dan Arab Saudi yang dah lama terjalin?

“Anda juga memilih saya sebagai tetamu di rumah pusaka Raja Abdul Aziz, pengasas kerajaan ini yang telah menyatukan rakyat anda. Kerjasama pemimpin kesayangan kita yang terdahulu iaitu Presiden Amerika, Franklin Roosevelt dan Raja Abdul Aziz yang telah memulakan pengukuhan hubungan antara dua negara.” – Petikan dari CNN

Biar anak cucu kita mewarisi hubungan ni. Roosevelt dan Raja Abdul Aziz. Imej dari Businesswire

Dalam ucapan dia pun dah menunjukkan Amerika Syarikat dan Arab Saudi memang dah lama ada hubungan sejak pemerintahan Roosevelt dan Raja Abdul Aziz lagi. Jadi, kalau korang nak tahu, sejak beberapa dekad dulu lagi telah terbukti yang Amerika Syarikat dan Arab Saudi ni kamceng gila. Tapi atas sebab apa?

1. Amerika Syarikat nak bekalan minyak dari Arab Saudi

Kawasan Timur Tengah dikatakan kawasan yang banyak dijumpai minyak satu masa dulu sehingga terdapat banyak syarikat minyak dari Eropah dan Amerika telah bersaing untuk mencarinya.

Excited jumpa minyaklah tu. Gif dari Giphy.com

Standard Oil of California (SOCAL) yang merupakan syarikat minyak Amerika Syarikat telah menjumpai minyak kat luar Timur Arab Saudi. Tak cukup dengan tu, SOCAL telah membuat perjumpaan dengan Menteri Kewangan Arab Saudi bagi mendapatkan kebenaran dari Arab Saudi untuk terus mencari minyak kat Arab selama puluhan tahun.

“Abdul Aziz telah dinasihati untuk menerima keputusan sebuah kontrak 60 tahun yang menawarkan konsesi eksklusif untuk pencarian dan penggalian di kawasan Hasa sepanjang persisiran pantai di Teluk Parsi.”- Jurnal tulisan Josh Pollack (sumber PDF)

Oleh kerana pada waktu tu Raja Saudi ni takde duit dan dorang pun memang perlukan dana untuk bangunkan negara. Dia pun setuju untuk memberi kontrak kat US. Syarikat tu dikenali sebagai Arabian American Oil Company (ARAMCO) yang dimiliki oleh 4 syarikat US iaitu EXXON, The Standard Oil of California (SOCAL), Texaco dan Mobil.

Namun pada awal tahun 1980, setelah tamatnya kontrak, kerajaan Arab Saudi menguasai penuh ARAMCO. Nama ARAMCO telah digantikan dengan Saudi ARAMCO pada tahaun 1988 di mana segala aktiviti cari gali akan dijalankan sendiri oleh kerajaan Arab Saudi.

Logo Saudi Aramco macam bentuk tapak Sulaiman. Imej dari Reuters

Apa yang menarik, walaupun US dan Arab Saudi macam ada ketegangan sikit, diorang tetap berjual beli minyak sesama diorang. Contohnya, waktu berlaku perang Arab-Israel 1967 dimana Israel merampas beberapa kawasan milik Syria, Mesir dan Jordan. US pulak menyokong Israel. Arab Saudi hilang kepercayaan kat US sebab support Israel untuk melawan waktu tu. Jadi konflik antara negara Timur Tengah dan Barat ni membawa kepada Perang Yom Kippur hingga tercetusnya Oil Shock 1973-1974.

Pada 19 Oktober 1973, berikutan dari permintaan Presiden Nixon kepada Kongres untuk menyediakan 2.2 billion dana kecemasan kepada Israel kerana konflik yang dikenali sebagai Perang Yom Kippur, The Organization of Arab Petroleum Exporting Countries (OAPEC) melakukan sekatan minyak kepada US. – Dipetik dari Federalreservehistory

Liputan berita Konflik Arab-Israel. Imej dari Pinterest

Ketika berlaku Oil Shock ni, negara-negara pengeluar minyak dari Arab  (OAPEC) termasuk Arab Saudi ada kuasa mengawal harga dan minyak. Waktu ni pula, US tengah berperang kat Vietnam (tamat pada 1975). Jadi macam biasalah, kalau berperang mesti ada guna minyak sebab guna alat-alat moden. Waktu ni, Arab Saudi salur minyak direct kat tentera US di Vietnam walaupun negara Timur Tengah tengah buat sekatan minyak. Arab Saudi buat macam ni sebab…

“Semestinya Arab Saudi akan terus membekalkan minyak untuk menjana ekonominya sendiri. Arab Saudi memerlukan pengaliran minyak yang berterusan, membekalkan harga yang sederhana dan mengekalkan kestabilan ekonomi jangka panjang: ekonomi dan pembangunan mereka adalah bergantung sepenuhnya kepada pengeksportan minyak” – Jurnal tulisan Caitlin Baalke (Klik Sumber PDF)

US semakin bergantung pembelian minyak kepada Arab Saudi selepas berlakunya Revolusi Iran 1979. Revolusi tu telah menjatuhkan kepimpinan Shah dan Khomeini telah dipilih menjadi pemimpin. Pimpinan baru Iran ni nampaknya tidak lagi pro-Amerika. Dulunya US ada hubungan dengan Arab Saudi dan Iran sebagai Twin Pillar untuk seimbangkan rantau Arab, tapi lepas tu hanya bergantung pada Arab Saudi sahaja. Jadi US tak beli minyak dah dari Iran.

Tanah pun dah tak nampak waktu Revolusi Iran ni. Imej Rferl.org

Kalau korang nak tahu, Arab Saudi adalah antara negara yang mempunyai simpanan minyak mentah terbesar di dunia. Pada Februari 2016 sahaja diorang telah mengeksport 7.55 juta tong sehari. Fuhhh. Jadi memanglah US mengharap sangat minyak dari Arab Saudi ni kan.

Walau macam mana banyak pun Arab Saudi jual minyak pada US, US dah buat satu langkah ke depan untuk pastikan ekonomi diorang tetap kukuh. Sebelum Arab Saudi menguasai ARAMCO pada 1988,  Presiden Nixon telah menghantar seorang utusan berjumpa Raja Faisal.

Henry Kissinger dikatakan telah berjaya memujuk Raja Faisal untuk menerima sistem Petrodollar. Petrodollar adalah satu sistem jual beli minyak menggunakan US Dollar. Arab Saudi selaku negara yang menghasilkan minyak terbanyak ni pujuk pula negara pengeluar minyak lain (OPEC) lain untuk terima sistem ni. Jadi Arab Saudi secara langsung telah membuatkan permintaan terhadap US Dollar pun meningkat serta-merta, dan perkara ini sangat bagus untuk Amerika. Hasilnya,

“Saudi redha dengan sistem US kerana ia memerlukan perlindungan dan senjata US.” – Petikan dari FB Ayman Rashdan Wong

Jadi Arab Saudi pula nak senjata dan perlindungan dari US?

2. Arab Saudi nak perlindungan dan senjata dari Amerika Syarikat

Pada tahun 1945, untuk Arab Saudi layakkan diri sebagai salah satu anggota United Nation (UN), diorang mengisytiharkan perang terhadap Nazi Jerman. Apa yang jadi masalah adalah Arab Saudi takde tentera dan senjata yang power. Lagi pun waktu tu, diorang rasa kalau adanya tentera akan menyebabkan berlaku masalah dalaman negara. Jadi US pun sediakanlah pangkalan udara kat Dhahran, Arab Saudi dan US Military Training Mission (USMTM) pun terbentuk.

Aku perhati je pangkalan US ni tau. Gif dari Giphy.com

Lama-lama, Arab Saudi rasa macam kedaulatan negara diorang tak selamat dengan adanya pangkalan tentera US kat Dhahran. Lalu Raja Abdul Aziz pun membatalkan kewujudan askar US tu. Tapi, dia nak USMTM terus bagi komitmen untuk melindungi kedaulatan Arab Saudi.

“Akan ada komitmen lisan (oral commitment) dari setiap Presiden US bermula dari Roosevelt yang mana bersetuju untuk melindungi kedaulatan Arab Saudi, Arab Saudi pula akan memandang komitmen ini dengan serius”- Jurnal tulisan Caitlin Baalke (Klik sumber PDF)

Kedutaan US di Arab Saudi bertugas untuk memastikan perjanjian ini sentiasa berjalan. Sebagai balasan, Arab Saudi akan menjadi sumber tetap minyak kepada Barat. Komitmen untuk melindungi Arab Saudi ni juga diteruskan Trump pada tahun 2016 selaku Presiden US.

Saya ingin melindungi Arab Saudi. Tapi Arab Saudi akan membantu kita melalui ekonomi” Petikan ucapan Trump dari Al-Jazeera

Menari menari jugak. Senjata jangan lupa carikan k. Imej dari Malaysiaoutlook.com

Selain perlindungan, Arab Saudi adalah pembeli senjata utama dari US. Pada tahun 2006 hingga 2010, senjata yang diimport dari US kepada Arab Saudi meningkat 275%. Hasil lawatan Trump ke Riyadh baru-baru ni juga rupanya Arab Saudi akan beli senjata dengan jumlah beratus billion US Dollar.

“Perjanjian penting ini termasuk pembayaran dana untuk pertahanan Arab Saudi sebanyak 110 billion US Dollar dan kami akan membantu saudara kami dari Saudi untuk mendapatkan tawaran pembelian yang baik dari syarikat-syarikat pertahanan Amerika. Perjanjian ini akan membantu ketenteraan Arab Saudi untuk menjalankan tugasnya dalam operasi keselamatan.” – Petikan ucapan Trump dari CNN

Kalau korang nak tahu, US membekalkan senjata kepada Arab Saudi ni dah lama sebenarnya. Ianya sebagai langkah menjadikan Arab Saudi sebagai rakan keselamatan kat rantau ni.

“Bermula 1970-an, Presiden Nixon menjadikan Saudi sebagai rakan keselamatan melalui Dasar Twin Pillars, maka mulalah US membekal senjata kepada Saudi.” – Ayman Rashdan Wong ketika dihubungi SOSCILI

3. Dua-dua nak kurangkan pengaruh Syiah dari Iran kat rantau Arab

Arab Saudi memang dah lama problem dengan Iran sejak revolusi Iran lagi. Waktu revolusi Iran, ada satu kawasan Timur Arab Saudi yang bernama Qatif telah terkesan sebab kebanyakkan diorang adalah penganut Syiah. Pemberontakan telah berlaku kat kawasan tu yang dikatakan telah diinsprasikan daripada Revolusi Iran. Ini telah memulakan konflik ideologi Syiah dan Sunni yang menjadi masalah dalaman Arab Saudi.

Dalam satu kes lain, satu rundingan awal mengenai Program Nuklear Iran diadakan secara rahsia di Muscat, Oman pada tahun 2013 di mana Arab Saudi tak dijemput pun. Jadi memang nampak lah tak nak berkawan.

Tak mau aku kawan ngan hang (Arab Saudi). Imej dari snippits and slappits

Dalam masa yang sama, US pun ada problem dengan Iran juga. Dulu masa Shah memerintah Iran, US tak ada masalah dengan Iran. Tapi lepas Revolusi Iran, kepimpinan Iran pun dah tak pro kepada Amerika sampailah sekarang.

“Kerana peristiwa rampasan Kedutaan Amerika selepas Revolusi Iran menyebabkan Amerika melihat Iran sebagai ancaman. Ideologi Iran yang revolutionary (anti monarki) juga merisaukan Saudi.” –Ayman Rashdan Wong ketika dihubungi SOSCILI

Jadi dua-dua ni memang tak puas hati dengan Iran. Ianya jelas nampak dalam ucapan Trump dan Raja Salman waktu persidangan kat Riyadh hari tu. Raja Salman hentam Iran macam ni;

“Rejim Iran telah menjadi punca keganasan global sejak revolusi Khomeini sampai sekarang. Sejak 300 tahun yang lalu, kami di negara ini, tak pernah menyaksikan keganasan dan ekstrimisme sehingga munculnya revolusi Khomeini pada tahun 1979.” – Petikan ucapan Raja Salman dari Arabnews

Trump pun dengan tegas hentam Iran.

“Ada satu rejim yang bertanggungjawab di atas ketidakstabilan rantau ini. Saya maksudkan di sini adalah Iran.” – Petikan ucapan Trump dari CNN

Aku dah arwah pun kena kecam lagi. Imej dari red Pepper

Perdana Menteri kita yang tersayang juga tak terlepas bagi peringatan kat Iran.

“Sebagai negara yang menghargai dan menyanjung hubungan baik dengan negara lain, Malaysia beranggapan Iran mesti mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai mencampuri hal ehwal dalam tetangganya” – Petikan ucapan Najib dari Berita Harian

Melalui persidangan ni pula, makin jelas yang Arab Saudi dan US akan memperkukuhkan lagi hubungan untuk memberi tekanan kepada Iran dan gerakan yang dikatakan bergabung dengan mereka macam Hezbollah dan Houthi begitu juga Daesh dan Al-Qaeda.

US juga menyokong tindakan Arab Saudi menyerang Yemen ketika ni yang dipengaruhi gerakan Houthi yang dikatakan ditaja Iran walaupun Iran dah nafikan yang mereka tak terlibat. Campur tangan Arab Saudi terhadap Yemen sejak beberapa tahun yang lalu adalah bertujuan nak kembalikan kestabilan Yemen. Konflik kat Yemen terjadi sebab kelemahan berlaku waktu pertukaran Presiden dari Ali Abdullah Saleh kepada Abdrabbuh Mansour Hadi.

Kanak-kanak Yemen jadi mangsa. Imej dari Motley Magazine

Di tengah-tengah tu, Houthi telah mengambil peluang untuk menguasai beberapa kawasan di Yemen dan mengepung rumah Presiden Yemen masa tu iaitu Mansour Hadi. Jadi Arab Saudi dan sekutunya (Bahrain, Kuwait, UAE dan lain-lain) ambil tindakan kerana mahu mengembalikan kestabilan kerajaan Yemen. Sepanjang peperangan ni, US tak masuk campur dari segi menghantar tentera, tapi US akan bantu dari segi logistik dan intelligence.

Kawasan Yemen yang terpecah. Imej dari BBC

Beberapa serangan udara telah dilakukan Arab Saudi dengan bantuan US dan peperangan masih tercetus yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa.

“Lebih dari 7 600 orang telah dibunuh dan 42 000 cedera sejak Mac 2015, kebanyakan datang dari serangan udara oleh gabungan pelbagai negara yang diketuai Arab Saudi yang dikatakan menyebelahi Presiden” – Petikan dari BBC

Tapi sebenarnya, sebelum Yemen, kerjasama Arab Saudi dan US untuk ketenteraan ni pun dulu dah pernah terjadi selain untuk melawan Syiah.

4. Dua-dua nak lawan gerakan komunis dan Pro-Soviet Union satu masa dulu

Waktu perang Dingin berlaku, Soviet Union dan US telah bersaing dalam pelbagai bidang. Contohnya, dua-dua bersaing mencipta bom atom sampai terciptalah bom Hydrogen. Selain tu, persaingan untuk menghantar orang pertama ke angkasa juga terjadi. Persaingan ni nampak macam Rusia menang sebab berjaya hantar angkasawan diorang dulu sebelum US. Tapi persaingan yang paling merisaukan US adalah perkembangan ideologi komunis ke negara-negara lain.

Yuri Gargarin, manusia pertama ke angkasa. Imej dari Lynceans.org

Sepanjang berlangsungnya Perang Dingin, pengaruh gerakan radikal Arab dan komunis mula tersebar dalam kalangan negara Arab. Waktu tu, Mesir dan Syria juga sudah berpihak kepada Soviet Union. Jadi Arab Saudi pun terasa bahang Perang Dingin ni.

Pada tahun 1978, parti Komunis pro-Soviet Union berjaya merampas kuasa dengan menggulingkan Presiden Mohammad Daud Khan dan digantikan dengan kepimpinan dua parti Afghanistan pro-komunis iaitu People (Khalq) Party dan Banner (Parcham) Party. Tapi Arab Saudi tak duduk diam.

Sebagai penentangan terhadap perluasan kuasa Soviet, Arab Saudi menggalakkan orang-orang Islam untuk menentang Soviet dan mereka menyalurkan dana untuk membantu kekuatan pasukan penentang – Jurnal tulisan Caitlin Baalke (Klik sumber PDF)

Kerjasama Arab Saudi dan US beserta Pakistan telah memberi dana berupa kewangan dan lain-lain kepada Pasukan Guerilla Mujahideen untuk melawan kerajaan. Tanpa membuang masa, Soviet Union dikatakan telah menghantar 80 000 anggota tentera untuk masuk ke Afghanistan pada Disember 1979. Jadi berlakulah konflik kat Afghanistan ni sampai 1991.

Welcome to Afghanistan bro Soviet. Imej dari Findingdulcinea

Kat konflik ni, US bagi bantuan senjata dan kewangan hingga mencecah 2 billion. Arab Saudi pula dikatakan telah menjadi penyumbang utama kewangan kepada pasukan Mujahideen di mana ianya melebihi bantuan yang diberi oleh US.

Begitulah kamcengnya Arab Saudi dan US untuk menghalang ideologi yang boleh menggugat pengaruh diorang.

Hubungan diorang ni hubungan kekeluargaan

Hubungan US dan Arab Saudi ni memang ada naik turun dia. Tapi sejarah telah membuktikan yang diorang kamceng dalam apa jua keadaan sekali pun. Sebab masing-masing ada kepentingan untuk negara diorang.

Sebab tu tak hairanlah kalau ada polisi-polisi yang dibuat oleh Presiden US biasanya takkan mengganggu Arab Saudi. Contohnya macam Muslim Travel Ban yang dikenakan Trump, tak terkena pun pada diorang.

Kadang-kadang aku mengalah. Tapi kita kan keluarga. Gif dari Giphy.com

US tak berapa nak anggap yang Arab Saudi ni ancaman walaupun pernah ada peristiwa hitam 11 September di mana 15 dari 19 pengganas tu dilaporkan warga Arab Saudi terlibat dalam letupan World Trade Centre. Peristiwa tu pun ada sikit mengeruhkan hubungan diorang tapi sekejap je. Lepas tu ok balik. Jadi memang betullah pendapat penulis buku House of Bush, House of Saud (Craig Unger) dan pengarah filem Fahrenheit 9/11 (Michael Moore) yang menterjemahkan hubungan ni sebagai,

Hubungan US-Saudi secara asasnya adalah hubungan kekeluargaan untuk menjana keuntungan – Klik sumber PDF

Tapi ini semua pasal Arab Saudi dan Amerika punya cerita. Apa pula kesannya kepada seluruh dunia?

“Kesannya ialah Saudi telah memperkayakan kapitalis antarabangsa terutamanya banker. Siapa banker yang paling berkuasa kalau bukan Yahudi Zionis yang menyumbang dana kepada Israel?” – dipetik dari FB Ayman Rashdan Wong.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT