- 1.3KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.3K
- Share
Pada tahun ni, sekali lagi kita akan menyambut bulan Ramadan al-Mubarak atau lebih dikenali sebagai bulan puasa. Dalam banyak-banyak bulan yang ada dalam setahun, bulan Ramadhan inilah yang paling ditunggu-tunggu. Pertamanya, bulan ni yang paling mulia di antara semua bulan dan keduanya, lepas je habis bulan ni, kita semua akan sambut Hari Raya Aidilfitri.
Rasanya, ada di antara kita yang lebih suka pada yang kedua tu…(haha). Walau apa pun, sebagai umat Islam, inilah bulan keemasan untuk kita memperbanyakkan kebaikan dan amal ibadah. Tapi bila tiba bulan Ramadhan jugak, kita tak terlepas dari bertanyakan beberapa persoalan dan kemusykilan.
Oleh itu, kali ini SOSCILI akan senaraikan beberapa persoalan yang selalu timbul bila tibanya bulan puasa. Diharapkan artikel ini akan dapat menjawab persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda kita semua.
1. Boleh ke niat puasa untuk sebulan?
Setiap perbuatan tu dimulakan dengan niat. Itulah apa yang selalu kita dengar. Tapi muncul persoalan pasal ‘boleh ke kita niat puasa untuk sebulan terus?’. Sebenarnya, ada beberapa pendapat tentang perkara ini.
Kalau ikut kebanyakan ulama, mereka berpendapat yang setiap orang tu kenalah niat puasa pada setiap hari untuk berpuasa di bulan Ramadan. Sebabnya, mereka berpendapat yang ibadat puasa ni terpisah di antara hari-harinya.
“Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib.
Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesiapa yang tidak berniat untuk melakukan puasa, sebelum fajar. Maka tidak ada puasa baginya.” – Hadis riwayat An Nasai, Ibnu Majah dan Abu Daud.
Tapi, ada jugak pendapat yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan. Hujahnya, mereka lihat kepada sifat bulan Ramadan tu sendiri, yang mewajibkan setiap umat Islam (yang cukup syarat) untuk berpuasa.
“Hukum niat puasa sebulan adalah harus mengikut Mazhab Maliki. Maliki kata, puasa (bulan Ramadhan) ini ibadat yang bersambung. Walaupun 30 kali berbuka, ia dikira macam satu sahaja…
Jumhur (majoriti) ulama kata, ibadat puasa ini dijalankan berasingan, maka kena niat setiap hari. Tapi kita masih boleh terima pendapat Maliki.” – Ustaz Azhar Idrus.
Selain tu, ada jugak yang keliru pasal lafaz niat. Menurut Dr Maza (Mufti Perlis), niat pada asalnya tak payah dilafazkan. Antara contoh terdekat – niat untuk solat.
Sebabnya, apa yang dikatakan pasal lafaz adalah lafaz takbir dan bukannya lafaz niat. Maknanya, niat pada asalnya tak payah dilafazkan dan kita hanya kena sedar dan tahu yang kita ni akan berpuasa.
“Macam mana (niat itu)? Tak kiralah (caranya), jika dia ingat esok kena puasa, maka puasalah dia…
Dia bangun sahur dan dia makan, dah tentulah dia nak berpuasa. Tak payahlah dia nak sebut ‘nawaitu sauma ghadin’. Dah tentu yang dia berniat nak berpuasa – Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin.
2. Betul ke syaitan dirantai di bulan Ramadan?
“Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Berpandukan dengan hadis kat atas, kita dibagitau yang bulan Ramadan ni pintu rahmat dibuka seluasnya dan syaitan-syaitan pulak dibelenggu atau dirantai. Menurut bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Jadul Haq, syaitan ni adalah makhluk Allah yang angkuh dan derhaka dari kalangan jin.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat tentang maksud sebenar hadis ni. Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani, maksud syaitan dibelenggu tu adalah bila syaitan tak dapat nak goda manusia disebabkan ibadah puasa yang melemahkan nafsu manusia.
Jadinya, maksud sebenar perkataan ‘syaitan dibelenggu’ tu cuma sekadar kiasan dan metafora.
“Diikat itu maksudnya adalah pergerakannya itu dibelenggu. Maksudnya susah untuk dia (syaitan) menguasai dan menggoda manusia, jika nak dibandingkan dengan waktu di luar bulan Ramadan…
(Contohnya) dia nak suruh orang pergi panggung wayang, orang kata ini bulan Ramadan jadi tutup. Dia suruh orang buat yang lain pulak, orang tak nak buat sebab ini bulan Ramadan.” – Dr Zaharuddin Abd Rahman, Pensyarah UIAM.
Pendapat kedua pulak kata – hanya jin dan syaitan yang bengis je dibelenggu, manakala yang lain pulak masih kekal bebas. Imam Syafie antara ulama yang berpendapat macam ni.
Pendapat ke tiga pulak kata kalau betul pun semua syaitan dibelenggu, manusia tetap boleh buat maksiat, sebab masih ada nafsu yang boleh menggoda manusia melakukan apa yang syaitan suka.
3. Betul ke roh akan balik dan tak diseksa pada bulan Ramadan?
Kalau kita masih ingat masa zaman dulu, bila datang je 15 Ramadan rumah-rumah kat kampung akan terang benderang dengan cahaya pelita. Masa tu jugaklah mood nak raya mula naik.
Tapi sebenarnya, ada kepercayaan orang-orang dulu (mungkin ada sampai sekarang) yang kata benada tu dibuat untuk meraikan roh-roh keluarga yang akan balik dan nak tengok anak-cucu diorang.
“Apa yang saya dengar daripada cerita orang tua-tua, apabila tiba sahaja bulan Ramadan,…roh-roh ini akan memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke dunia namun tidak semuanya mendapat peluang tersebut.
Roh yang baik, yang banyak amalan semasa hayatnya, dikatakan dibenarkan pulang manakala roh yang kurang amalan tidak dibenarkan kembali ke dunia.” – Cerita salah seorang penduduk kampung. Dipetik dari Kosmo.
Itulah cerita lisan dari mulut ke mulut yang dah lama bertapak kat orang Melayu ni. Entah betul, entah tak. Menurut Dr Zaharuddin, roh sebenarnya tak boleh dan tak akan balik ke alam dunia, dan perkara ni dah jelas diterangkan dalam al-Quran:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”.
Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” – Surah al-Mukminun ayat 99 dan 100.
Berkenaan dengan dakwaan roh tak diseksa kat kubur masa bulan Ramadan pulak, Ustaz Azhar Idrus kata yang ia sebenarnya tak mustahil jadi. Tapi, tak ada nas yang kata benda tu dengan jelas. Cuma apa yang kita kena tahu dan yakin adalah bulan Ramadan merupakan bulan rahmat.
“Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Roh yang memasukinya akan kekal di dalamnya…
Ibarat bayi yang hidup di alam rahim, apabila lahir ke dunia, bolehkah bayi tersebut kembali ke alam rahim? Sudah tentu tidak.” – Allahyarham Tuan Guru Haron Din, dipetik dari Kosmo.
4. Berapa sebenarnya rakaat solat tarawih?
Inilah persoalan yang selalu muncul bila datangnya bulan Ramadan. Bila orang buat 20 rakaat ada yang kata tak ikut sunnah. Bila ada yang buat 8 rakaat je, dikata pulak malas. Jadi macam mana?
Secara amnya, solat tarawih ni boleh dibuat secara bersendirian atau berjemaah. Ada cerita yang kata Saidina Umar adalah orang pertama yang buat solat tarawih secara berjemaah.
Sebenarnya perkara ni tak benar dan sebetulnya – Rasulullah SAW sendiri yang pertama kali buat solat tarawih secara berjemaah. Seperti mana ia diceritakan dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Masa zaman Saidina Umar pulak, beliau dah lantik 2 orang imam (yang juga adalah sahabat Nabi) untuk imamkan solat tarawih. Kalau kita tengok kat riwayat yang kuat dan sahih, bilangan rakaat yang diperintahkan oleh Saidina Umar adalah sebanyak 11 rakaat.
Tapi, ada jugak riwayat dari Imam Baihaqi yang kata 20 rakaat. Bagaimanapun, riwayat ini agak lemah jika nak dibandingkan dengan riwayat 11 rakaat tadi.
“Namun begitu sebenarnya, syarak tidak pula menghalang untuk kita hadkan berapa bilangan rakaat solat tarawih ini. Bahkan, para ulama salaf sendiri ada yang kata 41, 39, 29, 19 dan pelbagai lagi pendapat bilangan sebenar rakaat solat tarawih.
Tapi jika kita rujuk pada Nabi, baginda solat tarawih sebanyak 11 rakaat campur dengan solat witir.” – Dr Maza, Mufti Perlis. Dipetik dari Harian Metro.
Jadinya, tak jadi masalah pasal jumlah sebenar rakaat solat tarawih ini. Walaupun begitu, ada juga negeri yang dah tetapkan jumlah rakaat solat tarawih kat masjid atau surau masing-masing. Kalau kat Selangor dan Perak, masing-masing dah tetapkan 20 rakaat.
Tindakan ni dibuat supaya tak jadi sebarang kekeliruan dan salah faham tentang jumlah rakaat solat tarawih. Tapi, masyarakat masih lagi bebas nak buat pilihan masing-masing sesuai dengan keselesaan diorang.
Arahan 20 rakaat ini hanya khas untuk masjid dan surau je. Kita juga kena ingat yang solat tarawih ni cuma sunat dan bukanlah wajib.
5. Bila Nuzul Quran jadi sebenarnya?
Kita kat Malaysia ni, selalunya akan sambut hari Nuzul Quran atau hari diturunkan al-Quran pada setiap 17 Ramadan. Tapi sebenarnya, masih ada perselisihan pandangan di kalangan para ulama pasal bila sebenarnya mukjizat agung ni diturunkan.
Walaupun begitu, para ulama tak bercanggah pendapat yang Quran turun pada bulan Ramadan. Sebabnya, ia dah jelas tercatat dalam surah al-Qadr yang al-Quran diturun pada Lailatul-Qadar.
“Quran diturunkan pada Malam Lailatul-Qadar. Lailatul Qadar ini berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.
Maka majoriti para ulama berpendapat, Quran ini turun pada 10 malam terakhir Ramadan… Ada sebahagian riwayat mengatakan 24 Ramadan. Tapi majoriti ulama berpendapat antara 10 malam terakhir itu.” – Dr Maza, Mufti Perlis.
Walaupun begitu, muncul jugak persoalan tentang macam mana boleh adanya hari Nuzul Quran, sedangkan Quran tu diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW. Ada beberapa pendapat ulama pasal perkara ni.
Antaranya, Nuzul Quran bermaksud turunnya Quran dari Baitul Izzah (langit pertama) ke langit dunia. Ini bermakna, Quran tu pada asalnya memang dah sedia ada kat sisi Allah dan hanya selepas tu barulah ia diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat.
“Sebahagian ulama pula mentafsirkan yang ia adalah tentang bila kali pertama ayat Quran itu turun. Yakni, ia turun kali pertama ketika Nabi Muhammad di Gua Hira’.
Mereka tafsirkan peristiwa di Gua Hira’ itu berlaku pada bulan Ramadan. Apa yang penting, Quran memang diturunkan pada bulan Ramadan.” – Dr Maza, Mufti Perlis.
Sebenarnya, dari nak bincang bila turunnya al-Quran, lebih baik lagi kita faham dan hayati isi sebenar al-Quran. Pemahaman kepada Quran tu lebih utama daripada kita membicarakan perkara yang sia-sia.
Kita kena manfaatkan bulan Ramadan ni dengan sebaiknya
Walaupun kita dibagitau yang bulan Ramadan ni adalah bulan rahmat. Tapi tiap-tiap bulan Ramadan, kita dilaporkan yang banyak pembaziran makanan jadi. Pada tahun 2015, dilaporkan rakyat Malaysia dah buang 270,000 tan makanan yang ‘tak diusik’ dan boleh dimakan semula sepanjang bulan Ramadan.
Matlamat Ramadan yang pada asalnya nak kan umat Islam bersyukur dan buat ibadah kepada Allah nampaknya tak dijalankan dengan baik oleh umat Islam kat Malaysia. Oleh tu, adalah sangat penting untuk kita sedar dan menghayati erti sebenar bulan yang dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.” – Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Malah, di dalam bulan ini juga terdapatnya malam yang lebih baik dari seribu bulan (Lailatul-Qadar). Oleh itu, umat Islam kenalah bersedia bagi sebaik tumpuan dalam mengumpul pahala.
Dalam waktu yang sama, kita jugak kena hati-hati dari sebarkan mana-mana maklumat yang salah tentang bulan Ramadan. Sebelum ni, agak terkenal jugak dengan penyebaran hadis palsu berkenaan fadhilat solat tarawih mengikut hari.
Oleh tu, diharapkan bulan Ramadan kali ini jadi bulan yang lebih bermakna kepada kita semua. Semoga kita jugak dipilih sebagai salah seorang hambaNya yang berpeluang menemui Lailatul-Qadar. Insyaallah.
- 1.3KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.3K
- Share