- 1.0KShare sekarang!
- Email16
- Facebook1.0K
- Share
UPDATE 27 Mei 2019: Selepas kematian Presiden pertama Uzbekistan, Islam Karimov pada September 2016, masjid yang berdekad lamanya tak diberi izin untuk azan berkumandang mula di beri kebenaran.
Bagaimanapun, kebebasan agama yang mula diperkenalkan ni tak disenangi ramai pihak di negara tersebut, malah menyebabkan beberapa pelajar universiti ‘ditendang keluar’ hanya disebabkan mereka menutup aurat.
Perkara ni menyebabkan keluarga di Uzbekistan mengambil tindakan undang-undang, malah tak mahu perkara sama berlaku di mana terdapat beratus-ratus rakyat yang mengamalkan ajaran Islam masih lagi dipenjara di bawah rejim lama.
____________________________________________________________________________
Uzbekistan merupakan salah satu negara yang berada di bawah jajahan Soviet. Apabila Soviet Union jatuh pada tahun 1991, negara-negara USSR ni semua mula dapat kemerdekaan sendiri termasuklah Uzbekistan.
Niat saya ke sana pada mulanya adalah untuk tujuan research. Tapi disebabkan beberapa masalah teknikal, research tu tak dilanjutkan. Tapi alang-alang dah sampai Uzbekistan kan, so saya menetap kat sana selama hampir sebulan. Oleh kerana Uzbekistan ni adalah negara bekas komunis, banyak jugak pengalaman menarik yang saya dapat, tak sama dengan negara-negara lain yang saya pernah pergi. Antaranya termasuklah…
(Nota: Kalau nak travel solo ke Uzbekistan boleh rujuk sini. Untuk permohonan visa, OVIR, dan dokumen penting yang lain, rujuk di sini.)
1. Wajib lapor diri kepada pihak berkuasa bila sampai di Uzbekistan
Bertolak dari KLIA dalam Jumaat dalam pukul 10 pagi macam tu, saya sampai lebih kurang pukul 7.30 malam di Tashkent (pukul 10.30 malam di Malaysia) dan dijemput oleh kawan yang merupakan orang tempatan. Di Uzbekistan, pelancong sepatutnya kena pergi balai polis untuk melaporkan diri, sekurang-kurangnya 3 hari terawal.
Tapi sebab fikir dah malam, cuaca pulak lagi sejuk daripada peti sejuk, saya fikir esok je la. Sampai je rumah kawan, diorang buat celebration sebab masa tu birthday kawan saya, dan diorang ajak ‘toast’ champagne sekali sebab berjaya sampai sana. Tapi, saya minum sparkling water je. Hehe.
Hari Sabtu pula merupakan cuti minggu bagi rakyat Uzbekistan, jadi saya masih tak dapat melaporkan diri kepada pihak berkuasa. Tiba hari Ahad, disini masalah bermula. Bila saya laporkan diri kat balai polis ditemani kawan tadi, polis masih nak persoalkan lagi walaupun dah explain dari A sampai Z. Nak tak nak…
2. Pelancong tak dibenarkan tumpang rumah kawan, wajib menginap kat hotel
Saya diarahkan berpindah ke hotel oleh pegawai polis yang in charge pasal visa. Sampai nak check-in hotel, jadi masalah juga sebab tak diterima hotel dengan alasan pelancong mesti menginap sejak hari pertama lagi, dan mereka tak berani tanggung risiko yang mereka pun boleh disoal-siasat polis.
Penduduk tempatan sebenarnya takut dengan pihak berkuasa atas sebab pernah terjadinya pembunuhan beramai-ramai di Andijon pada 13 Mei 2005 disebabkan protes. Aktivis hak asasi manusia menganggarkan kematian lebih daripada 700 orang. Hal ni mungkin nampak tak berkaitan sebab bukan dalam daerah mereka, tapi sedikit sebanyak memberi kesan kepada seluruh rakyat Uzbekistan.
Masa tu rasa nak pengsan. Kenapa la boleh salah faham, terlepas pandang pasal surat pelawaan pihak dari Uzbekistan yang kena ada sebelum kita sampai kat sana lagi. Mujurlah kat Uzbekistan ada ada embassy Malaysia, dapat la duta kita tolong rakyat Malaysia kat luar negara, selagi tak melibatkan hal jenayah la.
Selain tu juga, pelancong memang akan dipantau selalu. Curfew pelancong hanya sampai pukul 10 malam je. Waktu musim sejuk pula, pada pukul 9 malam. Maksudnya, selepas tu pelancong dah tak boleh keluar daripada bilik hotel. Kalau tertangkap, mungkin boleh dibicarakan. Polis di sana juga diberi kuasa untuk periksa sama ada kita ada kat hotel atau tidak lepas curfew, atau bila-bila masa je kalau dorang rasa kita ni mencurigakan.
Menurut pihak hotel, walaupun kita kahwin dengan orang Uzbek sekalipun, kita masih tak boleh menginap rumah keluarga dia. Kalau dekat visa, terma ‘Tourist’ tu kena kena tukar jadi ‘Personal Visit’, tapi masih tak diterangkan kalau boleh stay rumah keluarga mertua. Ahem.
Kalau visa terlebih masa atau kita couchsurfing pun, polis boleh datang rumah dan periksa kita. Hukumannya, sama ada deported atau masuk mahkamah (pengalaman kawan di Kazakhstan). Jadi, jangan lupa apply visa dekat embassy dan terus tempah hotel ok?
3. “Orang yang solat 5 waktu ni dianggap terrorist”
Uzbekistan merupakan negara Islam, tapi dikira agak sekular. Contoh dari pemerhatian saya masa diajak kawan pergi masjid yang dipanggil Zangiota disana. Kitorang naik teksi sapu dan disapa oleh pemandu teksi, diterjemah bahasa oleh kawan saya, Johnny.
Dia bertanya, “Are you a praying Muslim?“, dan saya dah mula rasa kalau tu cuma perangkap. Tapi bila fikir balik, takkan la kawan nak kenakan kita pulak? Saya pun jujur je, dan cuba untuk senyum paling ikhlas. Mungkin serba salah, mereka terangkan yang di negara mereka, kalau terlalu alim boleh dituduh sebagai terrorist,
“Di Uzbekistan, solat 5 waktu pun boleh dituduh sebagai terrorist”, terang Johnny dengan broken Englishnya, sambil menunjukkan isyarat seolah-olah mengacu senapang.
“Zangiota tempat orang berdoa je, tak boleh solat. Siapa solat 5 waktu boleh danggap terrorist”, tegas Johnny lagi supaya saya tak salah faham.
Bukan itu saja, sebagai seorang yang beragama Islam yang lahir di Asia Tenggara, pemakaian tudung memang meluas dan bukanlah sesuatu yang pelik di negara kita dan negara sekeliling. Berlainan di negara Asia Tengah ni pulak, pemakaian tudung merupakan satu isu bagi mereka. Perempuan yang memakai tudung dianggap konservatif, dan tidak menerima Islam moden. Atau yang biasa pakai tudung ialah orang tua.
Eh, biar betul? Ye betul, hal-hal keagamaan bukanlah sesuatu yang boleh dibincangkan secara terbuka disini. Bukan orang Islam je yang kena dakwa, Kristian pun sama. Kebebasan beragama takde kat sini, jadi tak pelik pun kalau mereka tak faham cara kita amalkan hidup beragama di Malaysia.
4. Chevrolet adalah kenderaan paling popular di Uzbekistan
Untuk pergi ke satu tempat ke tempat yang lain, kami selalunya naik teksi sapu (taksida yurmoq) je. Kalau nak tahu, kebanyakannya merupakan kereta Chevrolet! Tapi, kadar bayarannya sangat murah, macam Uber atau Grabcar masa promosi je!
Kajian saya mendapati yang memang Chevrolet dari Amerika Syarikat ni adalah jenama kereta yang paling popular dekat Uzbekistan pada tahun 2016, dengan peratusan sebanyak 56%. Diikuti VAZ (jenama Rusia), Daewoo (Korea Selatan), dan Mercedes (dari Jerman). Kenapa Proton takde.
5. Orang Uzbekistan banyak duit
Saya bercadang nak balik awal sebab hal kat sana dah selesai. Jadi, saya ditemani kawan ke pejabat jualan tiket untuk tukar masa penerbangan lebih awal daripada dirancang. Jumlah yang perlu dibayar adalah campuran matawang USD dan Uzbek SOM, lebih kurang 150 USD dan beberapa Uzbek SOM. Kenapa tak boleh bayar semua sekali dengan matawang Uzbek SOM? Kerana kuantitinya yang banyak.
Duit banyak yang dimaksudkan di sini bukanlah bermakna mereka sangat kaya raya dari segi ekonomi dan pendapatan rumah. Tapi, nilai duit mereka agak rendah jika dibandingkan dengan Malaysia. Jika nilai duit kertas Malaysia yang paling rendah ialah RM1, nilai duit mereka yang paling rendah pula ialah 200SOM, iaitu bersamaan dengan 20 sen Malaysia saja!
6. Deportation/Pengusiran adalah perkara biasa di Uzbekistan
Hampir-hampir dapat cop ‘deportation’ dekat belakang passport, saya agak paranoid untuk berada diluar rumah terlalu lama. Malah, saya terpaksa lupakan hasrat nak pergi jelajah ke Bukhara dan Samarkand. Mana la tahu dalam perjalanan tu ada road block, saya mungkin boleh didakwa semata-mata tak laporkan diri pada hari pertama. Ye la, tahu, tempat orang tak boleh buat pandai :/
Kalau di Asia Tenggara, negara dengan undang-undang paling tegas ialah Singapura. Tapi, tak pernah pula dengar pasal pelancong diusir kalau bukan sebab ada visa atau permit yang sah. Tapi di Uzbekistan, benda ni bukan sesuatu yang pelik pun sebagai sebuah rejim yang paranoid, bak kata wartawan seluruh negara.
Malah, terdapat beberapa kisah dilaporkan pasal pelancong diusir, disebabkan benda kecil. Contohnya kisah pelumba basikal dari Britain yang menetap sementara di rumah kenalan di negara Soviet ni. Ditahan dan disoal siasat dengan soalan yang pelik seperti
- Adakah anda tahu tentang program nuklear di Iran?
- Adakah anda seorang ahli politik?
- Atau anda merupakan orang Islam?
Begitu juga yang terjadi kepada seorang pelumba basikal dari Belanda, Gary Taylor yang disoal siasat setiap masa, pelancong dari Kanada juga ditahan dua hari di ruang pemindahan di lapangan terbang Tashkent atas alasan aktiviti keagamaan.
Kes sama juga terjadi kepada wartawan Kazakhstan yang berasal dari Jerman, Edda Schlager yang diusir sehari selepas ketibaannya di negara tersebut. Masa tu Edda datang Uzbekistan untuk melaporkan keadaan negara tersebut lepas kematian Presiden pertamanya, Islam Karimov pada tahun lepas. Nasib yang sama menimpa wartawan dari Rusia, yang namanya disenarai hitamkan tanpa sebab munasabah sesampainya dia di lapangan terbang di negara tersebut.
Tegas tak tegasnya Uzbekistan ni, bukan pelancong yang nak ke negara ni je yang rasa rumit, rakyat Uzbekistan yang nak ke luar negara pun masih kena sekatan perjalanan yang diorang kekalkan peraturan macam zaman Soviet dulu. Bagi rakyat tempatan yang nak melancong luar negara, visa untuk keluar negara sendiri pun kena apply kat pejabat tempatan Kementerian Dalam Negeri Visa dan Pendaftaran (OVIR). Tak kisah la nak belajar luar negara ke, bercuti ke, melawat girlfriend ke, semua kena apply.
7. Setahun sekali, semua rakyat wajib kena tolong tuai emas putih!
Emas putih yang dimaksudkan disini ialah kapas, yang merupakan sumber ekonomi terbesar di Uzbekistan. Selalunya dituai pada bulan September sampai November, iaitu musim luruh setiap tahun. Saya tak berkesempatan pun nak feel benda ni, cuma dengar cerita dari kawan, penduduk tempatan Uzbek ni sendiri.
Kalau nak tahu, mereka sebenarnya kurang gemar buat benda ni, tapi kerajaan Uzbekistan kerah rakyat untuk menuai kapas dengan gaji minima, dan kadang kadang tu secara percuma pun ada. Rakyat yang menuai tu pula tak kira tua, muda, atau kanak-kanak, yang paling muda direkodkan pula ialah 10 tahun. Bukan setakat tu je, kerajaan siap buat kuota lagi untuk pelajar kolej iaitu sebanyak 50-60kg sehari, dan orang dewasa pula sebanyak 60-70kg sehari.
Uzbekistan dah lama dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia sebab kewujudan buruh kanak-kanak dan buruh paksa. Bukan sebab kerahan tu je, tapi sebab keuntungan kapas tu sendiri tak diberi kepada rakyat. Rakyat tak berani bersuara sebab nak jaga keluarga masing masing.
Kalau korang nak tahu, antara ‘client’ terbesar eksport kapas ni ialah jenama H&M, iaitu clothing retail kedua terbesar yang korang suka pakai tu. H&M ni siap kena tekanan lagi daripada kumpulan hak asasi manusia seluruh dunia. Tak tahan dengan tekanan, H&M ambik keputusan dengan sign Global Pledge pada 2011 dengan brand Adidas dengan Macy’s sekali, yang diorang menentang buruh kanak-kanak dalam tuaian kapas Uzbekistan ni.
Tahun lepas, benda sama juga jadi dekat Turkmenistan dan Syria bila diorang tahu ada buruh paksa kat negara ni. Masih takde jalan keluar lagi, walaupun kerajaan Uzbekistan dah haramkan buruh kanak kanak pada 2008, International Labour Organization (ILO) masih lagi merekodkan hak asasi rakyat Uzbek yang dicabul kerajaan sehingga tahun lepas (2016).
“Rakyat dipaksa bekerja semasa musim menuai kapas selepas diancam yang mereka akan kehilangan mata pencarian mereka, pendidikan, atau bantuan kerajaan yang selayaknya.”-Umida Niyazova, Pengarah Forum Uzbekistan-Jerman untuk Hak Asasi Manusia (UGF)
8. Hasil negara untuk tujuan pendidikan adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara maju lain
Saya sempat memerhatikan satu kelas yang sedang berjalan. Penterjemah peribadi saya, Sabrina, menerangkan yang pengetua mengarahkan semua pelajar untuk turut sama mengumpul dana untuk beli kamera CCTV/pembelajaran (lebih kurang) buat setiap kelas.
Di Malaysia, kerajaan menyediakan keperluan pembelajaran (berdasarkan cukai yang kita bayar), manakala di Uzbekistan, nampak gaya mereka sendiri kena ada inisiatif untuk kumpul duit dan beli sendiri kelengkapan mereka.
Walaupun begitu, menurut laporan UNICEF tahun 2010 (paling latest sebab lepas 2010, Uzbekistan dah tak share hasil dalam negara diorang), Uzbekistan dilaporkan membelanjakan kira-kira 12 peratus daripada hasil negara pada pendidikan.
Tinjauan mendapati, peratusan yang dibelanjakan untuk pelajaran adalah agak tinggi berbanding negara maju yang lain. Malaysia sendiri cuma 6.1% pada tahun 2013. Walaupun peratusannya dua kali ganda dari Malaysia, tapi dari pemerhatian saya daripada satu sekolah ni, nampak gaya taraf pembelajaran kita adalah lebih baik daripada mereka.
9. Kena tahan dengan Imigresen masa nak balik Malaysia
Orang Asia Tengah ni sejujurnya bukanlah orang orang yang mesra. Malah, mereka ni ‘very very anxious people‘. Merupakan pengalaman terakhir di Uzbekistan, saya ditahan dan pemeriksaan yang agak menyeluruh dilakukan. Selepas melalui pengesan x-ray, saya diperiksa sekali lagi diseluruh badan.
Tak cukup dengan itu, ‘backpack’ saya sebesar 35L turut digeledah daripada poket paling besar sampailah yang paling kecil. Sambil beg diperiksa, seorang pegawai imigresen siap panggil kawan sekerja dia yang boleh berbahasa Inggeris untuk soal siasat. Saya layankan je dengan sabar.
Lepas hampir 15 hingga 20 minit soal kena siasat, atau mungkin sebab tak jumpa sebarang benda yang boleh membuatkan saya didakwa, mereka pulangkan beg, dan suruh kemas balik barang yang digeledah. Terlalu banyak soal siasat yang tak munasabah, saya hanya menggeleng kepala sambil keluar ke pintu perlepasan dengan rasa lega.
Jadi traveller, baik buruk sesebuah negara tu perlu diterima dengan hati terbuka
Bila tengok balik poin-poin artikel ni dari atas sampai ke bawah, mungkin sisi negatif nampak lagi banyak daripada positif. Tapi sejujurnya, ini adalah pada perspektif saya sendiri yang rasa macam mana kehidupan sebenar di sana.
Sebenarnya, apa yang saya cuba ketengahkan ialah supaya pembaca dapat selami sendiri point of view jika berada ditempat mereka, dan buka mata tentang gaya hidup dan pegangan yang sangat berbeza daripada tempat kita sendiri.
Bukanlah sesuatu untuk dikesalkan langsung sebab ni antara pengalaman terbaik saya yang mungkin lain juga pada pandangan orang lain yang pernah datang. At least, saya dapat perhatikan dari sudut pandangan sendiri dan merasai budaya hidup rakyat di bawah jajahan Soviet.
Sebagai negara pasca komunis, mereka mungkin masih cuba untuk mencari identiti sendiri selama 26 tahun merdeka daripada kejatuhan Soviet. Uzbekistan masih dalam proses membuat pembaharuan ekonomi negara, pembaharuan dari segi struktur sosial, mungkin sebab tu sedikit sebanyak dipengaruhi struktur sosial semasa zaman Soviet.
Pesanan kepada pelancong yang ingin melawat Uzbekistan atau negara bekas Soviet yang lain, pastikan korang datang dengan hati terbuka. Travel boleh ingatkan kita tentang pelbagai ragam manusia di seluruh dunia, dan salah satu cara untuk kita hargai apa yang kita ada selama ni bila kita dapat perhatikan dan bandingkan apa yang kita ada. All ze best!
- 1.0KShare sekarang!
- Email16
- Facebook1.0K
- Share