- 1.6KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.6K
- Share
Islam berkembang dengan bantuan wanita. Contoh terawal adalah isteri Rasulullah, Khadijah bint Khuwaylid, seorang ahli perniagaan berjaya yang menyokong perjuangan awal Islam dengan harta dan emosi sampaikan Rasulullah sayang sungguh kat dia. Sumbangan Khadijah mengubah dunia selama-lamanya.
Khadijah tidak berseorangan dalam usahanya menjadikan dunia jadi lebih baik. Dalam artikel ni SOSCILI senaraikan 5 wanita Islam yang telah mengubah dunia ke arah yang lebih baik.
1. Fatimah al-Fihri bina universiti pertama dunia, Malala ditembak Taliban
Rasanya bila bercakap pasal universiti, semua orang akan dapat bayangkan betapa susahnya belajar siang malam nak dapatkan sijil. Semua tak sabar-sabar nak graduate dan mula bekerja. Tapi korang tahu tak sistem belajar sampai dapat sijil ini mula diperkenalkan oleh seorang wanita Islam? Malah universiti pertama yang ada diwujudkan di dunia pun sebenarnya hasil usaha seorang wanita Islam.
Nama wanita itu ialah Fatima al-Fihri. Fatima berhijrah dengan keluarganya dari Tunisia ke bandar Fez, Morocco pada awal kurun ke-9. Fez ketika itu ialah antara bandar paling berpengaruh dalam dunia Islam disebabkan kekayaan budaya dan ilmu pengetahuan yang berkembang pesat. Lepas bergelut dengan kesusahan, keluarga dia jadi kaya raya bila ayahnya, Mohammad bin Abdullah Al-Fihri jadi ahli perniagaan yang berjaya. Jadi bila ayahnya, suami dan adik beradik lelakinya meninggal, banyak harta kekayaan ini diwariskan kepada Fatima dan adik perempuannya, Mariam.
Mariam bina Masjid Al-Qarawiyyin, salah satu masjid terbesar di Afrika Utara. Di masjid ini, universiti pertama dunia bermula yang diiktiraf oleh UNESCO dan Guinness World Records. Universiti Al-Qarawiyyin ni menjadi tempat pengajian banyak sarjana Islam yang terkenal seperti Leo Africanus dan Ibnu Khaldun. Malah, universiti ni sangat terkenal sampai pelajar bukan Islam pun datang belajar. Salah seorang mereka ialah Gerber Auvergne yang jadi pope dikenali sebagai Pope Sylvester II. Gerber Auvergne ni lah antara bijak pandai yang perkenalkan sistem nombor Arab dan angka sifar ke Eropah.
Universiti ni juga ada perpustakaan tertua di dunia yang sampai sekarang masih wujud. Baru-baru ni perpustakaan ni mula dibaik pulih dan kembali dibuka kepada orang awam. Perpustakaan ini menyimpan banyak naskah asal ilmuan Islam seperti Muwatta Imam Malik, Seerah Ibn Ishaq dan transkrip Muqadimmah karya Ibnu Khaldun.
Selain universiti, Fatima dan Mariam jugak menyumbang untuk bina Masjid Andalusian tahun 245 Hijrah. Diorang bina masjid ni bila diorang tengok masjid Fez tu kecik sangat untuk tampung semua orang yang datang beribadat yang kebanyakkan adalah pelarian dari negara Islam lain.
Di zaman moden pulak, wanita Islam terus berjuang untuk pendidikan. Salah seorang yang paling terkenal ialah Malala Yousafzal yang menerima Hadiah Nobel Keamanan 2014 waktu dia baru je berusia 17 tahun menjadikan Malala penerima paling muda dalam sejarah.
Dibesarkan di Lembah Swat, Malala merupakan anak Ziauddin Yousafzal juga merupakan seorang guru. Bila Taliban menguasai Lembah Swat, mereka melarang kanak-kanak perempuan bersekolah. Jadi, Malala ni berjuang menentang Taliban bagi membolehkan dia dan kanak-kanak perempuan lain bersekolah.
Perjuangan Malala bermula bila dia mula menulis dalam blog BBC Urdu guna nama samaran. Tapi bila dia muncul dalam dokumentari The New York Times identitinya terdedah. Dia dan ayahnya terima ancaman bunuh. Pada 9 Oktober 2012, dia ditembak di kepala masa nak pergi sekolah. Dia berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan dan rawatan di United Kingdom. Cubaan bunuh ni menerima tentangan besar-besaran rakyat sampai Pakistan meluluskan Rang Undang-Undang Percuma dan Wajib Pendidikan yang pertama di negara tu.
Malala bukan sekadar hebat buat kerja-kerja aktivis, tapi cukup pandai sampai score enam A* dan empat A dalam GSCE di UK. Dia sekarang sedang bersedia untuk masuk Universiti Oxford belajar politik, falsafah dan ekonomi. Kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal Malala ni, boleh tengok dokumentari kisahnya bertajuk He Named Me Malala, atau boleh dengar ayahnya bercerita tentang Malala.
2. Nusaybah pahlawan wanita Islam pertama, Noor Inayat Khan perisik Perang Dunia Ke-2
Bila bercakap tentang perang, kita akan teringat kegagahan tentera dan macam automatik terbayang tentera ni mesti lelaki. Tapi, korang tau tak ada beberapa kisah wanita Islam yang berjuang dalam perang sebagai tentera yang hebat?
Misalnya Nusaybah Bint k’ab Al Maziniyyah yang terlibat dalam Perang Uhud. Nusaybah juga turut serta dalam perang itu, bertugas membawa air kepada tentera yang dahaga dan merawat mereka yang cedera. Diceritakan dalam perang ni, bila dah nak menang ada askar pemanah yang ingkar arahan Rasulullah sampai menyebabkan tentera Islam kalah dan ramai melarikan diri. Jadi, Nusaybah dengan beraninya angkat senjata menyertai kumpulan kecil yang sedang berjuang dengan Rasullah. Dikatakan dialah orang yang bertanggungjawab melindungi Rasulullah daripada anak panah musuh. Sampai dia cedera parah dan terpaksa diusung keluar daripada medan pertempuran, kecederaan dia ni mengambil masa setahun untuk pulih sepenuhnya.
Di zaman moden pulak, ada seorang wanita Islam yang menjadi agen perisik British di Perancis semasa Perang Dunia Ke-2. Namanya ialah Noor Inayat Khan, wanita Islam keturunan India daripada keluarga diraja Tipu Sultan. Dia menyertai Special Operations Executive (SOE) yang ditubuhkan British bagi melaksanakan risikan, sabotaj dan penerokaan kawasan musuh untuk manfaat Pakatan Bersekutu yang terdiri daripada Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet. Noor ialah wanita pertama yang direkrut oleh SOE sebagai operator radio dan diseludup masuk ke Perancis pada Jun 1943 yang dijajah Nazi ketika itu. Tak lama selepas dia sampai, ramai perisik yang lain ditangkap sampai melumpuhkan operasi SOE di Perancis. Tetapi Khan memilih untuk terus tinggal di Perancis sampai jadi agen penting dalam perjuangan menentang Nazi di Perancis.
Tetapi pada Oktober tahun yang sama, dia dikhianati oleh orang Perancis dan ditangkap Gestapo. Dia dihantar ke Kem Pforzheim di Jerman, dan diseksa supaya mendedahkan maklumat tapi dia tak dedahkan pun. Pada September 1944, dia dan tiga orang lain agen wanita SOE dipindahkan ke Kem Dachau dan pada 13 September mereka dibunuh dengan tembakan di belakang kepala. Khan mati pada umur 30 tahun, dikatakan kata-kata terakhirnya sebelum dia mati ialah “Liberte” bermaksud Kebebasan. Atas jasanya, dia menerima anugerah George Cross dari British dan anugerah Croix de Guerre dari Perancis. Hanya empat wanita pernah terima George Cross, dan Noor Inayat Khan ialah salah seorang daripadanya dan wanita Islam tunggal terima anugerah itu.
3. Wanita tak boleh jadi pemimpin sebab tak sesuai? Jadi Zeti Aziz, Izzah, Rafidah tu lelaki ke?
Isu ini agak sensitif sebab ada pandangan agamawan yang kata wanita tak sesuai jadi pemimpin sebab tak sesuai (?). Walaupun begitu, kerajaan tak putus asa nak naikkan peratusan wanita jadi pemimpin. Misalnya, kuota 30% untuk wanita jadi ahli Parlimen menjelang 2010 walaupun masih tak capai lagi sebab pada 2013 hanya lebih kurang 10% kerusi Parlimen disandang wanita. Kenapa masalah siling kaca ni masih wujud? Sedangkan wanita terbukti boleh jadi pemimpin yang power macam Tan Sri Zeti, Nurul Izzah, Rafidah Aziz dan Hannah Yeoh. Malah, sejak zaman berzaman wanita dah membuktikan mereka boleh memimpin dengan baik.
Salah seorang pemimpin wanita Islam zaman dulu yang mungkin tak dikenali ramai ialah Ratu Hijau. Baginda memerintah Patani antara tahun 1584-1616. Patani waktu pemerintahannya menjadi tempat dagangan yang maju dan Patani waktu tu terbuka menerima pedagang Eropah, China dan serata dunia. Ratu Hijau ni ada saudara perempuan lain yang dikenali sebagai Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning. Malah sepanjang pemerintahan empat Ratu ini, Patani berjaya menghalang serangan Siam dengan bantuan Kesultanan Pahang dan Johor. Ratu Hijau meninggal pada 1616 selepas memerintah selama 31 tahun yang merupakan zaman emas Patani.
Seorang lagi wanita Islam yang akan buat korang kagum ialah pemimpin politik moden yang sedang memerintah kini. Namanya Ameenah Gurib-Fakim, Presiden Mauritius. Dia ni sebenarnya saintis kepelbagaian biologi dan pengasas Center for Pytotherapy Research. Ada beberapa perkara yang menarik pasal Presiden Ameenah ni.
Pertama, dia takda pengalaman politik. Tapi parti politik yang menang majoriti waktu piliharaya mintak dia jadi Presiden dan disokong penuh parti pembangkang. Jadi, pada Jun 2015 dia angkat sumpah jadi Presiden Mauritius. Kedua, Mauritius ni ialah negara majoriti penganut Hindu tapi Ameenah ialah wanita Islam, kejayaan yang bukan calang-calang. Apatah lagi Mauritius ni ialah antara negara Afrika yang paling kaya dan paling tak korup.
Apabila ditanya tentang kemenangan partinya dalam pilihanraya, ini jawapan Ameenah:
“Orang dah bosan dengan cara politik berlaku, dan mahukan perubahan. Sebelum ini, mereka mengundi kerana kasta dan agama. Buat pertama kali, mereka mengundi kerana parti dan idea [parti yang disukai]” – dipetik dari Financial Times.
Banyak lagi kisah pemimpin wanita yang hebat memerintah kerajaan dan negara. Jadi bolehlah tepuk kepala fikir adakah alasan yang wanita tak boleh jadi pemimpin sebab tak sesuai ni betul ke tak.
4. Penasihat Khalifah Andalusia ialah seorang ahli matematik wanita
Tak banyak yang diketahui tentang wanita yang cemerlang dalam bidang sains dan matematik waktu zaman kegemilangan Islam silam. Rekod tentang pencapaian mereka sukar ditemui, dan kalau adapun hanya beberapa maklumat yang wujud.
Salah seorang yang ada rekod ialah Labana di Cordoba. Dia ialah sarjana terkenal yang hidup di Sepanyol pada kurun ke-10. Dikatakan kemahiran matematiknya boleh menyelesaikan masalah pengiraan matematik yang paling rumit zaman tu sampai dia dilantik jadi penasihat Khalifah Umayyad Sepanyol, Al Hakam II. Dia juga seorang ahli bahasa yang mahir sehingga mampu menulis, menterjemahkan dan menyusun buku-buku dalam perpustakaan terkenal zaman itu, Medina Azahara. Menguasai pelbagai bidang daripada sains sehinggalah bahasa menjadikan dia salah seorang sarjana wanita Islam yang dihormati pada zaman kegemilangan Islam Andalusia.
Seorang lagi sarjana wanita yang terkenal pada kurun ke-10 ialah Sutayta Al-Mahmali. Seperti Labana, dia juga menguasai pelbagai cabang ilmu termasuklah sastera arab, hadith dan matematik. Dia sangat mahir dalam arimetik dan pengiraan faraid, dua cabang ilmu matematik yang paling banyak digunakan zaman itu. Sutayta juga mencipta penyelesaian kira-kira yang digunakan ramai ahli matematik lain yang kemudiannya dikembangkan menjadi algebra.
Di zaman moden pula, kita tidak pernah keputusan wanita Islam yang cemerlang dalam bidang sains ini. Korang mesti pernah dengar kan kejayaan Hafizah Noor Isa yang berjaya buktikan gelombang graviti, Nur Adlyka Ainul Annuar yang menemui lohong hitam dalam galaksi, atau Professor Emiritus Datuk Dr Mazlan Othman yang merupakan ahli astro fizik pertama Malaysia dan ramai lagi ahli sains wanita Malaysia yang gigih bekerja dalam bidang sains teknologi. Malah, dalam senarai 20 ahli sains wanita paling berpengaruh dalam dunia Islam masa kini, ada dua orang wakil Malaysia yang power. Professor Datin Paduka Dr Khatijah Mohamad Yusoff ialah pakar mikrobiologi dan virologi yang sedang kaji virus untuk lawan sel kanser. Professor Adeeba Kamarulzaman pulak ialah pakar penyakit berjangkit HIV/AIDS yang jadikan Universiti Malaya pusat kajian terkemuka HIV/AIDS di Malaysia.
5. Wanita dah lama jadi patron kemajuan, misalnya Zubayda Abu Ja’far isteri Harun ar-Rashid
Macam ni lah, kalau korang saintis, seniman atau aktivis korang mesti tahu susahnya nak dapat duit untuk buat projek. Sebab itu konsep patron atau penaung ni penting. Patron ni bagi sokongan duit dan tenaga untuk pastikan projek tu berjaya. Misalnya Datin Paduka Rosmah Mansur menaungi PERMATA, Tun Dr. Siti Hasmah yang sokong badminton atau Michelle Obama dan kerja-kerja kebajikannya.
Di zaman kegemilangan tamadun Islam, konsep patron ini juga wujud. Salah seorang penaung yang banyak menyokong usaha kemajuan ini ialah Zubayda Abu Ja’far. Dia ialah isteri Harun ar-Rashid, khalifah kelima Dinasti Abassid. Disebabkan statusnya itu, Zubayda ialah wanita paling berkuasa dan kaya pada zamannya. Menggunakan kuasa dan hartanya dia menyokong dan menaja banyak projek kemajuan. Antara projek yang paling besar disokongnya ialah pembinaan tempat rehat, telaga air dan rumah api di sepanjang jalan Haji antara Baghdad dan Mekah. Dia ni suka pergi haji dan dalam perjalanan mengerjakan hajinya buat kali kelima dia melihat kesan kemarau yang berlaku. Dia sangat sedih tenok ramai penduduk menderita dan kemarau tu hampir mengeringkan telaga air Zamzam. Dia mengarahkan telaga itu didalamkan dan membelanjakan hampir 2 juta dinar untuk membaiki sistem bekalan air di Mekah. Malah sampai sekarang ada tempat sumber bekalan air bersih dinamakan sempena namanya, “Ayn Zubayda” di Arafat salah satu lokasi mengerjakan ritual Haji.
Zubayda ni bukan sahaja banyak menyumbang kepada projek pembangunan, malah dia juga sangat berani. Salah satu tindakan paling berani dan tidak pentingkan diri ialah merestui jawatan khalifah diberikan kepada anak tirinya, Khalifah al-Ma’mun berbanding anaknya sendiri Khalifah Al-Amin disebabkan anaknya sendiri sudah menjadi sangat korup. Restunya ini menyebabkan anak tirinya naik jadi Khalifah dan menjadikan Baghdad tempat perkembangan ilmu tersohor dengan kewujudan baty al-hikma yang merupakan institusi pemikir paling dihormati zaman itu. Baty al-hikma ni juga banyak terjemah karya Greek, Roman dan pelbagai bahasa lagi ke dalam bahasa Arab yang mencetuskan kegemilangan Dinasti Abbasid dan menjadi asas kepada Zaman Renaissance Eropah.
Sekarang ni kalau kita dengar nama Aleppo, kita terbayang perang saudara yang sedang berlaku. Tapi kalau korang nak tau pada zaman pemerintahan Ayyudbid di Aleppo ada seorang wanita yang sangat berkuasa. Namanya ialah Dhayfa Khatun isteri kepada al-Zahir Ghazi, raja Aleppo pada waktu itu. Dhayfa ni sangat menyukai saintis dan seniman dan sentiasa membantu mereka terutama sekali kalau projek itu ialah projek pembinaan. Dan Dinasti Ayyubid ni sangat terkenal dengan hasil seninya. Malah, dia menubuhkan dua sekolah untuk rakyat Dinasti Ayyubid mengkhususkan kepada bidang pengajian dan perundangan Islam terutama sekali mazhab Shafie.
Wanita Islam dah lama buktikan mereka bukan wanita sebarangan walaupun banyak masalah patriaki masih wujud
Kejayaan wanita-wanita Islam ini, serta kejayaan wanita kaum dan agama lain bukanlah bermaksud yang penindasan wanita sudah tidak wujud. Masih banyak masalah wanita yang perlu diberikan perhatian misalnya keganasan rumah tangga yang semakin meningkat, kesukaran wanita menuntut keadilan di mahkamah syariah , jenayah seksual terhadap wanita dan masalah wanita berhenti kerja yang menyebabkan kerugian pada negara.
Bila bercakap tentang wanita, kita tak dapat nak lari daripada perjuangan feminis. Samada ideologi feminisme Barat atau perjuangan hak wanita dalam Islam kedua-duanya punya matlamat yang sama. Mereka hendak menghapuskan penindasan dan meningkatkan taraf kualiti kehidupan wanita. Senarai yang SOSCILI buat ni adalah satu penafian kepada mereka yang masih mendiskriminasi wanita sedangkan wanita dah lama buktikan mereka berupaya buat semua perkara. Sempena Hari Wanita Dunia yang disambut pada 8 March 2017 ini dengan tema “Be Bold For Change”, semua orang patut reflek balik pandangan mereka terhadap wanita. Yang buruk kita betulkan, yang baik kita terus tambah baik. Sebab dengan perkasakan wanita, kita sebenarnya mengubah dunia.
Selamat Hari Wanita!
- 1.6KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.6K
- Share