Maharaja dipaksa menafikan status dewanya? 6 peristiwa penting yang jadi pada 1 Januari

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 31 Disember 2016*

Selamat tahun baru! Pejam celik-pejam celik dah nak masuk tahun baru. Pada yang dapat masuk dan sambut tahun baru tu, bersyukurlah ye. Sebab ramai juga mereka yang dah meninggalkan kita sepanjang tahun yang penuh dengan cabaran ni.

Secara umumnya, tahun baru ni disambut tepat pada jam 12 tengah malam. Menurut kajian, negara pertama yang akan sambut tahun baru adalah Tonga dan terakhir – Amerika Syarikat jika mengikut zon waktu negara masing-masing.

Cumanya, sambutan tahun baru 2021 ni kemungkinan tak la semeriah sebelumnya. Kalau dulu ramai di antara kita yang luangkan masa tengok bunga api, enjoy dengan kawan atau menggatal dengan girlfriend. Tapi sebenarnya, tarikh 1 Januari dah mencatatkan banyak peristiwa penting. Oleh itu, SOSCILI kali ni akan menceritakan sedikit sebanyak tentang peristiwa-peristiwa tersebut. Antaranya adalah…

1. Terciptanya mesin X-ray pertama dunia

Rontgen jugak jadi Prof kat Universiti Wurzburg, Jerman. Imej dari The Famous People.

Pada 1895, seorang jurutera mekanikal dan ahli fizik kelahiran Jerman, Wilhelm Rontgen dah buat satu kajian berkenaan dengan elektrik di dalam tabung kaca dievakuasi (evacuated tube). Rontgen akhirnya nampak cahaya yang dihasilkan pada dinding dan dia tahu yang cahaya tu bukan dari lampu neon.

Dia namakan penemuan baru tu sebagai sinar ‘X’ atau ‘X-ray’. Selepas tu, isterinya pula letakkan tangan pada cahaya X-ray tu. Apa yang menakjubkan, ia dah hasilkan imej yang menampakkan tulang jari isterinya tu. Imej yang dihasilkan dari sinar X tu dah jadi imej X-ray pertama yang dihasilkan di dunia.

Hasil daripada kajian dan penemuan ini, Rontgen isytiharkan penemuan baru X-ray ni kepada dunia pada 1 Januari 1896. Dari situlah, Rontgen dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik pertama pada 1901.

Imej yang dihasilkan dari tangan isterinya. Imej dari Wikipedia.

Di Malaysia pula, mesin X-ray pertama ditempatkan di Hospital Taiping, Perak pada 3 Februari 1897 dan ia juga jadi mesin X-ray pertama di Asia Tenggara.

2. Presiden Amerika yang bersalaman dengan 8,513 orang dalam satu hari!

Lahir pada 1858, bekas Gabenor New York ni pernah menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 26 dan juga sebagai Presiden Amerika Syarikat termuda dalam sejarah negara itu, pada usia 42 tahun. Dia adalah Theodore Roosevelt, menggantikan Presiden William McKinley yang dibunuh pada 1901.

Mungkin ada yang keliru nama dia dengan Franklin Roosevelt yang juga Presiden Amerika. Sebenarnya diorang ni ada hubungan saudara mara dan apa yang membezakan diorang adalah Theodore Roosevelt jadi Presiden dari 1901 sampai 1909 dan Franklin Roosevelt pula dari 1933 sampai 1945.

Kita sekarang cerita pasal yang kiri tu. Imej dari biography.com

Walaupun begitu, Roosevelt dah buat satu rekod bila dia bersalaman dengan 8,513 orang dalam satu majlis rasmi kerajaan pada 1 Januari 1907. Perkara ni dah dicatatkan dalam Guinness World Record selama 70 tahun sehingga dipecahkan oleh Datuk Bandar New Jersey, Joseph Lazarow yang bersalaman dengan 11,000 orang pada 1977.

Masa ni takde Covid-19 lagi. Imej asal dari Pinterest.

Lepas bersara dari jawatan pada 1909, Roosevelt cuba bertanding lagi dalam Pilihan Raya Presiden 1912, tapi kalah.Akhirnya, dia meninggal dunia ketika tidur pada 6 Januari 1919.

3. Runtuhnya dinasti maharaja yang bertahan ribuan tahun

Sistem beraja di China mula diasaskan pada 221 SM, apabila Maharaja pertamanya Shi Huang Ti berjaya menyatukan seluruh China. Selepas itu, sistem beraja ini terus berjalan walaupun dinasti saling bersilih ganti.

Bagaimanapun, Dinasti Qing terpaksa akur menjadi dinasti beraja terakhir memerintah China apabila berlakunya Revolusi 1911. Revolusi ini berlaku apabila Dr Sun Yat Sen memimpin satu gerakan untuk memodenkan China. Gerakan ini akhirnya membawa satu gerakan rakyat yang menentang Dinasti Qing.

Dr Sun Yat Sen atau ‘Bapa Revolusi China’. Imej dari global.britannica.com.

Walaupun gerakan ini pada mulanya agak susah untuk menjatuhkan Dinasti Qing. Tapi dengan bantuan Yuan Shi Kai, seorang jeneral yang mempunyai angkatan tentera terkuat ketika itu, akhirnya revolusi ini berjaya.

Akhirnya, China diisytiharkan sebagai sebuah negara republik dan Sun Yat Sen dilantik sebagai presiden pertamanya pada 1 Januari 1912. Begitulah berakhirnya Dinasti Maharaja China yang bertahan beribu tahun dengan kuasa kebangkitan rakyat.

Boleh baca kisah Maharaja terakhir China, Pu Yi kat sini. Imej dari wdr.de

3. Lahirnya gelaran Ataturk di bumi Turki

Constantinople (sekarang Istanbul) adalah sebuah kota yang bertahan hampir beribu tahun. Tapi akhirnya kota yang hebat ini jatuh ke tangan Islam apabila ditawan oleh ‘sebaik-baik pemimpin‘ Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453. Bermula dari situ, semakin meluaslah Empayar Turki Uthmaniyyah.

Tapi empayar yang hebat ini akhirnya meghadapi masalah pada awal tahun 1900-an apabila munculnya golongan digelar ‘Young Turk‘ yang menentang sistem beraja. Gerakan ini muncul apabila pemerintah akhir Uthmaniyyah nampaknya tak lagi mewarisi ciri-ciri pemerintahan dari pengasas Uthmaniyyah.

Sultan Muhammad-al-Fatih. Imej dari saidagate.net

Gerakan ni disertai oleh seseorang yang akhirnya mengubah Turki menjadi sebuah republik dan negara sekular, Mustafa Kemal Pasha. Penyertaannya dalam gerakan revolusi ‘Young Turk’ pada Julai 1908 akhirnya berjaya menggulingkan Sultan Abdul Hamid II dan digantikan dengan adiknya Sultan Mehmed V.

Selepas itu, Mustafa terlibat dalam Perang Dunia Pertama (WWI) dan dianggap hero oleh rakyat Turki. Hasilnya, Mustafa mula menperjuangkan kemerdekaan Turki dan bercita-cita menjadikan negara itu sebagai republik. Akhirnya pada 1923,Turki diisytihar sebagai sebuah negara republik dan Mustafa dilantik sebagai Presiden Pertama republik berkenaan.

Pada 1 Januari 1935, Mustafa dah menamakan dirinya sebagai  ‘Ataturk’ (Bapa Turki). Bermula dari situlah dia dikenali dengan nama Mustafa Kemal Ataturk.

Mustafa Kemal digelar sebagai ‘Bapa Turki Moden’. Imej dari Anatolia History.

Atarturk di zaman pemerintahannnya dah buat banyak perubahan untuk menjadikan Turki sebagai negara sekular antaranya:

  1. Menggantikan kalendar hijrah kepada masihi.
  2. Tukar cuti hari Jumaat pada hari Ahad.
  3. Azan dalam bahasa Arab diharamkan dan ditukar dalam bahasa Turki
  4. Pemakaian hijab diharamkan di bangunan awam
  5. Mengharamkan pemakaian serban

Ataturk akhirnya meninggal dunia pada 10 November 1938. Sehingga sekarang dia masih dikenang sebagai pemimpin yang penuh kontroversi dan pelbagai tafsiran mengenai perjuangannya masih dibincangkan sehingga kini.

Pope Francis ketika melawat makam Mustafa Kemal Ataturk. Imej dari abcnews.

[Boleh baca artikel kami tentang kejatuhan Constantinople di sini]

5. Maharaja Jepun bukan lagi setaraf ‘dewa’

Agama Shinto adalah agama terbesar yang dianuti di Jepun. Apa yang membuatkan ia unik adalah apabila agama ni ada kaitan rapat dengan sistem Maharaja di Jepun. Mengikut kepercayaan ini, Maharaja adalah berasal dari ‘Kami’ (dewa-dewi), oleh itu mereka berstatus dewa.

Amaterasu adalah dewi utama dari agama Shinto dan Maharaja Jepun dipercayai berasal dari keturunannya. Imej dari Wikipedia.

Maharaja terakhir yang memegang status ini adalah Maharaja Hirohito iaitu maharaja ke-124 Jepun. Walaupun selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Ke-2, Hirohito masih dikenali sebagai ‘dewa hidup‘ oleh masyarakat Jepun.

Kuasa Berikat ketika itu percaya yang perubahan perlu dibuat dalam sistem pemerintahan dan Perlembagaan Jepun untuk mengubah persepsi rakyat dengan konsep maharaja. Oleh itu, Hirohito dipaksa menafikan status dewanya.

Akhirnya pada 1 Januari 1946, Maharaja Hirohito mengisytiharkan dirinya bukan dewa dan konsep dewa tu sebenarnya tak benar. Pengisytiharan ini juga dikenali sebagai Deklarasi Kemanusiaan (Humanity Declaration).

Maharaja Hirohito adalah maharaja Jepun paling lama bertakhta iaitu hampir 60 tahun. Imej dari japandailypress.

Maka dengan itu, Hirohito menjadi maharaja terakhir yang memegang status itu sebelum dia sendiri menafikannya. Hirohito meninggal dunia pada 1989 dan diganti oleh anaknya Maharaja Akihito.

Skrip yang dibaca Maharaja Hirohito. Imej dari ndl.go.jp

6. Lahirnya bandar raya pertama di Tanah Melayu

Bila kita pergi ke Pulau Pinang, tak lepas dari fikiran kita tentang ibu negerinya iaitu George Town. Pada Julai 1786, Kapten Francis Light dah mendarat di Pulau Pinang dan menjadi pengasas penempatan British di pulau itu.

Francis light meninggal dunia pada 21 October 1794 sebab diserang Malaria. Imej dari abc.net

Satu tempat yang dikenali sebagai Tanjung Penaga dah ditukar namanya oleh British kepada George Town bersempena dengan nama Raja England, Raja George III. George Town dijadikan sebagai pelabuhan bebas oleh Francis Light untuk bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan Belanda.

Pada 1 Januari 1957, beberapa bulan sebelum Tanah Melayu merdeka, Ratu Elizabeth II dah mengisytiharkan George Town sebagai sebuah bandar raya sekaligus menjadikannya sebagai bandar raya pertama di Tanah Melayu.

Keadaan George Town sekitar awal tahun 1900an. Imej dari asienreisender.de

Bagaimanapun, status ini ditarik balik pada 1976 apabila Akta Kerajaan Tempatan baru diwartakan. Hal ini menyebabkan Majlis Bandar Raya George Town dan Majlis Daerah Luar Bandar Pulau Pinang digabungkan.

Menjelang tahun 2015, status bandar raya ini dikembalikan semula atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Akhirnya pada 7 Julai 2008, George Town dan Melaka diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO, atas kekayaan nilai sejarah dan budaya yang ada di tempat ini.

Imej asal dari cbc.ca

Tarikh 1 Januari bukan sekadar tahun baru

Dari apa yang kita baca kat atas ni, rupa-rupanya banyak peristiwa yang berlaku masa tahun baru. Walaupun, mungkin kita sangka yang tahun baru selalunya best dan banyak perkara yang baik berlaku, tapi mungkin tak pada orang lain.

Contohnya, kejatuhan Dinasti Maharaja di China dan apabila Maharaja Hirohito dipaksa menafikan status ‘dewanya’ yang dah bertahan beratus tahun.

Imej dari Giphy.

Selain peristiwa-peristiwa di atas, ada lagi beberapa peristiwa penting yang berlaku masa 1 Januari, antaranya:

Sambutan Hari Kebangsaan pertama Brunei pada tahun 1984. Imej dari bruneiresources.blogspot.

Kesimpulannya, kita mengharapkan tahun baru 2021 kali ni akan menjadi tahun baru yang bermakna untuk kita semua. Kami juga dari SOSCILI berharap yang tahun baru ni akan memberikan kebahagiaan kepada semua pembaca setia kami. Oleh itu, kami dari SOSCILI mengucapkan…SELAMAT TAHUN BARU!!!

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.