- 609Share sekarang!
- Email55
- Facebook554
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 18 November 2016.
UPDATE 27/10/2020 – Pada hari ini genaplah ulang tahun ke-33 peristiwa tangkapan besar-besaran di bawah ISA atau lebih dikenali sebagai Ops Lalang. Ironinya, ada tokoh politik yang pernah ditangkap dalam operasi ini telah bekerjasama dengan Dr Mahathir sebelum PRU-14 dengan membentuk Pakatan Harapan (PH).
__________________________________________________________________
Pada 27 Oktober 1987, polis melancarkan tangkapan besar-besaran buat kali pertama sejak peristiwa 13 Mei 1969. Operasi yang dikenali sebagai Ops Lalang itu menyaksikan 106 orang ditangkap tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Operasi yang dijalankan selepas enam tahun Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri itu membuatkan aktivis NGO, ahli politik, ahli akademik dan mahasiswa ditangkap. Kalau ikut kata kerajaan dan polis tindakan ni perlu atas isu-isu keselamatan.
Walaupun ISA dah takde sekarang, tapi masih ada pelbagai persoalan yang bermain di fikiran kita. Antaranya adalah kenapa kerajaan tangkap begitu ramai orang? Siapa yang bagi arahan? Siapa yang bertanggungjawab sebenarnya?
Sebelum kita bincang tu semua, mari kita tengok apa benda yang jadi sebelum peristiwa Ops Lalang ni…
1. Dr Mahathir menang tipis dalam Pemilihan Agung UMNO
Pada April 1987, Tengku Razaleigh telah mencabar Dr Mahathir dalam pemilihan parti sebagai Presiden UMNO. Disebabkan tu juga UMNO dah terbahagi kepada dua team iaitu Team A dan Team B.
Team A diketuai oleh Dr Mahathir dan Team B dipimpin oleh Tengku Razaleigh. Tun Musa Hitam yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak meletakkan jawatan pada 1986 untuk bersama Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan Dr Mahathir.
Hasilnya, Dr Mahathir menang dalam pertembungan itu mengalahkan Tengku Razaleigh dengan mejoriti tipis 43 undi, manakala Musa Hitam kalah dengan Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri) dengan beza 40 undi.
Walaupun begitu, keadaan politik UMNO masih bergolak bila berlakunya perpecahan dalam parti. Penyokong Tengku Razaleigh ketika tu ambil tindakan undang-undang terhadap UMNO yang akhirnya menyaksikan parti itu diharamkan pada 4 Februari 1988.
Dari apa yang berlaku ini, boleh dikatakan kedudukan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu dalam keadaan genting.
2. Isu perkauman dan sensitif yang berleluasa
Menurut laporan kertas putih Ops Lalang (Kertas Putih Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara), pihak polis bertindak demikian kerana untuk mengelakkan rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dari berulang.
Sebenarnya sejak awal 1980-an, pelbagai isu perkauman telah dibangkitkan. Antaranya adalah apabila rancangan Kerajaan Negeri Melaka memindahkan tanah perkuburan Bukit Cina untuk tunjuan pembangunan. Perkara ini mendapat bantahan dari pelbagai pihak hingga menyebabkan ia menjadi isu politik dan perkauman.
Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan kerajaan untuk memajukan Bukit Cina sebagai satu usaha untuk memusnahkan jasa-jasa kaum Cina dan mengancam kebudayaan kaum Cina. DAP juga dah bertindak menyebarkan poster yang ada slogan ‘Bukit Cina Warisan Sejarah Cina’ dan mengumpulkan 200 ribu tandatangan untuk menentang rancangan itu.
Selain itu, isu pendidikan jugak menjadi faktor utama kebangkitan sentimen perkauman ini. Ia bermula bila Anwar Ibrahim selaku Menteri Pelajaran menempatkan guru-guru yang bukan dari pendidikan Mandarin untuk menjadi guru Penolong Kanan dan Penyelia Petang kat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, SRJK(C).
Hal ni mendapat bantahan dari DAP, MCA dan beberapa pertubuhan/persatuan Cina. Kemuncaknya, satu perhimpunan diadakan kat Tokong Theao Hou, Kuala Lumpur. Dalam perhimpunan ini, Naib Presiden MCA, Lee Kim Sai dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang adalah antara yang lantang mendesak kerajaan menyelesaikan masalah ini. Perhimpunan tu jugak membuat beberapa resolusi termasuk tindakan mogok kelas selama 3 hari.
DAP turut bertindak membantah tindakan Universiti Malaya yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar subjek mata pelajaran pilihan. Selain tu, polisi ‘Satu Bangsa, Satu Budaya‘ dari kerajaan juga mendapat bantahan kerana disifatkan boleh menjatuhkan kedudukan budaya kaum lain.
3. Gerakan mengkristiankan orang Melayu dan Islam
Selain itu, satu gerakan yang dipimpin oleh Neglected People’s Workers (NPW) didakwa terlibat dalam usaha mengkristiankan orang-orang Melayudan dilaporkan dah berjaya mengkristiankan 7 orang Melayu. NPW ni ditubuhkan pada 1984, dan diketuai oleh Philip Cheong, seorang Penyelia Insuran.
Modus operandinya adalah dengan cara melantik seorang pemuda Melayu, Jamaluddin Othman @ Yeshua Jamaluddin yang mendapat pendidikan Kristian kat Far Eastern Biblical College, Singapura untuk berdakwah kepada orang Melayu.
Mereka didakwa menggunakan cara halus dengan melibatkan cara hidup Melayu dalam dakwah mereka, macam duduk kat lantai masa beribadat, guna rehal bila baca bible dan pakai pakaian Melayu seperti songkok, baju Melayu dan kain pelikat bila beribadat.
Mereka juga dikatakan nak bina gereja dengan reka bentuk masjid. Seorang lelaki bernama Kamaluddin Hj Tahir tampil mengaku yang dia ni dah jadi paderi dan hebohkan kejayaannya mengkristiankan orang Melayu.
Isu ni jadi lebih panas bila Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Yusuf Rawa turut buat dakwaan bahawa 66,000 orang Melayu telah dimurtadkan. Dewan Pemuda Pas Pusat pula menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Anti-Kristianisasi dengan membuat kempen penerangan seperti seminar, rapat umum dan sebarkan risalah berkenaan isu Kristianisasi.
DAP dalam masa sama – buat laporan polis pasal jawatankuasa baru PAS tadi, sebab dianggap sebagai menghina agama lain. Lepas itu, muncul pula satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Jundullah‘. Kumpulan yang terdiri dari ramai penyokong PAS ni didakwa mahu mewujudkan pemerintahan Islam melalui tindakan militan. Tapi penubuhan kumpulan ni tak dapat restu dari PAS.
4. Ada kegiatan yang cuba sebarkan fahaman komunis
Sebelum Perjanjian Damai 1989, kegiatan komunis di Malaysia masih berjalan walaupun tak berapa aktif. Jadi kerajaan masih berjaga-jaga dengan fahaman komunis dan cuba menghalang ideologi ni dari berkembang.
Kerana tu juga kerajaan ambil tindakan tegas terhadap satu gerakan Komunis yang dipercayai memberi ancaman kepada kerajaan dan negara. Gerakan ni dipelopori oleh beberapa orang yang telah menerima fahaman Marxist masa belajar kat Amerika Syarikat, United Kingdom dan universiti tempatan.
Mereka ni didakwa menghasut masyarakat dengan mengatakan kemiskinan, penderitaan dan ketidakupayaan mereka selama ini berpunca daripada penindasan sistem yang ada di negara ini. Kesannya, beberapa individu ditangkap, antaranya adalah Dr Mohd Nasir Hashim, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Chee Heng Leng, pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia).
Malah, terdapat dakwaan yang mengatakan 2 orang pelajar Melayu, Hishammudin Rais dan Muhammad Yunus Ali telah pergi ke Beijing pada Januari 1980, untuk bertemu dengan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng. Dalam pertemuan tu, dikatakan Chin Peng ada bagi cadangan kepada mereka untuk tubuhkan Kumpulan Bersenjata Melayu, yang akan diberi latihan oleh PKM.
5. Peristiwa amok di Jalan Chow Kit
Keadaan panik di Kuala Lumpur terjadi pada 18 Oktober 1987, apabila seorang anggota renjer, Prebet Adam bertindak melepaskan tembakan rambang kepada orang ramai di Jalan Chow Kit. Dilaporkan 3 orang terbunuh dalam kejadian itu.
“Kalau tuan puan masih ingat lagi pada tahun 1987, peristiwa Prebet Adam Jaafar mengamuk…dia lepaskan beberapa tembakan di Kampung Baru. Tapi sekolah semua tutup di seluruh Selangor ni, sebab orang takut, orang curiga, orang semua lari ke kedai-kedai beli barangan untuk disimpan.” – Tun Hanif Omar, Bekas Ketua Polis Negara.
Ada beberapa versi cerita pasal kenapa Prebet Adam ni mengamuk. Tapi kalau ikut laporan, Prebet Adam ni sebenarnya alami tekanan perasaan sebab dibuli dan didera masa dalam kem tentera. Mahkamah lepas tu buat keputusan supaya Prebet Adam dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dan pertuduhan terhadapnya digugurkan.
6. Keadaan negara makin tak terkawal dan api perkauman yang makin menebal
Kesan dari peristiwa-peristiwa ini membuatkan sentimen perkauman semakin menebal. Pemuda UMNO melalui Anwar Ibrahim (Menteri Pelajaran) dah rancang untuk buat satu perhimpunan raksasa yang melibatkan 500 ribu orang untuk melawan perhimpunan yang diketuai oleh MCA dan DAP tadi (baca point #2). Tapi rancangan itu tak diluluskan oleh kerajaan.
Masa DAP buat demonstrasi di UM pulak, berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan pelajar seperti ‘Cina balik Tongsan’ dan ‘Melayu balik Indonesia’. Lepas tu, pelajar-pelajar Melayu dah adakan tunjuk perasaan tanpa kebenaran di UM. Belum habis lagi tu, DAP pula buat mogok lapar kat depan pintu masuk UM.
Beberapa pertubuhan Cina selepas itu bertindak mengeluarkan satu memorandum (Joint Memorandum On National Culture) yang menyoal kedudukan kebudayaan Melayu sebagai asas kebudayaan Malaysia. Keadaan bertambah panas bila Konvensyen MCA Selangor mengeluarkan satu resolusi yang menafikan hak istimewa orang Melayu. Resolusi itu berbunyi:
“Berdasarkan fakta sejarah, tiga kaum utama Malaysia berasal dari negara-negara luar. Oleh itu, tiada sesiapa dari antara mereka yang boleh digelarkan sebagai pendatang dan mendakwa mereka sebagai penduduk asal negara ini.” – Resolusi MCA Selangor, 2 Nov 1986.
Akibatnya, pada 11 Nov 1986 – Pemuda UMNO telah mengadakan satu perhimpunan di PWTC untuk mendesak Naib Presiden MCA, Lee Kim Sai dipecat dari kabinet dan kedudukan MCA dalam BN dikaji.
Tindakan DAP dan MCA yang membuat perhimpunan kat Tokong Theao Hou, dibalas oleh pemuda UMNO dalam perhimpunan besar-besaran di Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur yang disertai oleh beberapa pertubuhan Melayu dan pertubuhan pelajar. Ketika demonstrasi ni, mereka menyebut perkataan-perkataan provokasi seperti:
- Lucutkan Kerakyatan Penentang DYMM Raja-raja Melayu
- Anwar Jangan Takut Cina
- 13 Mei Kini Bermula
- Basah ia (Kris) Dengan Darah Cina
Semua perkara ni membuatkan keadaan politik dan hubungan kaum di Malaysia huru-hara. Akhirnya, ia sampai ke kemuncak, bila peristiwa Prebet Adam mengamuk berlaku sehari selepas demonstrasi pemuda UMNO itu.
Jadi, siapa yang bertangungjawab dengan Ops Lalang ni?
Kesan dari Ops Lalang menyaksikan 4 lesen akhbar tempatan dibatalkan iaitu The Star, The Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan. 106 orang ditahan di bawah ISA, 50 dibebaskan selepas dua bulan dan akhirnya tinggal 33 yang masih ditahan ketika itu.
Antara mereka yang ditahan adalah:
- Lim Kit Siang -Setiausaha Agung DAP
- Chandra Muzaffar – Presiden Aliran
- Karpal Singh – Timbalan Pengerusi DAP
- Chan Kit Chee – Naib Presiden MCA
- Kua Kia Soong – Ketua Publisiti Jawatankuasa Hak Awam
- Lim Fong Seng – Pengerusi Dong Jiao Zhong (Persatuan Pendidikan Cina)
- Halim Arshat – Ketua Pemuda PAS
- Mohamed Sabu – Pemuda PAS
- Ibrahim Ali – Ahli Parlimen Pasir Mas, UMNO
- Mohamed Fahmi Ibrahim – Exco Biro Pendidikan Pemuda UMNO
- Sim Mow Yu – Pakar pendidikan Cina
Walaupun dah berpuluh tahun berlalu, masih ada cakap-cakap mengenai siapa sebenarnya yang bersalah dalam operasi ni. Pada 2014, Penasihat DAP, Lim Kit Siang gesa Dr Mahathir minta maaf kepada semua mereka yang ditahan masa Ops Lalang termasuk dirinya sendiri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir kata yang dia tak terlibat dalam menyuruh atau menyenaraikan nama mereka yang harus ditangkap, sebaliknya polis yang bertanggungjawab menasihatkannya. Tun Hanif Omar (Ketua Polis Negara ketika itu), mengakui kata-kata Dr Mahathir, dengan kata keadaan negara selepas peristiwa Prebet Adam mengamuk, membuatkan polis terpaksa bertindak untuk mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 dari berulang.
“Untuk mengatasi masalah ini, maka dikemuka kepada saya senarai (nama). Jadi sehari selepas tu, senarai dapat kepada saya, ramai (nama). Saya kata cuba kurangkan, maka itulah senarai yang saya dapat, dalam 104. Saya pun dengan Tan Sri Rahim (bekas Ketua Polis Negara) pergilah berjumpa dengan Tun Mahathir dan nyatakan ‘kami terpaksa ambil tindakan ini secepat mungkin’. Tun Mahathir tak setuju!
____
Jadi ramai orang yang menyalahkan dia (Dr Mahathir), selama ini menyalahkan dia. Sungguhpun saya dah nyatakan dua tiga kali, bukan dia yang mengarahkan.” – Tun Hanif Omar, Bekas Ketua Polis Negara.
Selain tu, Tun Hanif ada kata sejak Dr Mahathir ambil alih jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir memang tak nak guna ISA. Jadi tindakan mereka yang tuduh beliau dalang Ops Lalang adalah salah sebenarnya.
“Jadi saya cakap pada Dr Mahathir: ‘Datuk Seri saya minta maaf, ini bukan peranan Datuk Seri, bukan kuasa Datuk Seri, ini peranan saya, kuasa saya dan kewajiban saya‘. Tun Mahathir memang tak suka pemakaian ISA!
______
Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (Timbalan Perdana Menteri) beritahu pada saya: Hanif, kamu jangan pakai ISA, Dr Mahathir tak berkenan.” – Tun Hanif Omar, Bekas Ketua Polis Negara.
Bagaimanapun, Mohamad Sabu yang juga kena tangkap masa tu, mempertikaikan kata – kata Dr Mahathir, dia kata kalau Dr Mahathir sebut yang dia tak masuk campur urusan polis, kenapa beberapa ahli politik BN tak ditangkap.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Ketua Pemuda Umno pada masa itu bertempat di Stadium TPCA, Kampung Baru menyeru orang Melayu supaya membasahkan keris dengan darah orang Cina.
_____
Lee Kim Sai pula pada masa tersebut menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina. Kesemua mereka tidak pula ditahan semasa Operasi Lalang.” – Mohamad Sabu, Keadilan Daily.
Dia juga mendakwa yang Dr Mahathir arahkan Najib ke Jakarta dan Lee Kim Sai ke Australia untuk elak ditangkap. Nampaknya, masih ada percanggahan antara Dr Mahathir/polis dan pihak yang ditangkap.
Tapi itu semua perkara yang dah berlalu. Sekarang kita boleh nampak yang Dr Mahathir duduk semeja dan berucap sepentas dengan mereka yang pernah ditahan ketika Ops Lalang.
Walau apapun, Ops Lalang akan tetap menjadi sejarah yang akan tetap diingati dalam sistem politik dan pentabiran di Malaysia. Dr Mahathir sendiri menulis dalam bukunya:
“Tidak syak lagi Ops Lalang menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran di Malaysia. Tapi ia mengajar kita satu pengajaran. Jika kita tak ada lagi operasi seperti Ops Lalang, ia bermakna kerajaan dan rakyat belajar darinya.” – Tun Dr Mahathir, Memoir Tun Dr Mahathir, p558.
Bacaan tambahan:
- Peristiwa berdarah di Memali, dua versi cerita yang berbeza
- Rusuhan yang berlaku SEBELUM 13 Mei (yang kita jarang dengar)
- Sejarah ringkas hubungan Tun M dan Anwar Ibrahim
- 609Share sekarang!
- Email55
- Facebook554
- Share