- 872Share sekarang!
- Email154
- Facebook718
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada tahun 2016 dan telah diubah suai mengikut perkembangan semasa.
UPDATE 22/10/2020: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menggempur pusat penyebaran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di Skudai dalam masa terdekat. Ia berikutan dengan kenyataan dari laman web HTM yang mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan Ketua Polis Johor memfitnah pertubuhan tu bercanggah dengan Islam.
Sedangkan, ajaran pertubuhan itu memang telah difatwakan menyeleweng oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Penang.
_________________
Pada tahun 2018 – Mahkamah telah mengekalkalkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua orang pengikut ajaran Tuhan Harun, atas kesalahan membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013. Bagaimanapun, hukuman ke atas ‘Tuhan Harun’ digugurkan selepas dia meninggal dunia pada tahun 2016.
Dalam pada itu, kita juga pernah dikejutkan dengan ajaran Ayah Pin yang mendakwa dirinya memimpin ‘Kerajaan Langit’ pada sekitar tahun 2000-an. Punyalah power pengaruh Ayah Pin, sampai dia ada ribuan pengikut termasuklah warga asing dan golongan profesional.
Kerajaan Langit mungkin antara ajaran sesat paling terkenal, tapi sebenarnya ada banyak lagi ajaran lain yang pernah menular kat Malaysia ni. Sebelum kitorang cerita pasal ajaran tu semua, jom kita tengok apa erti ajaran sesat:
“Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang Islam dan juga orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah,
bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli Sunnah Waljamaah.” – Suhaizad bin Saifuddin, Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Unisza. Klik sini untuk baca fail PDF.
Dan ajaran-ajaran yang telah diisytiharkan sesat oleh kerajaan termasuklah:
1. Ajaran Taslim yang mengadakan nikah batin
Ajaran Taslim diasaskan pada tahun 1870-an oleh Haji Muhammad bin Shafie yang juga dikenali sebagai Haji Muhammad Matahari, bermula di Kampung Seronok, Pulau Pinang. Punyalah seronok ajaran ni buat peraturan sendiri termasuklah puasa dan solat hanya dengan niat tanpa amalan dan buat haji bukan di Mekah, tapi kat Kampung Seronok.
Haji Muhammad Shafie atau juga dikenali sebagai Haji Muhammad Matahari juga menggelar dirinya sebagai pengganti Rasulullah s.a.w setelah baginda wafat. Ajaran ini turut mengamalkan nikah batin yang seterusnya mengharuskan penzinaan melalui konsep itu. Erk…
2. Ajaran “Rasul Melayu” yang kata Rasulullah tu nabi untuk orang Arab jer
Satu Malaysia mula gempar dengan lelaki bernama Abdul Kahar Ahmad ni bila dia buat pengakuan terbuka yang mendakwa dirinya telah dilantik oleh Tuhan untuk menjadi rasul orang Melayu. Pada hari yang sama jugak Kahar terus ditahan oleh pihak berkuasa.
Mengikut maklumat daripada blog, pihak berkuasa dah isytiharkan yang ajaran ni sesat pada tahun 1991 lagi dah sebenarnya. Antara ajaran yang disebarkan oleh Abdul Kahar adalah bahawa Rasulullah hanyalah untuk orang Arab je, dan surah Yassin diturunkan khas untuk dirinya. Korang boleh tengok sendiri video kat bawah ni untuk melihat sidang akhbar yang dibuat Abdul Kahar:
Apa yang kelakar, sewaktu serbuan dibuat ke atas Abdul Kahar pada 2005, dia kantoi tak puasa:
“Semasa kita nak tangkap, dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita nak tahan dia cuba nak lari tapi kita berjaya kepung. Rasul Melayu pun tak puasa.”- Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS.
Kahar mengaku bersalah atas lima pertuduhan termasuk penyebaran doktrin palsu. Bukan tu jer, dia membuat permohonan maaf terbuka kepada raja-raja Melayu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), jabatan mufti atas perbuatannya.
”Saya mohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu khususnya Sultan Selangor atas keterlanjuran dan pendapat batil yang saya lakukan dan menghina agama Islam yang maha suci.
___
Saya telah bertaubat nasuha dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Untuk habiskan baki umur saya, saya berjanji menjadi seorang Islam yang soleh berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah. – Kahar Ahmad, dipetik dari Utusan.
3. Ajaran ni berjaya rekrut 5 juta pengikut di seluruh dunia!
Mengikut laman komuniti Baha’i Malaysia, pengasas agama ini iaitu Bahá’u’lláh adalah merupakan pesuruh Tuhan selepas Ibrahim, Musa, Buddha, Krishna, Zoroaster, Kristus dan Muhammad. Dorang ni sangat mementingkan kesamaan tak kira agama, negara mahupun ekonomi dalam menghasilkan sebuah tamadun yang universal.
Kat Malaysia, ajaran ni dah lama bertapak terutamanya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tapi kerajaan bertindak tegas untuk menghentikan ajaran ni. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri bertindak mengharamkan lima buah buku yang antaranya ada melibatkan ajaran Baha’i.
Satu blog mengatakan yang antara ajaran yang disebarkan Baha’i adalah mempercayai yang Nabi Isa mati disalib, menolak wujudnya malaikat, syurga, negara dan segala bentuk mukjizat, serta memansuhkan agama Islam. Korang boleh lawat laman rasmi Baha’i untuk mengetahui kepercayaan yang dorang ikut.
Walaupun masih mempunyai pengikut di seluruh dunia, Malaysia telah banyak mengeluarkan fatwa yang mengharamkan umat Islam di negara ini daripada mengamalkan ajaran Baha’i kerana ia boleh membawa kepada murtad.
4. Ajaran yang menyeru manusia mengikut ajaran Nabi Ibrahim
Menurut info yang kami dapat, ajaran Millah Abraham datangnya dari Indonesia yang mendakwa Islam di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW sudah berakhir sewaktu zaman kejatuhan Islam tahun 1324H. Antara kepercayaan lain dorang termasuklah:
- Percaya adanya rasul selepas Nabi Muhammad
- Mensyirikkan sesapa yang tak ikut ajaran dorang
- Menggunakan Taurat dan Injil di samping al-Quran (terjemahan) sebagai panduan
- Meninggalkan solat fadhu lima waktu dan solat Jumaat
Kat Malaysia, ajaran ni dikatakan telah mengumpul sehingga 5,000 orang pengikut. Usaha mengesan penganut-penganut ajaran ni sedang digiatkan daripada di Sarawak sehinggalah ke Semenanjung.
“Mereka (pengikut ajaran sesat Millah Abraham) mengaku bukan beragama Islam kerana mendakwa Islam bukan agama yang asli tetapi menganggap Millah Abraham adalah agama sebenar yang kononnya ajaran Nabi Ibrahim selain tidak makan daging sembelihan orang Islam.
___
Terdapat enam fasa dalam ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi, kedua adalah dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini,
___
ketiga fasa hijrah serta fasa keempat adalah jihad kita iaitu bunuh orang yang tidak mengikut ajaran mereka, fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri dan keenam menubuhkan negara.” – Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dipetik dari Sinar Harian.
Secara rasminya, Ajaran Millah Abraham telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor tahun lepas kerana dilihat ajarannya bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Kerajaan masih dalam usaha untuk menahan pengikut ajaran ini yang masih belum dikesan.
5. Ajaran yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan yang turun menyampaikan wahyu
Sebagai penutup, dah tentulah kita tak lupa pasal ajaran Ayah Pin (nama sebenar Ariffin Mohammad) yang punyalah meletup satu masa dulu. Kalau kat pemimpin bagi ajaran-ajaran lain dalam list ni semua mengaku dorang adalah rasul, Ayah Pin lagi up sebab dia mengaku dirinya adalah tuhan.
Yang pelik bin ajaibnya, pengikut-pengikut Ayah Pin bukan je datang daripada warga asing dan golongan profesional, malah daripada golongan paderi dan sami.
“Saya percaya Ayah Pin adalah bomoh dan pengamal ilmu hitam berdasarkan penemuan benda-benda aneh di markasnya seperti tempayan berisi debu tulang haiwan. Biasanya orang akan cepat terpengaruh jika dapat melihat sendiri kehebatan seseorang bomoh itu.” – Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, dipetik dari Utusan.
Benda yang menjadi tarikan seluruh dunia mengenai ajaran Ayah Pin ni adalah struktur binaan besar yang menjadi simbolik kepada gerakan tu, termasuklah teko gergasi yang dikatakan menjadi lambang rahmat yang dicurahkan kepada manusia.
Bangunan lain termasuklah payung gergasi, replika kapal Nabi Nuh, makam Mohammad Ya dan sebagainya hingga ada yang mengagak kos untuk buat semua bangunan ni bernilai lima juta. Celah mana la Ayah Pin dapat duit.
Antara ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Ayah Pin yang boleh buat korang sakit kepala membacanya:
- Setiap kali Sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan
- Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin
- Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segala kunci-kunci akhirat
- Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang
Setelah lama ajaran Ayah Pin difatwakan sebagai sesat, ada yang mengatakan perkampungan Kerajaan Langit kat Terengganu tu tiba-tiba kembali aktif. Tapi seperti yang kita baru tahu, kini Ayah Pin telah disahkan meninggal dunia pada umurnya 74 tahun.
Semak dulu sebelum korang terjebak!
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada menyediakan portal untuk korang semak fatwa (sekarang ni tengah offline) yang dikeluarkan tentang ajaran-ajaran sesat ni. Jadi kalau korang terbaca apa-apa ajaran yang macam buang tebiat, jangan lupa tanya guru-guru yang berilmu sebelum tersimpang!
- 872Share sekarang!
- Email154
- Facebook718
- Share