Kenapa anak syarikat MBI Selangor dapat konsesi kutip caj parking kat Selangor? Ada udang di sebalik mi ke?

Haritu, Kerajaan Negeri Selangor buat pengumuman akan lantik sebuah syarikat swasta untuk uruskan kutipan caj parking di 4 buah kawasan di Selangor.

Syarikat yang dilantik tu adalah Rantaian Mesra Sdn Bhd dan 4 buah kawasan itu berada di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Benda ni jadi persoalan di kalangan netizen dari segi soal ketelusan pelantikan syarikat ni dan juga kenapa tiba-tiba Kerajaan Negeri nak bagi syarikat swasta pulak kutip caj parking sedangkan selama ni elok je PBT yang kutip

Haa… kat sini sebenarnya yang korang silap. Sebab…

Parking kat Selangor dah diswastakan sejak 1996 lagi

Ya. Korang tak silap baca. Mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya benda ni tapi takpe, kami terangkan kat korang. Penswastaan pengurusan tempat letak kereta ni dah dibuat sejak tahun 1996 lagi.

Ada dua syarikat yang dapat konsesi selama 20 tahun untuk urus benda ni iaitu Suasa Efektif (M) Sdn Bhd dan Godell Parking Sdn Bhd. Carian kami tunjuk yang dua syarikat ni uruskan kawasan yang lebih banyak berbanding syarikat baru yang akan dilantik ni:

Tangkap layar daripada Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor

Untuk sesetengah PBT, tempoh konsesi untuk Suasa Efektif dah berakhir pada 2019 manakala untuk Godell Parking pulak adalah pada 2018. Jadi sejak tamat konsesi kat tempat tertentu tu, kutipan caj parking dikendalikan oleh PBT sendiri. Sehingga Jun 2025, lima buah PBT masih lagi urus tempat letak kereta melalui konsesi.

Jadi pada awal tahun ni, Kerajaan Negeri Selangor pun keluarkan ‘Request for Proposal’ (RFP) kepada syarikat yang berminat untuk dapatkan konsesi parking ni sekaligus menafikan khabar angin yang kata benda ni tak melalui proses tender. Menurut BH Online, Datuk Ng Suee Lim kata ada 26 syarikat yang berminat untuk perkara ni sebelum tiga syarikat terpilih untuk disenarai pendek. 

Untuk tahu lebih lanjut kami pun cuba la cari maklumat pasal RFP tu. Dalam sistem tender kerajaan Selangor, kami tak jumpa. Tapi disebabkan tak puas hati, kami cari lagi dan jumpa post ni:

Kami screenshot ni daripada Instagram Pejabat SUK Selangor

Tarikh yang ada dalam iklan tu memang tunjuk yang RFP tu perlu dimohon antara 8-22 Januari, awal tahun ni. Selain daripada hantaran ni, kami tak jumpa benda lain. Jadi kita anggap je yang tender tu memang wujud dan proses pemilihan syarikat tu bersih, cekap dan amanah #husnuzon 😌.

Cuma ada plot twist…

Syarikat Rantaian Mesra ni sebenarnya bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor.

Disebabkan curious Rantaian Mesra ni syarikat apa dan nak tengok kenapa dia yang dapat tender ni jadi kami pun kerja la lebih masa waktu hujung minggu untuk korek dengan lebih dalam pasal benda ni.

Dengan dunia yang serba moden ni, kami pun cari jelah kat internet. Dan bila kami type je nama syarikat ni kat google, benda yang pertama keluar adalah benda yang ni:

“Kenapa syarikat swasta ada dalam website kerajaan negeri” kucing penulis tanya.

Jadi, berbekalkan duit daripada editor kami, Badd yang hensem, kami semak syarikat ni kat SSM dan rupa-rupanya Rantaian Mesra ni subsidiari kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor:

Kejap. MBI ni apa pulak? Menteri Besar Selangor (Incorporated), atau ringkasnya MBI Selangor, ialah badan pelaburan rasmi milik penuh kerajaan negeri Selangor. Dari jaga aset negeri, urus pelaburan, sampai ke projek pembangunan yang besar-besar diorang yang uruskan. Kiranya kalau kerajaan negeri nak buat sesuatu yang libatkan duit, harta, atau projek jangka panjang, MBI lah yang akan main peranan utama.

Walaupun bunyi macam sama tapi bukan diorang ni. Ni Men In Black

Tapi MBI bukan sekadar syarikat pelaburan biasa. Dia juga terlibat dalam program kebajikan dan pembangunan rakyat. Contohnya, MBI urus inisiatif rumah mampu milik, bantuan bencana, pendidikan, dan lain-lain. Dalam erti kata lain, MBI ni gabungan antara syarikat korporat dan badan kebajikan. Namun, matlamat dia tetap satu: nak pastikan hasil kekayaan negeri kembali kepada rakyat Selangor.

Walaupun bunyi macam kroni, tapi sebenarnya benda ni bolehkan kerajaan negeri untuk pantau konsesi ni dengan lebih dekat. Perjanjian konsesi ni juga melibatkan 3 pihak iaitu PBT, Rantaian Mesra Sdn Bhd dan syarikat konsesi swasta. Kenapa diorang nak libatkan MBI dalam konsesi ni? Jawapannya adalah…

Sebab diorang dah pernah buat macam ni untuk benda lain dan berjaya

Datuk Ng Suee Lim dalam sidang media. Dia tengah terangkan bukan tengah berdoa. Imej dari Bernama

Dalam sidang media pada 15 Julai, Datuk Ng Suee Lim ada nyatakan yang lantikan konsesi ni adalah untuk seragamkan sistem kutipan parking. Diorang guna model yang sama dengan KDEB Waste Management yang kutip sampah kat Selangor ni yang turut libatkan MBI.

Syarikat ni ditubuhkan oleh MBI sendiri pada tahun 2016 untuk ambil alih dan urus kutipan sampah serta pembersihan awam di Selangor. Sebelum ni, kerja-kerja tu banyak dibuat secara berasingan oleh PBT atau syarikat swasta yang dilantik sendiri. Tapi bila MBI masuk campur melalui KDEB, semuanya jadi lebih tersusun dan ada sistem pemantauan, teknologi digital, dan struktur yang lebih jelas.

selangor
Lori sampah KDEB. Korang boleh jugak letak ex korang dalam ni. Imej Business Today Malaysia

Dalam kes ni, MBI bertindak bukan setakat sebagai “pemilik” KDEB, tapi juga penyelaras antara kerajaan negeri, PBT dan syarikat operator. Kenapa penting? Sebab model macam ni bagi kerajaan negeri lebih kawalan, dan rakyat pula dapat perkhidmatan yang lebih cekap.

Jadi sekarang, diorang nak cuba benda yang sama dalam pengurusan caj parking ni. Rantaian Mesra bukan buat semua benda sendiri. Dia akan lantik syarikat operator yang urus operasi harian, macam pemasangan sensor, sistem pembayaran, dan pemantauan tempat letak kereta. Rantaian Mesra pula bertindak sebagai penyelaras dan pemegang konsesi utama yang jaga standard.

Jadi benda ni bagus ke tak?

Isu ni turut tarik perhatian beberapa ahli parlimen antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung. Dia tak setuju dengan perkara ni. Katanya, kalau MBPJ sekarang boleh dapat hampir semua hasil kutipan parking, kenapa tiba-tiba nak kena kongsi 50% kat syarikat swasta?

 Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung

Beliau juga ingatkan yang Selangor pernah cuba buat benda ni dulu tapi akhirnya syarikat tu gulung tikar dan MBPJ kena saman RM7.2 juta. Beliau mintak yang projek ni tangguh dulu supaya dapat pastikan PBT tak rugi di kemudian hari.

Tapi menurut Datuk Ng Suee Lim, kalau projek konsesi ni berjaya, ia akan dapat selaraskan sistem tempat letak kereta di Selangor dibawah sistem Smart Intelligence Parking yang melibatkan tempat letak kereta secara bersepadu di seluruh PBT.

Syarikat konsesi juga akan bertanggungjawab menyediakan lebih 1,800 buah CCTV di 4 buah PBT tu dengan jumlah pelaburan RM200 juta dan juga sistem lain termasuk penggunaan AI.

Semestinya bukan AI yang di sebelah kiri yang akan digunakan di tempat letak kereta nanti

Selain tu, PBT masih lagi badan yang kuat kuasakan undang-undang. Maknanya PBT masih lagi akan bagi saman kat korang kalau korang parking ikut suka je. Cuma diorang dah tak payah dah kisah pasal mesin parking rosak, petak parking hilang dan lain-lain.

Jadi kalau kena dengan gayany, memang pendapatan PBT akan lagi meningkat la sebab tak payah urus dah tempat letak kereta tapi cuma buat penguatkuasaan je. Jumlah 60% yang dijangka tu menurut Datuk Ng Suee Lim, adalah sebagai penanda aras untuk Rantaian Mesra dan konsesi ni boleh dibatalkan kalau tak capai target tu dalam masa beberapa tahun. 

Adakah dengan MBI terlibat, benda ni akan berjaya?

Apa pun, isu sebenar bukan sangat pasal ‘swasta ke tak swasta’, tapi lebih kepada persoalan ketelusan dan kecekapan diorang urus benda ni. Kalau dari awal kerajaan negeri dah terbuka tunjuk semua dokumen tender, siapa mohon, siapa terpilih, dan kenapa, mungkin tak akan timbul isu ni.

Bila ada duit rakyat terlibat, mestilah rakyat nak tahu ke mana hala tuju duit tu, siapa yang dapat, dan sama ada sistem tu betul-betul menguntungkan PBT atau tak.

Jadi sekarang, kita tunggu dan lihat je la macam mana pelaksanaan sistem ni berjalan. Adakah kutipan betul-betul meningkat? Adakah sistem parking jadi lebih lancar atau makin serabut? Dan paling penting, adakah syarikat yang dilantik betul-betul deliver atau cuma jadi orang tengah? Kalau berjaya, baguslah. Tapi kalau gagal, harap kerajaan negeri sedia bertanggungjawab sebab dalam isu ni, tak cukup kalau sekadar cakap “semuanya ikut prosedur”.

About Hafiz Sabran 24 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"