- 588Share sekarang!
- Email35
- Facebook553
- Share
*Artikel ini diterbitkan pada 22 Mac 2021*
Sebenarnya isu wanita atau lelaki transgender sangat menimbulkan kontroversi dalam kalangan rakyat kita, lebih-lebih lagi pasal LGBT. Sebelum ni juga kita dikejutkan dengan kes Sajat yang banyak kali mengaku dia adalah khunsa dan membuat keputusan untuk keluar Islam.
Namun, disebalik isu kontroversi wanita/lelaki transgender pada waktu ini, terselit satu kisah atau isu hangat mengenai seorang khunsa yang berlaku 46 tahun lalu. Mungkin generasi kita tak tahu, tapi mak bapak kita mesti pernah dengar mengenai isu ini.
Pada 1975, Malaysia dikejutkan dengan seorang lelaki yang menukar jantina dan mengubah namanya dari Mohd. Fauzi bin Abdul Karim kepada Cik Sari Kartina binti Abdul Karim.
Kalau korang nak tahu, Kartina ini sejak kecil lagi mempunyai…
Tingkah laku dan bersifat keperempuanan
Seorang anak kelahiran Jalan Padang Tiga, Stulang Baru, Johor, Mohd. Fauzi bin Abdul Karim (24 tahun, pada masa 1975 la) telah mengejutkan jutaan rakyat Malaysia ketika 46 tahun yang lalu. Hal ini kerana dia merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menjalani pembedahan menukar jantina dan mengubah namanya kepada Cik Sari Kartina binti Abdul Karim.
Menurut kakaknya, Cik Sarah, sejak dari kecil lagi Kartina mempunyai sifat dan perangai seperti seorang perempuan.
“Ketika umurnya meningkat 13 tahun, kelakuannya terus berubah. Dia tidak mahu langsung mencampuri orang lelaki, sekalipun adik-beradiknya sendiri.” – Cik Sarah, dipetik dari Newspaper SG.
Kartina merupakan seorang pelajar di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johore Bharu) dan lepastu dia melanjutkan pelajaran dalam bidang pengangkutan di Institut Teknologi Mara (ITM) (sekarang dipanggil UiTM). Tapi tu la, dia ni tak lama belajar di ITM ni kerana tak selesa bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki.
“Saya terpaksa meninggalkan ITM setelah menuntut dua tahun setengah kerana keadaan diri saya yang tidak cocok pada pelajar-pelajar lelaki.” – Sari Kartina, dipetik dari Newspaper SG.
Lepas tu, Kartina membuat keputusan untuk pergi ke Indonesia untuk mencari pekerjaan dan tak lama kemudian, dia pun berjaya mendapat kerja sebagai guru menari di sebuah agensi hiburan.
Selama dua tahun Kartina bekerja (iaitu pada 1970 hingga 1972), dia telah terbang ke Singapura untuk menjadi seorang penyambut tetamu di sebuah hotel. Korang nak tahu tak, selama dia bekerja di Singapura dan Indonesia, ramai orang tak tahu yang dia ni ialah lelaki kerana pada masa tu dia berdandan seperti wanita (tapi masa ni belum operate lagi ye!).
“Selama berada di Indonesia dan Singapura, tidak seorangpun dari rakan-rakan menyangka saya adalah seorang lelaki ketika itu.” – Sari Kartina, dipetik dari Newspaper SG.
Pada waktu ni jugalah cinta Kartina berputik apabila dia berjumpa dengan seorang ahli perniagaan, Abdul Razak Othman, di sebuah kelab malam (kat Singapura). Info tambahan, Razak mempunyai perniagaan makanan kantin di sebuah pejabat Anson Centre, Singapura.
Sebelum ni Razak pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis tapi tak tahan lama. Walaupun sudah bercerai tapi mereka ni mempunyai seorang anak.
Kartina menyatakan hasrat untuk melakukan pembedahan jantina kepada Razak dan kekasihnya menggalakan dia supaya membuat buat pembedahan itu.
pada 24 Oktober 1974, Kartina telah menjalani pembedahan menukar jantina di Hospital Kandang Kerbau, Singapura. Pakar-pakar pembedahan di Singapura mengambil masa enam bulan bagi melihat keadaan fizikal Kartina yang sebenar sebelum dibedah.
Selepas pembedahan, Kartina tidak sedarkan diri selama tiga hari tapi lepas dua minggu tu dia pulih serta menjalani kehidupan baru sebagai seorang wanita.
Mula-mula tu Kartina ni takut juga nak bagitahu keluarganya mengenai pembedahan itu tetapi akhirnya keluarganya menerima dirinya sebagai wanita.
“Tetapi sekarang saya bersyukur kepada Allah, segala-galanya telah berlalu, lebh-lebih lagi keluarga telah menerima saya sebagai seorang wanita dengan baik.” – Sari Kartina, dipetik dari Newspaper SG.
Namun, isu kontroversi mula muncul apabila Kartina…
Ingin berkahwin & bersumpah atas nama Allah yang dia tak dipaksa untuk jadi wanita
Lepas tu, Kartina pun membuat keputusan untuk berkahwin dengan Razak (kekasihnya) kerana sayang punya pasal en. Mereka melangsungkan perkahwinan mereka melalui perjumpaan bersama Timbalan Mufti Johor iaitu Datuk Syed Alwee Abdullah di pejabatnya (kat Johor Bharu).
Perkara yang mengejutkan apabila keluarga Kartina turut hadir menyaksikan majlis pernikahan mereka. Bapaknya, Abdul Karim Anang, bekas kerani jabatan ukur, mewalikan pernikahan anaknya itu.
Sebenarnya keluarga Razak pun terkejut dengan berita perkahwinan mereka tu. Salah seorang adiknya mengatakan memang Razak ni pernah bawak seorang gadis dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan gadis itu.
Punyalah pening kepala Timbalan Mufti ni sampai beliau terpaksa melakukan perbincangan bersama beberapa orang tokoh agama sampai tiga jam tau.
Oh ye, Kartina telah menunjukkan surat akuan dari Ketua Jabatan Perbidanan dan Pembedahan Universiti Singapura, Dr. S.S Ratnam kepada Timbalan Mufti.
Bukan itu saja, Kartina turut menyerahkan surat pengakuan yang bertulis:
“Saya sesungguhnya dan bersumpah dengan nama Allah, dengan tidak dipaksa oleh sesiapapun, pada masa ini saya telah menjadi seorang perempuan dan keadaan saya seperti perempuan dan keinginan nafsu saya adalah kepada lelaki.” – Sari Kartina, dipetik dari Newspaper SG.
Korang jangan terkejut tau kerana selepas perbincangan itu, akhirnya Timbalan Mufti Johor telah bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan mereka.
Selepas perkahwinan, Kartina bercadang ingin mendapatkan anak tetapi keadaan tidak mengizinkannya. Jadi, pada masa tu dia membuat keputusan untuk mengambil anak angkat saja.
“Saya memang ingin mendapatkan anak. Bagaimanapun, saya diberitahu, dalam keadaan sekarang, saya mungkin tidak dapat hamil. Bagaimanapun, kalau saya hendakkan anak, terpaksalah saya menjalani sekali lagi pembedahan di Amerika.” – Sari Kartina, dipetik dari Newspaper SG.
Kartina juga berhasrat untuk bekerja tetapi disebabkan dalam sijilnya masih bernama Fauzi, agak susah untuk dia mencari pekerjaan.
“Saya memang berhajat untuk bekerja, tetapi oleh kerana sijil persekolahan saya masih mempunyai nama “Fauzi”, maka sukar bagi saya untuk mencari pekerjaan. Saya akan berusaha supaya nama saya dalam sijil persekolahan itu dapat ditukar dengan nama saya sekarang. Saya juga bercadang untk membuka kedai pakaian dan alat-alat solek.” – Sari Kartina, dipeik dari Newspaper SG.
Kami tahu yang korang nak tahu kenapa Timbalan Mufti Johor mengiktiraf perkahwinan mereka. Sebenarnya, semua atas sebab…
Perkembangan ilmu kedoktoran dan keinginan nafsu seseorang
Menurut Timbalan Mufti Johor, dia yakin bahawa Cik Kartina memang sudah menjadi seorang wanita sebenar. Beliau juga berkata ini semua kerana perkembangan ilmu sains dan kedoktoran.
“Hanya orang-orang yang tidak mengikuti perkembangan ilmu sains yang meluas, tidak akan percaya perkara yang telah terjadi ke atas Cik Kartina itu akan berlaku.” – Datuk Syed Alwee Abdullah, dipetik dari Newspaper SG.
Beliau berkata lagi:
“Masih ada orang-orang yang belum mahu mengakui dan mempercayai manusia telah sampai ke bulan” – Datuk Syed Alwee Abdullah, dipetik dari Newspaper SG.
Timbalan Mufti Johor berpendapat terdapat banyak perkara yang membolehkan seseorang itu menukar jantina dari lelaki kepada perempuan, jika perkara itu boleh dilakukan. Beliau berkata jika seseorang itu sah jadi perempuan, maka tiada halangan baginya untuk bernikah dengan lelaki.
Berdasarkan pandangan netizen, diorang kata Sari Kartina ni dibenarkan kahwin kerana dia ialah seorang khunsa. Ramai juga orang berkata bahawa dia ialah seorang khunsa dan bukannya trangender.
Interesting. Kiranya kalau dah mufti dengan beberapa tokoh agama masuk campur & Sari Kartina ada surat akuan dari bahagian perbidanan hospital, kemungkinan dia ni khunsa. Tak sama ya dengan trans. https://t.co/lxWrY9XcP7
— N ™🇲🇾🇵🇸🏴 (@NH2___) March 4, 2021
Should highlight. Khunsa
— Kak nis (@neesely) March 4, 2021
Dalam pada itu, Mufti Singapura, Syed Isa Semait enggan memberikan pandangan terhadap isu ini. Pada masa itu, beliau hanya berkata akan menghubungi Dr. S.S Ratnam bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pembedahan Kartina itu. Tapi setakat tu je la dan ia tergantung sepi…
“Saya kira perkara ini perlu ditinjau dengan lebih teliti lagi sebelum sesuatu keputusan dibuat” – Syed Isa Semait, dipetik dari Newspaper SG.
Agak-agak koranglah yang sedang baca artikel ni en, adakah keputusan Timbalan Mufti Johor itu berdasarkan agama dan ilmu sains atau sekadar ilmu sains semata-mata?
- 588Share sekarang!
- Email35
- Facebook553
- Share