- 93Share sekarang!
- Email1
- Facebook92
- Share
Semua sedia maklum yang kat Malaysia ni ada banyak pilihan makanan yang sedap-sedap, kalau satu makanan tu kita tak suka, ada je makanan lain yang kita boleh pilih mengikut citarasa kita. Ada juga makanan campuran atau orang barat panggil ‘fusion food‘, ini juga disebabkan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia ni.
Disebabkan itu, banyak makanan tradisi daripada kaum-kaum lain dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Ada juga yang mengambil peluang untuk mengolah makanan itu supaya mengikut citarasa mereka sendiri, salah satunya adalah Char Kuey Teow. Apa je yang telah diolah dekat Char Kuey Teow tu? Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca.
Perdebatan orang Malaysia berkenaan Char Kuey Teow
Sepanjang hidup korang, mesti korang pernah ditanya oleh kawan-kawan korang yang korang lebih suka kan Char Kuey Teow basah atau kering kan. Sebenarnya perdebatan ni dah lama dah jadi dan ia lebih kepada ‘miscommunication‘ je kalau tak silap. Kalau dekat belah orang Melayu katanya Char Kuey Teow ni kena berkuah, orang Cina pula kata Char Kuey Teow ni kena kering dan tidak patut ada kuah.
Sejujurnya lah kan, orang Malaysia selama ni mungkin tersilap dalam penamaan sesuatu makanan. Hal ini disebabkan, maksud ‘Char’ tu pun sebenarnya adalah ‘goreng’ dalam bahasa cina. Jadi kalau diterjemah terus ke bahasa melayu, ia akan menjadi Kuey Teow Goreng. So, macam mana Char Kuey Teow tu boleh jadi sinonim dengan Kuey Teow berkuah pula kan.
Dikatakan bahawa sebenarnya memang lumrah orang Melayu kita sukakan makanan yang berkuah atau lebih tepat lagi tidak terlalu kering, kita boleh tengok kebanyakan masakan Melayu mesti dilengkapi dengan benda basah seperti sup, sambal dan sebagainya. Walaubagaimana pun, ia tetap tidak boleh mengubah fakta tentang Char Kuey Teow itu sendiri, dah kalau namanya Kuey Teow Goreng mestilah tidak berkuah kan. Ada juga yang berkata kalau Kuey Teow itu mempunyai sedikit kuah, ia dipanggil Chu Kuey Teow.
“Kalau Malay cakap goreng ma, kalau Cina cakap Char ma. Kalau basah tu kita panggil Chu Kuey Teow, dia ada ayaq sikit tu panggil Chu,” – Puan Angie Ng, pemilik Kedai Kopi Bee Hwa, Pulau Pinang, petikan dari Youtube
Jadi, siapa yang menang sebenarnya kalau berbalah macam ni? Takde siapa yang menang pun, kalau mengikut peribahasa ‘Kalah jadi abu, menang jadi arang‘. Tapi still tak boleh nak salahkan sesiapa sebab itu semua adalah pilihan masing-masing, nak yang berkuah atau tidak berkuah itu semua adalah hak korang untuk memilih.
Sejarah kemunculan Char Kuey Teow di Tanah Melayu
Kita sepatutnya hentikan perbalahan sesama kita, sepatutnya kita menerima setiap perbezaan yang ada pada Char Kuey Teow. Ini kerana, dikatakan Char Kuey Teow merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia dan sentiasa menjadi pilihan apabila berkunjung di pasar malam dan juga restoran. Dikatakan juga yang sebenarnya Kuey Teow ni dibawa ke Tanah Melayu oleh kaum Tionghoa di sekitar abad ke-19.
Char Kuey Teow merupakan mee beras leper yang digoreng bersama dengan kicap, sambal, taugeh, udang, telur dan daun kucai (itu resepi paling simple la kot), senang cerita resepi Char Kuey Teow pada masa itu telah diolah oleh kaum Cina menggunakan bahan-bahan tempatan. Sebab tu kita sebagai rakyat Malaysia boleh kata yang Char Kuey Teow ni merupakan salah satu makanan kebangsaan Malaysia, sebaris dengan Nasi Lemak dan Roti Canai.
Dikatakan yang hidangan ini juga diperkenalkan pada zaman dahulu disebabkan kos untuk membuatnya adalah sangat murah, kira sama macam Nasi Kandar masa zaman dulu tu lah kot. Makanan seperti ini difokuskan sebagai makanan untuk buruh, iaitu makanan yang murah dan mengenyangkan supaya mereka mendapat tenaga yang mencukupi. Tetapi disebabkan rasanya yang unik dan lazat, ia mula popular dan menjadi makanan pilihan orang tempatan.
Kalau nak diikutkan, Char Kuey Teow tradisional yang dihidangkan oleh masyarakat kaum Cina mempunyai bahan seperti lard (lemak babi) dan resepi seperti itu masih ada lagi pada zaman sekarang dengan ‘target market‘ mereka adalah masyarakat yang bukan Islam. Itu yang menjadikan orang Melayu islam mula merevolusikan resepi Char Kuey Teow ini untuk menjadikannya halal dan boleh dinikmati oleh masyarakat Muslim di Malaysia.
Jadi sebenarnya memang kita tak boleh merasa lah Char Kuey Teow yang betul-betul original, sebab untuk menjadikan ia sebagai original, ia perlukan lard sebagai bahan utama untuk menggoreng. Tapi takpe, Kuey Teow yang tak ada lard pun sedap apa.
Perbezaan resepi mengikut penempatan dan citarasa kaum
Bila kita tengok Penang pula, memang ramai orang jual Char Kuey Toew ni dan bahan-bahan yang mereka gunakan adalah makanan laut seperti udang dan ketam. Lain pula cerita di kawasan yang tidak berada berdekatan dengan lautan, sebagai contoh di negeri Perak, mereka meletakkan kerang dalam Char Kuey Teow mereka. Ini disebabkan Perak merupakan lubuk kerang seperti di Kuala Kurau dan Kuala Sepetang.
Untuk mereka yang berada di kawasan tengah seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selalunya akan terdapat pelbagai variasi Char Kuey Teow yang berbeza dek kerana penghijrahan orang-orang dari negeri lain ke situ. Kita boleh jumpa Char Kuey Teow yang ada makanan laut, ada juga yang menjadikan ayam dan daging sebagai bahan. Tetapi, yang paling menjadi tumpuan adalah jenis Char Kuey Teow itu sendiri sama ada basah atau kering.
Selalunya, variasi yang kering selalu akan dijumpai di kawasan yang mempunyai ramai kaum Cina dan begitu juga di kawasan kaum Melayu yang mempunyai variasi basah. Pelakon KL Gangster Adam Corrie pernah sebut dalam Facebook dia yang Char Kuey Teow sepatutnya memang tidak berkuah, yang berkuah tu adalah masakan Melayu yang menggunakan nama daripada dialek Hokkien.
“Dalam dialek Hokkien Char maksud goreng, Char Kuey Teow maksudnya Kuey Teow Goreng. Kalau sebut Char Kuey Teow Goreng, maksudnya Kuey Teow Goreng Goreng ke jadi maksudnya Goreng Kuey Teow Goreng,” Pelakon, Adam Corrie, petikan dari Facebook
Kepelbagaian budaya yang menjadikan Char Kuey Teow istimewa
Apabila kita ingin bercerita tentang sesuatu perkara yang khasnya datang daripada kaum lain seperti Char Kuey Teow ni, kita sepatutnya meraikan kepelbagaian ini dan bukannya bergaduh mengenainya. Kepelbagaian macam ni membuatkan lagi hidangan ini istimewa disebabkan ia menunjukkan sifat Malaysia itu sendiri yang berbilang kaum dan kaya dengan budaya yang berlainan tetapi boleh hidup bersama setelah sekian lama.
Tidak kisahlah korang prefer yang basah or kering, kita semua tetap rakyat Malaysia dan harus juga diingat yang makanan merupakan antara perkara yang sepatutnya menyatukan kita semua dan bukan memecahkan.
- 93Share sekarang!
- Email1
- Facebook92
- Share