Kelantan dan Tanah Jawa pernah berkongsi budaya? Ini apa korang kena tahu

Apabila kita ingin berbicara berkaitan seni pada zaman sekarang, ramai yang beranggapan seni itu hanya lah benda yang agak remeh dan biasa-biasa sahaja. Ini dikuatkan lagi dengan sistem sekolah yang membezakan pelajar-pelajarnya dengan meletak ‘kelas sains’ sebagai kelas paling atas, ‘kelas akaun’ di tengah dan ‘kelas seni’ di bawah sekali.

Sedangkan, pada zaman dahulu, nilai seni diangkat sebagai antara yang paling tinggi sehinggakan karya-karya penggiat seni lukisan, ukiran dan sebagainya di serata dunia boleh mencecah sehingga jutaan dollar. Itu boleh disamakan juga dengan seni tradisional yang ada di Malaysia, di mana nilainya sangat tinggi tetapi orang kita hanya menganggapnya remeh. Jadi, kali ni kitorang nak cerita serba-serbi berkaitan seni tradisional warisan tempatan iaitu seni ukiran.

Katanya, zaman dulu-dulu Sultan ada pengukir khas yang hanya berkhidmat untuk istana, betul ke? Teruskan membaca kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut.

Seni yang terhasil daripada pengisian masa lapang

Rumah Melayu tradisional dengan ukiran menarik. Imej dari PropertyGuru

Pada zaman dulu, orang di Tanah Melayu lebih bergantung hidup daripada hasil semulajadi seperti menangkap ikan di laut, bercucuk tanam dan menternak binatang. Segala aktiviti itu pasti akan ada masa rehat mereka apabila semuanya memakan masa dan keuntungan adalah mengikut musim-musim mereka, jadi itu membuatkan orang zaman dahulu mempunyai banyak masa lapang untuk diluangkan.

Itu mencetuskan dalam diri mereka rasa untuk berkarya dan berseni dalam usaha untuk mengisi masa lapang mereka, seperti bertukang untuk mencipta peralatan yang dapat memudahkan urusan seharian mereka. Dari situ, tercipta lah beberapa peralatan yang mempunyai fungsi tersendiri seperti gayung, rehal al-Quran dan pengukur kelapa.

Corak ukiran di Pengukur Kelapa tradisional. Imej dari Ded Empire

Orang kita pula takkan nak tengok segala produk yang sudah dibuat mereka itu nampak biasa je kan, pasti akan timbul minat dalam diri mereka untuk menghiaskan benda-benda tadi dengan mengukir corak terhadapnya. Lama-kelamaan perkara itu menjadi rutin di kalangan masyarakat Melayu tradisional dan telah menimbulkan minat yang mendalam, itu memberikan keinginan kepada mereka untuk mencipta corak-corak yang lebih cantik lagi.

Alatan untuk mengukir pada zaman dulu pun biasa-biasa je kot, seperti pisau, parang dan kapak. Jadi nampak lah kesenian pada zaman dulu ni dianggap mahal disebabkan kesusahan yang perlu dilalui mereka, nak ukir kayu yang keras tu guna pisau bukan senang. Jadi, orang-orang zaman sekarang rasanya dah boleh tengok seni ni dari perspektif yang lebih tinggi.

Seni ukir di kalangan Masyarakat Kelantan

Pintu Istana Balai Besar. Imej dari Trip Advisor

Kalau kita datang ke Istana Jahar di Kota Bharu, kita dapat lihat keunikan corak-corak ukiran tradisional yang ada di situ. Hal ini kerana, seni ukiran tradisional ini banyak diguna pakai oleh kerabat diraja Kelantan disebabkan sejarahnya sendiri. Kita boleh lihat kegiatan mengukir di kalangan masyarat Kelantan semasa hari-hari kebesaran seperti hari Keputeraan Sultan misalnya.

Nama lain bagi hari Keputeraan Sultan adalah ‘Puja Umur’. Selalunya apabila ‘Puja Umur’ ini dilangsungkan pada masa dahulu, mereka biasanya akan mengadakan ‘Pesta Air’ yang akan berlangsung sepanjang sungai di pinggir bandar Kota Bharu (sekarang entah ada lagi ke tidak). Terdapat dua pertunjukan untuk ‘Pesta Air’ ini iaitu perahu cantik dan perahu laju. Kesemua perahu yang dibawa semasa pertunjukan ini mempunyai aspek kesenian pembuatan dan ukiran.

Perahu Kolek di Kelantan. Imej dari Pelancongan Kelantan

Itu merupakan salah satu kepakaran golongan pengukir di Kelantan suatu ketika dulu, kerana untuk mengukir sebuah perahu yang cantik memerlukan kepakaran dan penelitian yang tinggi. Banyak sebenarnya corak ukiran perahu ni, kat kepala perahu tu kita boleh lihat rupa bentuk sesuatu lambang seperti kepala burung bangau, kepala naga/ular, kepala burung rajawali, helang, garuda dan macam-macam lagi lah.

Dikatakan bahawa siapa yang mempunyai ukiran paling cantik akan dapat perhatian dari pihak istana dan berkemungkinan besar dapat menjadi pengukir istana atau gelaran lainnya adalah ‘Orang Raja‘. Sebab tu zaman dahulu di negeri Kelantan ni kalau boleh ramai yang nak berkecimpung dalam bidang mengukir, sebab itu pun salah satu cara untuk mengubah nasib hidup mereka.

Lee Teik Chye, pengukir kayu tradisional. Imej dari FMT

Kalau nak dijadikan cerita, pengukir-pengukir Melayu zaman dulu terdiri daripada golongan miskin. Mereka dikatakan terpaksa bekerja di istana raja dan gaji mereka pula hanya bergantung kepada bayaran yang diberikan oleh raja untuk setiap produk ukiran yang telah siap diukir. Kalau mengikut bayaran nya, amatlah tidak berbaloi kerana setiap produk ukiran mengambil masa yang sangat lama untuk disiapkan lebih-lebih lagi dengan teknologi mengukir pada masa itu.

Bila seseorang itu telah menjadi pengukir istana, dia perlu memberi segala kudrat kepada pihak istana. Senang cerita, bila dirinya dipanggil oleh raja serta pembesar-pembesar negeri, dia perlu segera pergi tanpa apa-apa alasan. Disebabkan perkara itu, rumah pengukir istana juga ditempatkan di sekitar istana atau rumah-rumah pembesar supaya dapat memudahkan urusan apabila mereka diperlukan.

Namun, itu antara sebab mereka tak tinggal lama di satu tempat kerana mereka terpaksa hidup berpindah randah. Misalnya, Istana Tengku Sri Akar yang didirikan berhampiran dengan sungai Kelantan dihiasi dengan ukiran-ukiran tumbuhan yang menarik dan dipercayai diukir oleh pengukir dari Pattani. Mesti ada yang tertanya kenapa Pattani kan, Pattani dengan Kelantan ni dulu duduk di bawah satu bendera yang sama sebenarnya.

Bagi pengukir-pengukir yang bukan berkhidmat untuk kerabat diraja pula, ukiran mereka boleh dilihat dalam bermacam-macam bentuk. Contohnya, para nelayan akan mengukir kepala perahu seperti bentuk Kepala Burung Bangau (ukiran popular pada zaman dulu).

Pengaruh Jawa dalam seni ukir Kelantan

Candi Borobudur di Jawa Tengah, Indonesia. Imej dari Detik Travel

Tidak boleh dijelaskan secara tepat tentang asal-usul seni ukir di Malaysia ni, namun sesetengah pengkaji berpendapat ianya berasal dari Tanah Jawa sejak berabad-abad lalu. Ini disebabkan motif ukiran bunga dan daun yang juga terdapat pada Candi Borobudur. Antara pendapat yang lain mengatakan seni ukir yang terdapat di Jawa itu diambil dari ukiran-ukiran bunga serta tumbuhan di Tanah Melayu.

Tetapi ukiran dari Tanah Melayu tetap ada perbezaannya, ia dari segi kelembutan serta kehalusan ukiran corak itu sendiri berbanding yang ada di Tanah Jawa. Walaubagaimana pun, perusahaan seni ukiran di Tanah Jawa adalah lebih luas hingga meliputi keseluruhan Kepulauan Jawa itu sendiri, manakala di Tanah Melayu ianya tertumpu pada kawasan pantai timur sahaja. Sebenarnya perkara macam ni perlukan kajian yang lebih terperinci lagi tentang dari mana asal-usul seni ukiran.

Pakar-pakar sejarah harus berganding bahu untuk kaji benda-benda macam ni, mana taknya, benda yang patut kita raikan sebagai budaya nusantara ni nanti tiba-tiba jadi modal untuk bergaduh pula. Indonesia kata seni ukiran datang dari dorang lah, Malaysia pun nak kata seni ukiran datang dari Tanah Melayu lah. Sampai bila-bila tak habis kalau macam tu kan.

Seni ukir Masjid Kampung Laut, Kelantan yang sudah cecah ratusan tahun

Masjid Kampung Laut, Kelantan. Imej dari NST

Kampung Laut ni terletak di Tumpat, Kelantan, ia bersempadan dengan Kampung Kok Keli, Kampung Sungai Pinang dan Kampung Palekbang. Kalau mengikut cerita, terdapat anak-anak raja dari Jawa belayar di laut berhampiran dengan Kelantan dan kapal mereka telah bocor. Selepas itu, dikatakan bahawa anak-anak raja tersebut berjanji sekiranya mereka selamat sampai ke pantai, mereka akan mendirikan sebuah masjid.

Ditakdirkan, mereka selamat sampai ke sebuah perkampungan kecil. Mereka bersyukur kerana telah selamat dan dapat memperbaiki kapal mereka sekaligus membina masjid di situ seperti mana yang dijanjikan. Tu semua hanya lah cerita, tapi apabila dilihat kepada struktur reka bentuk masjid itu bersama-sama dengan corak ukirannya tersendiri, ia amat hampir dengan reka bentuk Masjid Demak yang berada di Demak, Jawa Tengah, Indonesia dan juga Masjid Tengkera, Melaka.

Masjid Agung Demak, Jawa Tengah, Indonesia. Imej dari Merah Putih

Adakah itu satu kebetulan? Rasanya tidak. Terdapat pelbagai sejarah yang masih belum diketahui pucuk pangkalnya, salah satunya adalah perkara seperti macam ni lah. Bumbung masjid yang berbentuk tiga tangkut atau bentuk meru itu tak banyak beza dengan bumbung sebuah rumah adat orang Jawa di Pulau Jawa, di mana reka bentuk itu dinamakan sebagai ‘Rumah Tajug’. Reka bentuk yang sama itu menguatkan lagi tentang bukti hubungan baik antara kerajaan-kerajaan Melayu kuno dengan Jawa.

Masjid Tengkera, Melaka. Imej dari FlickRiver

Jikalau dilihat lokasi pembinaan masjid ni pun, sangat lah jauh. Satu di Pantai Timur, satu lagi di Selatan dan lagi satu berada jauh di Tanah Jawa. Betul lah orang cakap, Malaysia dengan Indonesia ni ibarat adik beradik je, sebab tu selalu bergaduh.

Seni warisan yang patut dipelihara

Memartabat seni budaya dari kecil. Imej dari Harian Metro

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah memulihara seni turun-temurun seperti ukiran ni. Tidak ada orang lain yang akan peliharanya selain kita sendiri, tidak kisah dari negeri mana pun kita dilahirkan, ia merupakan seni budaya Malaysia sendiri. Jikalau tidak dapat memelihara secara terus, mungkin kita boleh mengambil inisiatif untuk menyokong dengan membeli produk-produk ukiran tempatan.

Kerajaan juga sudah mengambil inisiatif mereka untuk memajukan lagi perkembangan seni ukir ini, ia termasuklah memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada individu yang giat dalam bidang ini supaya dapat mengembangkan lagi perusahaan seni ukir mereka. Jadi kepada mereka yang berminat, sangatlah dialu-alukan untuk bersama-sama memartabatkan seni budaya Malaysia.