- 797Share sekarang!
- Email51
- Facebook746
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Bila sebut pasal pelarian, apa yang korang fikir? Mesti terbayang kanak-kanak Syria yang tengah menangis, atau rakyat Rohingya yang penuh satu kapal atas laut, kan?
Tapi, korang pernah terfikir tak orang Malaysia sendiri jadi pelarian di negara orang?
Betul, kami tak tipu. Baru-baru ni, portal berita Australia melaporkan untuk separuh tahun kedua yang lepas, rakyat Malaysia membentuk 50% kes rayuan untuk status pelarian di Australia, atau sekitar 3,802 kes. Dan ini bukan kes pelarian Rohingya yang ke Malaysia, lepas tu pindah ke Australia tau? Ini adalah rakyat Malaysia sendiri.
“Terdapat peningkatan yang ketara dalam hal penghijrahan dan pelarian, terutamanya rakyat Malaysia sendiri yang memohon untuk mendapatkan status pelarian, dan dalam kadar yang besar. Saya rasa mereka mewakili kira-kira 50% permohonan. “- Sian Leathem, Pendaftar AAT, dipetik dari FMT.
Biasanya orang Malaysia tinggalkan negara ni sebab mereka jumpa peluang yang lebih baik kat luar. Tapi, mereka ni buat rayuan sebagai pelarian dari negara sendiri. Pelik la juga bila kami dengar, sebab…
Istilah ‘pelarian’ tu macam terdesak sangat
Ok, kalaulah ada rakyat Malaysia rasa nilai matawang kita terlampau rendah dan ambik keputusan untuk bekerja di Singapore dan tinggal kat sana dengan permit pekerja. Jadi bila duit dah cukup, mereka ni boleh senang-senang je la balik Malaysia lepas puas kumpul duit. Mereka ni ada pilihan untuk pergi kerja kat sana, dan balik semula ke Malaysia bila-bila masa. Mereka ni digelar pekerja asing di sana.
Tapi jadi pelarian di negara orang ni berbeza sikit. Bayangkan kalau tiba-tiba ada bom atom jatuh kat Malaysia, dan korang lari selamatkan diri ke Singapore. Kerajaan Singapore pulak lepas tu terima korang sebagai pelarian dan korang kena tinggal kat sana untuk terus hidup, dan cuma boleh balik ke Malaysia bila radiasi hilang.
Tu la beza antara pelarian dan juga pendatang di negara orang. Sebagai seorang pendatang, korang ada pilihan, tapi pelarian takde. Berdasarkan piawaian PBB, pelarian adalah orang yang berada di luar negara mereka sendiri, dan mereka sama sekali tidak boleh atau takkan kembali. Sebabnya kalau mereka balik, kemungkinan besar mereka akan dianiaya, sama ada disebabkan bangsa, agama, kewarganegaraan, pendapat politik ataupun fahaman.
Contohnya, pembantu rumah dan pekerja asing dari Indonesia di Malaysia adalah pendatang; mereka datang ke sini untuk bekerja, dan mereka boleh balik bila-bila je tanpa sebarang masalah. Orang Rohingya pula sebaliknya, mungkin akan terbunuh bila mereka balik ke negara mereka. Jadi, mereka tak boleh pergi sehingga keadaan bertambah baik. Mereka ni adalah pelarian.
Jadi sekarang korang tahu perbezaan antara rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia dan rakyat Malaysia yang minta suaka/perlindungan di Australia. Jadi pelarian ni adalah perkara yang berkaitan dengan hidup dan mati, dan beberapa tahun kebelakangan ni…
Bilangan rakyat Malaysia yang memohon untuk jadi pelarian bertambah dua kali ganda pada tahun 2016, dan hanya 1/4 saja sebelum tu
Menurut laporan tahunan MRT-RRT (Migrasi/Pelindungan Kajian Pelarian) 2014, bilangan rakyat Malaysia yang memohon status pelarian untuk tahun itu adalah 327, peningkatan sebanyak 27% berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun 2015, jumlah tu melonjak kepada 2,006 (43.4% daripada semua kes), dan pada 2016, jumlah meningkat lagi kepada 4,230, iaitu lebih separuh (52%) daripada semua rayuan pelarian di Australia pada tahun tu. Jumlah tu menurun kepada 3,802 pada 2017, tapi sekarang ni rakyat Malaysia membentuk 54% daripada semua permohonan pelarian.
Pelarian yang kita tengok dalam tv biasanya datang dengan bot sehelai sepinggang je. Tapi pelarian Malaysia yang sampai ke Malaysia tak macam tu. Maksudnya, mereka semua ni ambil jalan yang sah siap dengan visa yang sah, tapi memohon perlindungan sebagai pelarian. Tuntutan mereka kemudiannya akan dinilai oleh Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan, dan merek ni la yang akan tentukan sama ada mereka sesuai atau tak dengan definisi ‘pelarian’, di bawah undang-undang Australia. Kalau kes mereka ni cukup syarat dan diterima, ok la. Kalau tak, macam mana pulak?
Jabatan tu akan kaji balik, kalau rakyat yang memohon ni akan ada masalah pelanggaran hak asasi kalau dihantar pulang ke negara asal, contohnya macam diseksa atau dibunuh apabila balik. Kalau ada, jadi mereka ni akan dapat ‘perlindungan sokongan’, macam pelarian, dan dapat visa perlindungan, dengan syarat mereka memenuhi keperluan kesihatan, identiti dan keselamatan. Ini adalah peringkat pertama.
Kalau mereka ni gagal – sama ada diiktiraf sebagai pelarian atau diberikan perlindungan pelengkap, mereka semua ni boleh merayu untuk perlindungan melalui Tribunal Kajian Pelarian (RRT), iaitu badan di sebalik laporan tahunan yang disebutkan sebelumnya. Semua angka yang korang tengok kat atas tadi tu adalah mereka yang gagal dalam peringkat pertama, dan terpaksa merayu. Perkara ni yang membawa kepada persoalan…
Apa benda yang teruk sangat kat Malaysia sampai mereka semua minta suaka dan jadi pelarian?
Kami sebenarnya tak jumpa mana-mana pelarian Malaysia ni untuk ditemu ramah, tapi kami tak lama dulu ada tulis artikel pada tahun 2015, di mana masa ni la banyak kes pasal pelarian Malaysia berlaku. Korang boleh baca kat sini. Dan kalau korang nak tahu, kebanyakannya adalah kaum Cina Malaysia.
Salah sorang daripada pelarian ni kata yang kerajaan Malaysia, terutama sekali kaum Melayu selalu bagi masalah kepada orang Cina dengan mengganggu mereka yang menguasai sektor perdagangan Malaysia. Menurutnya, kerajaan tempatan akan mengganggu perniagaan keluarganya, menyerang kedai-kedai mereka dengan kerap dan menendang tanpa alasan. Malah, keluarganya diperas ugut dan diancam, sampai mereka kena tutup perniagaan.
Dia cuba cari kerja lepas tu, tapi dia kata kena pecat sebab dia Cina.
“Kami hidup macam anjing, dulu kerajaan Malaysia selalu perhatikan orang Cina, dan kalau budak Cina masuk sekolah kebangsaan, mesti susah, malah mustahil. Kebajikan orang Cina tak macam orang Melayu, bidang politik Malaysia hanya mempercayai orang Melayu, (mereka) tidak mempercayai orang Cina sepenuhnya. Kerajaan tidak peduli terhadap kami. “- pengakuan etnik Cina Malaysia terhadap tribunal, seperti yang dilaporkan oleh SBS News.
Ada satu lagi cerita yang hampir sama daripada sorang Cina Malaysia dan isterinya, yang mendakwa ada orang Melayu yang memaksa dia jual perniagaannya. Bila pasangan ni menolak, mereka kemudiannya pecah masuk kedai dan hantar surat-surat ancaman. Pasangan ni menambah lagi, para penjahat ni semuanya dilindungi polis dan apabila mereka buat laporan polis, takde tindakan pun yang dibuat. Permohonan perlindungan pasangan ni bagaimanapun ditolak.
Walau bagaimanapun, ada satu rayuan daripada orang Cina Malaysia beragama Kristian yang diterima. Ceritanya, dia pernah memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu tapi jodoh mereka tak panjang, dan mereka kemudiannya bercerai. Perempuan ni kemudiannya kembali kepada agama asalnya, Kristian. Bekas suaminya pun tiba-tiba jadi semakin fundamentalis, tak bagi dia tukar agama balik. Jadinya, tribunal terima permohonannya sebab mereka rasa ada kemungkinan besar yang dia akan dipaksa untuk menukarkan agamanya, dan anak-anaknya juga terpaksa pergi ke kem pertukaran agama.
Dr Jean Jonathon Bogais, pakar Luar Negeri dan Hak Asasi Manusia Universiti Sydney, menyatakan yang sebab nilah rakyat Malaysia merasa cukup terancam, dan akhirnya melarikan diri dari negara ni disebabkan peningkatan Islamisasi dan ketegangan kaum antara orang Melayu dan orang Cina
“Apa yang mereka nampak adalah ketakutan untuk menghadapi masa depan; bimbang dari segi ekonomi, politik dan keselamatan yang mungkin merupakan sebab terbesar bagi penghijrahan itu, “- Dr Bogais, dipetik dari SBS.
Pengakuan-pengakuan ni mungkin betul, dan mungkin juga tidak. Kesemua keterangan ni direkodkan melalui Tribunal, di mana pencari suaka buat rayuan untuk dapatkan status pelarian lepas gagal dalam peringkat pertama yang kita bagitahu tadi. Jadi, korang mungkin terfikir…
Adakah rakyat Malaysia ini betul-betul perlukan perlindungan Australia, atau nakkan sesuatu?
Tak lama dulu, ada la beberapa kes pasal rakyat Malaysia tinggalkan negara ni sebab diugut, dan kes macam ni selalunya mesti masuk berita. Contohnya macam aktivis, Ali Abd Jalil yang memohon suaka di Sweden dan blogger seks, Alvin Tan yang memohon suaka di US atas dakwaan hasutan. Tapi, apa cerita pulak pasal beribu-ribu rakyat Malaysia yang lari dari Malaysia ni?
Jadi, apa pula yang menyebabkan mereka rasa terancam? Menurut SBSNews, memandangkan jumlah pelarian Malaysia meningkat, bilangan pendatang yang mahir dari Malaysia berkurangan. Pada tahun 2015, bilangan pendatang yang mahir berpindah dari Malaysia ke Australia menurun sebanyak 28% daripada angka 2012, dari 5,508 hingga 3,977. Begitu kurang rakyat Malaysia akan pergi ke Australia sebagai pekerja mahir, dan lebih banyak lagi sebagai pelarian. Tapi kenapa?
Kita tak boleh sangkal yang ada juga rakyat Malaysia pada masa kini yang rasa mereka takde masa depan kat Malaysia. Kami ada buat survey kepada seramai 47 orang millennials (sesiapa yang lahir antara tahun 1981 dan 1996, umur 22-37 pada tahun 2018), dan hanya satu perlima daripada mereka ni yang nak tinggal di negara ni.
Antara sebab mereka nak tinggalkan Malaysia adalah sama macam apa yang Dr Bogais cakap: peluang, bangsa, dan agama. Malah bagi orang Islam Melayu, yang dikatakan menjadi sebab pelarian melarikan diri dari Malaysia, dalam masa yang sama diminta untuk tinggalkan negara supaya mereka ni boleh berkembang.
Jadi warganegara atau PR Australia ni bukannya kerja senang tau, dan mungkin sebab tu nak cari suaka ni mungkin salah satu alternatif yang lebih mudah. Untuk dapatkan salah satu daripada visa tenaga mahir, korang mesti kena ada kemahiran tertentu yang boleh mereka gunakan.
Malah, korang juga mesti dijemput untuk visa tertentu, jadi proses permohonan mungkin mengambil sedikit masa, dan boleh tahan mahal juga la. Tapi, kalau pergi Australia sebagai pencari suaka pula lagi cepat, dan kalau berjaya, korang akan dapat visa pelarian (yang percuma) atau visa perlindungan (dengan bayaran yang murah). Kedua-duanya juga adalah visa tetap, dan membenarkan korang bekerja dan diberi beberapa kelebihan, contohnya kad Medicare.
Tadi kami ada bagitau yang nak dapatkan kewarganegaraan Australia ni bukan senang, korang kena dapatkan PR dulu, dan kena tinggal kat sana sekurang-kurangnya selama empat tahun. Jadi sebenarnya, jadi pelarian ni cumalah jalan pintas. Walaupun nak jadi pelarian ni cumalah pilihan peribadi seseorang untuk meninggalkan Malaysia, tapi nampaknya perkara ni dah bagi impak negatif kepada pelarian lain yang lebih memerlukannya, sebab Australia pun ada letakkan had ke atas berapa banyak pelarian Australia boleh diambil setiap tahun.
Jadinya, kalau mereka buat cerita untuk jadi pelarian ni cumalah sebagai jalan pintas, mereka ni yang sebenarnya menganiaya orang lain yang lebih memerlukan.
- 797Share sekarang!
- Email51
- Facebook746
- Share