SPONSORED

Pernah kantoi puasa waktu kecik dulu? Ini kenangan-kenangan Ramadan yang selalu rakyat Malaysia alami

Ramadan bukan je satu bulan yang membawa keberkatan, malah kat negara kita, ia membawa semangat muhibbah kepada rakyat yang berbilang kaum. Sebab time ni je la korang kena mintak tolong kawan yang non-Muslim untuk pergi bungkus makanan (bagi yang uzur dan tak dapat berpuasa la… #bersangkaBaik).

Bila besar nanti, adik boleh jadi ninja. Gambar dari kucinghappy.com.

Ok seriously, Ramadan kat Malaysia ni memang extra special, sebab ia adalah masa yang paling sesuai untuk berkumpul bersama kawan dan keluarga. Editor kami sendiri hampir tiap tahun akan berbuka dengan kawan sekolah – time tu lah boleh tengok berapa besar dah anak masing-masing, dan berapa besar dah perut bapak anak masing-masing.

Korang pun mesti ada tradisi atau kenangan bulan puasa semenjak kecik lagi kan? Jadi SOSCILI dengan partner kami, Sunway Resort Hotel & Spa pun cari cerita-cerita ni semua untuk dikongsikan bersama!

Sebab Sunway Resort ada bufet Jemput Makan bagi korang yang nak berbuka bersama!

Bagi yang berkemampuan dan terasa ingin berbelanja lebih, bolehlah datang jenguk pakej Jemput Makan yang ada kat Sunway Resort Hotel & Spa. Ye la selalunya kita berbuka kat rumah pun dah bahagia dah, tapi kalau sekali-sekala terasa nak manjakan mak bapak, bolehlah datang ke bufet ni.

Di Resort Café, ada lebih kurang 400 juadah tradisional termasuklah macam-macam jenis nasi, macam-macam jenis rendang, kambing golek, bubur lambuk, seafood, sup gearbox turbo pun ada! Menguji iman sungguh kami tulis tengah-tengah puasa ni. Kiranya bufet ni macam lima bazar Ramadan dalam satu, lepas tu ada air-cond (nak lagi bila orang Malaysia ni memang mengutamakan kebersihan kat tempat makan).

Nak tempah seat? Telefon dorang kat +603 7495 2009/+603 7492 8000

Apa yang paling penting sekali, Sunway Resort Hotel & Spa memang mengambil berat akan masalah pembaziran. Korang pun faham-faham je la bila pergi bufet, makanan yang tak terusik tu semua pergi ke mana? Sebab itulah Sunway Resort Hotel & Spa telah bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen iaitu sebuah organisasi yang banyak memberi bantuan kepada golongan homeless/gelandangan kat sekitar negara kita.

Ok, sekarang ni jom kita tengok cerita-cerita yang pembaca SOSCILI kongsikan! Setiap cerita yang terpilih ini akan memenangi satu (1) baucer bufet Jemput Makan tajaan Sunway Resorts Hotel & Spa. Kita mula dengan cerita…

1. Curi-curi minum air telaga waktu mandi

Susah sebenarnya nak jadi budak sekolah ni. Lagi susah sebenarnya nak jadi budak sekolah waktu bulan puasa, seperti yang diceritakan oleh Muzammil ni. Nak lagi bila ada member yang komplen tak boleh puasa (sebab gastrik katanya), jadi dorang pergi minum Milo depan budak-budak lain. Tapi takpe, Muzammil ada jalan penyelesaiannya tersendiri:

“Balik sekolah pagi, kena harung cuaca panas sambil berbasikal. Sampai rumah, kena bersiap untuk berkayuh pergi sekolah agama (sesi petang) pula.

Jadi masa mandi, saya minum air telaga. Sampai sekolah agama, pergi tandas dan minum air paip lagi. Balik sekolah agama, terus mandi nak sejukkan badan. Minum air telaga lagi. Masa tunggu waktu berbuka, saya buat muka penat (padahal dah kenyang air).” – Muzammil.

Walaupun tak puasa, tak baik menunjuk…

Mak aih, nampak gayanya dia ni memang betul-betul ikut nasihat supaya minum 8 gelas air sehari (yang sebenarnya adalah satu mitos kesihatan).

Apa pun, buat emak-emak dan bapak-bapak yang baca SOSCILI, kalau anak korang macam terlebih rajin pergi bilik air, faham-fahamlah apa yang dia buat sebenarnya. Sebab mengikut kata Muzammil lagi…

“Sampai sekarang tak kantoi dengan ayah dan mak. SosCili lah orang pertama yang saya cerita kisah ni haha”

2. Tolong ketuk gendang untuk kejut orang sahur

Korang mesti boleh teka lirik ni datang daripada lagu mana: “Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi, berkumandang suara azan…”

Tapi korang tau tak ‘tabuh’ tu benda apa? Mengikut kamus Bahasa Indonesia ni, tabuh adalah alatan yang digunakan dalam masjid dan surau untuk bagitahu waktu solat. Ye la waktu dulu mungkin ada kawasan kampung yang takde mikrofon dan PA system.

Old school cool. Gambar dari denai.my

Tapi sebelum Subuh sampai, macam mana nak kejut orang kampung untuk bangun sahur? Mengikut Amin, ini cara yang dia dan budak-budak sebaya dia buat…

“Aku adalah antara budak yang banyak membesar dengan persekitaran kampung. Dulu waktu kecik, setiap kali sebelum sahur, aku dengan kawan-kawan ada buat kerja ‘sukarela’ untuk jadi alarm bergerak, bangunkan mak-mak yang nak masak untuk sahur nanti. Takpun ahli keluarga yang terjaga akan kejutkan. ‘Tum tum.. tum tum TUM tap tap tum tum..’

Kitorang akan jalan keliling kampung sambil ketuk-ketuk gendang. Gendang pun modal cap ayam ja – botol minyak masak dengan batang kayu. Cukup. Irama dia tu boleh melekat dalam otak setiap kali bulan Ramadan. Satu kampung kenal bunyi tu.” – Amin.

Gendang pun DIY je. Gambar dihantar oleh Amin.

Yang bestnya pasal duduk kampung, sampai ke tua pun jiran-jiran semua akan akan masih ingat kat kita.

“Sampai jiran pun ada tegur ‘Tak ketuk gendang dah ka la ni?’ setiap kali aku balik kampung buka puasa dengan family. Saya tua bangka dah makcik. Huhuhu. “

3. Main pijak-pijak kaki waktu terawikh

Solat terawikh ni memang berbeza-beza ikut masjid. Kat Selangor, JAIS menetapkan terawikh sebanyak 20 rakaat. Kat Perak pun Sultan Nazrin menitahkan tarawih ditunaikan sebanyak 20 rakaat. So bertabahlah ye wahai rakyat Selangor dan Perak.

Muka masing-masing waktu terawih. Gambar dari reactiongifs.com

Tapi bagi budak-budak macam Asrar, ada je cara kreatif untuk tahan terawikh sampai habis:

“Ini kisah umur masa 8 tahun. Bila datang Ramadhan, mesti wajib pergi terawih. Bila solat terawih, kena solat saf belakang bersama kanak kanak yang lain. Nak habiskan 20 rakaat punyalah payah.

Jadi, untuk menghilangkan kebosanan, main pijak-pijak kaki kawan. Lepas itu, tepuk songkok kawan dari belakang sampai jatuh dekat tempat sujud. Kawan tu pulak ambil balik songkok dan ‘adjust’ pakai balik songkok masa sujud. Kira hebat la tu.” – Asrar.

10 tahun praktis baru boleh buat skill ni. Gambar dari NurulShahira.com.

Dah la kena buat 20 rakaat, kadang-kadang tu dapat pulak imam yang suka baca surah panjang-panjang. Terawikh ni memang membina jati diri yang cemerlang sebenarnya.

“Masa sujud juga jari dok tanda karpet sujud kira dah berapa rakaat. Belum kira lagi watak pakcik tua bawak rotan jaga budak yang solat saf belakang supaya jangan bising.

Indahnya ramadhan dengan berterawih. Entah bagaimana budak-budak sekarang berterawikh agaknya?”

4. Tak sah kalau takde kuih bingka kegemaran

Tiap kali Ramadan datang, korang mesti ada kuih atau juadah kegemaran kan? Sebab biasanya benda-benda ni jarang jumpa kat tempat lain macam murtabak, pulut panggang, dan bubur lambuk. Editor kami sendiri mesti kena minum air soya cincau tiap kali berbuka. Yang peliknya kalau tak Ramadan tak bernafsu pulak nak cari benda tu.

Tapi buat seorang pembaca kami, Alif, cinta dia terhadap kuih bingka memang sedalam dan seluas lautan:

“Bila tiba waktu Ramadan, saya akan cari kuih bingka ubi kayu gula merah. Kuih ni kuih kegemaran saya untuk berbuka. Saya sanggup meredah lautan manusia di mana-mana bazar asalkan saya dapat kuih yang saya nak tu.” – Alif

Bingka Ubi Gula Melaka, gambar dikirim oleh Alif.

Bila tak jumpa kuih tu, saya akan cuba dapatkan kat mane2 bazar sampai lah jumpe, jadi apa yang saya buat untuk pastikan kuih tu sentiasa ada kalau saya datang untuk mendapatkannya? Selalunya saya terus amik no telefon penjual kuih tersebut dan mintak dia simpankan. Jadi saya tak perlu risau kuih tu habis. (pandai x tak saya.. hehe)”

Kami tak sure sama ada taktik mengambil nombor telefon adalah untuk kuih bingka, atau untuk gadis penjual kuih bingka tersebut.

Apa pun, kalau korang mengidam macam-macam jenis kuih dan juadah dan tak mau meredah lautan manusia di bazar, korang bolehlah pergi ke bufet Jemput Makan kat Sunway Resort Hotel & Spa!

5. Tengok TV sementara menunggu berbuka

Yang ini memang childhood semua rakyat Malaysia, terutamanya jenis yang tak menolong mak untuk sediakan makanan. Bukan setakat tengok rancangan TV je, tapi macam-macam iklan juadah yang menggiurkan, dan jugak waktu tengok berbuka puasa satu Malaysia yang korang rajin ikut sampai habis hari-hari.

Bagi yang duduk kat belah-belah Utara tu, kena sabar sikitlah sebab biasanya waktu berbuka lambat sikit dari KL dan Selangor. So bila TV dah azan, korang tunggu la dulu beberapa minit.

Jadi selain daripada program Jejak Rasul, cerita apa lagi yang kita selalu tengok?

“Waktu Ramadhan dulu tak sah kalau time balik sekolah dulu layan program masakan. Tak ingat pulak program apa tapi memang terliur lah tengok diorang masak. Makanan yang bukan dalam rantaian makanan kita pun jadi sedap. Lepas tu perut keroncong, mula lah gatal cakap kat mak nak puasa setengah hari je. Kompem-kompem kena tarik telinga.

Nak dekat bukak puasa tulah layan drama paling femes waktu tu, Diari Ramadan Rafique. Dengar lagu intro dia pun dah berlari duduk depan TV. Yang ikut mak abah pi bazaar tu kompem nyesal sebab dapat tengok setengah je cerita tu sebab balik lambat. Layan sampailah azan maghrib dialun tanda berbuka.” – Hazril

Bila kami tanya soalan ni kat FB SOSCILI, kami terkejut jugak baca berapa ramai yang tengok Diari Ramadan Rafique waktu kecik.

Gambar dari FB SOSCILI.

Cuba teka cerita apa yang lagi femes daripada Diari Ramadan Rafique? Jawapannya adalah…

Rumah Kedai! Gambar dari FB SOSCILI.

Apa yang korang plan nak buat Ramadan ni?

Banyak lagi cerita yang dihantar ke FB SOSCILI pasal kenangan-kenangan waktu Ramadan yang kami tak dapat nak muatkan dalam artikel ni. Memang betullah Ramadan ni satu bulan yang merapatkan silaturrahim sesama kita, bukan setakat waktu Hari Raya je.

Gambar dari FB SOSCILI.

Jadi bagi yang tinggal berjauhan dengan keluarga tu, luangkanlah mana-mana hujung minggu untuk balik ke kampung dan berbuka bersama keluarga. Bagi yang duduk dengan kawan atau family sekitar Selangor pulak, bolehlah pulak datang makan bufet di Sunway Resort Hotel & Spa! Setahun sekali boleh jugak belanja orang tersayang.

Apa pun, SOSCILI ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala salah silap kami. Semoga Ramadan ini membawa kerahmatan kepada kita semua. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan, yang rapat kita berbuka sekali jom!

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend