- 830Share sekarang!
- Email10
- Facebook820
- Share
Perang Dunia I, Perang Dunia II, dan Perang Dingin berlaku dari tahun 1914 hingga 1991. Perang Dingin merupakan perang terakhir yang melibatkan negara-negara berkuasa besar. Sepanjang tempoh tersebut, banyak kemusnahan dan nyawa telah terkorban.
Tapi di sebalik tragedi yang berlaku, peperangan juga secara tak langsung telah melahirkan pelbagai penemuan dan perkembangan teknologi. Bermula dari Space Age dan juga Atomic Age, saintis pada masa dulu banyak buat kajian sampailah terhasilnya pelbagai senjata berbahaya. Idea tersebut kemudiannya diolah oleh saintis pada masa kini untuk kemajuan sejagat.
“Saya syak kesan paling penting yang berlaku lepas Perang Dunia II terhadap sains fizikal adalah perubahan sikap orang pada sains. Ahli politik dan orang awam dah yakin yang sains sebenarnya berguna dan dorang tak ada hujah atau kedudukan untuk persoalkannya.” – Sir Edward Bullard, Ahli Geofizik. Dipetik dari jurnal artikel bertajuk Kesan Perang Dunia II dan Perkembangan Ilmu dalam Fizikal Sains.
Jadi dalam artikel kali ini, SOSCILI senaraikan lima perkara tak mungkin jadi kalau Perang Dunia tak pernah berlaku.
1. Bahan kimia yang sebelum ni digunakan untuk buat bom, jadi baja untuk pertanian
Perancis dan Jerman mula menggunakan bahan kimia pada Perang Dunia Pertama untuk melumpuhkan tentera lawan masing-masing. Terdapat empat jenis gas yang digunakan iaitu Gas Klorin, Gas Fosgen, Gas Mustard dan Gas Tear.
Tahun 1914, Perancis adalah yang pertama sekali guna gas tear melawan Jerman. Lepas tu, Jerman pun mula buat kajian dalam menghasilkan senjata kimia dorang sendiri.
Jerman kemudiannya menggunakan gas beracun ni terhadap Rusia di Bolimov, tapi gagal bila cecair gas tersebut jadi beku disebabkan cuaca Rusia yang sangat sejuk!
Masa Perang Kedua Ypres, gas beracun mula digunakan secara berleluasa. Masa tu Jerman tengah berperang dengan Tentera Bersekutu (British dan Perancis). Jerman lepaskan 5700 silinder yang mengandungi 168 tan gas klorin di dalamnya dan 10,000 ribu tentera telah terbunuh dalam masa 10 minit je lepas terhidu gas tu. Perang Kedua Ypres menyaksikan kejayaan eksperimen Jerman dalam menggunakan senjata kimia.
Dalam keempat-empat jenis gas beracun ni semua, yang paling berbahaya ialah Gas Fosgen dengan 85% mangsa mengalami kecederaan dilaporkan sebab terhidu bau gas. Perang Kimia akhirnya tamat lepas Protokol Geneva ditandatangan.
Penggunaan masa kini:
Banyak bahan kimia yang dihasilkan masa berlaku perang dunia ni tapi, dorang tak habis guna pun. Dah tu apa dorang buat dengan lebihan bahan kimia tu? Perkara paling mudah iaitu buang je dalam lautan yang luas. AS, England dan Rusia mengisi semua bahan kimia tu dalam bekas peluru kemudian buang dan sengaja tak nak rekod jumlah pembuangan yang dorang dah buat.
Tapi ada juga yang gunakan lebihan kimia ni ke arah kebaikan. Bukanlah bahan kimia yang digunakan untuk gas beracun tu, tapi bahan kimia yang digunakan untuk buat bom TNT. Kilang yang membekalkan nitrogen untuk bahan letupan digantikan dengan kilang yang menghasilkan ammonia untuk baja. Pada masa tu, saintis menemui 16 jenis nutrisi yang patut ada dalam tumbuhan. Sebab tu la baja nitrogen telah dihasilkan.
2. Google Maps dan Waze tak akan wujud sekarang kalau tentera Rusia tak cipta satelit
Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (kini Rusia) membawa kepada penciptaan satelit yang banyak beri manfaat pada kita sekarang. Soviet Union la yang mula-mula cipta satelit sebesar bola pantai yang diberi nama Sputnik pada tahun 1957. Lepas tu, Sputnik II pula dilancarkan dan dorang siap test dengan bawa anjing nama Laika lagi. AS yang dapat tahu berita kejayaan Soviet Union ni mula takut dan bertindak menubuhkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa (NASA) untuk mencipta satelit bernama Explorer I.
Bagi yang dah tahu pasal fungsi satelit ni yang berupaya memancar signal dari luar orbit Bumi dan akan berlaku pantulan pada objek di dalam Bumi. Contohnya, sebuah missile dilancarkan dan telah ditetapkan lokasi untuk mendarat dan signal akan dihantar ke satelit dan dipantulkan semula ke tempat sasaran. Dari kejayaan pelancaran satelit ni bermulalah macam-macam jenis missile yang dihasilkan antaranya ICBM yang Korea Utara tengah cuba nak buat sekarang.
https://www.youtube.com/watch?v=OIqchgV7DMw
Klik video untuk penjelasan lebih lanjut.
Korang jangan keliru pula antara roket V2 yang pernah dilancarkan oleh tentera Nazi masa Perang Dunia Ke-2 dengan missile. Ada yang keliru sebab roket V2 juga dipandu untuk capai target dia. Roket V2 dipandu guna fire control radar bukan dipandu satelit macam missile.
Penggunaan masa kini:
Selain dari untuk kegunaan tentera hingga kini, satelit telah banyak beri impak dalam bahagian komunikasi, siaran langsung televisyen, saintifik, navigasi, panggilan SOS dan perubahan Bumi.
Satelit komunikasi membolehkan fungsi telefon menjadi nyata sebab data perbualan antara kekasih yang kat luar negara dapat dihantar terus kepada kekasih yang duduk kat Malaysia. Sama juga dengan siaran TV Anugerah Juara Lagu yang kita tengok secara langsung, satelit bertindak menghantar signal dari penghantar ke penerima.
Perubahan Bumi juga dapat dipantau dari luar angkasa macam perubahan cuaca, lapisan ozon yang makin menipis serta kejadian El Nino dan La Nina dapat dirakam satelit.
Waze dan Google Maps yang kita guna sekarang ni pun bergantung pada satelit. Bayangkan kalau satelit takde, kapal yang sesat di tengah lautan mungkin tinggal sejarah sebab panggilan S.O.S dorang takde siapa dapat. Kapal terbang yang nak mendarat mungkin terhempas sebab tunggu isyarat kebenaran nak mendarat tu lama sangat. Dan yang paling penting sekali akses Internet pun tak boleh.
3. Bom Nuklear yang pernah letupkan Hiroshima dan Nagasaki kini jadi loji kuasa elektrik
Tentera Bersekutu (Amerika, British, Perancis dan Rusia) mula melakukan kajian secara serius dalam penggunaan senjata radioaktif uranium pada tahun 1939 bila dorang dapat tahu yang tentera Nazi tengah dalam proses nak cipta senjata bom baru. Selepas beberapa tahun mengkaji, Projek Manhattan berjaya menghasilkan dua senjata nuklear berbeza iaitu Uranium-235 dan Plutonium-239.
Bom yang diberi nama Little Boy telah dilepaskan di bandar Hiroshima pada tahun 1945. Kejadian tersebut telah meragut 45,000 ribu nyawa penduduk dan 19,000 ribu lagi mati lepas beberapa bulan terdedah dengan kesan radiasi.
“Cendawan awan terhasil kesan dari letupan dan pemandangan itu menakjubkan, jisim buih menggelegak dengan warna asap ungu kelabu. Anda boleh lihat ia mempunyai teras merah di dalamnya dan semuanya terbakar.” – Staff Sarjan Robert Caron, Pembantu Juruterbang. Dipetik dari Majalah LIFE.
Walaupun telah banyak mengorbankan nyawa rakyat Jepun, Tentera Jepun masa tu tetap berdegil. Dorang tak nak surrender. Kali ini Amerika melepaskan bom Fat Man kat bandar Nagasaki dan telah mengorbankan seramai 80,000 ribu nyawa penduduk setempat. Keadaan bandar lepas kena bom dah jadi macam padang pasir yang penuh dengan debu dan abu.
Enam hari lepas Nagasaki kena bom barulah Maharaja Jepun menyerah kalah. Kekalahan Jepun ni secara tak langsung telah menamatkan sekali Perang Dunia II. Saintis-saintis yang pernah terlibat dalam Projek Manhattan diserap masuk dalam Persekutuan Saintis Atom untuk terus mengkaji manfaat kuasa nuklear.
Penggunaan masa kini:
Selepas Perang Dunia Kedua, tentera laut AS telah mencipta senjata nuklear yang boleh buat kapal selam beroperasi selama setahun tanpa perlu isi minyak. Hasil kajian tersebut dipindahkan pada sektor awam, di mana loji kuasa nuklear telah dibina bertujuan menghasilkan elektrik.
Kuasa nuklear terbahagi kepada dua iaitu fission dan fusion:
Fission: pemisahan bertenaga dua atom besar kepada Uranium atau Plutonium kepada dua atom yang lebih kecil. Tindak balas fission yang pertama sekali dijumpai. Semua loji kuasa nuklear komersial gunakan tindak balas nuklear ni untuk menghasilkan haba yang ditukarkan kepada elektrik.
Fusion: gabungan dua atom kecil seperti Hidrogen dan Helium untuk hasilkan tenaga dan atom lebih berat. Tindak balas fusion boleh hasilkan lagi banyak tenaga dari tindak balas fission dan tanpa ada hasil sampingan radioaktif. Antara kebaikan fusion ialah tenaga tanpa had, kurang pencemaran dan takde pembaziran tenaga. Kajian masih lagi dijalankan ke atas tindak balas ni so tak dikormersialkan lagi.
Kebanyakan negara yang guna loji kuasa nuklear untuk hasilkan elektrik ialah Finland, Hungary, Sweden, Rusia, Amerika, Switzerland, Jepun dan banyak lagi. Selain dari hasilkan elektrik, loji nuklear juga digunakan untuk hilangkan garam air, menyediakan hidrogen untuk sel-sel bahan api dan menggantikan minyak. Dengan itu, negara bukan pengeluar minyak boleh berdikari tanpa ada minyak sendiri sebab kereta hibrid elektrik boleh gantikan kereta yang guna enjin petrol sekarang.
4. Tuala wanita dihasilkan oleh nurse Palang Merah masa kat medan perang
Cellucotton dicipta sebelum Perang Dunia Pertama lagi. Ia ditemui oleh naib presiden syarikat kecil milik Amerika iaitu James C.Kimberley. Cellucotton ialah bahan berserabut penyerap dibuat dari kayu pulpa yang telah diproses dan cirinya lebih kurang sama dengan kapas. Penemuan tu menggantikan kapas yang diguna secara meluas masa tu sebab penyerapan cellucotton ni 5 kali ganda lebih serapan dari kapas biasa. Apa yang bagusnya, cellucotton ni lagi murah untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.
Asalnya cellucotton ni diguna untuk pembalut luka dan dressing pembedahan untuk tentera, tapi nurse-nurse Bulan Sabit pergi guna cellucotton ni untuk penjagaan peribadi dorang sendiri. Dorang jadikan cellucotton sebagai tuala wanita.
Hasilnya, syarikat James C.Kimberley dapat idea untuk komersialkan cellucotton sebagai tuala wanita. Cellucotton dapat gantikan kain kitar semula yang perempuan masa dulu guna bila time period. Syarikat mencadangkan cellucotton ditukar nama jadi Kotex iaitu singkatan untuk cotton textile.
Penggunaan masa kini:
Sampai sekarang cellucotton masih digunakan untuk buat tuala wanita. Syarikat yang mengeluarkan tuala wanita pun semakin bertambah. Selain untuk kegunaan tuala wanita, penghisap vape guna cellucotton untuk melambatkan proses pembakaran di mana dorang nak elakkan gegelung dalam vape hasilkan kurang asap. Klik video di sini untuk tahu lebih lanjut.
5. Rawatan untuk penyakit Rickets ditemui oleh Pakar Kanak-Kanak dari Jerman
Masa berlakunya Perang Dunia Pertama, hampir separuh dari bilangan kanak-kanak kat Berlin kena penyakit Ricket (tulang bengkok). Puncanya sebab masa tu tengah musim sejuk jadi budak-budak langsung tak terdedah dengan cahaya matahari. Selain itu, kekurangan zat makanan juga merupakan punca pengidap penyakit ricket bertambah sebab kerajaan Jerman masa tu buat catuan makanan. Keadaan dorang masa tu teruk sangat sampai golongan suri rumah buat demonstrasi desak kerajaan selesaikan cepat isu makanan.
Hinggalah ada seorang pakar kanak-kanak Jerman yang temui penawar dengan melakukan eksperimen terhadap empat orang budak. Dia meletakkan keempat-empat budak tersebut di bawah lampu merkuri-kuarza yang dipancarkan dengan ultraviolet.
Hasil dari eksperimen tu, pakar tu dapati tulang budak-budak makin kuat. Pada tahun 1919 masa musim panas, dia suruh budak-budak tu berjemur bawah matahari. Tak lama lepas tu saintis lain pun temui yang Vitamin D ni diperlukan untuk proses membina tulang termasuklah kalsium dan proses ini diaktifkan melalui cahaya ultraviolet.
Penggunaan masa kini:
Sekarang ni penyakit Ricket dah jarang ditemui kat Jerman sebab negara mereka dah maju. Penyakit Ricket banyak jadi kat negara miskin seperti Afrika dan Bangladesh di mana rakyat kat negara mereka kekurangan zat makanan.
Tapi korang jangan ingat negara maju macam Amerika dah takde penyakit ni. Malah, ada laporan yang mengatakan penyakit Ricket ni makin bertambah pula sebab budak-budak sekarang tak ramai yang main kat luar so dorang tak terdedah pada matahari.
Rawatan penyakit Ricket masih sama iaitu guna pancaran ultraviolet tapi doktor lebih prefer pesakit berjemur je bawah matahari sebab itu sumber Vitamin D yang terbaik. Doktor juga akan bagi supplemen untuk ibu mengandung bagi mengelakkan bayi dalam kandungan mengalami kekurangan nutrisi.
Perang Dunia banyak mengubah keadaan dunia sekarang
Peperangan banyak memberi kesan kepada individu dari segi emosi, mental dan fizikal. Kerana peperangan, seseorang boleh kehilangan insan tercinta. Perang juga punca musnahnya sesebuah negara seperti yang kita dapat lihat di Syria sekarang.
Namun kita juga tak boleh nafikan manfaat yang diperoleh kesan dari peperangan. Cuba bayangkan kalau semua yang disebutkan dalam artikel ni tak pernah berlaku, Bumi dilihat begitu besar dan takde lagi istilah ‘dunia tanpa sempadan’. Penduduk kat Tokyo mungkin tak boleh pergi kerja dengan train sebab loji kuasa elektrik takde untuk jana elektrik bagi menggerakkan train. Telefon pintar pun tak akan wujud sebab takde satelit jadi kita mungkin terus tulis surat untuk bertanya khabar insan tersayang di kampung.
- 830Share sekarang!
- Email10
- Facebook820
- Share