Seni & Budaya

Tak puas tengok Train to Busan? Ini lagi 5 filem zombie paling horror

Sekarang ni tak sah kalau korang tak dengar pasal Train to Busan kat timeline Facebook kan. Kalau korang bukan jenis up-to-date sangat pasal filem-filem terbaru pun, paling kurang mesti ada ternampak parodi netizen kita macam kat bawah ni…

Gambar dari MGAG.

train-to-kl-zombie

Gambar diambil dari Says.

Train to Busan merupakan cerita zombie pertama dari Korea Selatan dan setakat ni dah memecahkan rekod box-office di Taiwan, Singapura, dan Hong Kong. Tapi apa yang membuatkan filem ni laku sangat kat Malaysia agaknya? Mungkin sebab di sebalik aksi zombie yang buat kita kecut perut, filem Korea Selatan ni jugak bawak membawa mesej kemanusiaan. Menurut review kat website rogerebert.com:

“(Train to Busan) ada persamaannya dengan karya George Romero dan juga Danny Boyle, tapi pada masa yang sama memberikan sesuatu yang unik pada era di mana sikap berbuat baik kepada orang lain adalah sangat penting sekali.”

Siapa pulak Danny Boyle dengan George Romero ni? Haa… dua nama tersebut merupakan lejen dalam pembikanan filem zombie sedunia, dan mereka jugak lah yang bertanggungjawab dalam menentukan perwatakan zombie ni yang sampai sekarang pun masih digunakan.

Jadi kalau korang dah habis tengok cerita Train to Busan dan sedang rasa kekosongan (sebab nak cari cerita zombie yang lain), jom kita layan filem-filem zombie klasik sepanjang zaman, termasuklah…

1. Filem yang mempopularkan “zombie berlari”

Tajuk: 28 Days Later… (2002)
Pengarah:
Danny Boyle
Skrip: Alex Garland
Sinopsis: Empat minggu selepas sebuah virus misteri tersebar dekat UK, beberapa orang survivor cuba cari tempat berlindung. (IMDb)

Kenapa filem ni gempak:

Waktu tengok Train of Busan mesti korang seriau dengan zombie yang sungguh cergas mengalahkan Usain Bolt kan. Tapi idea zombie berlari ni adalah agak baru sebenarnya, sebab sebelum ni kebanyakan filem guna zombie yang lembab, mungkin sebab masing-masing tak cukup kalsium. Sambil zombie tu kejar korang, sempat jugak la habiskan rokok sebatang.

"Mintak maaf I janji bayar hutang bulan depan..."

“Mintak maaf I janji bayar hutang bulan depan…”

28 Days Later adalah antara filem pertama yang memaparkan zombie yang penuh adrenalin. Malah pengarah Donny Boyle kata dia siap upah atlit sebenar untuk jadi zombie, supaya penonton betul-betul rasa keupayaan mereka yang lebih hebat daripada manusia biasa.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Apa yang menariknya pasal 28 Days Later ni, sebenarnya Danny Boyle tak nak filem dia dikategorikan sebagai filem zombie. Sebab tu la raksasa dalam movie ni bukannya mayat yang bangun semula, sebaliknya manusia yang telah dijangkiti virus yang membuatkan mereka sangat marah dan hilang akal. Betul la kata orang tua: jangan marah-marah, nanti jadi zombie.

2. Filem zombie pertama yang memulakan segala-galanya

https://www.youtube.com/watch?v=0TAGtIQvebs

Tajuk: Night of the Living Dead (1968)
Pengarah:
George Romero
Skrip: George Romero, John Russo
Sinopsis: Seluruh negara digemparkan bila orang yang dah mati tiba-tiba hidup balik. Filem ni mengikuti sekumpulan watak yang cuba mengurung diri mereka di dalam sebuah rumah bagi mengelakkan zombie ni semua. (IMDb)

Kenapa filem ni gempak:

Kalau korang jenis budak-budak 90s, mungkin la korang tak selera nak tengok filem hitam putih macam Night of the Living Dead ni. Tapi ianya sangat penting dalam sejarah filem kerana mengrevolusikan perangai zombie yang masih digunakan oleh filem-filem moden. Sebab sebelum tu, zombie hanyalah orang biasa yang kena sihir oleh bomoh Vodoo.

"Ko ni pun satu Barbara, mak dah pesan jangan merayau waktu Maghrib..."

“Ko ni pun satu Barbara, mak dah pesan jangan merayau waktu Maghrib…”

Mula-mula pengarah filem ni, George Romero ambil idea daripada novel “I am Legend” yang menceritakan wabak yang melanda bumi. Tapi buku tu guna vampire, bukan zombie. Jadi penulis skrip pun mencadangkan agar zombie mereka perlu menjadi ‘mayat yang bangun semula’ dan ‘memakan daging manusia hidup’. George Romero suka sangat dengan idea ni, dan jadilah zombie yang kita kenal dan cinta sehingga ke hari ini.

Filem ni jugak membariskan seorang pelakon berkulit hitam, Duane Jones, sebagai watak utama tatkala semua watak lain adalah dibintangi orang kulit putih. Ini satu benda yang jarang berlaku dalam filem-filem Barat dulu (sampai sekarang pun jarang sebenarnya). Menurut George Romero, Duane Jones dipilih sebab memang dialah yang terbaik waktu audition.

3. Filem zombie klasik yang menjadi rujukan sepanjang zaman

Tajuk: Dawn of the Dead (1978)
Pengarah:
George Romero
Skrip: George Romero
Sinopsis: Selepas epidemik zombie semakin menular, dua anggota S.W.A.T dari Phladelphia, seorang pemberita traffik, dan seorang pegawai di syarikat TV dia cuba mencari perlindungan di dalam sebuah shopping mall. (IMDb)

Benda cool pasal filem ni:

10 tahun selepas Night of the Living Dead menggemparkan dunia, George Romero kembali dengan sekuel iaitu Dawn of the Dead. Filem ni jauh lebih ngeri dengan kepala meletup kena tembak shotgun, usus kena tarik keluar. Jadi walaupun ini filem lama, jangan la tengok kalau lemah semangat.

"Lek lu, sap kok lu."

“Lek lu, sap kok lu.”

Tapi di samping keganasan yang melampau-lampau (ikut standard filem zaman tu), filem ini dipuji tinggi oleh pengkritik kerana komentar sosial yang dilemparkan. Babak utama filem ni ditempatkan dalam shopping mall yang penuh dengan zombie, satu satira tentang budaya konsumerima dan kapitalisma. Bak kata watak Stephen dalam satu babak:

Francine Parker: What are they doing? Why do they come here?

Stephen: Some kind of instinct. Memory of what they used to do. This was an important place in their lives.

Sama macam Night of the Living Dead, Dawn juga mencapai status lejen di kalangan peminat filem. Malah filem ini telah mendapat remake dalam Dawn of the Dead arahan Zack Snyder, juga diberikan penghormatan oleh filem komedi Shaun of the Dead arahan Edgar Wright.

4. Filem klasik yang dibuat semula, tapi lagi seronok dan penuh aksi!

Tajuk: Dawn of the Dead (2004)
Pengarah:
Zack Snyder
Skrip: George Romero, James Gunn
Sinopsis: Seorang jururawat, polis, pasangan berkahwin, salesman, dan survivor wabak zombie yang menular di seluruh dunia pergi mencari perlindungan di dalam sebuah shopping mall. (IMDb)

Kenapa filem ni gempak:

OK lah kalau korang dah penat cuba tonton cerita zombie retro, boleh try Dawn of the Dead arahan Zack Snyder pulak. Filem ni merupakan remake kepada Dawn of the Dead asal arahan George Romero tadi, tapi tanpa mesej yang deep macam versi yang lama tu. Sebaliknya, Dawn versi moden ni lebih padat dengan aksi dan visual yang mantap. Memang layan.

"Kat mana ada potongan 70% tu, kat mana??!"

“Kat mana ada potongan 70% tu, kat mana??!”

Sama macam Dawn versi lama, Dawn moden ni ditempatkan dalam sebuah mall. Tapi zombie dia bukan lagi jenis jalan-jalan makin angin, tapi jenis pelari pecut sama macam 28 Days Later.

Dalam filem-filem asal Romero, manusia biasanya mati bila diserang segerombolan zombie. Tapi dalam filem zombie moden macam 28 Days Later dan Dawn ni, seekor zombie pun dah boleh membunuh. Blogger Tim Hulsey kata perubahan ini mungkin menggambarkan penolakan masyarakat kepada pemerintahan beramai-ramai, sebab kita sekarang lebih tertarik dengan idea individualisma. #deepsangat

5. Filem komedi zombie yang sangat cerdik

Tajuk: Shaun of the Dead (2004)
Pengarah:
Edgar Wright
Skrip: Simon Pegg, Edgar Wright
Sinopsis: Seorang lelaki ingin mengubah hidupnya dengan pujuk girlfriend dia yang baru clash, mula contact mak dia balik, dan cuba handle sebuah komuniti yang baru je mati dan hidup semula sebagai zombie. (IMDb)

Kenapa filem ni gempak:

Shaun of the Dead merupakan satu-satunya filem komedi dalam senarai ni, atau lebih dikenali dengan genre “rom-zom-com”. Ada je lagi komedi zombie yang datang selepasnya macam Zombieland dan Warm Bodies, tapi Shaun of the Dead adalah yang klasik! Malah laman web Bloody Disgusting meletakkan Shaun sebagai filem kedua terbaik dalam senarai Top 20 Films of the Decade:

“Shaun of the Dead bukan sahaja filem komedi-seram terbaik abad ini – ianya mungkin menjadi filem komedi-seram terbaik sepanjang zaman.” – Bloody Disgusting.

"Zombie ni jatuh cintan kat aku do. Tapi dia mekap tebal sangat."

“Zombie ni jatuh cintan kat aku do. Tapi dia mekap tebal sangat.”

Shaun of the Dead jugak merupakan sebuah penghormatan kepada filem Dawn of the Dead asal arahan George Romero. Malah Romero punyalah kagum dengan hasil kerja pengarah Edgar Wright dan pelakon/penulis skrip Simon Pegg sampai dia mintak dua mamat ni jadi cameo dalam sekuel dia, Land of the Dead.

Filem ini telah mengangkat nama Edgar Wright yang bukan je pandai menggunakan komedi untuk menyampaikan mesej (contohnya ada satu scene di mana sebelum wabak zombie pun, rakyat London dah menjalani hidup mereka sebijik macam zombie), tapi juga menggunakan visual untuk menyampaikan komedi, tak seperti filem komedi lain yang bergantung kepada dialog semata-mata. Kalau nak contoh macam mana dia buat benda ni, boleh check out video kat bawah ni:

Dah tu tunggu apa lagi, pergi la tengok filem zombie ni semua

Apa yang best pasal filem adalah kadang-kadang ianya bukan sahaja pasal aksi berlawan sana-sini, tapi ia juga menggambarkan sikap semula jadi manusia. Contohnya dalam filem 28 Days Later, pengarah Danny Boyle ingin melakarkan sikap manusia yang suka marah dan mengamuk:

“Kita ada sikap tak bertolak ansur terhadap satu-sama lain… bukan kat jalan raya je. Ia berlaku sewaktu menunggu kat hospital, dan juga kat airport…

Bila kita tak dapat sesuatu dalam masa yang kita mahu, kita hilang pertimbangan.” – Danny Boyle.

So apa lagi, hari minggu ni kan cuti, pergi la marathon filem-filem zombie ni sampai termuntah. Tapi ingat filem ni semua masuk dalam kategori horror ye, jadi bagi yang cepat pengsan tengok darah tu, anda sudah diberi amaran.

Apa filem zombie faveret korang? Bagitau kami dalam ruangan komen!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload the CAPTCHA.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend