Bila sebut pasal holocaust, ramai yang pernah dengar pasal kem tahanan Nazi di Auschwitz-Birkenau pada tahun 1940-1945, di mana kadar kematian dianggarkan sebanyak 1.1 juta orang disebabkan gas beracun dan mangsa dibakar hidup-hidup di dalam krematorium.
Tapi tahu yang Asia juga ada Auschwitz tersendiri iaitu Unit 731 yang dilaksanakan oleh kerajaan Jepun Malah, operasinya adalah 5 tahun lebih awal daripada kem tahanan Auschwitz!
Waktu itu, kebanyakan negara lain sedang sibuk membangunkan senjata api buat tujuan peperangan. Namun Jepun adalah negara pertama yang menyelidik senjata biologi dan kimia iaitu seawal tahun 1932.
Kem ini dikepalai oleh Jeneral Shiro Ishii, seorang ahli mikrobiologi dan juga pegawai perubatan tentera Jepun. Misinya adalah untuk menjalankan eksperimen rahsia pada subjek yang terdiri daripada tahanan China, Rusia, serta beberapa orang Mongol dan Korea.
Dibiayai oleh kerajaan Jepun, Unit 731 mempunyai lebih dari 150 bangunan dan mampu menampung hingga 400 tahanan. Di sekelilingnya ada sebuah tembok yang dibina Jepun. Punyalah rahsia, takde siapa pun yang tahu apa yang berlaku dalam Unit 731 tu semasa tahun-tahun pembukaannya, kecuali bala tentera Jepun dan mangsa yang ada di dalam unit. Malah, mana-mana helikopter yang terbang rendah akan ditembak oleh tentera Jepun.
Berikut merupakan antara kekejaman yang berlaku di Unit 731…
1. Penternakan tikus untuk tujuan wabak bubonic
Para doktor juga melakukan eksperimen di mana mereka cuba untuk menjangkiti subjek (tahanan) dengan pelbagai jenis penyakit. Tujuannya adalah untuk melihat bagaimana tubuh mereka akan bertindak balas terhadap patogen.
Salah satu daripadanya adalah Bilik Pembiakan Tikus, di mana setiap sangkar dipenuhi dengan tikus pembawa penyakit untuk menghasilkan wabak bubonic yang kemudiannya dilepaskan kepada ratusan ribu orang China.
Dengan menggunakan mangsa sebagai subjek, saintis mula menyuntik kuman yang berbeza untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas terhadap tubuh manusia dalam usaha mencipta penyakit baru, di mana mereka bercadang untuk menyebarkan kuman dan parasit kepada pihak lawan.
Jepun memberi pakaian dan bekalan yang dijangkiti kepada perkampungan China untuk menjadikan penduduk di situ sebagai sebagai ‘tikus makmal’, menyebabkan banyak kematian.
2. Ujian Frostbite, mencelup tangan ke dalam air serta dibekukan
Salah satu eksperimen kejam yang dijalankan adalah ujian frostbite yang dilakukan ahli fisiologi, iaitu Yoshimura Hisato. Eksperimen yang dilakukan terhadap mangsa adalah dengan mencelupkan tangan mangsa ke dalam air, dan seterusnya membekukan tangan mangsa.
Bila tangan dah cukup beku, dia kemudiannya buat testimoni kepada pegawai Jepun yang lain di mana dia mengetuk tangan yang beku tu, dan bunyinya tak ubah macam kayu yang diketuk.
Dalam kes lain, ada tangan beku tersebut yang dimasukkan ke dalam tong yang berisi air panas. Tujuannya adalah untuk bereksperimen tentang penyakit gangren yang biasa dialami oleh pesakit diabetes.
Tak cukup dengan tu, ada juga mangsa yang mengalami perkara yang lebih sadis di mana isi lengan mangsa ditarik sampai nampak tulang je.
Mangsa bagi frostbite ni tak kira lelaki atau perempuan, malah dari dewasa atau kanak-kanak. Dalam sebuah dokumen yang ditemui, antara kekejaman yang dilakukan pihak Jepun terhadap banduan China ni adalah dengan membekukan bayi yang hanya berumur TIGA hari, sehingga mati.
3. Vivisection, atau operasi pembedahan untuk tujuan penyelidikan saintifik
Kalau anda cari maksud vivisection, ia bermaksud “operasi pembedahan pada haiwan hidup untuk tujuan penyelidikan saintifik”. Di China, ia turut berlaku kepada manusia di mana mangsa yang masih hidup dipotong anggota badannya, kemudian disambung kepada bahagian lain. Contohnya seperti seorang mangsa yang dipotong kakinya, dan disambungkan kepada lengannya.
Selain tu, doktor sengaja menjangkiti pesakitnya dengan penyakit untuk melihat kepantasan kuman boleh tersebar ke dalam organ. Dalam dokumen yang lain, ada doktor yang membelah anggota badan manusia untuk mengkaji pasal kehilangan darah dan juga kesan pembengkakan yang berlaku.
Ada juga doktor yang dilatih untuk melakukan appendectomies (operasi pembedahan berkaitan usus) dan tracheotomies (menghiris saluran udara untuk melegakan halangan untuk bernafas). Bunyinya macam bagus, tapi masalahnya, kesemua eksperimen yang dilakukan, terutama sekali pembedahan yang dilakukan ke atas banduan ni langsung tak menggunakan ubat bius. Jadi bayangkan macam mana peritnya tahanan ni menahan kesakitan.
Alasan bagi kajian vivisection ni adalah untuk mengkaji kesan patogen pada organ manusia hidup dan untuk mengelakkan penguraian.
4. Dipaksa rogol dan mengandung tanpa kerelaan mangsa tahanan
Bagi mengkaji lebih lagi tentang kuman, ada tahanan lelaki dan wanita disuntik dengan penyakit kelamin, malah ada yang dijangkiti melalui rogol.
Dalam kajian penyakit kelamin yang dipanggil sifilis ni, rogol adalah yang paling kerap berlaku dalam unit ini. Tahanan lelaki yang dijangkiti sifilis daripada suntikan akan dipaksa untuk merogol tahanan wanita dan juga tahanan lelaki untuk melihat macam mana penyebaran sifilis berlaku.
Tahanan wanita dirogol supaya mengandung tanpa kerelaan. Malah, trauma adalah disengajakan untuk melihat macam mana anak dalam kandungan, termasuk tahanan wanita terkesan akibat perbuatan tersebut.
Yang paling kejam sekali, dalam beberapa kes, tahanan wanita yang mengandung akan dibelah perutnya untuk melihat perkembangan fetus tersebut.
5. Ujian bilik gas untuk melihat jangka hayat mangsa
Antara sebab Unit 731 dipanggil Auschwitz Asia adalah kerana mereka turut menggunakan bilik gas (gas chamber) macam apa yang berlaku di Auschwitz.
Salah satu eksperimen yang dilakukan Jepun adalah dengan memasukkan seorang tahanan perempuan bersama anaknya di dalam bilik gas. Doktor akan memerhati dari luar ruangan tersebut, untuk memerhati berapa lama masa diambil untuk kedua-dua mereka mati setelah gas dilepaskan.
Selain itu, satu eksperimen lain adalah dengan mengunci tahanan yang masih hidup di dalam bilik dengan mayat. Tujuannya untuk melihat berapa lama masa yang diambil untuk penyakit merebak kepada tahanan yang masih hidup tu.
Kalau nak diikutkan banyak lagi kekejaman yang dilakukan terhadap tahanan ni dengan penggunaan pelbagai gas berbahaya macam phosgene dan potassium cyanide yang dilepaskan, suntikan udara ke dalam saluran darah, malah darah kuda yang disuntik ke dalam ginjal tahanan.
Walaupun bilangan banduan yang ada dalam Unit 731 ni lebih kecil kalau nak dibandingkan daripada yang ada dalam tahanan Auschwitz-Birkenau, tapi ia beroperasi untuk tempoh yang lebih lama, iaitu sampai 10 tahun (1935-1945)! Apa yang menyedihkan…
Jepun mendapat imuniti dari Amerika demi kepentingan politik
Sebelum Jepun menyerah diri dalam Perang Dunia Kedua akibat bom di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945, mereka sedar yang mereka hampir kalah dalam peperangan dunia tersebut. Jadinya, Unit 731 pun ditamatkan secara rasmi. Takut dengan apa yang bakal mereka hadapi, beberapa pegawai Jepun membakar kebanyakan bukti yang berupa dokumen penyelidikan Unit 731 tersebut.
Angka kematian akibat Unit 731 adalah sebanyak 250,000 orang, lebih ramai daripada mangsa kematian Hiroshima dan Nagasaki kalau digabungkan bersama iaitu masing-masing sebanyak 150,000 dan 75,000 orang.
Dari September 1945 sampai November 1948 di mana Jepun menghadapi pendakwaan di atas kekejaman mereka, Amerika Syarikat membuat pakatan rahsia dengan Jepun. Jeneral Shiro Ishii dan kebanyakan pegawai-pegawai kanannya diberi imuniti dari jenayah peperangan yang dilakukan mereka dengan pertukaran pengetahuan mereka.
Dokumen data eksperimen dalam peperangan biologi dan kimia pun bertukar tangan. Amerika menggunakannya untuk menambah baik asas pengetahuan mereka tentang program peperangan kuman (germ warfare) ni. Alasan Amerika pula adalah supaya ia tak jatuh ke tangan Rusia.
Tak cukup dengan tu, ahli-ahli saintis yang terlibat dalam kekejaman ini mendapat penghormatan tertinggi bagi pencapaian saintifik mereka. Dr Hisato Yoshimura (yang bertanggungjawab membekukan banduan hingga mati) dilantik sebagai penasihat espedisi kutub Jepun. Dr Masaji Kitano, yang juga mendapat imuniti bekerja untuk syarikat farmaseutikal Jepun Green Cross, menjadi ketua pengarah syarikat pada tahun 1959 dan mengetuai semua sekolah perubatan universiti utama dan Persatuan Perubatan Jepun. Mereka tak pernah dedahkan pasal kekejaman yang dilakukan terhadap tawanan perang.
Kebanyakan bukti yang datang tu pun bukannya dari Jepun sendiri, tapi dari Amerika Syarikat di mana rekod yang diserahkan komander Unit 731 telah dibongkar. Bukti-bukti tersebut juga dikatakan disimpan di cawangan peperangan kimia dan biologi Amerika Syarikat di Dugway, Utah. Manakala arkib dari pihak Jepun pula dikatakan masih lagi disembunyikan.
Sehingga hari ini, Jepun masih lagi dianggap tidak memohon maaf sepenuhnya bagi jenayah perang yang telah dilakukan, malah sebaliknya meremehkan kekejaman-kekejaman yang telah berlaku. Hubungan Jepun dengan negara-negara yang telah menjadi mangsa seperti China dan Korea masih lagi hambar disebabkan perkara ini.
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 22 Januari, 2019