5 benda pelik dalam kes penangkapan Aisyah, pelajar yang dikaitkan dengan militan ISIS

Update: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April 2017 menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Siti Noor Aishah Atam kerana didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti IS. Hukuman berkuat kuasa sejak hari dia ditahan dan 12 buku yang diharamkan akan dilupuskan oleh kerajaan.

________________________________________________________________________

Update: Pihak Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam membangkitkan isu dimana di antara buku-buku milik Aisyah yang dirampas tu, ada sebuah nota yang dijumpai terselit di salah sebuah buku tersebut berbunyi;

“Saya benar-benar rindu dengan Negeri Syam yang Tuhan telah diberkati, kerana di situlah Islam akan menang,”-nota tulisannya dalam sebuah buku bertajuk ‘Merentas Jalan Jihad Fisabilillah’

Hakim Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan 2 Mei ini untuk keputusan sama ada Aishah bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kerana memiliki dia 12 buku mempromosikan idea militan.

________________________________________________________________________

Setahun yang lepas pada Mac 2016, Siti Noor Aisyah Atam, bekas pelajar sarjana Usuluddin di Universiti Malaya ditahan di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan SOSMA kerana didakwa memiliki 12 buku yang berkaitan dengan kumpulan pengganas. Masa bela diri, dia kata buku-buku tu semua digunakan untuk penyelidikan ijazah sarjana.

Pada September 2016, Mahkamah Tinggi bebaskan Aisyah tapi ditangkap semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau POCA. Setelah dibebaskan, dia diletakkan di bawah tahanan rumah dan dipasangkan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD). Aisyah tak dibenarkan meninggalkan kampung dia kat Dungun, Terengganu tanpa kelulusan polis.

Lebih kurang macam ni la peranti tu.

Sampai sekarang kes Aisyah tak berkesudahan lagi. Mac tahun ni pulak, dia kena tangkap sekali lagi di bawah SOSMA dan ditahan di penjara Kajang kerana dikatakan ada kaitan dengan militan ISIS. (Baca artikel kami pasal pengaruh ISIS kat Malaysia di sini.)

Kalau korang betul-betul ikut cerita dia ni, korang mungkin perasan yang ada beberapa cerita yang bercanggah dari segi penahanan, sebab penahanan, dan juga kenyataan orang sekeliling. Jadi SOSCILI cuba senaraikan persoalan-persoalan yang bermain dalam minda kitorang, bermula dengan…

1. Kenapa kena tahan banyak kali bawah undang-undang yang berbeza?

Aisyah kena tahan di bawah akta-akta yang berbeza iaitu SOSMA dan POCA. Dua-dua ni bukan undang-undang biasa tau! Kalau penahanan biasa, polis kena dapatkan waran tangkapan dulu, baru boleh heret korang. Tapi dengan SOSMA, polis boleh terus tahan korang dengan sah kalau dorang syak yang korang buat apa-apa aktiviti yang dianggap boleh mengancam kepada keamanan negara.

SOSMA ni adalah akta yang dibuat untuk menggantikan ISA. SOSMA ni ringan sikit la daripada ISA, contohnya ialah polis hanya boleh tahan orang selama 28 hari je berbanding 60 hari, dan kerajaan jugak dah tak boleh letakkan dia di bawah tahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun.

Apa yang menakutkan pasal SOSMA ni adalah korang boleh kenatahan dalam lokap tanpa tingkap, katil, dan cuma mentol lampu yang terpasang 24 jam. Selain tu juga, korang berhak ditahan tanpa diberi hak perbicaraan.

“Pada saya, dia ditahan berulang kali, sebelum mahkamah dapati dirinya bersalah terhadap sebarang tuduhan. Ini ibarat hukuman sebelum bersalah. Hingga terpaksa (menggunakan) kedua-dua Sosma dan Poca,”, peguam defendan, Mohd Kamarulzaman A Wahab dipetik berkata kepada Malaysiakini

Pasal POCA pulak, pernah jadi satu kes dimana V Sivakumar (ahli parlimen DAP bagi Batu Gajah) pernah persoalkan akta ni dimana ia telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Pada tahun 2015, lapan orang ditangkap kerana terlibat dalam kes curi ikan dari kolam. Mereka kemudiannya ditahan reman selama 21 hari dan ditambah lagi 38 hari. Tak boleh bela diri,, tujuh orang yang ditangkap tu dibuang daerah dan seorang dibuang negeri.

Kes ini dibangkitkan ahli parlimen tersebut sebab penyalahgunaan akta, padahal kanun keseksaan lebih relevan daripada guna akta POCA dalam kes macam ni sebab penting untuk menjamin hak asasi dan berkeperimanusiaan.

Berbalik pada kes Aisyah ni, kalau ikut pada Kamus Perundangan Terma dan Definisi Undang-undang daripada laman web NOLO, salah satu prinsip paling penting dalam sistem keadilan ialah defendan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Dalam erti kata lain, pihak pendakwa mesti membuktikan, tanpa sebarang keraguan yang munasabah, setiap elemen penting dalam jenayah yang dikenakan.

Berdasarkan Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sedunia (Universal Declaration of Human Rights), dalam Artikel 11, salah satu syarat ada menyebut:

“Setiap orang yang dituduh dengan kesalahan keseksaan adalah berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah menurut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka di mana dia telah diberikan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.”- (Artikel 11(1))

2. Kenapa Aisyah boleh kena tahan kalau 12 buku tu tak diharamkan pun?

Ismaweb ada menerangkan yang 12 buah buku tersebut dikatakan mengajar fahaman terrorism dan mempromosikan ideologi Salafi Jihadi yang digunakan oleh kumpulan pengganas termasuk al-Qaeda, Jemaah Islamiah dan juga IS. Antara penulis buku-buku ni pulak memang anggota kumpulan militan seluruh dunia.

Tapi peguam Aisyah mempertikan yang buku-buku tu masih belum diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Haram?

Bila Aisyah dilepaskan pada tahun lepas, Pesuruhjaya Hakim ada tegur pihak KDN dalam hal ini:

“Apalah ertinya pemilikan buku-buku tersebut yang dikatakan mempunyai kaitan dan unsur-unsur pengganas menjadi suatu kesalahan ke atas sesiapa yang memiliki buku-buku tersebut, walhal pihak Kementerian Dalam Negeri gagal menjalankan fungsi sebenarnya untuk mengharamkan dan seterusnya menghapuskan buku-buku tersebut.”- Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, 29 September 2016.

Malah sampai sekarang pun bila kami check kat website KDN, buku-buku ni semua masih lagi belum diharamkan.

3. Buku tu dibeli Aisyah ke ada orang bagi?

Selain daripada kesalahan memiliki buku-buku terlarang tu, terjadinya satu persoalan lain, kat mana dia dapat semua bahan bacaan tu? Bila kami cari artikel berkaitan, kami jumpa artikel yang bercanggah bila ada yang kata buku-buku tu dibeli sendiri untuk kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) pada 2012-2013.

Pasal tesis dia tu pulak, dia sendiri yang cadangkan tajuk tu kat Dr Mahmud Ahmad, tapi alih-alih pensyarah dia tu (dipercayai) melarikan diri ke Filipina sejak 2014 sebab nak join kumpulan militan IS. Dr Mahmud atau ‘nama jihadnya’ Abu Hanzalah antara individu yang dikehendaki Polis Bukit Aman atas alasan melibatkan diri dengan militan.

Masa Aisyah bagi keterangan kat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas, dia bagitahu yang dia tak ingat dia beli kat mana buku-buku tu semua, tapi…

“…tertera bahawa antara pengimport dan pembekalnya adalah Fajar Ilmu Baru Enterprise, yang saya perolehi di Masjid India, Kuala Lumpur. Saya tak sempat membaca buku-buku ini, tetapi saya belek buku-buku ini seperti ada kaitan dengan tajuk kajian saya,” – Aisyah semasa memberi keterangan.

Tak tahu, saya pass je. Dari Giphy.

Ustaz Zamihan dalam keterangannya di mahkamah ada menyatakan yang buku-buku yang digunakan Aisyah tu takde kena-mengena pun dengan tesis kajiannya pasal konsep tauhid dan pentadbiran negara untuk pengajian Usuluddin dia di Universiti Malaya.

Berbeza dengan pengakuan dia, dari sumber NST pulak kata yang buku-buku dalam simpanannya itu diberikan oleh Najib Hussein (pengebom IS Malaysia yang mati dibunuh oleh tentera Filipina di Pulau Basilan). Buku tu dikatakan memang promote ideologi berjihad dan berunsur keganasan.

Antara buku-buku yang dimiliki Aisyah yang sebahagiannya ditulis oleh anggota militan ialah:

  • Visi Politik Gerakan Jihad
  • Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan
  • Dari Usama Kepada Para Aktivis
  • Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda
  • Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru

4. Kenapa Universiti Malaya tak back up Aisyah?

Selain tu juga, salah satu benda yang bercanggah dalam kes ni ialah bila kenapa dia digugurkan daripada menjadi pelajar Universiti Malaya. Alasan yang kita dengar ialah sebab dia gagal datang kelas masa ditangkap. Tapi kalau dia kena tangkap atas alasan ada buku-buku haram untuk kes kajian dia, kenapa pulak UM tak back up?

Biasanya sebelum kita mulakan kajian ataupun tesis, mesti ada draft atau proposal sebelum ia diluluskan universiti. Bila dah lulus, baru la boleh cari bahan kajian, kan? Dan buku-buku tu la yang diclaim sebagai bahan untuk kajian tesis. Tapi, pihak universiti ada terlibat tak untuk selesaikan masalah ni sebab Aisyah adalah student dorang?

Kami memang tak jumpa apa-apa statement dari UM. Cuma Facebook Ustaz Zamihan ada kata sesuatu yang bercanggah daripada apa yang kita baca dalam berita, di mana dia mengatakan pernah berbincang dengan pegawai UM di Mahkamah:

Kenyataan Ustaz Zamihan yang dipetik dalam Facebooknya.

Dan boleh tengok sini untuk keterangan Ustaz Zamihan yang telah mengkaji sendiri 12 buah buku tu, dan menjadikan dia salah seorang saksi dalam kes Aisyah di mahkamah.

https://www.youtube.com/watch?v=LSHZnsnlcrQ&feature=youtu.be&ab_channel=OnLineMajlisIlmu

Jadi berdasarkan kenyataan Dr Zamihan, pihak Universiti Malaya memang ada keluarkan statement dekat mahkamah masa kes ni berlangsung, yang mengatakan Aisyah dah luput pencalonan sebagai pelajar UM.

5. Aisyah nak ke Syria untuk join ISIS ke nak sertai misi kemanusiaan?

Malaysia Life Line for Syria,

Menurut The Malaysian Post, Aisyah kata yang dia memang nak ke Syria tapi bukan sebab nak join militan, sebaliknya untuk menyertai misi kemanusiaan bersama NGO Malaysia Life Line For Syria. Namun akhirnya dia tak pergi sebab dihalang keluarga.

Tapi lain pulak dengan laporan New Strait Times yang mengatakan pemimpin IS Malaysia di Syria, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi ada bagi statement yang dia kenal Aisyah. Malah dia mengaku menjadi saksi ikrar taat setia Aisyah kepada Abu Bakr al-Baghdadi (ketua militan), melalui Telegram. Amboi, maju!

Kenapa? Tak percaya? Giphy

Selain tu juga, sumber dari NST juga mendakwa yang Aisyah memang nak lari ke Syria dan dapatkan kad pengenalan palsu dam bantuan daripada pensyarah dia tadi.

Jadi, mana satu yang betul ni?

Buat masa sekarang, kes ini masih disiasat

Menurut kenyatan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan yang polis ada sebab tersendiri dalam menahan seseorang. Dalam kes Siti Aisyah ni, nampaknya polis ambil keterangan yang dah dibagi oleh bapa Siti Aisyah ni sendiri.

“Ayah dia sendiri dah beritahu, mengaku bahawa dia cuba menghalang anak dia ni daripada terlibat dalam kegiatan IS. Jadi tak payah la saya nak ulang lagi. Kita bukan menganiaya orang. Tak ada orang yang kita aniaya. Kita ada cukup bukti untuk ambil tindakan. Bukan saja-saja,” tegas Khalid pada sidang media di Bukit Aman. Sumber dari MalaysiaKini.

Cumanya, kita harap akta-akta seperti SOSMA dan POCA tak disalahgunakan untuk menahan rakyat Malaysia tanpa sebab. Sebelum ni, SOSMA bukan je pernah digunakan untuk menangkap pengganas, tapi juga ahli politik seperti Khairuddin Abu Hassan yang cuba membuat pendedahan terhadap 1MDB. Bagi POCA pulak, seperti yang kami dah cerita kat atas, ia pernah digunakan untuk menahan nelayan!

Jadi dalam apa-apa hal pun, kita perlu mencari keseimbangan dalam melindungi negara daripada ancaman bahaya, tapi pada masa yang sama memastikan undang-undang tidak disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.