- 4.9KShare sekarang!
- Email113
- Facebook4.8K
- Share
Sekarang ni, kalau pergi mana-mana pun kita boleh nampak universiti atau kolej. Boleh dikatakan yang pendidikan tinggi di Malaysia ni sangat berkembang pesat, sampaikan kita ada 20 buah universiti awam dan lebih dari 50 buah universiti dan kolej universiti swasta.
Tapi kalau nak dibandingkan dengan tahun 1960-an dulu, dah mestilah pelajar-pelajar sekarang ni lebih beruntung. Diorang sekarang ni ada internet, boleh main Twitter, Instagram, Tik-tok, Wechat dan buat macam-macam.
Tapi tu juga buatkan kita tertanya-tanya pasal perbezaan antara kehidupan universiti sekarang dan dulu. Oleh itu, bersama dengan kawan kitorang – Taylor’s (yang rupa-rupanya dah sambut ulang tahun ke-50 kolej pada tahun ni dan jadi antara institusi swasta tertua di Malaysia), cuba dapat tahu macam mana kehidupan pelajar universiti 50 tahun dulu.
Jadinya, kitorang ada interview tiga orang otai yang sudi kongsi pengalaman-pengalaman diorang:
Tapi, korang jangan terkejut pulak bila dapat tahu yang…
1. Diorang tulis assignment guna tangan, dan ada yang ayah tuliskan?!
Macam mana kitorang tahu benda ni? Sebenarnya, ia diceritakan sendiri oleh Puan YY Chew (antara kakitangan terawal Taylor’s sejak tahun 1980-an dan juga guru sekolah kerajaan pada tahun 1960-an) yang beritahu kitorang, pensyarah masa tu cuma gunakan papan hitam dan kapur tulis je bila mengajar.
Begitu jugalah dengan pelajar yang akan guna papan hitam atau kadang-kadang tu overhead projector, bila nak buat presentation.
“Kolej (Taylor’s) masa tu beli helaian lut sinar bersaiz A4 untuk overhead projector. Di mana orang masa tu anggapnya mahal.” – Kata Puan Chew kepada SOSCILI.
Pasal buat assignment pulak, takdenya diorang print bagai tu. Diorang masa tu tulis guna tangan je dan kalau yang ada duit tu bolehlah guna mesin taip. Boleh dikatakan yang mesin taip masa tu macam Airpod la sekarang ni. Hal ni juga diakui oleh bekas aktivis mahasiswa tahun 1970-an, Kamaruzaman Yaacob yang kata, masa tu cuma pensyarah je yang ada mesin taip.
Lebih penat lagi bila nak buat research. Masa tu mana ada internet, jadi diorang kenalah pergi perpustakaan dan kadang-kadang tu nak cari satu topik je, tapi kena baca 10 buku!
Tapi korang jangan terkejut pulak, sebab masa tu meniru dan plagiat ni dah biasa berlaku. Puan Chew cerita, ada assignment yang bukan pelajar buat, tapi AYAH DIORANG yang buat!
“Banyak kes (plagiat) tapi selalunya tak dapat dikesan kerana masa tu kurang teknologi. Dan saya tahu ada kerja yang sebenarnya bukan pelajar yang buat, tapi ayah mereka yang buat.” – Kata Puan Chew, kepada SOSCILI.
Perkara sama juga diceritakan oleh Jimmy dengan kata:
“Projek makmal masa tu juga diplagiat oleh sesetengah pelajar yang tak dapat siapkan projek atau gagal dalam percubaan sebelum tu.
Tapi hal tu tak diberatkan sangat, sebab peperiksaan bertulis akhir yang akan menentukan pelajar tu buat dengan baik atau tak. Jadi, plagiat tak jadi isu sangat kepada pensyarah.” – Kata Jimmy kepada SOSCILI.
Berbeza dengan sekarang, isu plagiat dah dipandang serius dan ada macam-macam software yang boleh kesan plagiat. Hukuman plagiat juga cukup tegas, sampai boleh dihukum gantung pengajian atau dibuang terus dari universiti. Ada juga kes plagiat thesis yang dibawa ke mahkamah, melibat pensyarah sendiri.
Jadinya, korang janganlah sia-siakan pengajian korang tu dengan buat hal macam ni. Nak-nak lagi yang copy – paste dari internet tu. ?
Kalau korang rasa benda ni pelik dan beza sangat dengan sekarang, jangan rasa pelik lagi. Sebab…
2. Bercium di tempat awam masa tu benda biasa. Tapi bertudung pulak nampak pelik
Sekarang ni, nak ber-couple pun sorok-sorok, apatah lagi nak simpan rambut panjang atau merokok. Tapi rupanya-rupanya keadaan cukup berbeza dengan dulu, sebab Kamaruzaman kata – pada tahun 1960-an dan 1970-an dulu, kebebasan di universiti tu cukup luas dan tak ada orang yang mengongkong diorang.
Pada masa tu juga, budaya Hippie sampai ke Malaysia dan ramai yang terpengaruh. Jadi, boleh kata masa tu ramai yang merokok dan berambut panjang (lelaki). Malah, ada pensyarah yang selamba je merokok dalam bilik kuliah sebelum mulakan kelas.
“Couple bercium di tempat parking motor tu benda biasa. Tak ada yang halang. Tudung juga masa itu cukup janggal dipakai. Kalau ada yang pakai tudung, orang pandangnya dengan keanehan” – Kata Kamaruzaman kepada SOSCILI.
Lebih menarik lagi, zaman tu kolej dan persatuan pelajar selalunya akan buat Ball Night (majlis tari-menari) mingguan dan tahunan. Masa itulah, diorang berkenal-kenalan, bersuka ria, tunjuk bakat menari dan sebagainya.
Tapi berbeza pula dengan Taylor’s, sebabnya Puan Chew kata, kebanyakan pelajar masa tu pakai pakaian yang sopan dan hiburan diorang pun biasa je macam menari dan menyanyi. Merokok pulak, memang tak boleh di Taylor’s masa tu.
Tapi pada hari ni nampaknya keadaan dah berubah. Pakaian di universiti swasta pun sekarang lebih bebas sikit, kalau nak dibandingkan dengan peraturan etika berpakaian di universiti awam.
Selain tu, korang juga mesti nak tahu pasal…
3. Ragging memang ada, dan orientasi pun kadang-kadang jadi aktiviti cari bakat junior
Pada yang tak tahu, ragging ni adalah satu ritual yang selalu digunakan untuk ‘kenakan’ pelajar baru oleh pelajar senior. Senang kata, ia macam ice breaking, tapi dengan cara yang jahat sikit. Sebagai bekas pemimpin pelajar, Kamaruzaman kata, ragging masa dulu boleh dikatakan terkawal dan tak sampailah mendera. Orientasi pula digunakan untuk menilai bakat dan beri keyakinan kepada pelajar baru.
“Ada la juga kes ragging macam senior suruh nyanyi lagu lucah, pumping dan ketuk ketampi. Tapi tu kes terpencil saja. Masa itu, senior akan minta kita berpidato, menyanyi, main alat muzik dan sebagainya.
Jadi, mereka dah menilai bakat-bakat junior ni. Saya sendiri seorang yang pandai berpidato dah ditawarkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus pada tahun pertama lagi.” – Kata Kamaruzaman kepada SOSCILI.
Walaupun ragging berlaku dekat universiti awam, Puan Chew kata, Pengetua Kolej Taylor’s, Ted Miles masa tu cukup tegas dan tak benarkan aktiviti macam ni terjadi.
“Kami takut pelajar akan membuli satu sama lain, dan makanya, kami tak benarkan ragging dari berlaku.
Saya ada baca surat khabar tentang ragging di universiti awam ketika itu. Jika pelajar baru ini enggan ikut arahan, pelajar senior akan berkumpul dan memukulnya pada waktu malam. Ini membuatkan pelajar junior tu rasa cukup rendah.” – Kata Puan Chew kepada SOSCILI.
Tapi hal macam ni dah terkawal sekarang ni, bila pihak universiti perkenalkan polisi untuk mengawalnya. Sebagai contoh, universiti juga perkenalkan sesi orientasi team-building kepada pelajar-pelajar baru.
4. Ada yang sanggup gadai rumah, sebab nak hantar anak ke universiti
Pada hari ni, isu kewangan tak lagi jadi masalah utama sebab pelajar boleh buat pinjaman dari PTPTN dan dapat macam-macam lagi bantuan kewangan. Tapi untuk zaman dulu, boleh dikatakan bantuan kewangan tu cukup terhad dan tak banyak bantuan yang ditawarkan.
Kata Jimmy, masa tahun 1960-an, sesiapa yang dapat markah cemerlang dalam HSC (STPM) dan kokurikulum, lebih mudah dapat biasiswa berprestij untuk belajar di luar negara. Biasiswa tu termasuklah segala perbelanjaan dan jawatan bila dah habis belajar nanti. Tapi, tak semualah yang beruntung macam tu.
Jadinya, yang tak dapat tu kenalah mohon biasiswa atau dermasiswa dari Kerajaan Persekutuan atau negeri. Sebagai balasannya, diorang kena berkhidmat dengan kerajaan minimum 5 tahun lepas bergraduasi.
“Kebanyakan pelajar yang tak berjaya dapat biasiswa, masih boleh belajar dengan “biasiswa bapa” mereka. Mungkin ada juga bantuan kewangan yang datang dari kawan atau saudara mara.” – Kata Jimmy kepada SOSCILI.
Selain tu, ada di antara mak ayah yang mula buat simpanan insurans pendidikan sejak anak diorang kecil lagi. Lebih sedih lagi, ada juga mak ayah yang sanggup gadai rumah sebab nak hantar anak diorang belajar di universiti atau ke luar negara.
“Saya kenal ada mak ayah yang gadai rumah mereka, guna wang itu untuk beri anak belajar. Mereka lepas tu beritahu anak tadi: Kamu kena belajar betul-betul, dapatkan keputusan yang cemerlang . Lepas habis belajar nanti datang sini dan tolong mak ayah. Tolong adik-adik kamu.” – Kata Puan Chew kepada SOSCILI.
Tapi untuk universiti awam pula, yurannya tak la mahal sangat. Jimmy kata, yuran pengajian (untuk Sarjana Muda Sains – Kimia) masa tu cuma dari RM1,000 sampai RM2,000 je setahun.
“Yuran asrama masa tu hanya RM300 satu penggal (10 minggu) yang termasuk penginapan dan dobi. Pelajar juga dapat makan 3 kali sehari dan dewan kantin dibahagikan kepada dua bahagian – halal dan tak halal. Sekarang ini, nampaknya pilihan halal sahaja yang ada.” – Katanya Jimmy kepada SOSCILI.
Tapi taklah macam sekarang, dengan kenaikan kos sara hidup dan yuran. Sebagai contoh, yuran asrama termasuk makan di sesetengah universiti awam sekarang pun boleh cecah RM10 sehari. Walaupun macam tu, ada satu benda yang pelajar-pelajar universiti sekarang tak boleh lawan pelajar tahun 1960-an – 1970-an dulu.
5. Kebangkitan gerakan mahasiswa yang membawa suara rakyat
Sekarang ni rasa tak puas hati senang je nak diluahkan. Korang boleh tulis di Facebook, Twitter atau apa-apa je platform media sosial. Dengan satu gambar atau video pun kita boleh buat ia viral dan satu dunia tahu. Tapi semua peluang tu tak ada untuk pelajar-pelajar universiti 50 tahun dulu.
Jadinya, antara cara paling ampuh nak suarakan bantahan diorang adalah dengan buat protes dan demonstrasi. Tapi, ia juga sebenarnya dipengaruhi oleh suasana dan keadaan masyarakat masa tu. Kamaruzaman kata, sebelum tahun 1970, 70 peratus pelajar di universiti awam adalah bukan Melayu dan 30 peratus pula Melayu.
Tapi lepas tahun 1970, jumlah tu diubah suai dengan tetapkan 55 bumiputera: 45 bukan bumiputera. Tapi apa yang pasti, majoriti pelajar masa tu berasal dari keluarga miskin.
“Sebab itulah, bila ada isu kebuluran di Baling dan penindasan di Tasek Utara kita turun (berdemonstrasi). Maka, jadilah Demonstrasi Baling, Tasek Utara dan sebagainya. Sebabnya, ketika itu mahasiswa cukup sensitif dengan isu kemanusiaan dan kemiskinan.” – Kata Kamaruzaman kepada SOSCILI.
Tapi, rentetan dari demonstrasi-demonstrasi tu juga akhirnya membawa kepada pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1975. Pindaan akta ni akhirnya menyekat kebebasan mahasiswa dari berpolitik dan bersuara.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ada kata yang AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tahun depan, dan akan diganti dengan undang-undang baru.
6. Sastera jurusan paling popular dan ada yang dipanggil interview kerja sebelum habis belajar lagi!
Dekat Malaysia, selalunya jurusan yang popular ikut trend semasa. Sebab itulah, kita boleh nampak bila trend jurusan Teknologi Maklumat (IT) naik, ramai yang ambil IT. Lepas tu, bila Mass Comm naik, semua ambil jurusan ni.
Tapi keadaan berbeza pada tahun 1960an dan 1970-an. Sebabnya, kerajaan masa tu dah bina banyak pejabat kerajaan dan sekolah. Jadinya, kerajaan nak banyakkan pentadbir Melayu untuk ditempatkan dekat pejabat-pejabat kerajaan ni. Dan jurusan yang paling sesuai masa tu, dah semestinya sastera.
“Kerajaan juga masa tu berikan kuota untuk cikgu-cikgu sambung pengajian ke Sarjana Muda. Jadi, kebanyakan cikgu ni masuk ke jurusan sastera, berbanding jurusan lain.” – Kata Kamaruzaman, kepada SOSCILI.
Apa yang lagi best, kebanyakan pelajar universiti masa tu akan terus dipanggil interview kerja bila dah habis belajar, atau kadang-kadang tu tak sempat habis belajar dah dipanggil interview kerja.
Tapi bila bercakap pasal kesedaran masa tu pula, sebenarnya pelajar dan ibu bapa tak berapa tahu tentang jurusan-jurusan yang ada, dan diorang biasanya akan pandang pada jurusan Perubatan dan Undang-undang je. Hal ni diakui sendiri oleh Puan Chew:
“Mereka tak ada maklumat yang banyak tentang pengajian tinggi. Sebab itu ada doktor yang buka restoran, disebabkan minatnya dengan masakan. Mereka akan cakap: Saya minat memasak, tapi ibu bapa saya yang nak saya jadi doktor.” – Kata Puan Chew kepada SOSCILI.
Apa yang dikatakan Puan Chew tu ada asasnya juga sebab masa tu tak ada program hospitaliti dan kulinari yang ditawarkan di Malaysia. Tapi, sekarang ni dah ada macam-macam program yang ditawarkan, termasuklah dari Taylor’s sendiri.
7. Zaman dulu orang pilih universiti ikut apa yang dia dengar dari sekeliling
Sekarang ni kalau nak pilih universiti, orang selalunya akan semak dulu rating dan ranking universiti tu. Sebabnya, semakin baik rating dan ranking-nya, maka semakin baguslah kualiti universiti tu. Tapi macam mana pula dengan zaman dulu?
Kata Puan Chew, Malaysia zaman dulu takde rating dan ranking ni, tapi negara macam United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS) mungkin ada. Namun, maklumat tu taklah semuanya sampai kepada masyarakat, sebab masa tu mana ada teknologi macam hari ni.
Jadinya, orang masa tu pilih universiti berdasarkan khabar dari mulut ke mulut, atau dari pengalaman mereka yang pernah belajar di sesebuah universiti.
Contohnya, ramai yang belajar di UK dan Australia masa tu.
“Ramai yang pergi ke England untuk belajar undang-undang dan ketika ni mungkin anda akan bertanya kenapa mereka tak pergi ke New Guinea untuk belajar undang-undang…
Ada juga yang pergi ke Australia untuk belajar perniagaan atau perakaunan, kenapa tak pergi ke Maldives untuk belajar perakaunan? Sana pun ada universiti kan? Lepas tu, anda akan bertanya lagi.” – Kata Puan Chew kepada SOSCILI.
Tambahnya, masa tu susah nak tentukan sesuatu universiti tu baik atau tak. Sebab tak ada rating macam sekarang ni. Dan inilah apa yang dimaksudkan oleh Puan Chew, bila sekarang ni Taylor’s dah dianugerahkan 5 BINTANG dalam lima (5) kategori melalui penilaian QS Stars University Ratings 2019-2022.
Hal ni dah membuatkan Taylor’s menjadi universiti swasta terbaik di Malaysia dan mengalahkan universiti-universti swasta lain. Taylor’s juga diiktiraf sebagai UNIVERSITI KE-4 TERBAIK DI DUNIA dan TERBAIK DI ASIA bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam QS Graduate Employability Rankings 2019.
Berbeza dengan dulu, sekarang kualiti pendidikan tinggi kita dah bertambah baik
Kalau dulu semuanya nampak macam susah dan payah, sekarang ni segalanya lebih selesa dengan adanya teknologi dan sistem yang lebih baik. Kita sendiri boleh nampak macam mana keadaan berubah dengan – penginapan yang lebih selesa, kuliah yang lebih komprehensif, perpustakaan yang lebih lengkap, kemudahan wifi, dan sebagainya.
Kalau dulu ada kekangan kewangan sampai ada yang gadai rumah, sekarang ni semuanya lebih mudah dengan adanya PTPTN, MARA, pinjaman pendidikan dari kerajaan negeri, PPBU, biasiswa dari yayasan tertentu, biasiswa dari pihak universiti dan sebagainya.
Pilihan program dan jurusan pun lebih meluas, kalau nak dibandingkan dengan dulu. Taylor’s sendiri dah tawarkan lebih dari 80 program dan jurusan dalam pelbagai peringkat dari Pra-universiti, sampailah ke Doktor Falsafah (PhD). Kalau korang nak jadi Saintis Komputer (yang tak terfikir 50 tahun dulu) pun boleh, sebab ada jurusan untuk tu.
Dan siapa sangka, sebuah institusi yang hanya dikenali sebagai maktab dan tawarkan program pra-universiti 50 tahun dulu, kini dah melahirkan lebih 100,000 graduan?
Dengan sejarah panjang dan pelbagai kejayaan tu, kitorang ambil kesempatan ni untuk ucapkan…. SELAMAT ULANG TAHUN KE-50 TAYLOR’S!
- 4.9KShare sekarang!
- Email113
- Facebook4.8K
- Share