- 707Share sekarang!
- Email2
- Facebook705
- Share
Pembaziran makanan boleh jadi dalam banyak cara, contohnya tanaman musnah, makanan rosak ataupun makanan tamat tarikh luput sebelum kita sempat guna. Menurut laporan, setiap tahun negara-negara kaya membazirkan hampir 22 juta tan makanan. Nilai ni dah agak sama dengan jumlah penghasilan makanan di negara-negara sub-Sahara Afrika (230 juta tan).
Kat Malaysia, mStar melaporkan yang kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan dibuang setiap hari di mana jumlah tersebut boleh bagi makan dua juta orang! Tambah Astro Awani lagi, setiap tahun Malaysia kerugian hampir RM1 bilion akibat pembaziran makanan je! Mak aih, kaya sangat ke kita?
Tapi tahukah korang, ada sebuah negara yang telah mendidik rakyatnya tentang pembaziran makanan sehingga mereka berjaya mengurangkan pembaziran makanan sebanyak 25% dalam tempoh 5 tahun!! Kempen ni dimulakan oleh hanya seorang wanita yang sangat berdedikasi bernama Selina Juul. Dan negara tersebut ialah Denmark.
Negara kecil, tapi jumlah pembaziran sangat tinggi!
Selina Juul dilahirkan di Moscow, Rusia pada tahun 1980. Dia mempunyai BA dalam Graphic Design dari Denmark’s School of Media and Journalism. Dia merupakan seorang pereka grafik bebas dan aktivis.
Selina beritahu masa dia kat Moscow waktu zaman komunis dulu, kekurangan bekalan makanan adalah satu perkara yang biasa. Dia pindah ke Denmark pada tahun 1993. Masa tu dia terkejut bila nampak makanan penuh bersusun kat kedai-kedai. Tapi apa yang lebih memeranjatkan Selina, bila dia tengok kawan-kawan sekolah dia selamba je buang makanan tengah hari yang diorang tak nak ke dalam tong sampah. Banyak pulak tu.
Bila Selina beritahu yang ada sesetengah negara yang tak cukup bekalan makanan, cuba teka apa reaksi kawan-kawan dia? Diorang hanya gelakkan Selina!
Denmark ni negara kecil je. Populasi penduduk kira-kira 5.7 juta orang. Sikit, kan? Tapi pembaziran makanan Denmark mencapai 700 ribu tan makanan yang masih BOLEH DIMAKAN dalam setahun. Pembaziran terbesar datangnya dari isi rumah di mana makanan yang dibuang ialah buah-buahan, sayur-sayuran, roti, produk tenusu dan lebihan makanan.
Menurut laporan daripada Danish Environmental Protection Agency (Danish EPA), kebanyakan makanan yang dibuang tu adalah sebab diorang lupa nak guna bahan makanan yang ada dalam peti sejuk dan akhirnya jadi tak elok. Kekeliruan menggunakan tarikh pada label makanan dan tak berapa nak reti guna lebihan makanan pun jadi punca pembaziran.
Suruh pasaraya untuk berhenti galakkan orang ramai borong barang dapur
Pada tahun 2008, Selina dah tak tahan dengan masalah pembaziran makanan kat Denmark, menubuhkan satu grup kecil di Facebook yang diberi nama Stop Spild Af Mad (Stop Wasting Food). Dua minggu kemudian, organisasi ni masuk dalam media nasional kat sana.
Selina berjaya memujuk Rema 1000, sebuah rantaian pasaraya kos rendah terbesar di Denmark untuk buat satu keputusan yang besar. Selama ini Rema 1000 menjual barangan diorang dengan harga diskaun bila dibeli secara borong. Tapi Selina berjaya pujuk mereka untuk jual barangan diorang dengan harga diskaun tetapi bagi setiap item, bukan dalam kuantiti yang banyak.
Tindakan ini berjaya mengubah mentaliti rakyat Denmark. Tiga bulan selepas Stop Wasting Food ditubuhkan, Rema 1000 menghubungi Selina dan beritahu dia yang diorang dah hentikan jualan diskaun secara borong kat semua pasaraya diorang.
Max Skov Hanser, salah seorang pekerja di Rema 1000 beritahu yang peruncit membazirkan kira-kira 80 hingga 100 biji pisang setiap hari. Tapi, bila Rema 1000 letak papan tanda yang bertulis “Ambillah saya. Saya single”, pembaziran pisang berkurang sehingga 90 peratus! Dalam masa 5 tahun, Denmark berjaya kurangkan pembaziran sehingga 25%.
Tahun 2016, sebuah badan kebajikan kat Copenhagen mengambil inisiatif untuk membuka Wefood, pasaraya pertama di Denmark yang menjual barang makanan lebihan pada harga 30 hingga 50 sen lebih murah daripada biasa. Wefood berharap yang diorang dapat bantu Denmark untuk kurangkan 700 ribu tan pembaziran makanan setiap tahun.
Menentang pembaziran makanan dah jadi trend di Denmark
Trend mengurangkan pembaziran bukan je disokong rakyat biasa tetapi juga orang terkenal Denmark. Dalam sebuah festival di Pulau Fyn, chef selebriti Claus Holm tanpa rasa was-was menghidu dan mencampurkan krim yang dah tamat tarikh luputnya hari itu ke dalam makanan yang dia masak.
Holm ingin menunjukkan yang produk-produk makanan yang dah tamat tarikh luput dalam peti ais rumah kita masih lagi boleh digunakan. Antara bahan makanan yang Holm guna dalam demo tu ialah daun basil yang sedikit rosak, baguette yang dah lama, tomato lembik dan beberapa ketul daging lama.
Rakyat Denmark memang dah tak kisah pun nak beli produk makanan yang dah tamat tarikh luput termasuklah produk-produk tenusu. Malah puteri raja Denmark, Puteri Marie pun turut serta apabila datang masa pembukaan Wefood di Copenhagen. Betapa orang Denmark ni punyalah cinta pada konsep Wefood, diorang beratur setiap hari nak beli apa saja yang dijual kat kedai tu.
Siap ada aplikasi khas untuk beli lebihan makanan!
Aplikasi seperti Too Good To Go membolehkan pelanggan beli makanan untuk dibawa pulang daripada lebihan bufet dengan harga murah. Satu lagi aplikasi, YourLocal, fokus kepada lebihan produk makanan dari pasar raya dan siap buat promosi jual makanan murah pada pelanggan.
Menteri Makanan dan Alam Sekitar Denmark pun dah beri subsidi hampir US $750 ribu untuk pantau mana-mana projek yang melibatkan pembaziran makanan, daripada produksi sampailah ke penggunaan. Asalkan makanan yang tarikh luputnya dilabel dengan jelas dan tak ada tanda-tanda risiko pada kesihatan, maknanya makanan tu sah untuk dijual.
Dalam kita main buang je makanan, negara lain sampai tak cukup makan
Pada 2050, populasi manusia akan mencecah 9 bilion orang. Maknanya penghasilan makanan pun perlu ditingkatkan sebanyak 70%.
Peningkatan perubahan iklim menyebabkan pertanian dan penghasilan makanan pun berubah. Banjir dan kemarau memburukkan lagi bidang pertanian. Semakin ramai petani guna racun perosak supaya tanaman diorang dapat bertahan dengan perubahan iklim. Tapi, penggunaan racun perosak ni beri kesan pada biodiversiti pula.
Di Sub-Sahara Afrika, kekurangan bekalan makanan ni dah biasa. Kemarau menyebabkan tanaman seperti jagung banyak yang musnah. Di Asia Selatan, hujan yang tak menentu menyebabkan sesetengah tempat tenggelam dan ada sesetengah yang lain tak cukup bekalan air untuk pertanian dan minuman. Di Asia Tenggara pula, para petani, penduduk yang duduk dekat dengan pantai dan penduduk bandar terpaksa terima kesan daripada kenaikan paras air laut. Sesetengah kesan perubahan iklim lebih cepat berlaku daripada apa yang diramal.
Malaysia juga pernah ada krisis bekalan beras suatu masa dulu apabila terkesan dengan perubahan cuaca dan bencana alam. Pada Mei 2008, harga beras dunia mencapai paras tertinggi dengan RM3,430 setan. Walaupun Malaysia cuba lindungi harga padi dan beras, kenaikan harga beras memang tak dapat dielak.
Sedekad yang lepas, simpanan gandum dunia jatuh 1/3. Ini menyebabkan harga makanan naik dua kali ganda. Kenaikan harga gandum antara tahun 2007 dan 2008 menyebabkan lebih ramai orang kelaparan sehingga ramai yang buat protes dan rusuhan. Harga gandum akhirnya jatuh disebabkan kemelesetan ekonomi, tu pun sekejap je sebab 3 tahun kemudian harga makanan naik lagi sekali, antara punca berlakunya Arab Spring.
Menurut FAO, sekarang ni ada 1 bilion manusia bergelut dengan kelaparan. Tapi, kita masih lagi membazirkan 1.3 bilion tan makanan setiap tahun yang cukup untuk bagi makan 3 bilion manusia!
Apa yang sedihnya, pembaziran makanan tadi boleh je disalurkan kepada negara yang memerlukan. Menurut Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), dianggarkan pembaziran makanan global boleh bagi makan setiap kanak-kanak, lelaki dan wanita yang kelaparan di seluruh dunia sebanyak 3 kali berturut-turut!
Ada tak cara nak kurangkan pembaziran makanan ni?
Pengguna macam kita ada kuasa untuk ubah keseluruhan sistem. Kita hanya perlukan langkah mudah saja, berhenti membazir makan, dan berhenti bazirkan duit korang.
Beli apa yang perlu je. Belajar masak semula makanan lebihan. Kongsi makanan dengan jiran tetangga. Lagi satu, jangan cepat terpengaruh dengan harga diskaun bila makanan tu dijual dengan kuantiti yang banyak. Tak perlu letak lauk-pauk yang banyak kalau korang tahu takkan habis. Kalau dah terambil banyak makanan, bungkus bawa balik. Kat link ni Selina Juul ada bagi lagi beberapa cara untuk hentikan pembaziran makanan.
Sebagai pengguna korang boleh wujudkan satu impak besar dengan menghalang makanan daripada dibazirkan. Korang dapat kurangkan pelepasan gas karbon dioksida, jimatkan masa dan tentu sekali jimatkan duit korang.
Kata Selina Juul, jika korang membazir makanan, korang sebenarnya tak hormat pada alam, pada masyarakat, pada pihak yang hasilkan makanan korang, pada binatang dan korang tak hormat juga pada masa dan duit korang.
Jika seorang wanita boleh membantu negaranya mengurangkan pembaziran makanan sebanyak 25 peratus, cuba bayangkan apa yang berlaku jika semua orang bersatu hati menentang pembaziran makanan?
- 707Share sekarang!
- Email2
- Facebook705
- Share