- 1.3KShare sekarang!
- Email63
- Facebook1.3K
- Share
Sekarang ni, memang panas bab sukan, terutamanya bola. Macam bermimpi di siang hari yang Malaysia baru menang award gol terbaik dunia. Memang dah banyak sangat coverage pasal Faiz. Opkos lah kami pun tak ketinggalan. Kalau korang nak tahu, Soscili dah pernah cover Faiz sebelum dia menang lagi. Selain itu, kita jugak ada cover bab rasuah dan sejarah bola sepak di Malaysia.
Dah banyak sangat bercerita tentang bola, apa kata kita ubah angin sembang pasai topik lain pulak. Kat sini, kami nak membuka tirai tentang atlit dahulu kala yang seolah-olah mempunyai superpower, walaupun melalui pelbagai liku dan cabaran yang besar gila babi.
Inilah kisah-kisah mereka…
1) Atlit yang main tiga sukan sekaligus
Nama Michael Francis Shepherdson mungkin kurang terkenal kepada peminat zaman sekarang, tetapi dialah yang berjaya mengharumkan nama negara pada tahun 1950an dan 1960an. Bermain di posisi tengah pertahanan, dia mewakili Malaya di Sukan Olimpik Melbourne 1956 dalam sukan hoki dan di temasya inilah dia berjaya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik dunia. Selain itu, dia pun pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Tokyo 1958 dan Jakarta 1962 dalam acara hoki berpasukan.
Tapi, bukan itu je bakat yang dimiliknya. Dah khatam bab menghayun hoki, dia join main kriket sekali. Join bukan sebarang join sebab pencapaian dia memang kita kena salute. Digelar sebagai batsman paling berjaya di Malaysia, dia memegang rekod larian terbanyak dengan 132 larian ketika bertemu Hong Kong pada tahun 1961.
Ok, kita orang akui yang kriket ni mungkin agak mengelirukan untuk beginner.
Ada ke antara korang yang tak faham bab kriket ni? Jangan risau sebab kami pun mulanya kurang faham. Korang boleh la belajar pengenalan tentang kriket dengan melihat video tutorial di sini.
Berbalik kepada Mike, pencapaiannya tidak terhad kepada performancenya sahaja. Dia juga menjadi kapten negara dalam bidang hoki dan kriket, hasil dari potensi kepimpinannya. Bukan itu je, entah macam mana, dia masih boleh cari time untuk jadi goalkeeper Selangor! Pulun sungguh.
Bak kata orang, di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Anaknya, Aubrey, pun aktif dalam hoki dan kriket sehingga mewakili Selangor.
Berbalik kepada Mike, setelah bersara daripada arena sukan, dia menawarkan khidmat secara sukarela sebagai jurulatih sekolah di Johor pada tahun 1980an. Betul lah apa yang dikatakan tentang orang lama, dorang main ikhlas untuk harumkan nama negara dan cintakan sukan itu sendiri. Pun sekarang dah tak sama macam dulu. Ni bukan kita cakap, tapi orang lain yang bagitau tau ok?
Korang bayangkan, zaman Mike main, dorang cuma ada satu jersi, satu seluar sukan dan satu kasut sukan sahaja. Tapi dorang boleh cemerlang walaupun kurang kemudahan.
Anyway, berbalik kepada Mike. Pengorbanannya tak sia-sia sebab akhirnya pada 2011, pengorbanannya diiktiraf apabila dia disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Akhirnya, pada tanggal 14 Februari 2016, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi keluarga ketika dia berumur 85 tahun.
2) Dulu pelumba basikal, sekarang pemandu teksi
Ng Joo Pong adalah seorang pelumba basikal negara yang tersohor pada tahun 1960an. Namun tak ramai yang tahu macam mana dengan secara tak sengaja dia dan adiknya, seorang lagi legenda, Ng Joo Ngan, masuk ke dalam dunia basikal ni. Double the trouble, double the fun!
Waktu dia masih kecil, keluarga dia terlibat dalam membekalkan air ke Jalan Klang Lama. Peranan dia adalah menutup pam telaga air sekiranya berlaku kilat. Oleh sebab pam tu jauh dari kampung, dia pinjam basikal untuk sampai dengan lebih cepat.
Namun, sebab dia guna basikal tanpa kebenaran bapanya, dia akan dilempang setiap kali ditangkap menggunakan basikal tu. Walaupun dipukul bapanya, Joo Pong masih degil untuk berbasikal dan secara tak lanngsung mengasah bakatnya.
Jauh dalam hatinya, terbit rasa untuk memiliki basikal sendiri. Peluang keemasan terhidang apabila Institut St John mengadakan acara pengumpulan dana untuk pengubahsuaian pada tahun 1959. Joo Bong pun berhenti berbasikal sekejap dan mengerah segala keringat untuk menjual booklet. Pengorbanannya membuahkan hasil apabila dia berjaya menjual 60 booklet pada harga RM 5 sekeping. Jadi, dengan nilai sebanyak RM300 yang sangat masyuk time tu, berjayalah dia memiliki basikal kepunyaannya sendiri ketika umurnya baru saja mencecah 12 tahun. Modelnya adalah dari China dan berharga RM 75. Nilai RM 75 sekarang pun tak kurang besar jugak, sebab time is hard lah katakan.
Ok, kita cerita sikit pasal adiknya, Ng Joo Ngan…
Kisahnya bermula bila Joo Bong, yang mungkin time tu boring takde member basikal sama-sama, pun cabarlah adiknya lawan lumba basikal dengan jiran, tapi adiknya kalah. Untuk tidak menghampakan abangnya, selama seminggu, Joo Bong berlatih habis-habisan. Bayangkan, dia sanggup bangun pukul 5 pagi untuk berlatih. Jadi bila tiba hari perlumbaan kedua, dia menang ke atas rival barunya tu (siapa suruh tak bangun 5 pagi untuk berlatih jugak!). Bermulalah karier tak rasmi Joo Bong.
Kalau korang nak tahu lebih lanjut, bolehlah klik di sini untuk baca. Untuk pengetahun korang, Joo Bong pernah menang Ahli Sukan Negara dan Jurulatih Kebangsaan Negara dalam kariernya sekaligus, so baca jangan tak baca!
Berbalik kepada Joo Ngan pulak, walaupun dia agak cemerlang dalam kegiatan sukan, dia fail Bahasa Melayu dalam peperiksaan darjah enamnya. So, terpaksalah dia ke sekolah swasta. Tapi kegagalan itu tak mematahkan semangatnya. Start tahun 1960 je, dia pun menyertai pertandingan pertamanya, iaitu perlumbaan sejauh 15 batu. Semangatnya semakin membakar apabila dia buat julung-julung kalinya berjaya merangkul tempat pertama.
4 tahun lepas dapat basikal pertama, dia dah layak ke Sukan Olimpik…….
Dalam beberapa tahun ni, waktu orang lain sibuk attend sekolah menengah, dia giat berlatih. Berkat usaha gigihnya, pada tahun 1964, dia pun qualify ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun dengan basikal yang dibeli oleh ibu bapanya.
Ketika masa depannya nampak semakin menyerlah, nasib tak menyebelahinya. Sewaktu berlatih bersendirian, lori yang dikuti dari belakang tiba-tiba brek mengejut dan menyebabkan Joo Pong merempuh dengan kuat. Rahangnya retak dan kecederaan ni menyebabkannya terlantar di hospital selama 3 bulan pada tahun 1967.
Setelah sembuh, dia kembali bertarung di Sukan SEAP Rangoon, Myanmar pada tahun 1969. Ada ura-ura mengatakan yang sebagai favourite, Joo Pong, adiknya dan pelumba-pelumba lain sepatutnya mengenggam pingat emas di temasya ini. Namun, ada dakwaan yang mengatakan pegawai sukan ketika itu tidak membawa basikal dan tayar yang betul. Inilah yang dikatakan penyebab pasukan Malaysia pulang dengan tangan kosong. Dia bangkit dari setback itu dengan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Mexico 1969 dan memenangi pingat gangsa dalam acara ujian masa perseorangan di Sukan Asia Bangkok 1970. Tapi disebabkan kemalangan yang pernah dialami sebelum ni menyebabkan prestasinya tak menentu, dia pun mengambil keputusan untuk bersara dari sukan ini.
Pada tahun 1970an, dia dan adiknya memohon lesen teksi. Setelah menunggu lebih 3 dekad, barulah permohonannya diluluskan. Itupun sebab dia menulis surat direct kepada Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz yang akhinya meluluskan permit teksinya. Selain dari memandu teksi, dia juga menjual lori dan menjadi menjadi penjual insurans untuk mencari sesuap nasi.
3) Pelari Malaysia yang memakai kasut penuh paku untuk bertanding di Sukan Olimpik
Datuk Rajamani Mailvaganam mula berlari ketika berada di Darjah 4. Sejak itu, dia berjaya memenangi pelbagai kejohanan di peringkat sekolah, negeri dan negara. Time tingkatan 5, dia berhenti sekejap dari berlari untuk menumpukan perhatian kepada peperiksaan.
Selepas habis exam, ayahnya terkejut beruk sebab dah lah Rajamani tak berlari, kerjanya tidur je sepanjang hari. Dengan rasa terkilan, ayahnya bersikap tegas dan memaksanya berlatih dengan jurulatih bernama R. Supiah, dari 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.
Rajamani datang daripada keluarga yang susah. Setiap hari, dia terpaksa meminjam basikal daripada jiran untuk berlatih. Bab pemakanan pun tak menentu, rembat je la apa yang ada kat dapur. Nak beli sut balapan yang RM20 pun tak mampu sampai jurulatih terpaksa gantikannya dengan tuala-tuala mandi yang dijahit. Nasib baiklah last minute, ada kedai sukan yang boleh sponsorkan pakaian sukannnya.
Malangnya, sponsorship tu tak meliputi kasut sukannya. So, terpaksalah Rajamani dan team mengerah idea untuk membuat kasut DIY. Hasilnya, kasut yang diperbuat dari kulit dengan paku-paku tergergaji dipasang pada tapak kasut tu. Kalau longgar, dia pun akan kembali untuk mengukuhkan tapak kasut tu dengan lebih kulit. Hasil dari latihan selama 6 bulan di bawah jurulatih barunya itu, dia pun Rajamani menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 1964.
“Dari gadis (yang kuat) tidur, secara tiba-tiba saya menjadi wakil negara ke Sukan Olimpik… bagaikan mimpi bukan?”- Rajamani Mailvaganam , dipetik dari Utusan Malaysia.
Berbekalkan hanya RM64 untuk elaun dobi, dia terpaksa berfikir macam mana nak survive dengan kos yang lain. So, tanpa membuang masa, dia pun berbaik-baik dengan peserta dari negara India yang membawa tukang masak mereka sendiri. Dapatlah dia menjamah makanan ketika di temasya tuh.
Setahun kemudian, tiba detik yang dianggap Rajamani yang paling manis sekali. Walaupun hanya di Sukan SEAP Kuala Lumpur (level Asia Tenggara), kejayaan manis menggodol 4 pingat emas pada tahun 1965 tak dapat dia lupakan sebab memorinya yang bertanding di tempat sendiri dan disaksikan bapa, ahli keluarga dan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Setahun kemudian, dia memenangi emas dalam acara 400m dan gangsa 4×400 m di Sukan Asia Bangkok. Pada tahun 1965 dan 1966 inilah dia dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan. Dia banyak berterima kasih kepada jurulatihnya sendiri.
“Kalau Suppiah tidak wujud dalam dunia ini, maka tiadalah Rajamani.” – Rajamani Mailvaganam, dipetik dari Utusan Malaysia.
Tapi, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya kilat di tengah hari…
Tanggal 23 March 1968 menjadi hari yang paling pahit dalam hidup Rajamani. Ketika berlatih bersama dua rakannya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hujan turun dengan lebat. Namun, ketika beteduh di bawah pokok, mereka disambar petir. Rakannya P.N. Govindan terbunuh manakala Rajamani koma selama 18 jam dan hilang ingatan untuk beberapa hari.
Bertambah malang lagi, dia ditempatkan di wad kelas ketiga dan hanya dipindahkan ke wad pertama ketika Tunku Abdul Rahman ingin melawatnya. Pegawai-pegawai sukan juga menjanjikan bil hospital akan dibiayai namun akhirnya keluarga Rajamani yang terpaksa menanggung kos di hospital itu. Layanan yang diberikan kepada pejuang negara ni pada masa itu memang sangat mendukacitakan.
Setelah keluar dari hospital, ingatkan Rajamani boleh letakkan episod malang ni di belakang dia. Namun, perasaan Rajamani terhadap olahraga sudah berubah……
“Saya sedang berlatih dalam persiapan ke Olimpik 1968 di Mexico dan begitu pula jadinya. Saya terpaksa berehat dua bulan dan sebaik pulih sepenuhnya saya kembali berlatih. Semuanya serba tidak menjadi dan saya gagal mengatasi masa kelayakan. Sewaktu saya kembali berlatih, saya terdengar bunyi guruh dan pada masa itu pun saya memberitahu diri saya cukuplah… cukuplah.” – Rajamani Mailvaganam, dipetik dari Utusan Malaysia.
Legenda pelari tanah air, Tan Sri Dr Jegathesan seolah-olah memahami kesukaran yang dihadapi Rajamani. Tan Sri menasihatinya supaya meninggalkan karier dan bersyukur kerana masih hidup selepas insiden ngeri itu.
Begitulah kesudahan karier Rajamani sebagai seorang atlit, bersara ketika umurnya hanya 25 tahun. Namun begitu, dia masih berjaya membuat sumbangan besar kepada negara dengan menjadi seorang jurulatih yang melahirkan seorang lagi jaguh olahraga, Marina Chin di samping menjadi jurulatih fitness ketika Malaysia menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.
4) Nama ‘Harimau Malaya’ datang dari Presiden Indonesia sendiri
Sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia, (FAM), mengubah nama pasukan bola sepak kita menjadi Harimau Malaysia pada bulan Februari 2016, nama asalnya adalah Harimau Malaya.
“Nama gelaran Harimau Malaya terhadap skuad kebangsaan sebelum ini pada dasarnya adalah merujuk kepada subspecies harimau yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Namun apabila terdapat perkataan Malaya di situ, ia dianggap oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak seolah-olah seperti meminggirkan mereka.” – Presiden FAM, KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, dipetik dari laman web rasmi FAM.
Tapi, versi yang lagi awal pasal nama ‘Harimau Malaya’ adalah berkenaan ayam tambatan pasukan Malaya pada tahun 1950an iaitu Dollah Don, atau nama penuhya, Abdullah Mohamed Doon. Pada tahun 1953, pasukan Melayu Singapura ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama dengan pasukan Indonesia, Persija Jakarta. Muncullah Dollah Don untuk menyelamatkan keadaan.
“Saya menjaringkan ketiga-tiga gol dan Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno, menggelar saya ‘Harimau Malaya.” – Dipetik dari soccerstarharimaumalaya.blogspot.my
Keputusan berakhir 3-3 dan nama Harimau Malaya itu kemudiaannya melekat kepada pasukan kebangsaan kita sehinggalah tahun 2016. Secara kebetulan, negeri asal Dollah Don adalah negeri Johor, di mana jata negerinya mempunyai dua harimau.
Walaupun bakat lainnya terserlah ketika memenangi larian 100, 220, 440 meter, lompat tinggi dan lompat jauh di Kejohanan Olahraga Johor pertama pada tahun 1949, dia terus fokus kepada bola sepak sebagai kariernya. Apa tidaknya, sejak kecil lagi, dia suka bermain bola sepak, sehinggakan bola tenis pun digunakannya untuk dimain sebagai bola! Karier tempatannya menyaksikan dia bermain untuk pasukan Melayu Malaya, Cina Malaya, Melayu Singapura, Cina Singapura, Perak, Cina Perak dan Johor.
Dollah Don adalah antara atlit Malaya pertama yang berjaya melebarkan sayapnya di pelbagai negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan China. Kiranya dia ni gabungan atlit dan jugak selebriti lah di kalangan peminat tegarnya tuh. Yang lawaknya, sebab orang Cina di sana susah nak sebut nama dia, dorang bagi nama Toh Ah Ton kepadanya. So kalau dia score, bunyinya mungkin macam ni…
Kalau korang ingat cerita Harimau Malaya tu cool, kami bagi lagi satu kisah yang cooler than cool. Dollah Don sepatutnya muncul dalam satu perlawanan persahabatan di Medan, Sumatera. Tapi, dia jatuh sakit dan tak dapat bermain. Crowd pun dah naik angin dan minta refund balik sebab tak dapat tengok Dollah Don main. Akhirnya, perlawanan itu berlangsung dalam stadium yang kosong sebab peminat-peminat tak ingin tengok game tanpa the Don. Kalau sekarang, Messi tak dapat main pun, mesti korang tak dapat bayangkan stadium kosong, kan?
Itulah antara kehebatan Dollah Don yang kami dapat ceritakan di sini. Memang banyak pemain yang lebih femes dari dia, tapi jangan kita lupakan yang Dollah Don lah antara pioneer dalam bola sepak di negara kita. Malangnya, dia pergi meninggalkan kita pada tanggal 25 Disember 2014 akibat sakit tua pada umur 91 tahun.
5) Ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam sebelum menjadi Mahaguru
Mahaguru Master Tan Sri Datuk Wira Haji Omardin bin Mauju. Tengok nama pun dah tau dia terer. Mesti korang tak sabar tahu pasal dia ni kan? Sebab namanya panjang sangat, dalam artikel ni kami letak namanya sebagai dia je lah.
Dia ni, dah menderita penyakit lumpuh ataupun polio, sejak kecil lagi. Dia berikhtiar untuk mengubati penyakitnya dengan pergi ke merata tempat. Sampailah satu ketika, bila dia berada di Pulau Besar, Melaka. Inilah saat yang mengubah hala tuju hidupnya. Di sana, dia bertemu dengan seorang guru silat bernama Syed Abdul Rahman yang mengajarnya ‘Silat Tarah.’
Selepas berubat di sini, dia semakin bertambah baik. Meskipun penyakitnya ada menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh, tetapi hakikatnya kedua-dua anggota kakinya akan cacat buat selama-selamanya jugak. Walaupun sukar untuk menerima hakikat ini, dia masih meneruskan kehidupan seperti biasa dan menyibukkan dirinya dalam seni persilatan
Pelbagai cabaran yang dilontarkkan kepadanya, termasuklah ketika dia sendiri dilontar ke dalam kawasan pantai. Betul-betul di dalam pantai. Setiap kali bulan mengambang, dia akan ditanam dari kaki ke pinggang di kawasan pantai. Sewaktu umurnya 18 tahun je, sudah 15 kali dia menempuhi ujian itu. Tak sia-sia sebab berkat kesabarannya, ketika umurnya mencecah 22 tahun, dia pun telah berjaya menjadi Guru Muda.
Next stage adalah menjadi Mahaguru. Dan untuk menjadi Mahaguru, dia terpaksa melalui pelbagai ujian getir…
Takat kena tanam dalam pantai, no hal lah. Cabarannya lepas ni is on another level tau. Antaranya adalah dia ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas, dan ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam. Mak ai! Last part tu kami dapat dari laman web rasmi Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) sendiri. Kalau nak tahu lebih lanjut atau rasa nak try, boleh lah contact dorang dengan lebih lanjut.
Akhirnya, selang beberapa bulan lepas dia menjadi Guru Muda, dia ditabalkan menjadi Mahaguru dan sudah boleh mengajar Silat Lincah.
Dengan lima anak muridnya, dia mula menyebarkan ilmu dan membuka beberapa gelanggang di sekitar Selangor dan KL. Dengan pengasasan PSSLM pada tahun 1963, dia bukan sahaja berjaya mengembangkan silat ini ke seluruh negara, tapi hingga ke negara luar seperti England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan Korea Selatan. Jumlah keahlian PSSLM adalah sebanyak lebih kurang 1 juta orang yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Record sebagai pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai ‘Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul.’
Selain daripada silat lincah, dia juga bertanggungjawab mengasaskan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), tunjang kepada semua seni silat di Malaysia dan jugak Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), tunjang kepada semua pertubuhan seni silat antarabangsa! Hasil sumbangan dan jasa besarnya kepada silat, pada bulan Julai 2011, dia menjadi penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Even Persatuan Taekwando pun memberikan gelaran Master Din kepadanya!
Dia terlibat dalam sedikit kontroversi apabila menentang perhimpunan Bersih dan meminta perhimpunan itu dibatalkan.
“PSSLM tidak akan biarkan perkara itu berlaku kerana jelas sekali ia perbuatan yang menghina negara.Kami sebagai golongan pengamal silat merupakan pelindung kepada negara dan sultan sejak beratus tahun dahulu tidak akan berdiam diri. Sekiranya kami tidak mengambil apa-apa tindakan, kami akan dianggap dayus. Saya sendiri akan mengetuai persatuan silat ini walaupun saya berkerusi roda, saya akan turun dan berada di barisan paling hadapan. Kami tidak sanggup lagi melihat keamanan negara dipermainkan untuk tujuan politik.” Tan Sri Omardin Mauju, dipetik dari Utusan Online.
Setiap yang datang pasti akan kembali. Pada tanggal 20 June 2015, dia kembali ke Rahmatullah apabila komplikasi buah pinggang ketika umurnya hanya 74 tahun. Tapi legasinya masih kekal sampai ke hari ini disebabkan pandangan jauhnya dalam memartabatkan sukan persilatan itu sendiri. Korang boleh check out dokumentari yang bernama Selangkah ke Alam Batin ni untuk tahu lebih lanjut tentangnya dan Silat Lincah.
Adakah kisah-kisah ini hanya tinggal sejarah, ataupun kita mampu mengulangi kecemerlangannya kembali?
Itulah kisah-kisah 5 atlit yang menempuhi ranjau yang penuh berduri. Ada yang kena pukul sebab pinjam basikal tak bagi tahu, ada yang kena buat kawan baru untuk dapat makan di sukan Olimpik, ada yang digelar pendekar pertama Malaysia walaupun cacat kedua belah kaki.
Persoalannya, kalau dulu rakyat Malaysia kita boleh mengegar pentas dunia walaupun serba-serbi kekurangan, bukankah lebih mudah untuk atlit kita sekarang ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia?
Sebenarnya, mengikut pendapat pengkritik sukan dan sejarawan negara, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, kemerosotan sukan zaman sekarang ada beberapa punca. Antaranya, kepimpinan sukan tidak diterajui oleh yang pakar bidang dan yang berpengalaman, ibu bapa lebih pentingkan akademik dan pasukan kebangsaan sudah tidak majmuk seperti dahulu.
“Sekarang orang Cina dan India pun dah kurang atau mungkin tak main lagi bola sepak. Sebab masyarakat kita sekarang lebih mengutamakan wang. Jadi bagi orang Cina, wang sangat penting, bila main bola sepak tak boleh jadi jutawan. Orang India pula kerana bilangan mereka agak kecil dan tiada pertubuhan yang boleh membantu mereka.” – Prof Emeritus, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Kalau korang nak baca lebih lanjut boleh baca artikel di sini. Bacalah dengan hati yang terbuka. Sama ada betul atau tidak, masing-masing punya pendapat sendiri. Tepuk dada, tanyalah selera. Kami ingin akhiri artikel ini dengan merujuk kepada pepatah Inggeris yang berbunyi lebih kurang macam ni:
“Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengakui adanya masalah itu terlebih dahulu.” – Will Mcavoy.
Siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya!
- 1.3KShare sekarang!
- Email63
- Facebook1.3K
- Share