4 sejarah MOGOK PEKERJA yang pernah menggegarkan syarikat negara ini

Dalam dunia ni, semua orang ada hak untuk menuntut sesuatu kalau tak berpuas hati. Begitu jugalah dalam kalangan pekerja bagi sesuatu majikan. Perkara ni dah ditunjukkan sendiri secara praktikal oleh para penghantar makanan Food Panda melalui mogok yang dilancarkan kerana tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baru yang diperkenalkan.

“Dalam skim baru itu, Food Panda menghapuskan bayaran mengikut jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.- Petikan dari Malaysia Kini

Siap dengan kain rentang. Imej dari Pandulaju

Memang berbeza dengan sebelum ni yang mana penghantar dibayar RM4 sejam dan menerima bayaran tambahan bagi setiap pesanan. Bayaran pesanan pula adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar. Mogok ni berjaya atau tak untuk menekan syarikat berkenaan? Itu kita tak pasti. Tapi, ia berjaya mendapat perhatian Menteri Belia & Sukan, Syed Saddiq apabila beliau menjemput para penghantar untuk datang ke rumahnya bagi sesi dialog. Beliau juga akan bawa perkara ini ke pihak kabinet.

Kalau korang nak tahu, mogok pekerja ni bukanlah sesuatu yang baru di dalam sejarah negara. Malah, ada yang lebih hadrcore daripada ni. Jadi, kali kami nak kongsi sikit beberapa mogok pekerja yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita yang ramai tak tahu.

1) Mogok pekerja KTM tahun 1962 yang hampir melumpuhkan sistem pengangkutan negara

Ni mogok kat negara lain. Imej dari CBC

Tempoh mogok: 23 Disember 1962 hingga 15 Januari 1963 (33 hari)

Pemogok: Persatuan Pekerja Keretapi atau Railwaymen Union of Malaya (RUM)

Tujuan mogok: Menuntut bayaran upah secara bulanan dan diiktiraf sebagai kakitangan kerajaan. Pengiktirafan ini akan menyebabkan mereka layak untuk menerima syarat dan kondisi pekerjaan seperti kakitangan awam. Selain tu, mereka turut menuntut kenaikan gaji, pekerja harian diambil sebagai pekerja gaji bulanan dan pemotongan gaji untuk yuran persatuan.

Apa yang berlaku: Bermula pada 22 Disember 1962, seramai 14,000 pekerja Keretapi Tanah Melayu yang merupakan ahli Railwaymen Union Of Malaya (RUM) dah mengambil bahagian  dengan memberhentikan kesemua bentuk perkhidmatan keretapi negara. Tindakan ni hampir melumpuhkan sistem pengangkutan Persekutuan Tanah Melayu ketika tu.

Kesannya, beribu-ribu penumpang dah mengalami kesusahan dan sebanyak 20,000 tan barangan eksport dan import terlonggok di gudang-gudang termasuk di Pelabuhan Klang. Apa yang menariknya, tindakan ni mendapat sokongan padu dari persatuan-persatuan pekerja seluruh negara termasuk pekerja Perkhidmatan Awam, Kesatuan Pekerja Elektrik Negara dan Malayan Trade Union Congress (MTUC). Bukan takat tu je…

Bila member jatuh, kau tolong lah. Imej dari Gif

Pihak yang membuat mogok juga mendapat bantuan kewangan dari kesatuan kerja di Malaya, Singapura dan negara Asia lain termasuk International Transport Worker’s Federation (IWTF). Jumlah dana yang terkumpul adalah $37,343.14.

Mogok ini akhirnya diselesaikan dengan campur tangan dari pendamai iaitu Professor Ungku Aziz. Beliau berjaya menemukan pihak pekerja dan majikan untuk duduk semeja di Universiti Malaya pada 12 Januari 1963. Kemudian, berlaku campur tangan Menteri Kewangan, Tan Siew Sin dan juga Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman hinggalah berlaku persefahaman semua. Pihak pentadbiran menerima 90% tuntutan ahli persatuan dan operasi keretapi berjalan semula seperti biasa.

2) Mogok pekerja Utusan Melayu tahun 1961 menguji Parti Perikatan

Aksi-aksi sewaktu mogok. Imej dari Utusan

Tempoh mogok: 20 Julai 1961 hingga 21 Oktober 1961 (93 hari)

Pemogok: Pekerja Utusan Melayu

Tujuan mogok: Menentang “Dasar Empat Perkara” yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah Utusan agar dipatuhi para pekerja. Dasar itu adalah

  1. Memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah kerana itu akan lebih menguntungkan dari segi perniagaan.
  2. Me­nyiarkan berita-berita yang benar tetapi membatasi kepala-kepala be­rita kepada parti-parti lain.
  3. Menyiarkan lebih banyak berita dengan kepala-kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Perikatan di mana ia dapat dilakukan, termasuk kenyataan-kenyataan dasar penting.
  4. Menyokong Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan dan mengkritik secara membina sesuatu keputusan yang buruk dibuat.

Apa yang berlaku: Sepanjang beroperasi, para pekerja Utusan dah pun berpegang dengan ‘Ikrar 1939’ yang mahu berkhidmat untuk agama, bangsa dan tanah air dengan cara yang bebas. Dasar Empat Perkara ni datang yang dipandang para pekerja Utusan sebagai isytihar perang. Maka, 117 orang pekerja Utusan memulakan mogok, berpiket dan berkhemah di luar pejabat Utusan selama berhari-hari diketuai Said Zahari.

“Tun Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri menyatakan kepada penasihat undang-undang saya: Beritahu Said Zahari, jangan fikir dia boleh melawan kerajaan Perikatan!”- Said Zahari, petikan dari Utusan

Sempat bergambar kenang-kenangan. Imej dari Utusan

Mereka menyedari tindakan Lembaga Utusan ni adalah jalan bagi golongan elit dalam UMNO untuk mengawal Utusan yang sangat berpengaruh ketika itu. Kesannya, akhbar Utusan tak diterbitkan pada 22 Julai 1961. Hari-hari lain diterbitkan semula di luar pejabat Utusan oleh para pekerja yang tak sertai mogok. Namun, mereka yang menyertai mogok adalah wartawan-wartawan terkenal termasuklah Sasterawan Negara, Usman Awang yang dah menulis sajak untuk membangkitkan semangat pemogok.

Malangnya, mogok ini akhirnya digagalkan. Said Zahari yang mengetuai mogok pula telah diharamkan untuk menjejak Malaya buat selama-lamanya apabila Tunku Abdul Rahman mengeluarkan surat perintah status ‘persona non grata’ atau ‘mereka yang tidak dihargai’.

3) Mogok pekerja Estet Asahan tahun 1967 dengan protes perarakan sejauh 200 km

Keratan akhbar mogok ini. Imej dari Pusat Sejarah Rakyat

Tempoh mogok: 25 Februari 1967 hingga sekitar Mei 1967

Pemogok: Pekerja estet Asahan, Melaka

Tujuan Mogok: Membantah pemecatan beberapa pekerja dan menggesa majikan pemilik estet  mengiktiraf Kesatuan Pekerja-Pekerja Estet Malaya Bersatu (UMEWU) yang lebih memihak kepada pekerja berbanding persatuan sedia ada iaitu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang tidak menjaga kebajikan pekerja.

Apa yang berlaku: Estet Asahan adalah estet getah terbesar milik Kumpulah Guthrie yang ketika itu milik kapitalis British. Pada penghujung tahun 1966, 56 orang pekerja estet dipecat secara beransur-ansur, namun persatuan sedia ada NUPW tak bersungguh pun nak tolong. Maka, mereka beramai-ramai menubuhkan UMEWU yang lebih militan dan diharap dapat menjaga kepentingan mereka.

Beberapa lama lepas tu, majoriti pekerja estet menyertai UMEWU. Namun, pihak majikan masih tidak mahu mengiktiraf UMEWU, malah siap memecat 17 orang pekerja yang menyertai persatuan itu. Sikap syarikat Guthrie yang tak mahu berunding dengan UMEWU serta tiada sebarang keputusan selepas berjumpa dengan Menteri Buruh, Ketua Menteri Melaka dan lain-lainya mengenai isu pemecatan pekerja, maka mereka mula berpiket di pejabat Kementerian Buruh dan ibu pejabat Guthrie di Kuala Lumpur. Akhirnya, mogok Asahan bermula.

Hanya gambar menjadi bukti mogok ini. Imej dari Pusat Sejarah Rakyat

Beratus-ratus pekerja estet terus melakukan mogok di depan pintu masuk estet. Namuan, tindakan ini tak mendapat perhatian pemerintah. Lebih malang lagi, pemerintah menjadi lebih tegas dengan menghantar polis dan FRU ke estet tersebut. Mereka juga pernah diserang dengan gas pemedih mata, pentas pemogok dirobohkan, barang-barang keperluan dan makanan pemogok dirampas. Serta beratus ditahan polis.

Tekanan dari pemerintah dah menyebabkan pekerja estet melakukan sebuah perarakan protes dengan berjalan kaki sejauh 200 km dari Bukit Asahan ke pejabat Tunku Abdul Rahman di KL. Sepanjang perarakan itu, mereka dapat banyak bantuan sama ada makanan atau pun tempat berteduh serta ada juga orang lain sertai perarakan itu. Sebelum sampai ke pejabat Perdana Menteri pada 21 April 1967, mereka banyak kali disekat dan diganggu pihak polis serta ada juga yang ditangkap.

Enam hari selepas tiba di pejabat PM, akhirnya dapat juga bertemu Tunku Abdul Rahman serta Menteri Buruh yang berjanji akan selesaikan masalah yang diketengahkan. Hasilnya, para pekerja yang dipecat diambil bekerja semula, namun UMEWU tetap tak diiktiraf dan terus diharamkan.

4) Mogok pekerja MAS tahun 1979, operasi penerbangan tergendala

Antara babak-babak dalam mogok pekerja MAS. Imej dari Krissmerah

Tempoh mogok: Penghujung tahun 1978 hingga Januari 1979

Pemogok: Para pekerja penerbangan berjawatan rendah seperti ground crew, cabin crew, kerani dan juruteknik atau ahli Kesatuan Pekerja Penerbangan (AEU)

Tujuan Mogok: Menuntut gaji yang berpatutan untuk pekerja MAS

Apa yang berlaku: Semuanya bermula apabila berlaku pertikaian antara AEU dan pihak pengurusan dalam satu perundingan kolektif. Pada penghujung tahun 1978, para pekerja dah melancarkan protes dengan melakukan tindakan protes ‘go-slow’, ‘work-to-rule’ dan memboikot kerja over-time. Tindakan ni juga salah satu langkah untuk menekan pihak pengurusan supaya menerima tuntutan dalam perundingan yang telah dibuat.

Namun, perundingan tetap menemui jalan buntu yang menyebabkan pihak pengurusan MAS melaporkan hal tersebut kepada Menteri Tenaga Manusia. Jadi, para pekerja pun kembali bekerja seperti biasa. Pada 8 Januari 1979, Pendaftar Kesatuan Pekerja meminta AEU untuk daftarkan balik 874 orang ahlinya yang terlibat dengan tindakan industri (mogok) yang tak diiktiraf.

Sila keluar kalau tak setuju. Imej dari mStar

Namun, AEU tetap berdegil lalu melancarkan semula mogok ‘work-to-rule’. Walaupun tindakan ni nampak macam sekejap, tapi dilaporkan operasi MAS tergendala hingga mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit. Seramai 200 ahli menjadi perhatian majikan serta 11 orang pekerja dipecat. Timbalan Perdana Menteri ketika itu turut campurtangan dengan mengancam menutup MAS manakala Menteri Tenaga Kerja membukakan dana bagi kesatuan AEU dan tiada aktiviti yang dibenarkan.

Kerajaan seterusnya membatalkan semua operasi penerbangan dengan alasan terdapat ancaman dan sabotaj terhadap pesawat MAS. Selain tu, seramai 23 aktivis kesatuan pekerja ditahan di bawah ISA. Akhirnya, isu ini diselesaikan apabila pihak kerajaan mengumumkan pelarasan gaji yang baru serta kesatuan didaftarkan semula dengan nama baru iaitu Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia pada 30 Ogos 1979 dan Kesatuan Pekerja Penerbangan Asing pada 24 April 1980.

Perjuangan para pekerja ada nilainya yang tersendiri

Pekerja dan majikan adalah elemen terpenting dalam sesebuah organisasi bagi memastikan organisasi mencapai matlamat utama mereka. Kerjasama antara kedua-dua pihak adalah satu tindakan yang boleh memudahkan pentadbiran organisasi tersebut. Namun, jika ada pihak yang mula mengambil kesempatan, maka salah satu pihak boleh mengambil tindakan.

Lain macam protes ni…

Empat contoh di atas menunjukkan bagaimana pihak pekerja melancarkan tindakan industri melalui mogok terhadap majikan masing-masing. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Namun, apa yang penting, nilai perjuangan seseorang pekerja itu perlu dihargai kerana ia mungkin memberi kebaikan kepada generasi pekerja pada masa mendatang. Moga isu pekerja Food Panda dapat diselesaikan dengan mengambil iktibar daripada sejarah lampau.

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT