Malaysia termasuk dalam perdagangan 1 TRILLION China, tapi…ia tak menguntungkan kita

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Melainkan kalau korang adalah graduan ekonomi atau selalu baca berita-berita berkaitan, istilah ‘perjanjian perdagangan bebas’ atau ‘perjanjian perdagangan’ mungkin bukanlah satu benda biasa bagi korang. Dan mungkin, pengetahuan korang tentang istilah ni datang dari meme Trump beberapa tahun lalu:

Kadang-kadang, meme lagi senang nak buatkan korang faham pasal politik dunia berbanding cerita panjang

Beberapa tahun lepas, korang mungkin biasa dengar terma TPPA dan bagaimana ia boleh memudaratkan Malaysia, di mana kitorang pun ada tulis pasal tu kat sini. Tapi, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ni tak jadi, lepas Trump menang pilihanraya sebagai Presiden Amerika Syarikat dan tarik balik perjanjian tu. 

Walaubagaimanapun, ia bukanlah pengakhiran penglibatan Malaysia dengan tawaran perdagangan bebas utama di seluruh dunia. Malah sebenarnya, kita dah terlalu hampir untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian perdagangan multinasional lain: Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Lebih kurang macam TPPA, tapi versi China

Ok kalau korang lupa – TPPA adalah perjanjian perdagangan multinasional diketuai AS, yang mana akan ada perubahan besar terhadap peraturan mengenai harta intelek, syarikat-syarikat negeri, undang-undang buruh dan banyak lagi.

Masanya lebih kurang sama apabila AS memulakan perbincangan untuk TPPA, China juga mengumumkan pada tahun 2012. Mereka juga sedang mencari peluang untuk mewujudkan perjanjian perdagangan bebas utama yang disebut sebagai RCEP, melibatkan 16 negara, dengan perjanjian yang berpotensi menyumbang kira-kira 39 peratus daripada KDNK dunia, dan melibatkan hampir separuh penduduk dunia.

Negara-negara berpotensi yang terlibat dalam RCEP setakat ini. Imej dari Wikipedia Commons

Dan sekarang ni kitorang takkan cerita panjang pasal RCEP – sebab perjanjian ni tak habis dilakukan dan butiran juga disimpan secara rahsia, dan kebanyakan dari apa yang kita tahu sekarang ni berasal dari sumber-sumber berita dan kementerian-kementerian kerajaan (yang akan kita ceritakan lebih lanjut kemudian). Tapi kalau korang betul-betul banyak masa dan nak faham lebih lanjut, korang boleh klik kat sini untuk semak dokumen-dokumen RCEP yang dah dibocorkan selama bertahun-tahun.

Tetapi apa yang korang patut tahu, RCEP adalah perjanjian perdagangan yang meliputi bidang-bidang ini:

  • Perdagangan barangan
  • Perdagangan perkhidmatan
  • Persaingan
  • Harta intelek
  • Kerjasama ekonomi dan teknikal
  • Pelaburan
  • Penyelesaian pertikaian

Ia juga nampaknya akan mengurangkan cukai dan tarif untuk perdagangan di seluruh negara anggota yang ‘membangunkan ekonomi’, termasuklah Malaysia. Dengan berbuat demikian, ‘negara-negara membangun’ ni secara teorinya patut mengejar kuasa besar dunia. Ramalan pada tahun 2016 juga menganggarkan di mana dengan RCEP yang bakal berlangsung, pendapatan global akan meningkat dengan anggaran USD260 BILION! Bayangkan bilangan pinjaman PTPTN yang boleh dibayar dengan harga tersebut.

Kerajaan kata RCEP mungkin akan meningkatkan perniagaan Malaysia kepada dunia

Masa kitorang mula-mula kaji pasal ni, kitorang sendiri tertanya-tanya apa faedah yang akan diberikan oleh RCEP kepada Malaysia? Nampaknya… ada sebuah laman web kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menceritakan panjang lebar, dan didedikasikan kerana penglibatan Malaysia dengan RCEP yang korang boleh tengok, kat sini.

Pendek kata, mereka menyenaraikan manfaat RCEP ke Malaysia sebagai:

  • Membolehkan integrasi ekonomi di rantau ini, yang seterusnya meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan.
  • Menyederhanakan pelbagai transaksi perdagangan sesama negara-negara ASEAN dengan pelbagai negara, membawa kepada persekitaran yang lebih baik untuk perniagaan Malaysia
  •  India dan China terlibat, bermakna Malaysia boleh memanfaatkan pasaran ini dengan lebih mudah

 

Jika semuanya berjalan lancar, pelabuhan Malaysia akan jadi saaaangat sibuk. Imej dari NST

Selain tu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking yang mewakili Malaysia di rundingan RCEP, positif mengenai perjanjian perdagangan. Dia menambah di mana walaupun beberapa bahagian RCEP telah dibincangkan sebelum PRU14 dan tak dapat diubah, kerajaan sekarang bertekad untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan Malaysia dalam pertemuan yang selebihnya dengan negara-negara RCEP yang terlibat.

“Apabila kita membuat blok ekonomi baru, kita perlu mendengar rakyat dan kepentingan kita … Kita perlu memastikan kita mengelak dari semua perangkap … Kita tidak akan berkompromi mengenai kedaulatan negara untuk menyimpulkan perjanjian perdagangan,” – Darell Leiking , Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dipetik dari Malaysiakini

Tambahan pula, menurut artikel pada 2016 oleh Dr. Amalina Ahmad dari USIM, disebabkan perjanjian RCEP berpusat di sekitar rantau ASEAN, Malaysia hanya mendapat manfaat kerana secara geografinya, Malaysia lebih relevan. Dr. Amalina juga berkata yang RCEP boleh membawa lebih banyak pelaburan dari China dan Jepun.

Tapi… adakah ia indah khabar dari rupa? Malah, ada juga penentangan terhadap pelan ni.

Pengkritik mengatakan ia satu perjanjian yang takkan bagi manfaat kepada Malaysia

Gabungan NGO-NGO Malaysia dengan nama Bantah telah pun menyuarakan kebimbangan berikutan komen Darell Leiking yang kita hampir selesai berunding untuk RCEP. Menurut Bantah, terdapat ketidaktelusan besar mengenai apa yang sebenarnya ada dalam perjanjian RCEP, kos seperti yang disebutkan sebelumnya ketika draf RCEP bocor selama ni, perjanjian draf yang sebenarnya masih menjadi rahsia.

“Ini merupakan perjanjian besar yang memberi kesan kepada semua orang tetapi butirannya diselubungi dengan kerahsiaan. Kami percaya rakyat perlu mengetahui ruang lingkup RCEP yang sedang dirunding untuk mengelakkan sebarang bahaya yang jelas dan wujud di Malaysia, “- Azlan Awang, anggota Bantah, dipetik dari Free Malaysia Today

Ahli Bantah. Imej dari FMT

Selain tu, Bantah menegaskan yang kita dah ada banyak perjanjian perdagangan bebas dengan hampir semua negara lain dalam RCEP, kecuali India. Bantah mendakwa yang ini bermakna kita akan menandatangani perjanjian yang menyaksikan Malaysia bersetuju dengan pelbagai permintaan RCEP. Tapi satu-satunya faedah sebenar ialah India menggugurkan tarif ke atas eksport Malaysia.

Contohnya, Australia dan New Zealand sudah pun membuang tarif mereka ke negara-negara ASEAN kerana tawaran perdagangan yang sedia ada, jadi RCEP takkan meningkatkan eksport kita. Sementara tu, China, Jepun dan Korea Selatan juga dah mengeluarkan tarif tertentu dalam keadaan yang sama.

“Lebih banyak pasaran bagi eksport Malaysia sering digunakan sebagai sebab utama perjanjian ini. Walau bagaimanapun, Malaysia sudahpun mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan semua negara-negara RCEP yang lain dan oleh itu hanya India mungkin mengurangkan atau mengeluarkan lebih banyak tarif ke atas eksport Malaysia melalui RCEP…

Oleh itu, Australia, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand tidak mempunyai apa-apa untuk menawarkan Malaysia sebagai balasan bagi Malaysia bersetuju dengan tuntutan mereka untuk melindungi hak harta intelektual, liberalisasi perkhidmatan, liberalisasi dan perlindungan pelaburan, “- Bantah, dipetik dari Malaysiakini

Satu lagi benda yang kontroversi pasal RCEP adalah ia tak merangkumi keprihatinan alam sekitar atau buruh, dan juga tak meliputi isu-isu seperti rasuah dan ketidaksamaan global. Malah, selama bertahun-tahun, banyak orang dari seluruh dunia telah keluar untuk menentang RCEP. Aktivis penjagaan kesihatan misalnya telah mengeluh yang RCEP akan memberi kesan memaksa India menghentikan penghasilan ubat generik yang lebih murah bagi negara-negara miskin kerana ia adalah pendirian keras terhadap harta intelek.

Perhimpunan anti-RCEP berlaku di Jakarta, Indonesia, Ogos lepas. Imej dari KBR

Jadi persoalan terakhir: adakah kita masih akan menandatanganinya?

Ia mungkin akan berlaku, tapi Dr M takkan membiarkan Malaysia menandatangani perjanjian yang berat sebelah

Mengenai kebimbangan mengenai RCEP, Perdana Menteri Dr Mahathir menyatakan pada akhir tahun lalu yang Malaysia takkan menandatangani RCEP atau sebarang perjanjian perdagangan kalau ia bukan perjanjian adil bagi Malaysia.

“Kadang-kadang, hubungan antarabangsa diterima secara berbeza oleh segmen yang berlainan dari populasi kita. Kita tak boleh menerima sesuatu yang munasabah untuk negara-negara lain, tapi mungkin tak masuk akal untuk kebanyakan orang di negara kita. Kita mahu mengelakkan konflik di negara kita yang mengakibatkan kita menyetujui idea asing, “- Dr Mahathir, dipetik dari Malaysiakini

Walau bagaimanapun, mesyuarat RCEP yang terbaru kini sedang dibincangkan di Vietnam, dan pada awal bulan lalu Darell Leiking juga menegaskan yang rundingan RCEP adalah positif setakat ni. Dan nampaknya, RCEP mungkin boleh dimuktamadkan menjelang tahun ni.

Jadi, sejauh mana ia memperbaiki (atau memperburuk) perniagaan Malaysia, kita perlu tunggu je sampailah RCEP dimuktamadkan.