- 1.3KShare sekarang!
- Email32
- Facebook1.3K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 3 Jun 2018
Macam yang kita semua tahu, kita baru je tengok gerhana matahari yang jarang sekali berlaku. Malah kitorang di Soscili dan Cilisos juga berpeluang ponteng kejap menikmati keindahan gerhana pada tengahari tadi sebelum kita diterangi rasa bersalah kembali.
___________________________________________________________________________
Siapa tak kenal dengan karya lukisan Dato’ Lat yang ada karekter dan suasananya yang tersendiri? Kalau tengok karya-karya dia, memang boleh relate betul dengan hidup zaman 80-an dan 90-an dulu, contohnya macam Kampung Boy yang wujud hampir 40 tahun dulu. Malah, kartun tu juga popular di beberapa negara di seluruh dunia, sekaligus memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
Kalau kartun satira dari Amerika, The Simpsons selalu je dikaitkan dengan ramalan yang jadi kenyataan, lukisan kartun politik Lat yang dilukis lebih 20 atau 30 tahun lepas juga nampaknya dah beberapa kali jadi kenyataan baru-baru ni. Malah, ada antara kitorang yang belum lahir lagi masa kesemua perkara ni berlaku (ye, kitorang semua ni muda lagi).
Tapi chup! Sebenarnya bukanlah jadi kenyataan pun, tapi lebih kepada ‘sejarah yang berulang’, dan masih make sense pada masa ni, antaranya adalah,
1. World Cup ‘Ditaja Oleh Rakyat Malaysia’ pada tahun 1982
Kalau sebelum PRU14 rakyat Malaysia boleh tubuhkan satu website ‘Pulang Mengundi’, nampaknya perkara ni tak berhenti kat situ saja. Bila kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan hutang negara yang dah mencecah RM1 trillion, kerajaan Malaysia pula ambil inisiatif untuk buat ‘crowdfunding’ kepada Malaysia. Disebabkan tu jugalah PM Malaysia, Tun Mahathir akhirnya menubuhkan sebuah Tabung Harapan Malaysia.
Tabung ni dibuat supaya rakyat Malaysia yang nak bagi sumbangan kepada negara dapat meneruskannya melalui saluran yang sah, dan tak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang ambil kesempatan. Suka atau tak, kutipan tabung yang baru masuk hari ke-3 (setakat artikel ni ditulis), dah pun mencecah RM18.6 juta.
Menjelang Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung tak lama lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo umumkan yang ia akan disiarkan di RTM. Bila dikaji balik, rupa-rupanya pembiayaan siaran langsung Piala Dunia 2018 bukannya murah, malah memakan kos sebanyak RM30 juta untuk 41 perlawanan yang akan berlangsung 14 Jun hingga 15 Julai depan.
Nampaknya ada beberapa syarikat dengan baik hati sponsor. Setakat artikel ni ditulis, kutipan dah mencecah sebanyak 15 juta, iaitu separuh kos berkenaan. Berbalik kepada kartun lukisan Lat tu masa Piala Dunia 1982, RTM mengumumkan yang mereka tak cukup dana, jadi cuma beberapa perlawanan je yang akan disiarkan secara langsung, iaitu perlawanan pembukaan, separuh akhir dan akhir yang itu pun ditaja Shell.
Rakyat pada masa tu resah sebab tak boleh follow semua perlawanan yang ada. Sampailah satu hari, ada sorang ejen insurans bernama Peter Teo telefon akhbar Malay Mail, dan bagitahu idea dia untuk lancarkan satu kempen yang dinamakan Dana Tajaan Rakyat, atau People’s Live Telecast Fund (PLTF). Malah, kempen ni juga dikatakan sebagai kempen crowdfunding pertama yang dimulakan rakyat Malaysia, iaitu pada tahun 1982.
Peter Teo dengan konfidennya meyakinkan orang ramai yang kalau setiap orang bayar RM1, jadi seluruh rakyat Malaysia mampu untuk bayar siaran perlawanan tu untuk RTM.
“Saya tertanya-tanya sama ada RTM akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang satu ringgit bagi siaran langsung ‘live’. Lagipun, ada berjuta-juta peminat bola sepak di negara ini, “- Peter Teo dalam temu bual dengan The Malay Mail
Kempen ni hanya mengutip sebanyak RM228 pada hari pertama. Tapi, disebabkan pelbagai idea kreatif yang muncul, dana yang nak dikumpul nampaknya bertambah sampai RM156,000 genap seminggu selepas tu, dan lebih daripada RM400,000 pada minggu-minggu seterusnya, padahal jumlah sebenar yang nak dikumpul cumalah RM60,000. Dengan baki duit yang ada di PLTF, RTM buat keputusan untuk siarkan perlawanan amal UNICEF Match All-Star pada 7 Ogos 1982 yang berakhir dengan FIFA World Star 2 – 3 Europe.
Malah, perkara yang paling membanggakan rakyat Malaysia pada masa tu adalah apabila “Siaran Langung Ini Ditaja Oleh Rakyat Malaysia”, tertera di kaca televisyen, macam lukisan Lat pada 1982 yang nampaknya berulang kembali pada tahun 2018. Idea ni bukan saja dah satukan pencinta bola sepak, tapi seluruh rakyat Malaysia yang memberi sumbangan. Wah, memang Malaysia Boleh!
2. Bila Tun M potong gaji menteri pada 1981
Baru-baru ni, Tun M mengumumkan yang gaji menteri Malaysia dipotong sebanyak 10%, disebabkan masalah kewangan negara. Perkara tu tak mendapat bantahan (yang kita tahu) oleh mana-mana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan, sebab mereka semua sedar dengan masalah kewangan yang melanda Malaysia sekarang.
“Jemaah menteri bersetuju gaji menteri diturunkan 10 peratus. Ini menunjukkan kita prihatin kepada masalah kewangan negara. Ini (potongan) berasaskan daripada gaji asas,” – Tun Mahathir dalam sidang media, dipetik dari Berita Harian.
Berdasarkan karikatur yang dilukis oleh Dato’ Lat, ia menerangkan yang perkara yang sama pernah jadi pada 1981, di mana Tun Mahathir yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri ke-4 dah bertindak memotong gaji menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk menyumbang kepada pengurangan perbelanjaan kerajaan.
Wah, siapa yang jadi menteri tahun 1981 dan 2018, dua kali kena potong gaji, ye!
3. Bila wujudnya DUA Ketua Menteri Sabah pada 1985
Karya Lat yang dilukis lebih 30 tahun yang lalu pula muncul beberapa minggu yang lepas, iaitu masa perbalahan merebut jawatan antara Musa Aman dan juga Shafie Apdal. Kedua-dua mereka dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah dengan beza masa cuma dua hari je!
Bila kita selak balik sejarah politik di Sabah, rupa-rupanya, kes perebutan Ketua Menteri Sabah ni bukanlah kejadian pertama yang pernah berlaku. Ilustrasi ni sebenarnya menggambarkan kontroversi tahun 1985, di mana Tun Mustapha Harun dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Joseph Pairin Kitingan dari Parti Bersatu Sabah (PBS) kedua-duanya mendakwa sebagai ketua menteri yang sah selepas pilihan raya negeri yang… memeningkan, macam apa yang jadi antara Musa Aman dan Shafie Apdal pada PRU14 baru-baru ni.
Bunyi nama Joseph Kitingan ni pula, macam pernah dengar je kan? Kalau korang nak tahu, Joseph Pairin Kitingan merupakan abang kepada Presiden STAR Sabah, iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang lompat masuk BN Sabah pada PRU baru-baru ni. Kalau sebelum PRU ni dia selalu memainkan sentimen hak rakyat Sabah untuk dapat kepercayaan penyokongnya, dia akhirnya dipanggil pengkhianat bangsa Sabah apabila memilih untuk bergabung dengan BN negeri tu.
Tapi, nasib tak berpihak kepada BN Sabah bila Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau pula mengumumkan keluar BN dan membentuk kerjasama dengan WARISAN. Perkara tu kemudiannya menyebabkan Parti Warisan pula berjaya mendapatkan majoriti mudah sebanyak 35 kerusi dengan penyisipan daripada lima ADUN Barisan. Musa Aman yang dipecat pula dikatakan sudah lari ke luar negara semasa dalam siasatan SPRM.
4. Masa Tun Mahathir jadi PM ke-4 dan ke-7
Seingat kitorang, kartun-kartun lukisan Lat ni sebenarnya muncul balik pada hari perlantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 hampir sebulan semasa artikel ni ditulis Dan ilustrasi ni la yang pertama sekali – bila Tun Mahathir ambik pembesar suara dan suruh semua orang kembali bekerja – sama dengan apa yang Tun M sendiri buat, iaitu terus fikir pasal kerja, negara dan rakyat Malaysia.
Kita semua bawah pentadbiran Tun M masa dia masih lagi jadi PM ke-4 semua tahu yang dia seorang yang sangat menghormati masa, dan bekerja keras.
Malah Syed Saddiq sendiri mengakui yang walaupun berusia 92 tahun, Tun Memang seorang yang sangat menghargai masa dan dia pernah beberapa kali ditegur sebab lewat beberapa minit sampai ke tempat kerja.
Malah dia tak sukakan hiburan yang berlebih-lebihan. Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah. Tun juga juga pernah sebut yang masalah Melayu adalah kurang tekun bekerja, kurang rajin dan kadangkala kurang amanah.
“Kebolehan Melayu sama dengan orang lain tetapi masalahnya di sini adalah budaya dan nilai hidup yang kita pegang. Kita cari jalan yang mudah, kita tak nak cari benda yang berat. Kalau boleh kita upah orang lain, sebab itu kita ketinggalan, bukan kerana tak boleh tapi kerana tak mahu,” – Tun Mahathir, semasa jadi panel program Bicara Wawasan 2020, dipetik dari Berita Harian.
5. Dasar Pandang ke Timur
Pada November 2018 pula, Tun Mahathir sekali lagi mengumumkan yang Malaysia akan mengaktifkan semula Dasar Pandang ke Timur yang pernah diperkenalkan pada Februari 1982. Dasar ni sebenarnya nak memfokuskan kepada etika kerja dan budaya masyarakat Jepun untuk rakyat Malaysia supaya kita bekerja dengan lebih kuat, dan bukannya dipengaruhi budaya Barat.
Dipetik dari Berita Harian, Malaysia pada masa tu juga antara negara terbaik di Asia dan berjaya mentransformasi struktur ekonomi daripada berasaskan pertanian pada 1970-an kepada ekonomi berasaskan pembuatan pada pertengahan 1980-an.
Banyak pengajaran dari sekeping lukisan
Siapa sangka, lukisan yang berumur puluhan tahun ni boleh buat come back? Malah, karya-karyanya menggambarkan suasana sosial dan politik Malaysia berjaya memupuk harmoni dan persefahaman sosial. Layaklah Dato’ Lat terima pelbagai penganugerahan disebabkan karyanya yang berbentuk pemikiran.
Ia juga sepatutnya mendorong pembaca dan masyarakat mengambil pengajaran daripadanya. Malah, setiap ilustrasi juga ada pesanan disebalik setiap lukisan juga berjaya jadi alat kritik sosial yang amat berkesan.
Rasa-rasanya, apa pula lukisannya yang bakal jadi kenyataan lepas ni, ye? Harapnya yang baik-baik sajalah untuk Malaysia :)
- 1.3KShare sekarang!
- Email32
- Facebook1.3K
- Share