Sapu abu mayat di muka? 4 golongan yang masih makan daging manusia di zaman moden

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 9 Ogos 2020. 

Kanibalisme atau dalam bahasa orang putihnya Cannibalism merupakan satu diet atau cara pemakanan yang taboo atau terlarang dalam masyarakat moden. Menurut kamus Merriam-Webster, kanibalisme ni adalah apabila sesuatu binatang/manusia memakan daging yang sama jenis atau spesis.

Perbuatan macam ni semestinyalah dilarang dalam agama Islam mahupun agama-agama lain kat dunia ni. Kenapa tiba-tiba SOSCILI nak sembang benda ni? Penulis kami ni tengah layan Youtube dan terserempak dengan beberapa kaum yang masih amalkan kanibalisme dalam dunia moden hari ni.

Jadi tanpa membuang masa lagi, jom kita tengok kaum mana yang masih mengamalkan kanibalisme di dunia yang moden ni. Mana tahu dekat dengan Malaysia. Kita mulakan dengan…

1. Aghori: Bukan sahaja makan daging malah sapu abu mayat di muka!

Salah seorang penganut Aghori bersama tengkorang mayat. Gambar dari evolveandascend.com

Dalam masyarakat India, struktur mereka terbahagi kepada beberapa bahagian di mana golongan yang teratas merupakan orang yang paling alim dan tidak dibenarkan untuk membuat kerja-kerja kotor. Golongan di bawah pula hanya boleh buat kerja-kerja kotor macam buang sampah, buruh kasar, penghapusan mayat, dan macam-macam lagi.

Orang Aghori ni pula berbeza, mereka tidak terikat dengan struktur yang ada di dalam masyarakat India. Mengamalkan gaya hidup nomad (tak duduk setempat) mereka boleh dijumpai di sepanjang Sungai Ganges. Alkohol, ganja, dan racun ular menjadi makanan harian mereka dan selalu terlibat dengan aktiviti keramaian Hindu walaupun digeruni masyarakat setempat.

Penganut Aghori merupakan orang Hindu yang mempunyai ajaran dan “mazhab” mereka tersendiri.  Berbeza dari ajaran utama atau mainstream Hindu, Aghori mempercayai bahawa Tuhan wujud dalam semua orang dan benda. Dari logik ni lah menyebabkan mereka mengakui bahawa tak ada istilah seperti kotor atau bersih, hina atau suci.

“mandi tak mandi, sama je”. Gif dari giphy.com

Diet kanibalisme mereka ni taklah diamalkan setiap hari, ia hanya berlaku pada waktu dan sebab yang tertentu sahaja. Kebiasaanya ritual makan daging manusia akan bermula dengan mencari mayat yang bersepah di Sungai Gengis (di India kalau orang tak mampu untuk bakar mayat, kat sinilah tempat diorang buang).

Gambar dari caleidoscope.in

Bila dah jumpa mayat yang sesuai, penganut Aghori akan menari (salah satu cara mereka berdoa)sapu abu mayat di muka dan badan, minum arak dari tengkorang manusia, dan menghisap ganja. Ritual ni disambung dengan memakan daging manusia dan diakhiri dengan menari sekali lagi. Diorang percaya bahawa memakan daging manusia tu merupakan salah satu ritual yang mutlak yang mana batas kotor atau bersih, hina atau suci dah pun dihancurkan.

2. Orang Liberia: Makan daging manusia ketika dia masih hidup

Jadi, dari India tadi kita beralih pula ke benua Afrika. Sebuah negara yang telah di bina dan di bantu oleh Amerika Syarikat iaitu Liberia. Negara ni pernah dibelenggu dengan beberapa perang saudara dan dari situlah upacara memakan daging manusia bermula.

Gambar dari irishtimes.com

Kanibalisme di Liberia ni sebenarnya agak “baru” kerana ianya terjadi pada akhir tahun 1980-an (sewaktu bermulanya perang saudara pertama mereka). Upacara makan daging manusia tersebut kemudiannya telah diamalkan sehingga awal abad ke-21 di mana beberapa lagi perang saudara telah berlaku.

Salah satu sebab perkara ni berlaku adalah kerana ketua-ketua parti politik serta pihak pemisah di negara tersebut menggunakan ketakutan sebagai senjata utama untuk menguasai masyarakat setempat. Malah kebiasaanya mereka digalakkan untuk makan daging orang ketika mangsa masih hidup.

Menurut sebuah laporan dari Vice :

“Seramai 70% wanita di negara ni pernah dirogol, 80% adalah penganggur, 50% tak reti membaca atau menulis, dan dipercayai majoriti orang Liberia pernah makan daging manusia” – Shane Smith, VICE International

Walaupun perang saudara di Liberia sudah pun berakhir dan ketua-ketua politik dan pihak pemisah sudah pun di hukum, ada sesetengah rakyat Liberia dipercayai masih mengamalkan kanibalisme. Ini kerana budaya memakan daging manusia dah diterapkan dan dipercayai mampu memberi kekebalan dan kuasa yang luar biasa

3. Orang Asli Papua New Guinea: Makan daging ahli sihir kerana dendam

Orang Papua New Guinea, pemakaian moden dan tradisional. Gambar dari wikipedia.org.

Bagi yang taktau Papua New Guinea merupakan sebuah negara yang terletak berhampiran dengan Indonesia dan Australia.  Negara yang lahir pada tahun 1970-an ni takde lah tempat yang ikonik tapi apa yang membuatkan negara mereka betul-betul menarik perhatian adalah kaum orang asli mereka.

Ya, upacara makan daging manusia ni pernah (dan dipercayai masih berlaku) dalam kalangan orang asli mereka. Sebab kanibalisme ni pula berbeza dari kampung ke kampung.  Ada setengah kampung tu makan mayat sebab tu adalah sebahagian dari adat melupuskan mayat dan ada pula kerana dendam atau mangsa dipercayai seorang ahli sihir.

Gambar dari Vice.com

Kebiasaanya daging manusia yang dimasak akan dikongsi dengan kampung lain sebagai tanda persahabatan dan memandangkan daging susah nak dapat, mereka percaya ia patut dikongsi.

Walaupun upacara kanibalisme ni telah diharamkan sewaktu Papua New Guinea mencapai kemerdekaan, masih terdapat lagi kes-kes cubaan atau khabar angin bahawa memakan daging manusia dilakukan dalam diam, terutama sekali di kawasan kampung yang jauh dalam hutan.

4. Orang asli Fiji: Makan daging untuk serap kuasa musuh

Kepulauan Fiji ni pula terletak di antara Australia dan New Zealand. Jangan keliru pula dengan nama gunung di Jepun sebab Fiji merupakan salah sebuah negara yang kecil dan mempunyai lebih kurang 330 pulau.

Sekarang ni Fiji dikenali sebagai kawasan pelancong terutama sekali untuk pasangan yang baru berkahwin. Gambari dari hunterandbligh.com.au

Sama macam orang Papua New Guinea, orang asli Fiji ni mempunyai tradisi memakan orang tapi tradisi ni lebih ganas dan kerap kerana gabungan politik dan kepercayaan. Orang asli Fiji percaya dengan memakan daging manusia, mereka boleh serap kuasa musuh dan pada masa yang sama memberi impak politik kepada musuh mereka (siapa makan orang paling ramai dia lah ketua/pahlawan paling hebat).

Orang asli Fiji. Gambar dari davestravelcorner.com

Secara rasminya tradisi makan orang ni telah berakhir pada abad ke-19, tapi ramai masih lagi mempercayai bahawa adat kanibalisme ni terjadi terutama sekali di kepulauan kecil sekitar Fiji (walaupun tak sekerap dahulu). Salah satu kisah yang pernah dicatit berdasarkan saksi terjadi pada tahun 2015, ia berlaku apabila dua orang bergaduh untuk mengurat seorang wanita yang mereka suka. Akhirnya salah seorang lelaki tersebut dibunuh dan dimakan.

Mungkin macam ni kot rupa mereka bergaduh tu. Gambar dari Giphy.com

Berbeza dengan masyarakat lain, orang Fiji melihat budaya kanibalisme ni sebagai sebahagian dari sejarah mereka dan menjadikan alatan, ritual, dan kawasan yang pernah dijadikan tempat pengebumian sebagai tarikan pelancong. Secara amnya kanibalisme sudah pun tidak dijalankan di Fiji dan diharamkan seluruh negara cumanya kadang-kadang tu masyarakat setempat masih mempercayai ada orang asli yang ekstremis mengikuti budaya kanibalisme terutama sekali di kawasan pendalaman.

Makan daging manusia walau budaya sekalipun, ia membawa kepada penyakit pelik

Walaupun sering dipandang hina oleh masyarakat moden, puak-puak orang asli yang pernah (dan masih) makan daging manusia ni melihatnya sebagai normal dan sebahagian dari budaya.

Perut banyak daging orang! Gambar dari Giphy.com

Tapi sebenarnya ada je orang makan orang ni bukan sebab budaya, kepercayaan, atau politik. Contohnya di Amerika Syarikat dan beberapa lagi negara Eropah terdapat kes kanibalisme, yang ni boleh dikatakan sebagai kes terasing di mana pemangsa merupakan seseorang pembunuh bersiri atau gila.

Saintis dari seluruh dunia telah mengakui bahawa dengan memakan daging manusia, seseorang tu boleh dijangkiti dengan penyakit Kuru. Penyakit tersebut sangat jarang dan hanya boleh dijangkiti dengan memakan otak manusia. Setakat ni penyakit tu takde penawarnya dan ambil masa setahun sahaja untuk penyakit tersebut membunuh mangsa.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance