27 adat resam dan pantang larang Melayu, orang masih buat lagi ke?

Masyarakat Melayu memang kaya dengan adat resam dan pantang larangnya yang tersendiri. Adat resam merupakan adat yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat secara turun temurun oleh nenek moyang mereka bagi mengekalkan tradisi kaum mereka. Ia juga merupakan undang-undang atau hak yang tak tertulis dalam sesebuah masyarakat.

Pantang larang pulak merupakan kepercayaan masyarakat zaman lampau mengenai sesuatu benda berdasarkan kepercayaan kaum masing-masing. Biasanya pantang larang orang tua-tua zaman dahulu bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan.

Mengikut Jabatan Penerangan Malaysia, biasanya adat resam kita berlaku sekitar tiga peristiwa penting dalam hidup iaitu kelahiran, perkahwinan, dan kematian. Jadi dalam artikel ini kami akan fokuskan kepada tiga kategori ini, bermula dengan…

Kehamilan dan kelahiran

Antara pantang larang semasa kehamilan dan kelahiran:

1. Dilarang mencaci atau meceritakan kecacatan, dikhuatiri anak bakal lahir juga akan mengalami cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan  binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir akan sumbing.

4. Dilarang melihat sesuatu yang ganjil, takut akan terkenan.

5. Dilarang makan sotong, nanti tali pusat anak boleh tercerut.

6. Dilarang minum air tebu dan kelapa serta memakan nenas, ia boleh menyebabkan gugur.

7. Dilarang melihat gerhana, nanti anak akan bertompok hitam.

8. Dilarang tidur sampai tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

Adat menyambut kelahiran oleh masyarakat Melayu:

9. Melenggang perut

Haa macam ni la orang dulu buat melenggang perut. Imej daripada XTRA.

Menurut Portal dari Jabatan Penerangan, adat ini dilakukan kepada wanita mengandung anak sulung dengan usia kandungan tujuh hingga lapan bulan. Upacara ini akan dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang kecelakaan yang akan menimpa wanita hamil sebelum bersalin dan membetulkan keadaan bayi didalam perut.

Sebelum upacara dimulakan, ibu hamil perlu mandi melenggang perut yang juga dikenali sebagai adat mandi sintuk limau dan air buyung. Bahan-bahan yang diperlukan untuk mandi lenggang perut ni ialah:

  • Tepung tawar.
  • Tiga biji limau nipis.
  • Sebiji kelapa tua yang telah dikupas.
  • Sedahan mayang pinang.
  • Sehelai kain lepas barat.
  • Dua batang lilin.
  • Sebuyung air biasa yang ditaburi 7 jenis bunga.
  • Air tolak bala (air tolak bala?)

Mengikut portal Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Budaya, tempat mandi untuk upacara ni perlu menghala ke dalam rumah dan upacara perlu dimulakan dengan doa selamat ke atas Nabi Muhamamad S.A.W. untuk mendapat restu. Malah wanita hamil tersebut juga perlu diandam supaya anak yang dilahirkan tak berbulu.

Bidan akan menjurus air ke wanita hamil itu serta beberapa orang lain akan membantu mengibas mayang pinang. Sebiji telur turut diselitkan kat lipatan kainnya lalu dilepaskan dengan kepercayaan ia akan memudahkan untuk bersalin. Kemudian ia dimandikan dengan air 7 telaga dan ditaburi dengan 7 jenis bunga serta dijirus dengan air tolak bala.

Imej dari Sheena Fertility Journey.
Imej dari Sheena Fertility Journey.

Setelah selesai mandi, bidan akan menjalankan upacara melenggang perut. Antara alat yang diperlukan (file PDF) dalam upacara ni ialah:

  • Tujuh helai kain berlainan warna.
  • Segantang beras.
  • Sebiji kelapa.
  • Beberapa lembar utas benang mentah.
  • Damar.
  • Minyak kelapa atau minyak urut.
  • Beberapa batang lilin.
  • Tepak sirih yang lengkap isinya.
  • Pengeras sejumlah RM1.25 yang diletakkan dalam bekas tepak sirih.

Bidan akan bentangkan ketujuh-tujuh helai kain secara bertindih dan wanita hamil tu harus dibaringkan diatas kain tersebut lalu diurut oleh bidan menggunakan minyak kelapa. Lepas siap je urut, bidan akan menggulingkan buah kelapa diatas perut terus ke hujung kaki sebanyak tujuh kali. Menurut Portal di Jabatan Penerangan lagi, sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandung adalah lelaki. Akhir sekali setiap helai kain tersebut perlu dilenggangkan pada perut wanita hamil itu.

Namun adat ini dipercayai mengandungi unsur-unsur budaya Hindu. Masyarakat India turut melakukan upacara seperti melenggang perut iaitu, ‘Valaikaapu’ yang bertujuan untuk memberkati seorang wanita hamil, meraikan kehamilannya serta memastikan kehamilannya itu selamat. Ia juga dilakukan bagi kandungan sulung wanita hamil dan usia kandungan antara tujuh hingga sembilan bulan.

Menurut Ustaz Azhar Idrus, amalan melenggang perut ni adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Jika tujuan melakukan lenggang perut dengan kepercayaan nanti kononnya anak tu dan kita akan selamat, hukumnya syirik. Kalau lakukan untuk tahu jantina anak dalam kandungan, tu namanya bodoh” – Ustaz Azhar Idrus. Pendakwah.

Dipetik dari Youtube.

10. Menggantung daun mengkuang berduri

Jika mengikut kepercayaan masyarakat dahulu, sekiranya kelahiran semakin hampir, ia digalakkan untuk menggantung daun mengkuang berduri di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah yang hendak bersalin bagi mengelakkan gangguan makhluk halus.

11. Memotong tali pusat dengan sembilu buluh

Zaman dahulu, bila bayi je lahir, bidan akan sambutnya dengan jampi serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Tali pusat bayi tu jugak akan dipotong menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak RM1. Tapi ada jugak yang gunakan cincin emas.

12. Menanam uri dan tembuni

Selepas bersalin, uri yang keluar bersama-sama bayi tu harus ditanam. Namun mengikut kepercayaan masyarakat Melayu zaman dahulu, uri tersebut tak boleh ditanam tepat pada jam 12.00 tengah hari kerana dikhuatiri anak akan degil. Ia juga harus ditanam bersama asam, garam, jarum, buku dan pensil supaya anak menjadi rajin belajar dan pintar. Ia juga dipercayai tak boleh danam terlalu dalam nanti anak akan jadi lambat bercakap.

Perkahwinan

Antara pantang larang sebelum majlis perkahwinan:

13. Pasangan pengantin tak dibenarkan keluar dengan pasangan sebelum majlis perkahwinan selama 40 hari bagi mengelakkan tohmahan masyarakat serta mengawal nafsu pasangan. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam antara pasangan sehingga majlis pernikahan berlangsung.

14. Pasangan dilarang bebas keluar kerana takut disantau.

15. Sebelum menjadi pengantin, elakkan tidur di katil pengantin kerana tak elok dipandang.

16. Tak boleh makan nasi dengan gulai berkuah untuk elak perut buncit bila di atas pelamin

17. Dilarang bercermin selepas Maghrib bagi mengelak sihir.

18. Dilarang membuang air kecil dan air besar serentak di dalam air (sungai) kerana boleh melemahkan organ seks.

19. Tiga bulan sebelum diijabkabulkan, amalkan urutan untuk kuatkan kembali tenaga yang hilang.

Adat perkahwinan masyarakat Melayu:

Step bagi melangsungkan perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Imej dari Afifah dan Bahijah.
Step bagi melangsungkan perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Imej dari Afifah dan Bahijah.

20. Merisik

Ia bertujuan untuk menengok atau meninjau keadaan si gadis dan waktu serta tarikh rombongan lelaki nak bertandang ke rumah pihak perempuan tu pula perlu dirahsiakan (kalau ikut betul-betul lah). Tujuannya adalah untuk memastikan gadis tersebut masih belum berpunya dan menyelidik latar belakang mengenai gadis tersebut. Biasanya semasa proses merisik ini, pihak lelaki akan membawa sekali sebentuk cincin sebagai tanda (biasa kalau merisik pakai cincin belah rotan je).

Ni lah yang dinamakan cincin belah rotan. Cincin yang simple je, tak perlu ada batu-b atu pun. Imej dari Kedai Emas Nazman.
Ni lah yang dinamakan cincin belah rotan. Simple je. Imej dari Kedai Emas Nazman.

21. Meminang

Bila dah tahu yang gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangaan. Urusan peminangan ini hanya dilakukan oleh kaum keluarga terdekat sahaja. Dalam proses tersebut, kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula.

P/S: Tapi zaman sekarang ni biasanya orang akan buat sekali je merisik dan meminang.

22. Bertunang

Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara yang terdekat sahaja untuk upacara bertunang (tapi zaman sekarang ni orang bertunang buat meriah-riah siap ada pelamin, baju tunang yang cantik dan ada yang panggil jemputan orang kampung sekali serta kawan-kawan untuk hadir pada majlis pertunangan mereka). Majlis pertunangan ini diadakan di rumah keluarga perempuan dan hantaran haruslah terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih dan pakaian. Perkara yang dibincangkan dalam majlis pertunangan ialah tarikh akad nikah dan perkahwinan serta nilai wang hantaran.

Perbincangan didalam majlis pertunangan.Imej dari Sarung Cincin.
Perbincangan didalam majlis pertunangan.Imej dari Sarung Cincin.

23. Berinai

Berinai dilakukan pada malam hari sebelum majlis perkahwinan. Menurut Portal Melayu Online, tujuan berinai ni adalah untuk menjauhkan diri dari bencana, membersihkan diri dari hal-hal yang kotor serta untuk memperindah calon pengantin wanita agar kelihatan lebih berseri. Upacara ini melambangkan kesiapan pasangan pengantin tersebut untuk mendirikan rumahtangga.

Pengantin perlu sabar menanti inai yang dipakai itu terus merah di kaki dan tangan. Imej dari Melayu Online.
Pengantin perlu sabar menanti inai yang dipakai itu terus merah di kaki dan tangan. Imej dari Melayu Online.

24. Merenjis/tepung tawar 

Ia merupakan salah satu adat Melayu didalam sesebuah perkahwinan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Bahan-bahan yang digunakan ialah:

  • Bunga setaman bunga rampai (agar yang ditepung tawar menjadi harum seperti bunga).
  • Beras kuning (supaya yang ditepung tawar menjadi kaya, mulia dan bijaksana).
  • Daun sidingin-dingin (supaya yang ditepung tawar itu akan aman tenteram dari perit kehidupan).
  • Air (agar yang ditepung tawar itu selalu sihat wal afiat).
  • Tepung beras (supaya yang ditepung tawar sentiasa putih suci hatinya, terhindar dari sifat iri, dengki, hasud, tamak, dendam, riya, dan berbagai penyakit hati lain).
alat renjis1
Antara bahan yang digunakan didalam merenjis/menepung tawar didalam persandingan. Imej dari titassemtwo.

Namun jika menurut Hadis yang dipetik dari akhbar Utusan mengenai hukum bersanding dan merenjis, ianya adalah haram kerana tak ubah seperti mengikut adat masyarakat Hindu. Menurut seorang Ustaz Azhar Idrus pulak hukumnya adalah bid’ah dan membazir.

Sabda Rasulullah S.A.W.  maksudnya :

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka”. – Hadis sahih riwayat Abu Dawud.

Dipetik dari Utusan.

Kematian

Bagi masyarakat Melayu Islam, mereka wajib menuruti kaedah pengebumian berasakan garis panduan al-Quran. Namun ada juga masyarakat yang selitkannya dengan sedikit adat-adat kemelayuan dan ianya juga tak salah jika tak bertentangan dengan syarak.

25. Kenduri arwah/tahlil hari pertama, ke-3, ke-44 dan ke-100 hari

Biasa tak korang dengar selepas kematian je, pasti keluarga si mati akan adakan kenduri arwah dan doa selamat pada hari pertama kematian, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat dan keseratus hari. Namun korang tahu tak sebenarnya ianya tidak wajib pun untuk membuat kenduri.

“…nak buat kenduri tahlil boleh tapi bersyarat. Pertama jangan iktikad ianya wajib. Kedua, jangan nak tetapkan kena buat berapa hari dan ketiga, niat semata untuk berdoa kepada si mati untuk meringankannya,mudah-mudahan…”.

Ustaz Azhar Idrus. Pendakwah. Dipetik dari Youtube.

26. Bina hiasan diatas kubur

Malah ada juga masyarakat melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina binaan hiasan diatas kubur seperti mar-mar dan membesarkan kubur selepas seratus hari ia meninggal dunia.

kubur mewah
Imej dari Ustaz Saiful Bahri.
Imej dari Ustaz Saiful Bahri.

27. Berkabung 40 hari

Biasanya kalau ada pembesar negara yang meninggal dunia, pasti rakyat akan berkabung selama 40 hari dengan diharuskan memakai pakaian tertentu. Tapi menurut Dr Asri atau juga dikenali sebagai Dr Maza, ianya adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut beliau, dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari.

Rakyat digalakkan untuk berkabung. Imej dari Rawatan As-Sunnah.
Rakyat digalakkan untuk berkabung. Imej dari Rawatan As-Sunnah.

Perlu tahu bezakan yang mana adat, yang mana agama

Masyarakat Melayu sememangnya sangat kaya dengan budaya, nak lagi bila sejarah kita ada dipengaruhi pelbagai tamadun termasuklah animisme, Hindu, Buddha, dan Islam; dan dari situlah lahirnya pelbagai adat resam dan pantang larang.

Malah ada di antara adat dan pantang larang ni memang berniat baik pun. Contohnya larangan mencederakan binatang waktu mengandung sebab takut anak akan jadi cacat, kalau tak mengandung pun janganlah kita menganiaya binatang, betul tak? Jadi memang patutlah diamalkan selalu.

Namun bagi yang beragama Islam, kita perlu peka dalam membezakan amalan yang mana bertentangan dengan agama. Dulu-dulu, masyarakat Melayu pernah mencampur-adukkan adat yang bertentangan dengan agama, contohnya amalan Mandi Safar ataupun ilmu kebal dengan menggunakan bacaan Al-Quran.

Bagi yang tak berselisih dengan agama pulak, boleh terus diamalkan agar kita dapat menjaga identiti masyarakat kita, bak kata pepatah Melayu, “hidup berkandung adat, mati dikandung tanah”.

Selain itu, ada juga beberapa teori Melayu yang buat awak letup minda

Ada juga orang kaitkan Bani Tamim dengan Tanah Melayu

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 12 Oktober 2016*

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)