- 217Share sekarang!
- Email9
- Facebook208
- Share
Kalau dulu isu zakat berlingkar tentang usaha sesetengah pihak yang nak bayar zakat terus kepada asnaf dan bukannya melalui institusi zakat. Kali ni nampaknya, isu zakat kembali lagi diperkatakan.
Semuanya bermula bila – bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya pembaharuan dibuat oleh institusi-institusi zakat. Apa yang jadi kontroversi adalah apabila Anwar mencadangkan supaya zakat juga diberikan kepada masyarakat bukan Islam, sebagai sebahagian dari proses pembaharuan itu.
Bagi Ahli Parlimen Port Dickson tu – dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini, adalah tak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.
“Seperti contoh, katakanlah ada tiga keluarga yang berdekatan dibantu institusi zakat dan keluarga keempat itu adalah penganut Hindu, jadi bolehkah kita ketepikan?” – Katanya dipetik dari FMT.
Bagaimanapun, cadangannya itu dah menerima pelbagai reaksi dari ramai pihak, sama ada yang tak bersetuju atau menyokong. Tapi, dalam masa sama – tak dapat dinafikan juga yang masih ada di kalangan masyarakat Islam sendiri yang agak kurang faham dengan fungsi zakat dan siapa yang layak menerimanya.
Sebagai contoh, kita selalu dengar rungutan pihak-pihak tertentu apabila ada saudara mara atau jiran tetangga kurang upaya (OKU) mereka yang tak menerima zakat. Selain tu, ada juga yang mempersoalkan – kenapa masih ada yang fakir dan miskin di Malaysia ni, sedangkan kutipan zakat berbilion ringgit. Sebenarnya…
OKU tak termasuk penerima zakat dan zakat bukan hanya untuk fakir-miskin sahaja
Zakat yang bermaksud membersihkan diri dan harta ni, terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan kepada setiap orang Islam.
Zakat harta pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat emas/perak, zakat saham, zakat pertanian dan sebagainya. Seperti yang dikatakan di awal tadi, zakat ni sebenarnya bukan untuk fakir – miskin saja dan OKU pula tak tersenarai sebagai orang yang layak menerima zakat (asnaf).
Ini kerana, rujukan utama asnaf dah ditetapkan dalam al-Quran melalui Surah al-Taubah ayat 60. Ayat ini menjelaskan 8 golongan yang layak menerima zakat (asnaf) dan mereka adalah:
- Orang fakir (al-fuqara’)
- Orang miskin (al-masakin)
- Amil (pengutip zakat),
- Orang yang perlu dijinakkan hatinya (muallaf),
- Hamba (al-riqab)
- Orang berhutang (al-gharimin)
- Orang yang berjuang di jalan Allah (fisabilillah)
- Musafir yang berada dalam perjalanan (ibn sabil).
Jadinya di sini, walaupun orang fakir dan miskin termasuk sebagai asnaf – ada juga orang lain yang tak disyaratkan miskin ke atas mereka. Mereka adalah gharimin, fisabilillah, amil, muallaf dan ibn sabil.
Dalam isu OKU pula, walaupun bukan sebahagian dari kategori asnaf, mereka masih boleh menerima zakat kalau mereka tergolong dalam 8 golongan ni. Contohnya seorang OKU itu miskin atau bermusafir. Tapi kalau ikut keutamaan, dah pasti golongan fakir-miskin yang diutamakan, manakala golongan lain pula diberikan bantuan jika cukup syarat.
Namun, apa yang diperdebatkan sekarang ni adalah bila Anwar menyeru pembaharuan dibuat oleh institusi-institusi zakat, termasuklah memberikannya kepada orang bukan Islam. Hal ni dah menerima reaksi pelbagai pihak dengan pelbagai pandangan. Apa yang pasti…
Majoriti negeri di Malaysia masih berpegang pada pandangan zakat hanya diberikan kepada Muslim
Sebelum tu, kita kena tahu juga yang hal ehwal berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa negeri dan bukannya persekutuan. Jadinya, setiap negeri ada badan yang dipertanggungjawabkan mengutip zakat. Sebab itulah, ramai mufti yang bersuara menegaskan pendirian negeri masing-masing, dalam menjawab seruan Anwar ini.
Antara yang terawal adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan – Perak tak ada hasrat nak bagi wang zakat kepada bukan Islam, sebab masih ramai lagi orang Islam di negeri tu yang kena dibantu dan dibela.
“Jika sudah habis orang Islam (dalam semua kategori asnaf) terbela dan dibantu, baru kita boleh buka (bantuan zakat) kepada asnaf bukan Muslim.” – Katanya dipetik dari Metro.
Hal yang sama juga disuarakan oleh Mufti Pahang dan Mufti Kelantan – yang kata keutamaan diberikan kepada golongan asnaf Muslim dan belum tiba masanya lagi untuk orang bukan Islam. Di Selangor pula, kenyataan dikeluarkan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Sultan Selangor sendiri, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda menitahkan, agihan kutipan zakat di negeri itu hanya untuk 8 golongan asnaf dalam kalangan umat Islam. Tapi, agihan zakat kepada golongan bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu berkenaan memeluk agama Islam di bawah asnaf Mu’allati Qulubuhum.
Sebenarnya sama ada zakat boleh diagihkan kepada bukan Islam atau tak adalah perbezaan pandangan di kalangan fuqaha (sarjana fekah). Imam besar umat Islam – Imam Syafie berpandangan tak boleh zakat diagihkan kepada orang bukan Islam dan hal itu disebut dalam karyanya yang terkenal al-Umm.
“Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam.
Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain, Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat” – al-Umm, dipetik dari UKM.
Pandangan inilah yang dipegang oleh Mazhab Syafie dan ulama-ulama dalam mazhab berkenaan. Ini kerana mereka berpegang – atas asas kekufuran itu, ia sekaligus menghalang bukan Islam menerima peruntukan zakat, tak kisahlah sama ada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.
“Jika dilihat dari kitab-kitab al-Syafiiyyah, mereka tidak membenarkan menggunakan zakat kepada orang kafir. Namun jika golongan itu perlu kepada bantuan, maka boleh dibantu dengan sumber yang lain…” – Datuk Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak. Dipetik dari Indahnya Islam.
Tapi jauh di hujung Malaysia, ada satu negeri yang rupa-rupanya dah memfatwakan bahawa zakat boleh diberikan kepada golongan bukan Islam.
Fatwa Perlis benarkan orang bukan Islam terima zakat
Akan tetapi, ada juga fuqaha yang berpandangan orang bukan Islam boleh terima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Peruntukan ini merangkumi golongan yang masih kafir dan yang telah masuk Islam.
Menurut Imam Ibn Qudamah, muallaf ni terbahagi kepada dua bahagian iaitu kuffar (bukan Islam) dan muslimin (orang Islam). Bahagian kuffar pula terbahagi lagi kepada dua iaitu…
“… pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…
kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..”- Ibn Qudamah, dipetik dari UKM.
Dr Yusuf al-Qaradawi kemudiannya menilai pandangan ini sebagai lebih kuat dan kerana itulah beliau berpandangan zakat boleh diagihkan kepada orang bukan Islam. Pendapat ini disokong lagi dengan beberapa riwayat yang mana Nabi Muhammad SAW memberikan zakat kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” – Riwayat Muslim.
Selain itu, zakat diberikan kepada orang bukan Islam juga dikatakan berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab yang pada suatu hari terjumpa dengan seorang peminta sedekah Yahudi. Baginda bertanya, apa sebabnya Yahudi ini meminta sedekah, dan Yahudi ini menjawab bahawa – dia dah tua, dah tak ada upaya dan masih kena bayar Jizyah (cukai yang dikenakan ke atas individu bukan Islam yang berlindung di negara Islam).
“Saidina Umar selepas mendengar hal itu, kemudiannya membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 (maksudnya): “Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, kemudian berkata lagi: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)…” – Dipetik dari Jurnal terbitan USM.
Selain itu, pandangan dari Mazhab Maliki juga membenarkan zakat diberikan kepada bukan Islam. Ini kerana dengan cara itu, ia membuatkan jiwa mereka dekat dengan Islam dan tak berpihak kepada musuh.
Bagi Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pula – tindakan Perlis membenarkan zakat diberikan kepada bukan Islam adalah untuk menjinakkan jiwa dan memberikan persepsi baik terhadap Islam. Zakat tu pula bukan dalam bentuk wang semata-mata, tapi juga dalam bentuk makanan, bantuan ubatan dan sebagainya.
Contohnya, dalam membantu mangsa-mangsa banjir atau kebakaran yang kadang-kala tu bukan dari kalangan orang Islam sahaja. Jadinya, bantuan tu bersifat lebih adil bila mana – mangsa dari kalangan Islam dan bukan Islam dibantu secara saksama.
“Di Malaysia, non-muslim itu bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu sahaja seperti kaum Cina dan India. Di sana terdapat kaum-kaum lain yang belum muslim seperti Siam di Perlis. Dayak, Iban, Orang Asal dan seumpamanya.
Maka, jangan kita anggap semua mereka sama seperti kaum yang sudah kaya sehingga tidak perlu keprihatinan kita yang ada kelebihan.” – Dr Asri, dipetik dari Facebook-nya.
Tapi apa yang pasti, salurkanlah zakat kepada institusi yang sepatutnya
Sebelum ni, ada je kita dengar tentang berita tak berapa baik tentang institusi zakat apabila CEO dan pegawai Zakat Pulau Pinang didakwa rasuah. Beberapa bulan yang lalu pula, kita dilaporkan bahawa SPRM telah menahan reman tiga orang individu berhubung dakwaan penyelewengan dana Lembaga Zakat untuk satu penerbitan program.
Disebabkan kes sebegini, ia sedikit sebanyak menghakis keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti insititusi zakat, sehinggakan ada pihak tertentu yang tidak mahu lagi membayar zakat di institusi zakat.
Kerana itu jugalah ada pihak yang mencadangkan supaya institusi zakat diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan laporannya dihebahkan kepada umum secara tahunan. Dengan cara sedemikian, tahulah masyarakat ke mana wang zakat disalurkan.
Dalam masa sama, sebagai umat Islam kita juga perlu meletakkan kepercayaan kepada institusi zakat kerana mereka lebih mengetahui golongan dan siapa yang lebih layak. Malah, hal ini diperkuatkan lagi apabila tanggungjawab mengutip zakat itu diletakkan di bawah bidang kuasa pemerintah (ulil amri). Dan korang juga kena ingat, yang korang boleh didenda kalau membayar zakat kepada pihak yang tak bertauliah.
Akhirnya, pada yang mampu tu – tunaikanlah zakat, kerana itulah yang akan membersihkan harta kita. Tak guna kita berdebat siapa yang layak menerima zakat semata-mata, tetapi lupa menunaikan rukun Islam ke 5 itu. Tak gitu? :)
- 217Share sekarang!
- Email9
- Facebook208
- Share