- 138Share sekarang!
- Email10
- Facebook128
- Share
Salah satu kewajiban menjadi seorang Muslim selain menunaikan solat adalah membayar zakat. Dan bila datangnya bulan Ramadan, maka zakat yang akan terlintas kat fikiran kita mestilah Zakat Fitrah.
Menurut istilahnya, zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Selain tu, ia juga dikenali sebagai zakat al-Abdan dan ar-Ruus (zakat badan dan kepala). Sebabnya, ia diwajibkan kepada setiap orang Islam, tak kiralah diorang tu tua atau muda, lelaki atau perempuan, miskin atau kaya, merdeka atau hamba.
Dari sejarahnya, ia mula diwajibkan pada tahun kedua hijrah iaitu pada tahun yang sama umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan.
Tapi, tahu tak kita macam mana kadar zakat fitrah ni ditetapkan? Dan apa pula pandangan-pandangan mazhab mengenainya?
Nilai beras jadi pengukur zakat fitrah di Malaysia
Dalam satu hadis daripada Abu Said al-Khudri, dia berkata:
“Kami pada zaman Nabi mengeluarkan zakat daripada makanan ruji, waktu itu ialah gandum, kurma, kismis dan roti.” – Hadis riwayat Bukhari.
Dari hadis ini, para ulama berpandangan zakat yang dikeluarkan akan ditentukan melalui nilai makanan ruji yang ada dalam sesebuah negara tu. Kalau dekat negara-negara Arab diorang gunakan gandum, jadinya dekat Asia Tenggara (termasuk Malaysia) – beras yang menjadi makanan ruji.
Tapi disebabkan urusan berkaitan agama Islam di Malaysia ni termasuk dalam bidang kuasa negeri, jadinya kita boleh nampak kadar-kadar zakat fitrah yang berbeza-beza antara negeri. Contohnya tahun lepas (2018), kadar zakat fitrah dekat Selangor – RM7.00, tapi dekat Melaka – RM6.50.
Tapi sebenarnya, isu ni tak lah susah sangat. Sebab, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dah pun keluarkan fatwa pasal kiraan kadar zakat fitrah ni.
Kadarnya berdasarkan timbangan segantang Baghdad
Pada tahun 2003, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-57 dah berbincang panjang lebar pasal cara nak tetapkan harga zakat fitrah di seluruh Malaysia. Akhirnya, muzakarah tu memutuskan:
- Harga zakat fitrah untuk negeri-negeri Semenanjung Malaysia berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60kg.
- Harga zakat fitrah bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras ‘Vietnam White Rice’ bagi negeri Sabah dan ‘Thai White Rice’ bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.
Sebelum pergi lebih lanjut, gantang ni sebenarnya sejenis alat sukatan yang digunakan pada zaman dulu. Sekarang ni, payah nak nampak orang guna gantang lagi, sebab nilai gram/kilogram (kg) atau pound lebih meluas digunakan.
Tapi mesti korang tertanya-tanya, kenapa pula kena ikut gantang Baghdad, gantang tempatan tak boleh ke? Senang sikit kan? Jawapan untuk soalan ni berbalik kepada rujukan utama Islam iaitu hadis. Sebab, Abdullah bin Umar ada meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW telah memfardhukan (mewajibkan) zakat fitrah pada bulan Ramadan segantang kurma atau gandum ke atas orang yang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan di kalangan Islam.” – Hadis Riwayat Muslim.
Jadi menurut majlis fatwa, gantang yang digunakan di zaman Nabi tu adalah gantang Baghdad dan kerana itulah ia diambil sebagai timbangan kadar zakat fitrah.
Tapi dalam masa sama, masih ada ulama berselisihan pasal berapa kilogram satu gantang Baghdad ni.
“Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg. Dan di sisi mazhab Hanafi ialah 3.8 kg.” – zakat.com.my
Malah, negara-negara lain pun ada yang berbeza. Contohnya:
- Arab Saudi – 2.40kg
- Mesir – 2.50kg
- Iran – 1.75kg
- Indonesia – 2.18kg
- Brunei – 2.27kg
- Singapura – 2.30kg
Malah pada tahun 2000, Selangor, Terengganu dan Perak sepakat kata satu gantang Baghdad tu 2.27kg, Kelantan – 2.56kg dan Kedah pula kata – 3.063kg. Bagaimanapun, masalah ni selesai bila Majlis Fatwa Kebangsaan buat keputusan untuk selaraskan nilai timbangan satu gantang Baghdad ni pada 2003, seperti mana yang diceritakan di atas tadi. (Walaupun ada jugalah kes kadar zakat fitrah yang berbeza di satu dua negeri)
Walaupun macam tu, masih ada beberapa tindakan kita yang mengikut beberapa pandangan mazhab berkenaan dengan zakat fitrah ni. Sebab…
Mazhab Syafie kata zakat fitrah kena gunakan makanan ruji tu sendiri dan bukannya bayaran
Seperti mana yang kita semua tahu, mazhab utama yang digunakan di Malaysia ni adalah Mazhab Syafie. Tapi dalam beberapa perkara, kita tak lah tegas sangat ikut Mazhab Syafie sebab kita akan pilih mengikut kesesuaian. Dan antara contoh terdekat adalah pasal cara membayar zakat fitrah.
Kalau ikut Mazhab Syafie, zakat tu kena bayar dengan makanan ruji tu sendiri, dan bukannya dalam bayaran wang ringgit. Kalau nak guna bayaran wang juga, ia boleh jadi harus dalam dua keadaan:
- Kerana darurat.
- Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah)
Tapi dalam Mazhab Hanafi pula ia diharuskan. Dan kita di Malaysia dalam hal ni nampaknya mengikut Mazhab Hanafi.
Dah tahu pasal cara nak tunaikan zakat, kita pun nak tahu bila zakat ni kena dibayar dan kepada siapa kan? Jadinya…
Salah di sisi undang-undang kalau kita bayar zakat kepada amil yang tak sah
Berkenaan dengan bila nak tunaikan zakat, ia terbahagi kepada beberapa waktu iaitu:
1. Waktu wajib – Bila terbenam matahari akhir 30 Ramadan sehingga terbit matahari esoknya.
2. Waktu afdhal – Sebelum sembahyang Hari Raya
3. Waktu sunat – Sepanjang bulan Ramadhan
4. Waktu makruh – Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
5. Waktu haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal.
Tapi digalakkan yang kita bayar zakat fitrah tu lebih awal supaya taklah terlupa atau kalau lewat sangat, takut-takut ia macam menyukarkan para amil.
Bercakap pasal amil, ia sebenarnya adalah gelaran yang diberikan kepada orang yang bertanggungjawab untuk ambil zakat daripada pemiliknya. Pelantikan amil-amil ni pula akan dibuat oleh setiap Majlis Agama Islam Negeri. Disebabkan zakat dah pun diinstitusikan, maka sekarang ni membayar zakat kepada amil yang tak sah adalah satu kesalahan.
Kalau kita tengok Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, dah menjadi kesalahan untuk membayar zakat kepada mana-mana orang yang tak diberikan kuasa secara sah untuk memungut zakat.
“…apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.” – Seksyen 34.
Jadinya, bila korang nak bayar zakat tu, pastikan yang ia sampai ke tangan amil yang bertauliah, elakkan diri dari tertipu dengan mana-mana sindiket.
Zakat fitrah tu pembersih bagi orang yang berpuasa
Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa:
“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih (penyucian) bagi orang yang berpuasa daripada perkataan yang tidak berguna dan kotor dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin…” – Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.
Oleh itu, janganlah kita lepaskan peluang untuk menunaikan kewajiban ni sebagai Muslim sejati. Tapi kalaulah kita terlupa nanti, menurut Syeikh Salih Uthaimain zakat fitrah tu masih lagi wajib digantikan (qadha), tapi ia tetap dikira sebagai sedekah biasa kerana dibayar sesudah terluput waktunya.
Dan nampaknya untuk tahun 2019 ni, kadar zakat fitrah yang ditetapkan di seluruh negeri di Malaysia adalah sebanyak RM7.
Seorang ulama bernama Waki’ bin al-Jirah pernah berkata:
“Zakat fitrah bagi puasa Ramadan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa seperti mana sujud sahwi membaiki kekurangan solat.”
- 138Share sekarang!
- Email10
- Facebook128
- Share