YADIM dah dipenuhi orang politik?! Kitorang tengok betul ke bohong

Baru-baru ni kecoh kat media sosial apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari DAP dilantik jadi salah seorang daripada Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Benda ni terjadi sebabnya masih ramai orang kat luar sana yang nampak DAP ni macam anti-Islam. So bila ada orang dari DAP dilantik untuk jawatan ahli lembaga pengarah, dan tentu-tentulah orang akan risau.

Tapi sebelum tu, ramai sebenarnya yang tak tahu kewujudan YADIM. Bagi yang tak tahu – YADIM adalah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussin, pada 25 Januari 1974 yang tujuannya untuk selaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO – supaya seiring dengan dasar negara dan jadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Logo YADIM. Imej dari YADIM

Meh kita mulakan cerita pasal YADIM ni dengan…

Diorang dah beberapa kali tukar ibu pejabat, selalu pindah randah

YADIM ni mula beroperasi pada Ogos 1975 di tingkat 11 bangunan Wisma Batik, Jalan Tun Perak, KL. Lepas tu, pada tahun 1980, kerajaan ada peruntukkan diorang sebuah rumah milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Ledang untuk dijadikan pejabat YADIM. Lapan tahun lepas tu diorang pindah lagi ke Pusat Islam berhampiran Masjid Negara.

So bagi yang tak tahu YADIM ni buat apa benda sebenarnya, diorang ada tiga fungsi utama. Pertama diorang nak selaraskan kegiatan dakwah Islam, lepas tu selaraskan dakwah ni guna cara pendekatan sosial, dan last sekali diorang nak lahirkan pendakwah Islam yang berpengaruh dan berpengetahuan luas. Slogan diorang sedap jugak – sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.

Ohhh…macam tu rupanya. Imej dari Giphy

Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut tentang aktivti-aktivit yang dilakukan oleh YADIM ni, korang boleh pergi tengok laporan tahunan diorang. Dalam tu ada terangkan macam-macam – dari struktur organisasi sehinggalah organisasi yang diorang bekerjasama. Menariknya pada tahun 2017 – diorang berjaya buat program yang libatkan 5,241,095 peserta! Banyak gilakan.

Satu lagi benda penting yang korang kena tahu untuk faham isu pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM ni – korang kena tahu macam mana struktur organisasi YADIM tu. Ahli Lembaga Pemegang Amanah ni secara hierarkinya berada yang paling atas. Sebab tu ramai yang bengang bila jawatan-jawatan tu dipegang oleh orang-orang yang dikaitkan dengan ahli politik.

Imej dari Laporan 2017 Yadim

Seorang ustaz ni kata YADIM dah dilacurkan oleh kerajaan baru

Korang kenal tak Asyraf Wajdi? Bagi yang tak kenal – dia ni bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang uruskan hal-hal agama Islam. Sekarang dia adalah Ketua Pemuda UMNO – dan dia juga pernah pegang jawatan sebagai YDP YADIM. Dia adalah di antara orang pertama yang bengang dengan pelantikan politik kat YADIM – terutamanya seorang ADUN DAP, Sheikh Omar.

“Hampir semua lantikan baru ahli lembaga pemegang amanah YADIM terdiri daripada penjawat-penjawat jawatan parti dari kalangan AMANAH, PPBM, PKR dan DAP. Boleh lihat perbandingan dengan waktu BN dulu, hanya seorang sahaja yang terlibat aktif dengan politik, itu pun atas kapasiti Menteri Agama Sabah,” – Asyraf Wadji, dipetik dari SINAR

Nampak tak isunya kat sini? Imej dari UTUSAN

Kalau ikut Asyraf Wadji ni, dia kata sepatutnya YADIM ni kekal sebagai badan dakwah yang merentasi parti, yang fungsinya untuk bantu kembangkan agama Islam. Selaku orang UMNO dah mestilah dia akan kata – satu persatu institusi agama kat Malaysia dah dicemari oleh Pakatan Harapan yang katanya didominasi oleh DAP.

Ada seorang ustaz ni pulak, dia kata pentadbiran PH yang ada hari ni lagi teruk daripada BN. Dia persoalkan dah takde ke golongan professional yang boleh pegang jawatan kat YADIM?

“Mohon jangan ‘lacurkan’ Yadim demi kepentingan politik dan tolong jangan pergunakan Yadim bagi tujuan kepentingan peribadi. Tidak pernah terjadi dalam sejarah negara apabila peringkat atasan Yadim dimonopoli hampir keseluruhannya oleh orang politik,” – Ustaz Zamihan, dipetik dari MalaysiaKini

Dr Mujahid jawab tohmahan yang berlambak ni, dia kata orang yang dilantik memang layak

Sebelum korang kata kitorang dibayar oleh Najib Razak, kitorang nak masukkan jugak apa yang PH kata tentang pelantikan ni. Dr Mujahid beritahu media yang pelantikan Sheikh Omar tu bukan sebab politik, tapi dia memang layak. Kalau korang tak tahu lagi – Sheikh Omar ni ada Ijazah Usuluddin dari Universiti Malaya. So memang ustazlah.

“Sheikh Omar dilantik atas kelayakannya sebagai seorang yang ada latar belakang agama. Tidak ada persepsi (negatif), dia seorang muslim, ada merit dan dia juga ada sumbangan idea yang baik sebelum ini,” – Dr Mujahid, dipetik dari MalaysiaKini

Boom. Imej dari Giphy

Lepas tu Dr Mujahid siap bagi amaran kat siapa-siapa yang kata DAP tak iktiraf agama Islam, termasuklah kat media sosial. Sebabnya, dia kata – dakwaan yang mengatakan DAP tidak mengiktiraf agama Islam merupakan satu tuduhan melampau sedangkan parti itu bersama kerajaan pada hari ni.

Kitorang buat perbandingan di antara bekas YDP Yadim Zaman BN dan PH

Cara paling simple nak tengok perbezaan di antara kedua-dua pimpinan YADIM ni adalah bandingkan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Yadim daripada dua zaman yang berbeza. Sebabnya kalau nak tengok semua Lembaga Pemegang Amanah, sampai esok tak habis. So inilah yang kitorang dapat…

Yang Dipertua YADIM zaman BN: Dr. Yusri Bin Mohamad

Dr. Yusri pernah bertugas sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang, UIAM selama 15 tahun sehingga akhir tahun 2011. Dia ni lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan lulus cemerlang di dalam bidang undang-undang (LL.B) pada tahun 1995 dan undang-undang (Shari’ah) (LL.B(S) ) pada tahun 1996.

Dr Yusri. Imej dari UTUSAN

Lepas tu dia lanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang (LL.M) (pengkhususan Undang-Undang Islam) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom pada tahun 1997 dan kemudian tamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang teori perundangan Islam di UIAM pada tahun 2010.

Timbalan Yang Dipertua zaman BN: Mohamad Zaidi Bin Ramli

Untuk pendidikan, Mohamad Zaidi ni ada kelulusan Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Pengajian Dakwah dan Kepimpinan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1995 dan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) pada 2010 dari pun dari UKM.

Imej dari Youtube

Dia dah ada pengalaman luas dalam pentadbiran agama Islam termasuk pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah di beberapa bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dari tahun 2009 hingga 2015.

Yang Dipertua YADIM zaman PH: Nik Omar Nik Abdul Aziz

Tak banyak maklumat yang kitorang boleh dapat tentang Nik Omar Nik Abdul Aziz ni, apa yang pasti – dia dapat pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir dan pernah menyambung legasi ayahnya sebagai Pengetua Darul Annuar Pulau Melaka. Sebuah sekolah tahfiz yang pernah jadi isu sebab ada pergaduhan sesama keluarga dulu.

Nik Omar. Imej dari SuaraPakatanDaily

Masa Pilihan Raya Umum 14 dulu, Nik Omar ada bertanding kat kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan (Cempaka) tapi kalah. Dia jugak adalah ahli Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan Yang Dipertua zaman PH: Zolkharnain Abidin

Lebih kurang macam Nik Omar jugak, punyalah susah nak cari biodata Zolkharnain ni, kitorang rasa AMANAH perlu buat kot satu website untuk kumpulkan biodata tokoh-tokoh diorang. Apa yang kitorang dapat tahu tentang dia pernah berkhimat sebagai pegawai kat Jabatan Agama Perlis. Dia jugak pernah jadi ADUN Siantan, Perlis.

Imej dari MalaysiaKini

Sebelum dilantik jadi Timbalan Yang Dipertua YADIM, dia adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah parti Amanah. Pada PRU14, dia ada bertanding kat kerusi DUN Sanglang Perlis, tapi kalah.

Kitorang bukan bias, tapi nampaknya YADIM kena cepat-cepat tulis pasal biodata Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipetua diorang, supaya orang akan tahu apa kehebatan diorang. Ini kitorang listkan sekali Ahli Lembaga Pemegang YADIM, supaya korang boleh kenal diorang ni siapa;

Via Giphy

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM (zaman BN): Tan Sri Othman Mustapa, Dato Hj Mohd Arifin Mohd Arif, Dato Hj Misnu Bin Hj Taha, S.S Dato’ As Sheikh Hj Noh Gadot, Dato’ Hj Idris Shaari Mat Aris, Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Dato’ Hj Taib Hj Ali, Prof Dato Dr. Aziah Mohd Awal, Dato’ Sepiah Md Yusof.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM (zaman PH): Muhamad Razak Idris, YB Syed Ibrahim Syed Noh, Mohamad Raimi Abdul Rahim, Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Shiekh Omar Bagharib Ali, Ahmad Sayuti Bashiron, Samsu Adabi Mamat, Shamsul Ma’arif Hj Isma, Ustazah Maznah Daud, YB Nor Azrina Surip.

Ada yang kata tak guna jugak lantik professional kalau kuat mengampu

Kitorang bukanlah nak kata lantik orang politik dalam mana-mana kerajaan tu salah sama sekali, ada je orang kata – lantik golongan professional untuk pimpin agensi kerajaan pun takde guna kalau golongan professional tu macai. Kitorang saja nak bagi korang tengok yang dulu-dulu YADIM ni dipenuhi oleh golongan professional dan sekarang ramai ahli politik. Hasilnya nanti kita tengok ah macam mana – lebih baik atau lebih buruk.

Macam yang kitorang cerita tadi, YADIM ni patutnya jadi tempat untuk kerja-kerja dakwah agama Islam dikembangan, sebab memang tu pun tujuan asal YADIM masa ditubuhkan. Rugilah kalau YADIM dijadikan tempat untuk mana-mana parti politik meluaskan pengaruhnya, sebab nanti fungsi YADIM akan hilang. Asyik gaduh pasal politik je siang malam.

Parti ana lebih afdhol. Imej dari Giphy

So, korang rasa macam mana? Patut atau tidak YADIM ni dikuasai oleh orang yang ada kaitan langsung dengan politik? Tak pun, korang ambik kisah ke tentang apa yang berlaku kat YADIM? Meh mengundi kata bawah ni;

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka