Talalla bersaudara: Juruterbang Malaya yang berkhidmat masa Perang Dunia Kedua

(Sebelum tu, kalau korang nak join group FB sejarah yang tak ada dalam buku teks. Boleh klik sini: SALAM SEJARAH-TERA)

Selalunya kalau kita borak pasal Perang Dunia Kedua je, mesti korang terus terfikir negara-negara besar yang terlibat macam British, Amerika, Perancis, Rusia dan terutamanya mestilah Nazi Jerman, kan?

Tapi macam mana kalau kitorang bagitahu yang ada rakyat Tanah Melayu yang turut berjuang di luar negara pada masa tu?

Bukan sorang je, tapi dua orang adik-beradik, macam Wright bersaudara. Kalau Wright bersaudara merupakan pasangan adik-beradik yang berjaya mencipta kapal terbang pertama yang berfungsi pada tahun 1903, di Tanah Melayu pula, kita ada Talalla bersaudara yang membuat penerbangan jet tempur semasa Perang Dunia Kedua.

Imej dari going places

Siapa mereka ni sebenarnya?

Keluarga Talalla yang merupakan antara perintis Kuala Lumpur sebelum kemerdekaan

Masa pekerja Ceylon (Sri Lanka) dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19, salah seorang dari mereka, Hewage Benjamin Talalla merupakan antara orang Sinhalese yang berhijrah ke Tanah Melayu. Kedatangannya ke Tanah Melayu pula agak sehelai sepinggang, dan dia bertekad untuk mengubah nasibnya di sini.

Disebabkan kerajinannya bekerja, dia berjaya menjadikan dirinya sebagai salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan dihormati lebih kurang pada abad ke-20 pada masa tu, bersama beberapa perintis awal Kuala Lumpur macam Yap Tai Chi dan Loke Chow Thye (adik Loke Chow Kit). Kira dia ni jadi elitis la.

Kuala Lumpur lebih kurang pada 1940 – 1950-an. Imej dari skyscrapercity.com

Dia juga ada syarikat sendiri, dan menjadi salah seorang Lembaga Sanitasi Kuala Lumpur dengan menyediakan perkhidmatan awam macam air, elektrik, jalan raya, dan juga pembersihan bandar.

Anak Hewage Benjamin Talalla ni ramai, iaitu sebanyak 7 orang semuanya. Benjamin sangat mementingkan pelajaran untuk anak-anaknya, jadi dia menghantar kedua-dua anak sulung dan kedua yang berbeza setahun je, iaitu Henry Conrad Benjamin Talalla dan Cyril Lionel Francis Talalla ke Victoria Institute di Kuala Lumpur. Henry dan Cyril memang aktif dan cemerlang dalam pelajaran, malah dilantik sebagai House Prefect di asrama mereka.

Keluarga Talalla bersama Ketua Marshal Sir Robert Brooke-Popham, Commander-in-Chief of the British Far East Command. Imej dari viweb

Lepas kedua-duanya menamatkan pelajaran, Cyril dan Henry kemudiannya bekerja di syarikat ayah mereka, Fletcher Trading Company Ltd. Walaupun syarikat tu bakal diwarisi anak-anaknya sendiri, tapi Benjamin mengarahkan supaya Henry dan Cyril tak dapat keistimewaan pun, di mana mereka mendapat bayaran sebanyak 15 Dollar sebulan, sama macam pekerjanya yang lain.

Tapi lama lepas mereka bekerja tu, British pada suatu hari mengisytiharkan perang terhadap Jerman, di mana tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Keratan akhbar dari britishnewspaperarchive

Anak kepada taikun, tapi memilih untuk berkhidmat dalam tentera sebagai pengemudi jet pejuang

British pada masa tu meminta sesiapa yang ada kelayakan untuk membantu dalam peperangan datang memberi bantuan. Walaupun Benjamin berasal dari Ceylon, tapi dia dah menetap lama dan berkeluarga di Tanah Melayu. Dengan sifat patriotik yang ada dalam dirinya, dia meminta supaya kedua-dua anaknya Henry dan Cyril Talalla untuk menyertai Angkatan Udara Diraja, atau Royal Air Force (RAF).

Lagipun, mereka ni memang dah ada pengalaman dalam bidang penerbangan sebab Benjamin sendiri pernah buat penerbangan terus pada tahun 1932, di mana dia terbang solo dari Alor Setar ke Croydon, England. Jangan kata zaman tu, zaman sekarang pun kalau orang berjaya buat tu dikira memang power la.

Nampak? Tony Stark pun setuju. Gif dari giphy

Cyril dan Henry kemudiannya mencuba nasib, di mana mereka dilatih di Singapura di bawah Malayan Volunteer Air Force pada 1940. Kalau korang nak tahu, ujian ni sangatlah susah dan kebanyakan mereka adalah daripada Eropah. Tapi nampaknya pada 1941, Cyril akhirnya terpilih, malah dia merupakan orang Asia pertama yang lulus ujian masuk RAF. Dia kemudian didaftarkan sebagai kadet di sekolah penerbangan kerajaan.

Cyril belayar dengan skuad Malaya ke Perth dan bertolak dari Singapura, dan kemudiannya ke  Sydney dan meneruskan perjalanannya ke Kanada. Selepas latihan lanjut di Macleod, Alberta, Cyril dihantar ke Britain pada bulan Oktober sebagai Pilot Sarjan.

Imej dari viweb

Henry pula nampaknya gagal dalam ujian fizikal dan terpaksa menghabiskan masa selama 6 bulan di Malaya untuk menambah berat badan dan kekuatan, sebelum dia akhirnya diterima masuk. Apabila hari yang ditunggu-tunggu tiba, Henry lambat ke lapangan terbang Kuala Lumpur yang dulunya terletak di Sungai Besi. Dari situ, Henry terbang ke Singapura, kemudian ke Sekolah Penerbangan Empire di Alberta, Kanada macam Cyril. Dia berjaya menamatkan kursusnya dan menjadi Sarjan Juruterbang.

Kedua-dua mereka pada mulanya dilatih menggunakan pesawat Hurricane, tapi kemudiannya diberi kepercayaan untuk menerbangkan jet terbaru masa tu, iaitu Spitfire dan Typhoon. Kalau korang nak tahu, lebih kurang belajar memandu guna Viva, tapi diberi kepercayaan bawa kereta kebal, macam tu la lebih kurangnya.

Henry pula terpilih ke Skuadron 182, Tentera Udara Taktikal Kedua di Merston, di mana dia merupakan salah satu juruterbang awal yang dipilih untuk menerbangkan pesawat pengebom tempur yang baru dibangunkan, iaitu Typhoon ni la. Ia merupakan satu misi yang paling bahaya, di mana dia kena terbangkan selaju 400 mph, dan membawa roket yang seberat 30kg pada setiap sayap, empat buah meriam sebesar 20mm, dan perlu memandu pada altitud rendah bagi serangan darat.

Imej dari going places

Cyril dilantik sebagai salah seorang Unit Latihan Operasi Hurricane sehingga Mei 1942, diposting ke No 118 Skuadron, yang dilengkapi dengan Supermarine Spitfires.

Disebabkan kemahiran dan kehebatannya, dan berjaya memusnahkan sebuah pesawat musuh, Cyril dianugerahkan the Distinguished Flying Cross pada Jun 1943. Selepas operasinya selesai, Cyril dihantar rehat selama enam bulan sebelum dilantik pula sebagai pengajar terbang ke Unit Spitfire.

Cyril Talalla dengan Queen Mary selepas dianugerahkan Distinguished Flying Cross.

Kehebatan kedua-dua beradik ni dalam ketenteraan memang dikagumi tentera sebarisnya. Bagaimanapun, mereka tak mampu untuk berkongsi kegembiraan yang membanggakan ni dengan keluarga mereka, sebab di Malaya pula, mereka mengalami masalah tersendiri.

Hubungan terputus semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu  menyebabkan kematian anaknya tak diketahui

Sebenarnya, pada penghujung 1941 dan tahun-tahun seterusnya, keluarga Talalla hilang khabar berita daripada Cyril dan Henry yang pergi berperang. Puncanya, penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada masa tu menyebabkan pelbagai kekacauan dan kemusnahan, malah segala jenis perhubungan di mana Jepun mula menyekat sebarang akses berita.

Kekejaman Jepun di Tanah Melayu memang tak boleh dinafikan. Imej dari Aectourismthai

Bukan tu je, perniagaan ayahnya mengalami masalah atas sebab Kuala Lumpur mengalami kelumpuhan. Tak cukup dengan tu, isteri dan anak-anak lelakinya yang lain ditahan pada Oktober 1943 disebabkan ada sabotaj yang berlaku di Pelabuhan Singapura, yang juga dikenali sebagai insiden Double Tenth, di mana beberapa kapal milik Jepun diletupkan dalam operasi yang diarahkan dari Perth.

Insiden Double Tenth di Singapura. Imej dari sgfilmhunter

Benjamin dan isterinya kemudiannya ditahan oleh Jepun atas tuduhan pengintipan. Tapi padahalnya, mereka sendiri tak dapat khabar berita dari Cyril dan Henry akibat disekat oleh Jepun sendiri.

Tahun selepasnya, iaitu 1944 merupakan tragedi berdarah buat keluarga Talalla. Henry dan Cyril yang pada masa tu merupakan Leftenan Penerbangan Cyril Talalla dan Pegawai Waran Henry Talalla.

British dan angkatan bersekutunya akhirnya tiba di Perancis. Angkatan bersekutu yang terdiri daripada tentera Amerika, British dan negara-negara Komanwel ni juga memulakan gabungan tentera laut, udara dan tanah di Perancis menjalankan misi menyerang pasukan tentera Nazi Jerman.

Normandy, Perancis. Imej dari viweb

Menjelang akhir bulan Jun, pantai Normandy di Perancis berjaya ditawan, membolehkan skuadron Henry menggunakannya sebagai pangkalan hadapan berhampiran bandar Perancis, Coulomb. Walaupun bilangan yang terkorban agak tinggi, tapi misi mereka untuk membebaskan Eropah dari penjajahan Jerman tetap diteruskan.

Sebulan lebih pertempuran tu berlaku, dan pada 25 Julai 1944, pesawat pejuang Typhoon yang dikemudi Henry ditembak jatuh kereta kebal meriam pertahanan udara Nazi Jerman, yang menyebabkan ia terhempas, dan hilang dari radar.

Gambar terakhir Henry sebelum kemalangan udara tersebut. Imej dari viweb

Bila Cyril dengar je berita tu, dia kemudiannya terus ke kawasan tu untuk cari Henry walaupun dengan kekacauan yang tengah berlaku pada masa tu. Apatah lagi untuk cari bangkai pesawat yang terhempas tu, harapan masa tu agak tipis.

Selepas hampir LIMA tahun, keluarga Talalla mendapat berita yang menyedihkan

Keluarga Talalla yang berada di Tanah Melayu pula cuma dapat berita pasal Henry dan Cyril cuma apabila pendudukan Jepun di Tanah Melayu berakhir pada tahun 1945, iaitu setahun selepas kematian Henry di Perancis. Tak percaya dengan berita tersebut, keluarga Talalla terbang ke London sendiri untuk cari bukti, dan tempat di mana dia dikebumikan.

Mayat Henry rupanya ditemui rakyat Perancis di sebuah ladang di antara bandar Airan dan Moult di rantau Normandy, barat laut Perancis. Mereka juga menanam mayat Henry bersebelahan dengan bangkai pesawat Typhoon yang dikemudinya. Dia hanyalah 24 tahun masa kejadian tersebut berlaku. Sisa-sisa mayat Henry kemudian dipindahkan ke Tanah Perkuburan British Banneville-la-Campagne.

Imej dari viweb

Sekembalinya Cyril ke Tanah Melayu pada 1945, iaitu selepas Perang Dunia Kedua tamat, dia menukarkan namanya kepada Jimmy Talalla. Dia kemudiannya berkhidmat dalam Perkhidmatan Udara Persekutuan, di mana dialah yang menerbangkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dan beberapa menteri kabinet yang lain.

Cyril juga pernah berkhidmat dalam Malaysia Airlines (MAS) dan meletak jawatan pada tahun 1963, sebelum berpindah ke Wales untuk bersara, di mana dia meninggal 10 tahun selepas tu, ketika berumur 53 tahun.

Cyril, yang dilantik sebagai Leftenan Penerbangan, pernah berkhidmat dengan MAS dan menerbangkan Tunku Abdul Rahman.

Richard Talalla, adik kepada Cyril dan Henry  yang merupakan Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

Mungkin bila kitorang selalu sebut Talalla ni, korang mungkin macam pernah terdengar nama ni, kan? Kalau korang nak tahu, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Richard Talalla ni merupakan adik Henry dan Cyril ni.

Ricahrd, kanan sekali. Imej dari viweb

Dia pernah cerita yang umur dia baru 11 tahun masa abang-abang dia terpilih untuk berkhidmat dengan RAF. Malah, dia ingat lagi pasal Henry yang lewat ke lapangan terbang sampaikan satu kapal kena tunggu dia. Tanpa disangka-sangka, itulah kali terakhir dia dan keluarganya yang lain tengok Henry sebelum dia meninggal empat tahun selepas tu.

Richard Talalla, bersama anaknya, Mark yang juga merupakan seorang peguam. Imej dari Star2

Malah Richard juga menceritakan yang perbincangan tentang peperangan adalah sesuatu yang tabu dalam keluarganya. Walaupun abangnya Cyril tak pernah menunjukkannya, tapi dia tak nak berbincang mengenainya sebab dia sangat terjejas disebabkan peperangan tersebut.

“Ramai rakan dan saudaranya terbunuh dalam peperangan. Orang-orang yang selamat ini merasakan bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk hidup.” – Richard Talalla, dipetik Star2.com

Jalan Henry Talalla di Perancis sempena memperingati pemuda dari Malaya yang terkorban

Walaupun terkorban ni negara orang, Henry Talalla masih diingati. Setiap tahun sambutan D-Day, atau dikenali sebagai Pertempuran Normandy di Perancis, sebuah upacara menaikkan bendera Malaysia, diiringi lagu Negaraku yang turut berkumandang sempena memperingati anggota tentera yang terkorban, termasuklah juruterbang pesawat pejuang dari Malaysia, Warrant Officer Henry Talalla.

Dipetik dari Majalah Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM). Imej dari BTDM

“Penulis juga berpeluang menyaksikan bagaimana sambutan ulang tahun oleh Skuadron Typhoon dari Royal Air Force (RAF) yang diadakan di Typhoon Memorial di Noyers Bocage.

Menariknya, bendera Malaysia berkibar megah dengan iringan lagu NegaraKu bagi memperingati perjuangan dan pengorbanan 151 juruterbang pesawat Typhoon yang terkorban semasa Battle of Normandy termasuk seorang juruterbang dari Malaya iaitu Warrant Officer Henry Conrad Benjamin Talalla dari No.182 Squadron.” – dipetik dari Majalah BTDM, bil 208.

Upacara memperingati mereka yang terkorban dalam peperangan dilakukan di bandar Noyers Bocage, daerah Normandy di mana kapal yang dikemudinya terhempas.

Pada tahun 1996 pula, jalan raya antara kampung-kampung Airan dan Moult secara rasminya dinamakan Route Henry Talalla sebagai penghormatan kepada Henry Talalla, pemuda dari Kuala Lumpur tersebut.

Memorial Talalla di sebelah Jalan Henry Talalla, Perancis. Imej dari viweb