- 356Share sekarang!
- Email5
- Facebook351
- Share
Kalau korang peminat Soscili, mesti korang pernah baca artikel mengenai Richard Olaf Winstedt, orang British yang menjadi pegawai pentadbir di Perak dan telah jatuh cinta dengan budaya Melayu. (Kalau sesiapa tak baca artikel tu lagi, boleh lihat di sini).
Di samping itu, kali ni kami nak cerita mengenai seorang lagi orang British yang jatuh cinta dengan kehidupan orang Melayu tetapi ni lain sikit sebab dia ni dikatakan terpesona melihat kepercayaan dan sihir orang Tanah Melayu pada masa itu. Punyalah suka dia ni sampai tulis buku lagi. Kalau nak tahu lebih lanjut, mari kami ikuti kisah ini.
Orang yang kami maksudkan itu ialah…..
Walter William Skeat: Ahli antropologi yang mengkaji sihir Tanah Melayu
Walter William Skeat merupakan anak jati U.K yang dilahirkan pada 14 Oktober 1866 di Cambridge, England. William ni kiranya dari keluarga berketurunan ilmuan kerana bapanya juga bernama Walter William Skeat merupakan seorang professor berketurunan Anglo Saxon. Buat yang tanya apa itu Anglo Saxon, ia merupakan nama bagi masyarakat German yang tinggal di England dan Wales pada abad ke-5.
Dia memulakan pelajarannya di King’s College School, Wimbledon dan Highgate School, London. Lepastu, dia menyambung pelajaran selepas alam persekolahan dalam bidang Klasik (Pengajian Tamadun Yunani dan Rom) di Christ’s College, Cambridge.
Selepas habis belajar, William bekerja sebagai curate (paderi yang merangkap sebagai pembantu paderi paroki) pada (1861-1863) dan menjadi seorang pensyarah antropologi di University of Cambridge (1864 – 1871). Menjelang 1891, dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan England dan bekerja sebagai pegawai pentadbir di Selangor.
Kalau korang nak tahu, William mendapat ilham untuk menulis buku mengenai kepercayaan dan sihir orang Tanah Melayu iaitu “Malay Magic” ketika dia bekerja di Selangor. Info tambahan, sebelum William menulis buku ini, dia sebenarnya sudah mempunyai pengalaman dalam penerbitan artikel-artikel mengenai etnografik dan linguistik orang Melayu. Ia juga telah muncul dalam Selangor Journal dan the Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society.
William tidak berseorangan dalam menulis buku Malay Magic kerana kawan baiknya ketika di University of Cambridge, R.J Wilkinson telah membantu dia dengan memberikan senarai perkataan bahasa Melayu. Hal ini supaya William dapat berkomunikasi dengan pemberi maklumat dari Tanah Melayu.
Pemberi maklumat itu juga membantu dia dalam mengumpulkan data untuk buku ini. Namun, disebabkan mitologi (kajian mitos) Melayu sangat susah dan terperinci menyebabkan William sukar untuk menggunakan teori moden dalam mengumpul serta mengkaji maklumat.
Bagi mengumpulkan maklumat, William telah menulis nota-nota penting mengenai kepercayaan orang Tanah Melayu dan menemu ramah dengan masyarakat Tanah Melayu. Dia juga telah mendapat ilham untuk mengeluarkan soal selidik daripada institut antropologi di tempat asalnya.
Hasil kerja keras William dalam mengumpulkan maklumat pernah ditulis dalam nota dari seorang ahli biologi British, Frank Fortescue Laidlaw iaitu:
“Saya tahu dia duduk hingga pukul dua atau tiga pagi, membuat catatan dengan teliti, atau menemu ramah orang Melayu dalam jangka masa yang lama mengenai persoalan upacara tradisional dan sebagainya, ketika pihak lain merasa letih setelah seharian melakukan pengembaraan.” – Frank Fortescue Laidlaw, petikan dari Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
Dalam buku Malay Magic ini, William ada menceritakan tentang….
Kewujudan jin di Tanah Melayu dari perspektif Agama Hindu
Dalam buku Malay Magic ini, William ada menulis tentang bagaimana kewujudan jin dan kepercayaan orang Melayu terhadapnya dari perskpektif agama Hindu.
Menurut buku tersebut, masyarakat Tanah Melayu mempercayai kewujudan jin Hindu iaitu Raja Jin Hitam atau nama lainnya “Sang Gala Raja“. Ia juga mengatakan Sang Gala Raja bersama isterinya, “Sang Gadin” telah tinggal di “Jantung Bumi“.
William juga meletakkan sebuah teks pemujaan Sang Gala Hitam di dalam bukunya:
“Selamat sejahtera ke atas kamu!
Ho, Jin Hitam dengan Hati Hitam,
Jantung Hitam dan Paru-paru Hitam,
Gigi Hitam dan Gigi seperti gading,
Dada kemerahan dan rambut badan terbalik,
Dan dengan hanya satu tulang.” – Petikan dari buku Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
William didatangkan dengan seorang bomoh yang menceritakan bahawa semua jin di dunia berasal dari sebuah negara iaitu Ban Ujan. Ada juga bomoh mengatakan jin berasal dari anggota badan seekor ular besar “Sakatimuna“ yang membentuk menyerupai manusia.
Oh ye, kewujudan Jin Putih turut diceritakan dalam buku ini iaitu Jin Putih dikatakan muncul dari belahan mata ular Sakatimuna.
Menariknya buku Malay Magic ni, ia ada menceritakan mengenai masyarakat Tanah Melayu boleh membeli jin di Tanah Arab dengan ketua jin (Sheikh Jin).
Selain itu, jin turut dikaitkan dengan objek atau satu perkara yang khusus, antaranya:
- Jin Nemfiri atau Lempiri (Jin alatan muzik di-Raja).
- Jin Karaja’aan (Jin wilayah).
- Jin Sembuana (Jin senjata di-Raja).
Bukan itu saja, William juga mencatatkan tentang orang Tanah Melayu yang….
Mengamalkan mantera pemujaan angin dan kepercayaan burung
Berdasarkan buku Malay Magic, ia juga ada menceritakan bagaimana bomoh atau masyarakat Tanah Melayu menggunakan kuasa mantera untuk mengawal cuaca. Jika angin meniup secara bertentangan, bomoh dari Selangor akan membaca:
“Putaran angin, angin, jarum atau benang
Jarum untuk (biarkan aku) mengambil Kapar
Izinkan aku membaiki ke Klang untuk makan (pagi)
Dan Langat untuk mandi (petang)
datang ke sini, tuan, datang ke sini, tuanku
Dan biarkan kunci kau begitu lama dan mengalir” – Petikan dari Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
Sekiranya angin meniup kencang, mereka akan membaca:
“Telur kadal, Telur kadal,
Bergabunglah dengan Telur Kura-kura.
Aku menanam tiang ini di aliran sungai
(Bahawa) Angin dan Hujan mungkin tidak ada.
Biarkan Putih berubah menjadi kapur,
Dan yang Hitam (satu) menjadi arang.” – Petikan dari Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
Kalau korang nak tahu, William juga ada menceritakan kisah Pegawai Penjajah British, Sir William Maxwell yang telah menemui kepercayaan dan pemujaan burung oleh masyarakat Tanah Melayu. Sir Maxwell berkata:
“Idea pelbagai watak dihubungkan oleh orang Melayu dengan burung yang berlainan jenis, dan banyak perumpamaan kegemaran mereka dilengkapi oleh dunia berbulu……..” – Sir William Maxwell, petikan dari Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
Sir Maxwell mengatakan masyarakat melayu gemar menggunakan burung sebagai metafora dalam ilmu sastera. Contohnya, kalau awan meliputi matahari pada waktu siang, maka orang Perak akan memanggilnya “Garuda melebarkan sayapnya hingga kering“.
Selain itu, buku Malay Magic juga menceritakan tentang kepercayaan masyarakat Tanah Melayu terhadap burung cendrawasih. Mereka percaya bahawa burung cendrawasih akan sentiasa terbang dan tidak pernah menjejakkan kaki di tanah atau di pokok. Burung ini juga dipercayai akan melepaskan telurnya di langit lalu jatuh ke tanah dan anak burung dilahirkan secara serta-merta.
Punyalah kagum masyarakat Tanah Melayu dengan burung Cendrawasih ni, sampaikan buat pantun:
“Chandrawasih burong sakti
Sangat berkurong didalam awan.
Gundah gulana dalam hati,
Sahari tidak memandang tuan.” – petikan pantun dari Malay Magic: Being an introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula.
Penjelajahan adat resam Tanah Melayu oleh orang British
Sebenarnya banyak lagi buku-buku yang dihasilkan oleh penjajah British mengenai sejarah, adat resam, budaya mahupun bahasa yang digunakan oleh masyarakat Tanah Melayu.
Kiranya diorang ni sambil menyelam minum air la kerana alang-alang tengah menjajah Tanah Melayu, mereka mengambil kesempatan untuk menimba ilmu. Kalau korang rajin, pergi la bukak mana-mana laman web jurnal British, mesti jumpa pasal Tanah Melayu.
Oh ye, korang kalau nak baca buku Malay Magic tu, bolehlah tekan di sini.
- 356Share sekarang!
- Email5
- Facebook351
- Share