- 5.5KShare sekarang!
- Email198
- Facebook5.3K
- Share
Kalau korang pergi ke kedai makan, menerima sesuatu dari orang, atau dibantu oleh orang, mesti korang akan cakap ‘terima kasih’ lepastu. Ia menjadi salah satu peradaban dalam masyarakat Melayu dan sejak dulu lagi kita sudah diajar oleh ibu bapa atau guru kita kalau menghadapi situasi begini.
Bagaimanapun, ucapan terima kasih ni sebenarnya tidak ada dalam adat orang Melayu. Ye, korang mesti pelik dan terkejut, kenapa pula takde dalam adat atau peradaban orang Melayu padahal benda ni dah lama diterapkan sejak kita kecil lagi.
Sabar, sebenarnya hal ini pernah dihujahkan oleh…
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar: Seorang tokoh bahasa Melayu
Baiklah, mari kami kenalkan dulu siapa Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar. Beliau merupakan lulusan Sarjana Bahasa dan Sastera Indonesia serta pernah melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang linguistik am di Universiti London.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah juga merupakan wanita Melayu pertama yang mendapat Ijazah P.H.D. Banyak kajian yang beliau lakukan mengenai bahasa peribumi di Sabah dan Sarawak serta bahasa-bahasa Orang Asli.
Sepanjang hidupnya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan besar dan penting, antaranya:
- Penolong Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu UM (1963).
- Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu UM (1966)
- Pengarah Pusat Bahasa dan Profesor Madya di UM (1972).
- Pensyarah Jemputan Pusat Pembinaan Bahasa dan Perkembangan Bahasa, Jakarta, Indonesia (1977).
- Pensyarah Jemputan Institute of Linguistics, University of Hawaii (Julai 1977).
- Timbalan Naib Canselor (perjawatan), UM (1983).
- Profesor Linguistik Melayu di UM (1976 -2000).
- Profesor Kursi Za’ba dan Pengarah Pengasas Institut Peradaban Melayu UPSI (2001 – 2005).
Sepanjang karier Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah, beliau telah menghasilkan 45 buah buku akademik yang berkaitan dengan linguistik. Antara pencapaian terbesar beliau ialah menghasilkan ensiklopedia bahasa serta menterjemahkan kamus Bahasa Inggeris Oxford Advanced Learners Dictionary.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah berpengalaman memegang jawatan sebagai editor untuk International Journal of the Sociology of Language. Beliau juga pernah menjadi Ahli Sidang Editorial beberapa jurnal linguistik antarabangsa.
Jadi, apa yang dikatakan oleh Profesor Emeritus Dr. Asmah mengenai ucapan ‘terima kasih’ ni? Beliau mengatakan…
Terima kasih tiada dalam mana-mana sastera Melayu dulu-dulu
Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah, dari segi peradaban orang Melayu, bukannya mereka tidak berterima kasih, tapi ucapan “terima kasih” tu merupakan satu perkara yang baru.
“Cuba baca sastera lama kita, tidak ada ekspresi terima kasih. Ini saya rasa baru dalam kehidupan orang Melayu.” – Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah, dipetik dari Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa.
Namun, ia tak bermakna kita ni tidak menghargai seseorang (maksudnya bukannya orang Melayu ni tak hargai kerana takde ucapan terima kasih). Akan tetapi, orang Melayu ni ada cara lain untuk menghargai jasa atau pemberian seseorang.
Menurut beliau lagi, selalunya, orang Melayu akan hantar barang atau hadiah kepada orang itu sebagai tanda terima kasih.
“Orang Melayu ni dia ada cara lain pulak. Orang itu buat sesuatu yang baik walaupun sedikit, sekejap lagi dia hantar la hadiah untuk orang tu (maksudnya orang yang tolong dia)… itulah caranya berterima kasih.” – Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah, dipetik dari Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa.
Berdasarkan teori beliau, masyarakat lingua franca, ucapan terima kasih ni sebenarnya datang dari aktiviti perdagangan atau perniagaan.
“Ungkapan terima kasih itu sebenarnya datang dari perniagaan…(ini saya kasi dan saya terima… terima kasi).” – Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah, dipetik dari Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa.
Sebenarnya, kasih dalam ungkapan “terima kasih”, bukan bermaksud kasih sayang tapi, ia berasal dari perkataan “kasi”.
Kalau korang nak tahu, orang dulu tidak mengucapkan “terima kasih” tapi, mereka akan berdoa kepada Allah S.W.T atas pemberian yang diberi. Contohnya, kalau ada orang bagi makanan, mereka takkan cakap terima kasih tapi mereka akan berkata “syukur alhamdulillah”.
Jadi…
Adakah kita perlu berhenti cakap terima kasih atas jasa atau pemberian seseorang?
Sebenarnya, ia agak susah untuk dikatakan kerana ucapan “terima kasih” ni sudah menjadi sinonim bagi masyarakat kita. Bukan itu saja, orang-orang luar negara atau pelancong pun sudah tahu perkataan “terima kasih” ni.
Jadi, apa yang kita boleh buat ialah berterima kasih dan mendoakan. Contohnya, kalau ada orang bagi hadiah ke apa en, kita cakap “terima kasih, syukur Alhamdulillah”, haa kan okay tu. Oh ye, agak-agak korang, apa perkataan yang boleh diganti dengan “terima kasih”?
Oh, tahu tak ada juga beberapa perkataan lama kita yang dimodenkan?
SHTI dulu pun pernah belajar bahasa kita, sampai buat kamus!
*Artikel ini pernah diterbitkan pada 12 Ogos 2021*
- 5.5KShare sekarang!
- Email198
- Facebook5.3K
- Share