- 40Share sekarang!
- Email2
- Facebook38
- Share
Bila cakap pasal typhoid fever, atau demam kepialu mesti otak korang terus teringatkan makanan, walaupun itu bukanlah sejenis makanan. Korang tau tak, kalau korang ada niat nak buka kedai makan, kilang makanan atau jadi makcik kantin, korang diwajibkan untuk mengambil suntikan tifoid?
Untuk pengetahuan korang, demam kepialu ni merupakan satu jangkitan bawaan makanan disebabkan bakteria Salmonella Typhi (S.Typhi) melekat dekat makanan. Bahasa mudahnya, seseorang yang dah dijangkiti ni boleh mencemarkan makanan melalui cara penyediaannya.
Antara gejala demam kepialu adalah demam suhu tinggi, pening, sembelit dan cirit-birit. Tapi kalau dibiarkan melarat tanpa rawatan, demam kepialu ni boleh menyebabkan kematian tau!
Dan cakap pasal kepialu tadi, korang tahu tak yang ada seorang wanita ni terkenal sebab menjadi pembawa bakteria kepialu ni sehingga terjadinya salah satu epidemik terbesar di Amerika Syarikat?
Mary Mallon: Tukang masak sebar penyakit kepada majikan melalui masakannya
Wanita tersebut, Mary Mallon merupakan seorang imigran dari Ireland yang datang ke Amerika Syarikat pada tahun 1883 untuk mencari kerja.
Sebelum jadi tukang masak, Mary ni dah buat pelbagai kerja sambilan sejak berpindah. Tahun 1906, Mary telah diterima bekerja sebagai tukang masak untuk keluarga Charles Henry Warren yang merupakan seorang pegawai bank di New York. Dia ditugaskan untuk memasak semasa keluarga Warren bercuti di Oyster Bay, Long Island.
Sebelum ni pun Mary dah pernah bekerja sebagai tukang masak bagi keluarga-keluarga kaya dan kerap bertukar-tukar tempat kerja. Yang anehnya, setiap kali Mary diambil bekerja sebagai tukang masak, mesti kesemua majikannya jatuh sakit. Bukan sakit biasa-biasa, tapi kesemua bekas majikannya mempunyai gejala demam kepialu yang sama, sehinggakan ada yang meninggal dunia.
Nak dijadikan cerita, peristiwa yang sama juga terjadi pada keluarga Warren, dimana 6 dari 11 ahli keluarganya jatuh sakit dan dijangkiti demam kepialu. Anak-anak perempuan, isteri Warren, tukang kebun dan dua orang pembantu rumah mereka turut jatuh sakit akibat jangkitan yang sama.
Disebabkan Charles Warren ni berasa pelik dengan kejadian yang menimpa keluarganya, dia mengupah seorang pegawai kesihatan bernama George Soper untuk menyiasat perkara ni. Semasa George membuat penyiasatan, dia mendapati sesuatu yang aneh iaitu wabak demam kepialu ni menyerang golongan kaya yang mana kebiasaannya menyerang persekitaran yang kotor dan dihidapi golongan miskin.
Dalam penyiasatan, George mendapati kes-kes demam kepialu ni terjadi di kawasan-kawasan yang Mary pernah diambil bekerja. Ini membawa kepada penyiasatan terperinci terhadap Mary, yang kemudiannya menyebabkan…
Mary dikuarantin secara paksa sebab garang macam singa
George kemudian meminta sample air kencing, tahi dan darah Mary yang semasa itu bekerja di rumah Walter Bowen. Permintaan George bagaimanapun mengundang amukan Mary:
“Perbincangan pertama saya dengan Mary adalah di dapur rumah ini… Saya berbincang sebaik mungkin, tapi saya harus beritahu yang saya mengesyaki dia membuat orang jatuh sakit dan saya mahukan spesimen air kencing, najis dan darahnya. Mary tidak mengambil masa lama untuk respon. Dia mencapai garpu memotong dan menghalakan ke arah saya. Saya berlari melalui lorong sempit yang panjang, pintu besi tinggi,… dan ke kaki lima. Saya berasa cukup bertuah sebab dapat melarikan diri” – kata George Soper, petikan dari Thought Co.
Untuk pengetahuan korang, George cuba untuk berdepan dengan Mary sekali lagi tapi kali ni dengan bantuan Jabatan Kesihatan Kota New York. Dr. S. Josephine Baker kemudian dihantar oleh jabatan kesihatan untuk berhadapan dengan Mary.
“Dia keluar (dari almari) melawan dan menyumpah. Saya cuba untuk berbincang dengannya secara waras dan meminta spesimennya, tetapi tak berjaya. Ketika itu, dia yakin bahawa undang-undang kerajaan sengaja menganiaya dirinya kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia tahu bahawa dia tidak menghidapi demam kepialu; dia berkata benar. Saya tidak dapat melakukan apa-apa melainkan membawa dia bersama. Anggota polis terpaksa mengangkatnya dan saya duduk betul-betul di atasnya sepanjang perjalanan ke hospital; terasa seperti berada di dalam sangkar dengan singa yang marah” – kata Dr. S. Josephine Baker , petikan dari Thought Co.
Para saintis pun pelik macam mana si Mary ni menjangkiti orang lain sedangkan luaran dia nampak sihat je. Rupa-rupanya bakteria salmonella ni dibawa oleh sel imun dia yang dikenali sebagai mikrofaj. Disebabkan tu Mary ni nampak sihat dan tidak bergejala, sistem imunisasi dia jadi confuse rupanya. Mary dikatakan pembawa tanpa gejala yang pertama direkodkan di Amerika Syarikat.
Mary kemudian dipaksa kuarantin secara paksa di sebuah pulau bernama North Brother Island selama beberapa tahun. Semasa tempoh kuarantin, George Soper datang melawat Mary untuk menerangkan sebab-sebab dia dikuarantinkan untuk masa yang lama. George turut menasihati Mary untuk membasuh tangan selepas menggunakan tandas. Tapi, Mary tak nak terima nasihat George.
Punyalah degil Mary ni, sampaikan doktor-doktor menyarankan dia untuk membuang hempedunya sebab disyaki hempedunya menghasilkan bakteria kepialu ni. Tapi Mary menolak saranan doktor kerana dia tidak percaya yang dia ni seorang pembawa.
Wabak kembali menular akibat keras kepala
Selepas beberapa tahun, kerajaan mengambil keputusan untuk membebaskan Mary tapi atas jaminan yang dia tak boleh bekerja sebagai tukang masak. Jadi, Mary pun bekerjalah sebagai tukang cuci tapi pendapatannya tak setanding dengan bekerja sebagai tukang masak.
Untuk pengetahuan korang, Mary ni selepas dibebaskan pun masih tak percaya yang dia ni pembawa demam kepialu ni. Jadi, Mary Mallon menukar nama keluarganya kepada Mary Brown untuk bekerja sebagai tukang masak semula. Ya betul tu, peristiwa yang sama berulang.
Mary dikesan dan ditahan semula ke North Brother Island. Sepanjang ditahan tu, Mary dikatakan menjadi pembantu hospital dan makmal di hospital pulau tu sehinggalah dia diserang strok dan lumpuh pada tahun 1932. Dia hidup dalam keadaan lumpuh selama enam tahun dan meninggal dunia pada tahun 1938.
Untuk pengetahuan korang, Mary ni bertanggungjawab atas 51 kes dan tiga kematian akibat jangkitan demam kepialu. Mary Mallon kemudian dikenali sebagai ‘Typhoid Mary’ disebabkan kisah hidupnya yang menyebarkan bakteria kepialu ni.
Cegah demam kepialu dengan suntikan vaksin tifoid
Macam kitorang bagitahu tadi, penyakit demam kepialu ni merupakan satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi (S.Typhi) ni melekat dekat makanan. Seseorang yang dijangkiti ni membawa bakteria tadi tu dalam darah dan usus diorang.
Tapi mencegah kan lebih baik dari merawat. Untuk pengetahuan korang, demam kepialu ni boleh dihalang dengan membasuh tangan dengan bersih sebelum makan dan menyediakan makanan. Selain tu, elakkan makan sayuran mentah dan minum air yang tidak dimasak atau dirawat. Paling penting, ambil suntikan vaksin tifoid terutama yang bekerja dalam sektor mengendali makanan.
Kisah Typhoid Mary sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran supaya menjaga kebersihan demi keselamatan diri sendiri dan orang sekeliling. Jadi, buat pengendali makanan, korang kenalah rasa bertanggungjawab dalam menyediakan makanan terutama untuk orang lain. Suntikan vaksin tifoid tu korang boleh dapatkan di mana-mana klinik kerajaan, klinik swasta, sesetengah Majlis Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan.
- 40Share sekarang!
- Email2
- Facebook38
- Share