
- 26Share sekarang!
- Facebook26
- Twitter0
- LinkedIn0
- Email0
Tau tak? Pada tahun 1995, Malaysia setuju dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC). Dalam satu bahagian konvensyen tu ada nyatakan:
“Negara Pihak mengakui hak setiap kanak-kanak kepada pendidikan, dan berusaha menjadikannya percuma dan wajib.”
Ringkasan Perkara 28, Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB (1989)
Tapi plot twist-nya, Malaysia letakkan kekangan pada pelaksanaan penuh hak pendidikan wajib dan percuma. Jadi, walaupun kita setuju atas kertas, hak tu masih belum sepenuhnya dinikmati oleh semua kanak-kanak kat negara ni.

Isu yang kita bincangkan dalam ini lebih tertumpu kat kelompok anak-anak yang tinggal dengan ibu bapa diorang di ladang-ladang kelapa sawit di Sabah yang kebanyakannya adalah migran dari Indonesia dan Filipina, sama ada dengan dokumen atau tanpa sebarang pengenalan rasmi.
Ramai juga antara diorang ini lahir di Malaysia. Ada yang dah generasi ketiga kat sini. Tapi tanpa dokumen, diorang kekal kat luar sistem dan tak dapat hak pendidikan yang sepatutnya.
“Eh jap…kenapa pulak diorang tak boleh belajar kat sini?”
Untuk faham isu ni, kita kena tengok dari sisi undang-undang dulu. Dalam Akta Pendidikan 1996 ada sebut yang ibu bapa kepada kanak-kanak warganegara Malaysia sahaja yang diwajibkan untuk pastikan anak diorang ke sekolah.

Apa akibatnya? Budak tanpa IC tak wajib ke sekolah, dan sekolah kerajaan tak wajib terima diorang. Proses nak masuk sekolah pun perlukan:
- Salinan passport
- Permit sah
- Sijil kelahiran
Sedangkan ramai antara diorang lahir di ladang, bukan di hospital. Tak ada sijil lahir, tak ada akses kepada sistem rasmi. Masalahnya bukan cuma dokumen semata-mata je, tapi juga kemiskinan, takut untuk buat urusan dengan pihak berkuasa, dan kurang maklumat tentang hak serta proses pendaftaran.

Kat Sabah, benda ni lagi rumit. Ramai antara diorang yang dah ada kat sini sebelum Malaysia wujud lagi, termasuklah komuniti Bajau Laut dan orang asal. Tapi sebab diorang ni tak diktiraf secara rasmi, anak-anak diorang pun jadi ‘stateless’ macam diorang.
Jadi diorang tak boleh belajar langsung ke?
Walaupun diorang tak boleh masuk sekolah kerajaan, ada alternatif. Kat Sabah, wujud Community Learning Centres (CLC) pusat pembelajaran yang diwujudkan dengan kerjasama NGO, pemilik ladang dan negara asal pekerja migran macam Indonesia.

Salah satu organisasi paling aktif ialah HUMANA Child Aid Society, yang mengurus lebih 100 buah CLC sejak 1991. Pelajar dari CLC boleh sambung belajar ke Sekolah Indonesia Kota Kinabalu atau ke sekolah di Indonesia dengan biasiswa khas.
Selain CLC, ada juga Alternative Learning Centers (ALC) yang diuruskan NGO tempatan untuk bantu anak-anak tanpa dokumen ni dapat pendidikan. Kat sini diorang dapat belajar membaca, menulis dan mengira. Buat masa ni, satu-satunya ALC yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia hanyalah Pusat Bimbingan Alternatif Grace di Tawau, Sabah.

Walaupun CLC dan ALC ni dapat jadi alternatif untuk anak-anak ni, tapi diorang pun berdepan dengan cabaran untuk terus beroperasi. Majoriti pusat pembelajaran ni tak diiktiraf oleh kerajaan dan hanya bergantung dengan dana luar macam NGO dan pengurusan ladang.
Semua ni buatkan diorang tak dapat bajet dari kerajaan dan buatkan diorang tak boleh nak sediakan infrastruktur yang lengkap macam kat sekolah kerajaan.
Negara jiran kita pun buat benda yang sama macam kita ke?
Tak, diorang dah lama ke depan dalam bab akses pendidikan ni. Thailand dah mula buka pintu sekolah untuk kanak-kanak tanpa IC sejak 2005 lagi. Diorang tak tunggu budak ada IC baru bagi belajar.
Satu lagi yang menarik, Thailand juga ada Equitable Education Fund (EEF). Benda ni macam dana khas yang bantu kanak-kanak dari kawasan pedalaman atau takde dokumen. Dana ni untuk sediakan cikgu, infrastruktur dan sokongan lain.
Bila kanak-kanak tanpa dokumen ni dapat akses pada seolah, lama-lama diorang boleh faham dan cakap bahasa Thai, jadi lebih mudah untuk diorang bercampur dengan komuniti luar dan peluang untuk diorang lebih cerah bila dewasa nanti.

Diorang cakap Thai sebab belajar kat Thailand. Imej The Borgen Project
Filipina pula ada sistem Alternative Learning System (ALS) khas untuk pelajar tercicir, bekerja atau berpindah randah, termasuklah dari komuniti terpencil dan migran. Sistem ni diiktiraf undang-undang, dan beri peluang pelajar ambil peperiksaan setara.
ALS ni fleksibel. Diorang boleh belajar ikut jadual sendiri, dan boleh pergi kelas kat komuniti, gereja, pusat jagaan, atau mana-mana yang sesuai.
Kalau negara jiran boleh buat, kenapa kita tak boleh?
Jadi apa yang Malaysia boleh buat?
Kalau kerajaan nak serius pasal ni, pertama sekali Akta Pendidikan tu kena pinda semula. Definisi “Kanak-kanak yang wajib terima pendidikan” tak boleh lagi terhad kat yang ada IC je tapi kena libatkan semua budak yang tinggal kat Malaysia, tak kira status.
Dalam masa yang sama, CLC dan ALC tu patut diiktiraf secara rasmi. Masukkan bawah sistem Kementerian Pendidikan. Bukan apa, kan dah ada , kenapa tak bagi je pengiktirafan dan pantauan yang sepatutnya. Barulah nampak yang kita ada usaha nak bagi pendidikan kat kanak-kanak ni.

Lagi satu, dah sampai masa Malaysia ikut cara Thailand yang ada Education Equity Fund (EEF). Kita boleh tubuhkan dana pendidikan untuk bantu sediakan cikgu, uruskan silibus dan bina kemudahan asas untuk CLC dan ALC ni supaya diorang boleh bagi ruang kat kanak-kanak ni belajar.
Tapi! Perkara yang paling penting sekali, kerajaan kena tarik balik kekangan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak tu. Tak perlu nak berdolak dalih, kalau betul nak perjuangkan hak diorang, tunjuk komitmen tu.
Pendidikan bukan untuk yang ada IC saja
Kalau kita serius nak hapuskan buruh kanak-kanak, kita kena mula dengan buka pintu sekolah kepada semua kanak-kanak tak kira IC ada atau tidak. Pendidikan adalah jalan keluar daripada eksploitasi. Ia bukan soal mampu atau tidak, tapi mahu atau tidak.
Bila sekolah hanya dibuka untuk yang ada IC, kita macam ajar kanak-kanak lain yang hidup diorang kurang bernilai. Tapi kalau kita mula ubah sistem dan mentaliti, mungkin satu hari nanti, semua budak ladang akan jadi budak sekolah juga dan diorang dapat ubah nasib diorang.
Tuai Cerita ialah program felo yang direka untuk mengetengahkan suara kanak-kanak dalam komuniti rentan di Sabah. Melalui penceritaan dan kewartawanan beretika, kami memberi sorotan kepada isu penafian hak kanak-kanak yang menyumbang kepada buruh kanak-kanak di dalam dan sekitar ladang kelapa sawit di Sabah.
Program ini digerakkan oleh rakan kongsi tempatan, ANAK dan Global Shepherds, serta dilaksanakan oleh Project Liber8. Program ini dijalankan atas kerjasama Kesatuan Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dan UNICEF.
- 26Share sekarang!
- Facebook26
- Twitter0
- LinkedIn0
- Email0