Terkesan akibat PKP? Senarai bantuan ni mungkin boleh tolong korang

Kebelakangan ni, kalau tengok media sosial je, mesti kita boleh lihat ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang. Malah, pasti ramai juga kenalan kita yang terpaksa menjadi semakin kreatif dalam mencari sumber pendapatan tambahan.

Tetiba ramai juga yang berjinak jual durian online

Soscili juga tidak terkecuali, di mana kitorang sendiri terpaksa menjadi lebih kompetitif dalam mencari sumber pendapatan baharu, sambil mengikuti perkembangan terkini mengenai bantuan yang diberi oleh kerajaan seperti Program Subsidi Upah untuk meringankan kos operasi kitorang.

Justeru, kerajaan telah mengumumkan pakej PEMERKASA Plus and PEMULIH untuk membantu golongan terjejas. Pakej ni merangkumi bantuan untuk sistem kesihatan awam, individu dan juga perniagaan.

Banyak bantuan dalam PEMULIH, teruskan membaca. Imej dari MOF.

Memandangkan ada pelbagai jenis bantuan yang ditawarkan, kitorang senaraikan beberapa bantuan yang paling relevan untuk rakyat dan perniagaan yang terkesan supaya mudah untuk korang memahami cara-cara untuk mendapatkannya. Kita mulakan dengan…

1. Bantuan tunai melalui BPR Tambahan, Bantuan khas COVID-19 & Bantuan Kehilangan Pendapatan

Jumlah peruntukkan bagi setiap bantuan. Imej dari MOF.

Untuk makluman, kerajaan akan menyalurkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan kepada isi rumah dan individu yang layak menerusi PEMERKASA Plus. BPR Tambahan akan dilaksanakan pada 30 Jun 2021.

Untuk BPR Tambahan ni, korang tidak perlu memohon kerana pemohon yang lulus BPR 2021 akan layak menerima BPR Tambahan secara automatik. Bayaran tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank korang. Korang juga boleh mengeluarkan bayaran secara tunai di kaunter BSN yang berdekatan.

Berikut merupakan jumlah bayaran mengikut kategori dan pendapatan bulanan:

Inilah jumlah bayaran BPR Tambahan mengikut kategori.

Lepas korang tengok jadual di atas, adakah korang layak untuk menerima BPR Tambahan ni? Kalau nak tahu, korang boleh buat semakan melalui BPR Hasil.

Tambahan pula, kerajaan juga baru mengumumkan bantuan baharu iaitu Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pekerjaan (BKP).

Bantuan Khas COVID-19 akan diberikan mulai Ogos kepada golongan B40 dan M40. Berikut merupakan jumlah bantuan bantuan yang akan diberikan:

  1. Isi rumah miskin tegar: Bakal terima bantuan RM500 (pada Ogos), RM500 lagi (pada November) dan RM300 (pada Disember).
  2. Isi rumah B40: Bakal terima bantuan RM500 (pada Ogos) dan RM300 (pada Disember).
  3. Isi rumah M40: Bakal terima bantuan RM250 (pada Ogos).
  4. Individu bujang miskin tegar: Bakal terima bantuan RM100 (pada Ogos) dan RM300 (pada November).
  5. Individu bujang B40: Bakal terima bantuan RM200 (pada Ogos).
  6. Individu bujang M40: Bakal terima bantuan RM100 (pada Ogos).
Bila BPR kau lulus be like….GIF dari giphy.

Untuk permohonan BKC, maklumat lanjut mengenai cara permohonan akan diberitahu dari semasa ke samasa selepas diumumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Selain itu, Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang hilang pendapatan. Bantuan ni akan dikreditkan ke akaun pekerja pada bulan Oktober ni.

Takyah pening kepala memikirkan cara nak mohon kerana kerajaan akan salurkan terus kepada pekerja yang hilang pendapatan bedasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.

2. Baucar makanan Program MyKasih & Bantuan Bakul Makanan kepada yang memerlukan

Lepas ni, korang jangan risau kerana Bantuan Bakul Makanan ada. Imej dari MOF.

Korang pun mesti dah tahu yang kerajaan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, kerajaan juga akan memberikan baucar makanan bermula pada bulan Julai. Baucar ni sebenarnya di bawah Program myKasih.

Penerima akan dipilih daripada keluarga miskin bandar berdasarkan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih. Bagi mereka yang terpilih untuk menerima baucar makanan ni, mereka akan menerima SMS dari MyKasih. 

3. Diskaun bil elektrik sehingga 40% dari Julai sehingga September

Bila work from home ni, bil elektrik mesti la naik, kan? Mujurlah kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju untuk memberikan diskaun bil eletrik antara 5% hingga 40% mengikut kadar penggunaan eletrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Di samping itu, diskaun sebanyak 5% juga diberikan kepada pengguna elektrik bagi Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial.

Diskaun ni akan diberikan dari bulan Julai sehingga September 2021. Berikut merupakan jumlah diskaun mengikut penggunaan eletrik:

Untuk senang korang faham.

Untuk maklumat lanjut, korang boleh pergi ke https://www.tnb.com.my/mco/pemulih.

4. Pengeluaran dari KWSP sebanyak RM5,000 melalui Program i-Citra

Sebanyak RM30 billion diperuntukkan untuk i-Citra.

Bagi yang perlu mengeluarkan wang KWSP, korang kini layak mengeluarkan sebanyak RM5,000 melalui Program i-CITRA. Tapi bukan RM5,000 sekali gus la, sebab korang boleh keluarkan RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan dalam akaun KWSP.

Walaupun ni adalah berita baik bagi mereka yang memerlukan wang tambahan, tapi kita kena beringat yang duit KWSP adalah bekalan kita untuk hari tua nanti. Sebaiknya, kita hanya keluarkan wang KWSP kalau kita betul-betul memerlukannya sahaja.

Berikut merupakan syarat kelayakan ahli KWSP kalau nak mohon i-Citra:

  1. Ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap.
  2. Ahli mestilah mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.
Nanti korang akan jumpa dia ni lagi. Imej dari KWSP & Malaymail.

Permohonan dibuka dari 15 Julai 2021 hingga 30 September 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

Korang yang ahli KWSP tu boleh layari https://icitra.kwsp.gov.my/ jika berminat untuk memohon i-Citra.

5. Syarat-syarat moratorium 6 bulan telah dilonggarkan

B40, M40, T20, usahawan mikro & PKS dapat moratarium. Imej dari MOF.

Bagi yang terbeban dengan pembayaran ansuran bulanan, korang boleh memohon moratorium selama 6 bulan. Ini terbuka kepada semua golongan B40, M40, T20, usahawan mikro, serta Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) yang terkesan oleh PKP.

Kitorang juga difahamkan yang moratorium ni diberikan tanpa faedah terkompaun atau caj penalti.

Cara-cara nak memohon pun agak mudah. Korang cuma perlu:

  1. Hubungi pihak bank masing-masing dan mohon moratarium 6 bulan. Kelulusan adalah automatik untuk peminjam individu; manakalah bagi PKS, ia tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
  2. Peminjam hanya perlu tandatangan perjanjian moratorium ni supaya ia sah di sisi undang-undang.
  3. Kalau korang nak dapatkan khidmat nasihat dan bimbingan percuma dalam menguruskan kewangan, korang boleh pergi ke https://www.akpk.org.my/my/pengurusan-kredit.

6. Program Subsidi Upah (PSU) kini juga ditawarkan untuk pekerja dengan gaji RM4,000 keatas

Program Subsidi Upah (PSU) adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan bagi meringankan beban majikan yang terkesan akibat COVID-19. Selain itu, ia juga adalah untuk memastikan majikan mengekalkan sebanyak mana pekerja yang mereka mampu.

Sebelum ni, subsidi ni hanya diberikan untuk pekerja yang bergaji RM4,000 ke bawah. Tapi baru-baru ni, kerajaan mengumumkan yang subsidi ni akan diberikan untuk maksimum 500 orang pekerja daripada sesebuah syarikat tanpa mengira gaji mereka. 

Majikan kini boleh mendapatkan subsidi sebanyak RM600 bagi setiap pekerja, untuk tempoh 2 atau 4 bulan. Bayaran akan diberikan selama 2 bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan 2 bulan tambahan khusus bagi sektor-sektor masih tidak dibenarkan beroperasi semasa fasa ketiga.

Tak perlu pening kepala. GIF dari giphy.

Cara nak mohon ni senang je:

  1. Permohonan boleh dibuat secara online di https://psu.perkeso.gov.my/.
  2. Majikan akan menerima No. Rujukan sebaik sahaja permohonan lengkap telah diisi, serta boleh menyemak status permohonan menggunakan No. Rujukan yang diberikan.
  3. Senarai nama majikan serta bilangan pekerja yang diluluskan boleh disemak di https://www.myfuturejobs.gov.my/

7. PenjanaKerjaya 3.0 dilanjutkan & syarat-syaratnya telah dilonggarkan

Lepas ni, harap senang sikitlah korang nak dapat kerja. Imej dari MOF.

PenjanaKerjaya 3.0 adalah program khas untuk menggalakkan majikan mengambil pekerja baharu serta memberi peluang pekerjaan untuk penganggur.

Sebelum ni, PenjanaKerjaya 2.0 mempunyai syarat-syarat yang terhad untuk setiap kategori, tapi kali ni, syarat-syarat PenjanaKerjaya 3.0 telah ditambah baik. Korang boleh tengok manfaatnya di bawah:

Malaysianization:

  • Program ni adalah untuk menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan.
  • Sebelum ni, gaji minima bagi setiap kategori ialah RM1,500, tapi kali ni dikurangkan kepada RM1,200.
  • Majikan akan menerima 40% daripada kadar gaji dan insentif sebanyak 20% dari kadar gaji akan dibayar terus kepada pekerja.

Program Kerjaya Gig:

  • Program ni adalah untuk menggalakkan individu mengambil peluang pekerjaan sementara dalam ekonomi gig (contohnya e-hailing), serta memberi insentif kepada majikan untuk menambah peluang pekerjaan.
  • Pekerja akan menerima RM600 sebulan untuk tempoh maksimum 6 bulan.
  • Majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang digajikan.
  • Korang boleh tengok syarat-syarat penuh di sini.

Agensi Pekerjaan Swasta:

  • Peluasan kolaborasi dengan Agensi Pekerjaan Swasta di mana agensi pekerjaan swasta akan dibayar RM100 bagi setiap penempatan pekerja berkemahiran rendah dengan gaji dibawah RM3,000.
Boleh tengok kat sini. GIF daripada giphy

Bagi semua kategori, tempoh kontrak penggajian telah dikurangkan kepada 6 bulan untuk kumpulan berikut:

  1. 50 tahun ke atas.
  2. OKU.
  3. Bekas banduan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PenjanaKerjaya 3.0, boleh pergi ke https://www.myfuturejobs.gov.my/. Selain itu, kalau korang nak mencari kerja, korang juga boleh layari portal ni.

8. Tambahan dana untuk program pembiayaan mikrokredit

Lepas ni, usahawan mikro tak perlu pening kepala. Imej dari MOF.

Mana yang tak tahu lagi, program pembiayaan mikrokredit ni adalah dana yang disalurkan oleh BNM kepada beberapa bank tempatan agar usahawan mikro seperti peruncit, penjaja dan penyedia perkhidmatan boleh mendapatkan pinjaman dengan lebih mudah.

Berikut merupakan syarat-syarat kelayakan untuk program pembiayaan mikrokredit:

  1. Terbuka untuk perusahaan mikro seperti Milikan Tunggal, Perkongsian dan Syarikat Sdn. Bhd yang di dalam proses pemulihan perniagaan akibat wabak COVID-19.
  2. Syarikat perniagaan dimiliki oleh warganegara Malaysia.
  3. Syarikat perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
  4. Perniagaan pemohon telah beroperasi sekurang-kurangnya 6 bulan.
Jangan risau, program pembiayaan mikrokredit sedia membantu! GIF dari giphy.

Korang boleh memohon pinjaman dengan menghubungi bank-bank dan institusi kewangan yang berkenaan, seperti:

Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan program pembiayaan mikrokredit, boleh hubungi pihak BSN (ni nombor hotline kami letak sini je: 1300-88-1900) atau pergi ke laman web BSN.

9. Bantuan pinjaman untuk peniaga kecil melalui Kemudahan Bantuan & Pemulihan Bersasar (TRRF)

Fasiliti TRRF? Apa tu? Imej dari MOF. Imej dari MOF.

Bagi sesiapa yang tak pernah dengar lagi, TRRF ialah kemudahan pembiayaan yang dilancarkan oleh BNM untuk memberikan bantuan dan sokongan pemulihan kepada perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS).

Jadi, siapakah yang layak menerima TRRF ni? Haa… golongan yang layak ialah PKS Malaysia dalam sektor perkhidmatan yang terjejas berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 sejak bulan Jun 2020, antaranya:

  1. Perkhidmatan peribadi (contohnya pendandanan, servis membaiki komputer, dll)
  2. Aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.
  3. Aktiviti kesihatan dan kerja sosial.
  4. Seni, hiburan dan rekreasi.
  5. Perdagangan borong dan runcit.
  6. Perkhidmatan perniagaan.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000, dan sehingga RM75,000 bagi perusahaan mikro. Oh ye, Tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun, dengan moratorium ke atas ansuran bulanan selama 6 bulan.

Permohonan TRRF ni akan dibuka sehingga 31 disember 2021. Kalau korang nak mohon, senang je. Korang hanya perlu hubungi mana-mana 21 institusi kewangan yang terpilih:

Inilah senarai institusi kewangan yang terpilih. Imej dari SME Corp.

10. Dana bantuan untuk membantu perniagaan mendigitalkan operasi mereka

Ringkasan dana ADF. Imej dari SME Corp

Memandangakan pandemik ni memaksa banyak bisnes untuk beroperasi secara online, BNM telah memberikan dana untuk Kemudahan Automasi dan Digital PKS (ADF).

Untuk makluman korang, dana ni diberikan untuk PKS bagi membolehkan mereka membeli perkakasan komputer, perisian dan perkhidmatan IT, serta perkhidmatan sokongan teknologi untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan. Korang juga boleh menggunakan dana ni untuk mengalihkan perniagaan korang menjadi bisnes online.

Dana ni sudah ditambah menjadi RM1 billion! GIF dari giphy.

Berikut merupakan syarat kelayakan untuk memohon bantuan ni:

  1. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), atau pejabat berkuasa / daerah di Sabah dan Sarawak, atau badan berkanun untuk penyedia perkhidmatan profesional.
  2. Pemegang saham oleh PLC dan GLC (jika ada) dalam PKS tidak melebihi 20%.
  3. Warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia yang memiliki pegangan saham minimum 51% dalam perniagaan dan syarikat yang berdaftar di bawah SSM.

Kalau korang nak mohon bantuan ni pun senang je, hantar permohonan ke Inisiatif Kewangan Swasta (a.k.a. bank-bank yang berkenaan seperti BSN dan Affin Bank), dan kelulusan akan diberi berdasarkan penilaian kredit dari pihak bank. Untuk maklumat lebih lanjut, korang boleh layari laman web Bank Negara Malaysia.

Ada cara mudah untuk semak bantuan apa yang sesuai untuk korang

Selain apa yang kitorang senaraikan di atas, sebenanya ada banyak lagi bantuan yang sedia ada seperti elaun mencari kerja, Geran Khas Prihatin, penangguhan penalti cukai LHDN, bantuan khas untuk pemandu pengangkutan awam, dan lain-lain lagi untuk membantu kita mengharungi Pelan Pemulihan Negara.

Traffic light tengah merah lagi… Imej dari Semakan Online

Sebaik-baiknya, kita boleh gunakan bantuan yang sedia ada untuk merancang dan menguruskan aliran tunai untuk bulan-bulan mendatang. Kalau nak tahu bantuan-bantuan mana yang sesuai untuk korang, boleh layari https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/.