- 109Share sekarang!
- Email2
- Facebook107
- Share
Zaman sekarang, mungkin kita terfikir yang pemakaian tanjak ni tidak lagi relevan kecuali di majlis perkahwinan orang Melayu je kan. Ia dikatakan sebagai budaya yang sudah ketinggalan zaman, namun budaya memakai tanjak ni semakin menjadi trend dikalangan orang kita pada masa kini.
Benda macam tu sangat bagus sebenarnya, yang jadi tak best adalah bila orang hanya memakainya tanpa mengambil tahu tentang maksud-maksud tanjak tu. Sedangkan ada tanjak yang memang kita sebenarnya tak dibenarkan pakai tau! Ini belum masuk lagi mereka yang memakai tanjak tapi memperjuangkan perkara yang sekaligus memburukkan ‘nama’ tanjak tu sendiri.
Kali ni kitorang nak cuba bagi korang faham tentang maksud dalam perbezaan jenis dan bentuk tanjak tu sendiri, ini supaya korang faham nilai yang ada dalam pemakaian tanjak ni. Ini antara jenis tanjak yang sering dipakai orang kita…
Mempunyai banyak bentuk berbeza dan maksud tersendiri
Tanjak, atau variasi lainnya ialah Tengkolok dan juga Destar merupakan aksesori kepala dalam budaya Alam Melayu, dikatakan pada zaman dahulu kita akan nampak semua orang akan memakainya tak kira darjat. Ini kerana tanjak itu sendiri merupakan pengukur kepada status seseorang itu sama ada bangsawan ataupun marhaen sahaja.
Kalau nak diikutkan, terdapat lebih 300 jenis tanjak yang wujud, ada yang masih dikenali sehingga kini tapi ada juga yang sudah pupus ditelan dek zaman. Cuma zaman sekarang, orang kita hanya memakainya sebab nak ikut trend sahaja dan mereka tidak cakna dengan segala adab pemakaian dan juga cara penyimpanan yang betul! Boleh je kalau nak ikut trend, tapi pastikan dengan cara yang betul lah.
Ini antara beberapa jenis tanjak yang masih boleh dilihat pada zaman sekarang:-
1. Dendam Tak Sudah
Walaupun nama dia agak menakutkan sampai ada dendam-dendam, tapi katanya nama itu diambil sempena orang dulu-dulu yang membuat tanjak ni asyik tak puas hati dengan hasil kerjanya. Sampai satu tahap tu dia ibarat tak sudah-sudah berdendam untuk menghasilkan tanjak yang terbaik.
Tanjak Dendam Tak Sudah ni juga adalah ekslusif untuk raja yang memerintah, seperti Yang di-Pertuan Agong dan juga Sultan. Sebab tu kita tak boleh senang-senang je pakai tanjak ni.
2. Alang Iskandar
Ini antara design yang paling cantik, ia dikatakan digunakan oleh Almarhum Sultan Idris (Sultan Perak) dan ia antara tanjak kebesaran negeri Perak. Dikatakan tanjak Alang Iskandar ni pemakaiannya dibenarkan kepada rakyat tapi ada sedikit perbezaan lah dengan versi diraja punya, katanya yang diraja punya design sedikit besar dan mempunyai aksesori lain yang diletakkan pada tanjak tu.
3. Ayam Patah Kepak
Lagi satu tanjak yang pernah digunakan oleh Sultan Perak adalah Ayam Patah Kepak, dikatakan ia digunakan oleh Sultan sejak 1984. Cuma yang membezakan versi diraja dengan marhaen adalah warnanya, kalau yang Sultan pakai katanya berwarna putih bersulamkan benang Perak. Kalau rakyat biasa just pakai selain dari warna tu je lah kot. Kecuali warna kuning, tu untuk Raja Muda Perak.
Ini merupakan design yang kita akan selalu nampak dijual di pasaran sekarang, dah memang lawa kot sebab tu ramai nak beli tanjak Ayam Patah Kepak ni. Kira bila pakai, auto kacak! Tetapi maksud yang dibawa tanjak ni sangatlah berat, sebenarnya perbezaan warna pada tanjak jenis ni adalah untuk menggambarkan jauh berat sesuatu tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang itu dalam pentadbiran adat istiadat.
4. Helang Menyongsong Angin
Tanjak Lang (Helang) Menyongsong Angin ni adalah tanjak yang digunakan oleh kesultanan Pahang, tadi banyak dari Perak je kan, so tak salah kalau kitorang kenalkan dengan tanjak dari Pahang pula. Design ni pun ramai orang pakai zaman sekarang ni, bentuknya seakan-akan menampakkan diri korang seperti pendekar!
Itu antara tanjak-tanjak yang semakin meningkat naik namanya pada zaman sekarang, namun kalau kita berbalik kepada pemakaiannya hanya disebabkan trend, itu yang menjadi masalah. Ini masalah yang bakal dihadapi…
Masyarakat memandang serong tanjak sebab tindakan seseorang individu
Bila pemakaian tanjak sudah menjadi trend fesyen pula, itu membuatkan ramai yang nak memakainya. Yang menjadi masalah adalah apabila mereka tidak menitik beratkan adab dan adat yang betul, perkara itu seakan-akan telah melanggar etika pemakaiannya tersendiri. Itu kalau dari sudut dasarnya lah.
Kalau cerita dari sudut pandangan orang lain pula bagaimana? Betul, dengan memakai tanjak pada zaman ini boleh dianggap memartbatkan kembali busana tradisional kita, tetapi individu yang pakai tanjak tu perlu lah menjaga nama baiknya sekali. Ini disebabkan, ramai sangat yang menjadikan tanjak sebagai salah satu propaganda scheme mereka.
Golongan sebegini selalunya mengatakan yang mereka memperjuangkan kaum dan agama, namun pada hakikatnya apa yang dorang perjuangkan tu tiada dasar yang betul. Itu memberikan pandangan negatif masyarakat terhadap ‘orang-orang yang memakai tanjak’. Apa yang dimaksudkan adalah, apabila seseorang individu itu ‘buat hal’, masyarakat bukan hanya mengutuk individu itu je.
Mereka juga akan memandang serong benda-benda yang berkaitan individu itu juga, ini termasuklah tanjak! Tahu-tahu tanjak terkena tempias sekali, sampaikan semua orang yang memakai tanjak dilabel negatif. Dia macam ni, kalau korang nak perjuangkan apa-apa, atau mungkin ada perbezaan pendapat tu semua okay je. Tapi tidak perlu sampai menggunakan tanjak hanya untuk raih sokongan.
Tanjak merupakan warisan bangsa, kita patut menghargainya selagi boleh. Tetapi untuk menggunakannya sebagai batu loncatan ataupun perjuangan yang menarik pandangan serong masyarakat, lebih baik jangan memakainya. Kita semua bertanggungjawab dalam menjaga nama warisan kita!
- 109Share sekarang!
- Email2
- Facebook107
- Share