- 263Share sekarang!
- Email7
- Facebook256
- Share
UPDATE (12/09/2017): Bekas Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob bakal dilantik menjadi Presiden baru Republik Singapura, selepas dua lagi calon gagal menepati kriteria kelayakan yang ditetapkan. Perkara ni jadi bila Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) hanya bagi satu sijil kelayakan kepada seorang daripada 5 pemohon. Orang yang terima sijil tu adalah Halimah.
Ini bermakna Pilihan Raya Presiden tak payah diadakan dan Halimah akan diisytiharkan sebagai presiden. Halimah juga mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi presiden di republik itu.
_______________________________________________________________________
Baru-baru ni Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan yang Pilihanraya Presiden Singapura tahun depan akan dikhaskan untuk orang Melayu. Ini kerana dah hampir 46 tahun republik tu tak ada presiden berbangsa Melayu.
Singapura ada Presiden? Itu mungkin apa yang korang akan tanya bila dengar pasal benda ni. Yela, selama ni kita selalu dengar pasal Lee Kuan Yew je kan? Sebenarnya memang ada, tapi bezanya Presiden adalah Ketua Negara (klik sini untuk bidang kuasa presiden) dan Perdana Menteri adalah Ketua Kabinet yang menjalankan pentadbiran negara.
Sebelum 1993, jawatan Presiden dipilih melalui parlimen dan hanya selepas tahun itu jawatan ini mula dipertandingkan. Kalau korang tak tahu, Presiden pertama Singapura adalah seorang Melayu yang bernama Yusof Ishak. Yusof pegang jawatan ni dari tahun 1965 hingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 1970.
Oleh itu, mari kita kenal dengan lebih dekat siapa sebenarnya Presiden Singapura pertama ni…
[Artikel ini akan banyak merujuk buku tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin (Tokoh Wartawan Negara), bertajuk ‘Di Depan Api, Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu‘. Dipendekkan jadi KSUM]
1. Yusof Ishak adalah antara pengasas utama Utusan Melayu
Yusof dilahirkan di Padang Gajah, Perak pada 12 Ogos 1910 dan merupakan anak sulung dari 9 adik beradik. Dia mulakan kerjayanya sebagai wartawan kat Warta Malaya sebagai Penolong Pengurus. Bos Warta Malaya ni pulak seorang kaya Arab, Syed Hussein Alsagoff. Yusof mula rasa tak selesa bila Syed Hussein ni nak kahwinkan dia dengan anak perempuannya. Yusof berenti kerja dan jadi ejen insuran.
Ketika tu kat Singapura ada konflik dalam mentafsir takrif sebenar Melayu. Maka muncullah istilah ‘Darah Keturunan Arab (DKA)’ dan ‘Darah Keturunan Keling (DKK)’. Perasaan anti terhadap keturunan Arab dan Jawi Peranakan (Melayu keturunan Arab atau India) mula bangkit bila golongan ni didakwa mengeksploitasi ekonomi orang Melayu.
Banyak dari akhbar-akhbar Melayu jugak bukan dimiliki oleh orang Melayu tapi golongan Melayu Jawi Peranakan. Maka muncullah sekumpulan lebih dari 20 orang anak Melayu termasuk Yusof yang berusaha menubuhkan sebuah akhbar Melayu tulen yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu.
Akhirnya, lepas segala usaha dijalankan, pada 15 Jun 1938 Utusan Melayu ditubuhkan dan Yusof dilantik jadi Pengarah Urusan dan pengarangnya yang pertama.
2. Sangat garang masa jadi pengarang Utusan Melayu
Untuk mantapkan lagi Utusan Melayu, Yusof cuba bawa masuk Abdul Rahim Kajai (bapa kewartawanan Melayu) dan Ishak Hj Muhammad (nasionalis dan sasterawan) dalam Utusan. Seorang lagi yang masuk Utusan waktu adalah A Samad Ismail (nasionalis dan tokoh wartawan negara) yang masa tu baru je berumur 16 tahun! Mereka ni boleh dikatakan sebagai penggerak utama Utusan Melayu ketika itu.
Rahim Kajai ketika di Utusan antara orang yang paling aktif menulis dalam mentafsirkan takrif sebenar Melayu (seperti di atas) terutamanya pada tahun 1940an. Ia disifatkan sebagai usaha menentang diskriminasi sosial.
Yusof jugak terkenal sebagai ketua yang sangat garang masa bertugas.
“Yusof tidak memaafkan pekerja yang ponteng, yang datang lambat, yang melakukan kesilapan, yang malas dan yang lembap. Mereka yang bersalah dibuang kerja begitu saja dan selalunya secara yang amat kasar, diusir dari pejabat sebagai pengkhianat. ‘Awak pengkhianat bangsa sendiri!’ dia berteriak sekuat hatinya.” – KSUM, p23
“Yusof digeruni seluruh kakitangan. Suara garaunya bertempik memarahi seseorang akan didengar di seluruh bangunan tiga tingkat Utusan Melayu. Suasana akan menjadi sepi sama ada kerana ketakutan atau kerana pekerja-pekerja nak tahu siapa yang kena marah.” – KSUM, p42.
Ketika Jepun berjaya menawan Singapura, Yusof ditangkap kerana dituduh pro-British dan menyebarkan propaganda anti-Jepun. Bagaimanapun, Rahim Kajai tak ditahan, kerana dia ada pengaruh yang cukup kuat pada orang Melayu waktu itu.
Jepun jugak bertindak menerbitkan akhbar Berita Malai iaitu gabungan antara Utusan Melayu dan Warta Malaya. Ishak Hj Muhammad bertindak sebagai editornya. Lepas Jepun kalah, Yusof kembali ke Singapura dan pulihkan balik Utusan Melayu. Tapi ada konflik yang menantinya…
3. Yusof disingkirkan dari Utusan Melayu
Selepas Perang Dunia ke 2 dan pasca merdeka, Utusan Melayu dipenuhi oleh wartawan-wartawan yang sosialis, radikal, nasionalis, progressif, dinamik dan anti-feudal. Walaupun Utusan Melayu menentang gagasan Malayan Union, tapi akhbar tu mula menentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Maka bermulalah permusuhan antara Utusan Melayu dan UMNO.
Hubungan Yusof dengan Timbalan Pengarang, A Samad Ismail (Pak Samad) jugak mula renggang kerana Yusof terkenal dengan sikapnya yang anti-sastera dan anggap sastera tak akan bagi keuntungan pada akhbar. Tindakannya tu dah sebabkan bantahan dari golongan sasterawan dalam Utusan Melayu yang dipimpin oleh Pak Samad.
Kerana dasar Utusan Melayu yang semakin berhaluan kiri. Tunku Abdul Rahman ada bagi amaran kat Yusof, yang kerajaan akan tarik balik lesen operasi Utusan Melayu kalau masih teruskan dasar itu.
“Tunku mengingatkan mereka bahawa sebagai Ketua Menteri, beliau boleh mengambil tindakan mengharamkan Utusan Melayu yang menyebabkan Yusof tersentak dan berubah wajah.” – KSUM, p69
Hubungan Yusof dengan Pak Samad semakin tegang bila Yusof bertindak memindahkan Pak Samad ke Jakarta, Indonesia sebagai wakil Utusan di sana. Tindakannya ni dah timbulkan bantahan dari penyokong Pak Samad. Pak Samad akhirya berenti dari Utusan Melayu dan masuk Straits Times seterusnya menerbitkan akhbar Melayu tulisan Rumi pertama, Berita Harian.
Akhirnya pada tahun 1959, Yusof meletakkan jawatan apabila didesak oleh Said Zahari dan mereka yang berhaluan kiri di Utusan Melayu. Mereka memberontak terhadap cara Yusof mengendalikan Utusan Melayu yang dianggap dah tak sesuai dengan zaman merdeka.
“Yusof yang merupakan pengasas utama Utusan Melayu pada 1938 secara rasminya putus hubungan dengan Utusan Melayu pada 15 Julai 1959 apabila namanya tidak lagi tercatat dalam akhbar itu sebagai pencetak dan penerbit akhbar Utusan Melayu. Keadaan telah memaksanya berhenti daripada Utusan Melayu.” – KSUM, p1
Walaupun begitu, masih menjadi teka-teki siapa disebalik penyingkiran 2 orang kuat Utusan ini (Yusof & Pak Samad). Seorang ahli perniagaan dan kawan baik Yusof, Tan Sri HM Shah berkata, orang yang bertanggungjawab dalam kes ini adalah Tunku Abdul Rahman sendiri.
4. Hubungan Yusof dan Lee Kuan Yew sangat rapat sejak Lee Kuan Yew jadi peguam Utusan Melayu yang pertama
Ye, Lee Kuan Yew adalah peguam pertama Utusan Melayu! Kerana tu jugaklah hubungan antara Yusof dan Lee Kuan Yew sangat rapat. Lepas je Yusof letak jawatan dari Utusan Melayu, dia dilantik jadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura atas jemputan dari Lee Kuan Yew.
Bila Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang dalam Pilihanraya Singapura 1959, Yusof dilantik jadi Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959. Apabila Singapura tersingkir dari Malaysia pada 1965, Yusof dilantik menjadi Presiden Pertama Singapura.
“Hubungan Yusof dengan Lee Kuan Yew bermula bila beliau menjadi Peguam Pertama Utusan Melayu di awal tahun 1950an. Lee Kuan Yew amat menghormati Yusof kerana kerja keras dan juga kejujurannya walaupun Yusof seorang sosialis, tetapi beliau mengenali sempadan dengan komunis.
Dalam berulang-alik dengan keretapi antara Singapura dan Kuala Lumpur semasa mejadi Pengarah Urusan Utusan Melayu, beliau hanya menaiki kelas ekonomi.” – Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara, dipetik dari zamkata.blogspot
Selepas Singapura terlibat dalam rusuhan kaum pada 1964, Yusof berusaha mempromosikan kepelbagaian budaya kepada seluruh rakyat Singapura. Walaupun dah jadi orang tertinggi di Singapura, Yusof masih dikenali sebagai orang yang merendah diri dan peramah.
“Suatu hari apabila keretanya berhenti di lampu isyarat di Beach Road, beliau membuka tingkap keretanya dan memanggil nama ‘Nid’ kepada seorang yang berada di atas skuter di sebelah keretanya. Nid adalah jurugambar Utusan, Junid Juani yang berkhidmat di Utusan ketika Yusof menjadi Pengarah Urusannya.
Yusof kemudiannya merakamkan gambar Junid yang berada di atas skuter bersama-sama wartawan Ahmad Idris (ABI) untuk pergi menjalankan tugas. Pada masa itu, Yusof adalah Yang Dipertuan Negara Singapura.” – KSUM, p43 & p44
5. Kerana Yusof Ishak, Utusan Melayu lahirkan ramai ahli politik dan nasionalis
Kalau bukan kerana usaha Yusof dan rakan-rakannya yang menubuhkan Utusan Melayu, mungkin semangat nasionalisme di kalangan rakyat tak akan bangkit. Nama seperi Rahim Kajai, Ishak Hj Muhammad, A Samad Ismail, Said Zahari dan Othman Wok mungkin tak akan dikenali sehingga hari ini.
Mungkin ramai tak tahu yang A Samad Ismail adalah antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersama-sama Lee Kuan Yew. Sehingga hari ini parti ini masih berkuasa di Singapura. Pak Sako sampai sekarang dikenang sebagai seorang nasionalis, sasterawan dan pejuang sejati.
Othman Wok yang pernah menjadi wartawan Utusan juga memilih bersama- sama Lee Kuan Yew dan PAP. Dia dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura (1963-1977) dan dia adalah satu-satunya ahli kabinet Melayu di Singapura ketika itu. Kini Othman yang berusia 92 tahun adalah antara Bapa Pengasas Singapura yang masih hidup.
Said Zahari (bekas Pengarang Utusan Melayu) menjadi tahanan politik paling lama di Singapura iaitu selama 17 tahun di bawah ISA. Said kembali ke Malaysia bila Dr Mahathir menarik balik larangan masuk terhadapnya pada 1989.
Adik Yusof, Aziz Ishak jadi antara menteri kabinet terawal di zaman Tunku Abdul Rahman. Bagaimanapun, Aziz ditahan dalam ISA kerana dituduh terbabit dalam konfrontasi Indonesia-Malaysia.
Jadi apa yang boleh dikatakan kat sini, ramai dari mereka ni sebenarnya berasal dari dunia kewartawanan sebelum masuk politik. Kita jugak tak boleh nafikan yang Utusan Melayu dah mainkan peranan penting dalam situasi politik ini.
(Mungkin kami akan tulis dengan lebih terperinci pasal sejarah Utusan Melayu di masa akan datang)
Siapa akan jadi Presiden Singapura seterusnya?
Berikutan dengan pengumuman PM Singapura itu, ada pelbagai reaksi yang diterima dari banyak pihak. Presiden Singapura sekarang, Tony Tan dah umumkan yang dia tak akan mempertahankan jawatannya pada Pilihanraya Presiden tahun depan untuk bagi laluan pada calon Melayu.
Bagaimanapun, salah seorang kolumnis di Straits Times, menganggap tindakan kerajaan Singapura itu merupakan langkah ke belakang terhadap orang Melayu. Dia menjelaskan bagaimana orang Melayu Singapura selama ni, berusaha sendiri dalam membina jati diri mereka. Tindakan tu jugak menjadikan orang Melayu seolah-olah tak dapat bersaing dan masih perlu dibimbing dan dibantu.
Macam manapun sekarang, siapa yang akan bertanding jawatan Presiden masih lagi dalam teka teki. Antara nama yang disebut-sebut adalah Halimah Yacob (Speaker Parlimen Singapura), Abdullah Tarmugi (Bekas Menteri dan Speaker Parlimen), Bahren Shaari (CEO Bank of Singapore) dan 2 orang menteri kabinet, Yaacob Ibrahim dan Masagos Zulkifli.
Sejak 51 tahun lalu, Singapura dah catatkan perkembangan ekonomi yang sangat pesat. Gandingan Yusof Ishak dan Lee Kuan Yew dalam tahun-tahun awal tersingkirnya Singapura dari Malaysia semestinya merupakan jangka masa yang sangat mencabar.
Kini wajah Yusof Ishak masih kekal di atas duit Singapura dan sebuah masjid yang dinamakan sempena namanya dijangka siap akhir tahun ini. Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) dah dinamakan semula sebagai ISEAS – Yusof Ishak Institute. Yusof jugak telah dikurniakan pingat ‘Seri Maharaja Mangku Negara’ yang membawa gelaran Tun.
Jasa Yusof Ishak akan terus dikenang merentasi dua buah negara (Singapura & Malaysia). Dialah pencetus dunia kewartawan Melayu melalui Utusan Melayu dan sebagai penggerak utama membina sebuah negara baru bernama Singapura.
- 263Share sekarang!
- Email7
- Facebook256
- Share