- 456Share sekarang!
- Email29
- Facebook427
- Share
Seperti mana yang kita semua tahu, pada minggu lepas Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dah membunuh Komander Tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Qassim Soleimani dan timbalan ketua pasukan separa tentera Iraq (Hashed Al Shaabi), Abu Mahdi Al Muhandis di Iraq.
Serangan tu dilakukan ketika dua pemimpin tentera ni berada di lapangan terbang Baghdad, sebelum mereka dihujani serangan roket yang dilakukan oleh AS. Pembunuhan Soleimani terutamanya dah menjadi satu berita yang begitu menggemparkan di Timur Tengah, disebabkan kedudukannya sebagai salah seorang paling berkuasa di rantau itu.
Mana taknya, Soleimani dah mengetuai IRGC cawangan luar negara melalui Pasukan Quds sejak tahun 1998 lagi dan dia juga dikatakan sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Iran, selepas pemimpin tertinggi negara itu – Ayatollah Ali Khameinei. Ni maknanya, kalau dibandingkan dengan pengaruh dan kuasa, Soleimani ni lebih berkuasa dari Presiden Iran sendiri.
Tapi sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang impak dari pembunuhan ni, apa kata kita kenali dulu apa dia IRGC ni.
Pasukan elit yang dapat arahan terus dari pemimpin tertinggi Iran
Sebenarnya, Pasukan Pengawal Revolusi Islam atau Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) ni adalah satu pasukan yang ditugaskan untuk mengawal ideologi Iran dan ditubuhkan pada tahun 1979. Seperti mana dicatatkan dalam sejarah, pada tahun itu jugalah berlakunya Revolusi Iran yang menjatuhkan pemerintah diktator – Shah Reza Pahlavi.
Revolusi ni dipimpin oleh seorang ulama Syiah iaitu Imam Ayatollah Rahullah Khomeini (1902-1989). Lepas revolusi ni berjaya, maka muncullah negara baru yang dikenali sebagai – Republik Islam Iran pada 1 April 1979. Seterusnya, Khomeini dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran, malah pembentukan negara itu juga berdasarkan kitab-kitab yang ditulis oleh Khomeini.
Walaupun Iran ada jawatan presiden, tapi bidang kuasa presiden masih lagi tak boleh lawan pemimpin tertinggi dalam hal-hal tertentu, seperti kuasa mengisytiharkan perang, melantik ketua angkatan tentera, malah memecat presiden itu sendiri. Jadinya senang kata – pemimpin tertinggi ni dikira ada kekebalan luar biasa di Iran.
Tapi menjelang revolusi, kebimbangan masih lagi wujud sebab ada kemungkinan asas-asas revolusi yang dibina oleh Khomeini ni boleh diubah. Jadinya, Khomeini dan para pengikutnya dah mengasaskan IRGC yang beroperasi terus dengan pemimpin tertinggi Iran. Kedudukan pasukan ni boleh dikatakan melebihi batas undang-undang dan kehakiman sampaikan presiden negara pun tak boleh masuk campur.
“Khomeini mahukan IRGC melindungi rejim baru dari rampasan kuasa seperti mana pernah berlaku pada tahun 1953 yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, oleh Mohammed Mossadeq dan memulihkan kembali Shah untuk berkuasa.” – Dipetik dari Council on Foreign Relations.
Sebenarnya pada tahun 1953, Iran pernah ada Perdana Menteri, Mohammed Mossadeq yang popular dan agak anti-barat. Antara tindakannya adalah menamatkan operasi minyak Britain di Iran. Tapi lepas tu, Britain minta bantuan Syarikat (AS) dan melalui CIA – sampaikan mereka berjaya menumbangkan pemerintahannya dalam masa 4 hari je! Lepas tu, keluarga Shah kembali berkuasa.
Bagaimanapun, tugas IRGC ni nampaknya semakin berbisa, bila berlakunya Perang Iraq – Iran (1980 – 1988).
Mula lebih tersusun dan terlatih bila berperang dengan Iraq
Bila munculnya Iran selepas revolusi pada tahun 1979, boleh dikatakan rantau itu mula ada kuasa baru yang selama ni didominasi oleh Iraq. Hal ni bertambah membebankan lagi bila Iraq mula menuntut nak kedaulatan Khouzestan yang kaya dengan minyak, tapi berada di wilayah Iran.
Di pihak Iran pula, Khomeini masa tu ada seru supaya Parti Baath (parti Saddam Hussein) digulingkan, sebab tindakan Saddam mengusir 40,000 orang Syiah dan menghukum mati Ayatollah Muhammad Baqir al-Sadr (ulama Syiah Iraq). Disebabkan kedua-dua negara mula rasa terancam, maka berlakulah Perang Iraq – Iran yang berlangsung selama 8 tahun!
Masa ini jugalah IRGC mula mainkan peranan bila mula masuk dalam pertempuran konvensional, yang menggunakan struktur komando seperti tentera Barat. Dengan menerima arahan terus dari Khomeini, IRGC mula distrukturkan dengan lebih tersusun dan terlatih seperti mana angkatan tentera tetap Iran.
Walaupun tak ada jumlah rasmi anggota yang didedahkan, International Institute for Strategic Studies (IISS) menganggarkan, angkatan tentera bawah IRGC ni berjumlah lebih 125,000 anggota.
“Walaupun mempunyai kira-kira 230,000 tentera yang lebih kurang daripada tentera biasa (Iran), IRGC dianggap sebagai pasukan tentera yang dominan di Iran dan berada di belakang banyak operasi tentera utama negara.” – Dipetik dari BBC.
Pasukan ini juga ada beberapa cawangan iaitu:
- Tentera darat: Terdapat di seluruh wilayah Iran dan mempunyai anggota melebihi 100 ribu.
- Pasukan paramiliter Basij: Bermula sebagai pasukan bebas sebelum menyertai IRGC pada 1981 dan berpotensi memobilisasi seramai enam ratus ribu sukarelawan.
- Tentera laut: Terpisah dari pasukan tentera laut Iran dari ketenteraan biasa, dianggarkan pasukan ini ada 20 ribu anggota.
- Tentera udara: Juga terpisah dari pasukan tentera udara biasa, cawangan ini dipercayai mengawal program peluru berpandu balistik Iran.
- Pasukan siber: Dipercayai terlibat dalam intipan ketenteraan dan komersial, serta memainkan propaganda (tapi tugas utamanya masih lagi belum jelas).
Dengan apa yang mereka terlatih masa berlakunya perang dengan Iraq, nampaknya IRGC mula merancakkan lagi peranannya di Timur Tengah bila…
Terlibat juga dalam aktiviti antarabangsa
Lepas tamatnya Perang Iraq – Iran, IRGC mula membantu dan menyebarkan pengaruhnya kepada pasukan-pasukan militan lain di rantau itu melalui Pasukan Quds. Antara pertubuhan yang menerima bantuan melalui Pasukan Quds ni termasuklah Hezbollah (Lubnan), Hamas (Palestin), Taliban (Afghanistan), Houthi (Yaman) dan Hashed Al Shaabi (Iraq).
Pasukan Quds juga mainkan peranan besar dalam menolong Presiden Syria, Bashar Asad sehingga sekarang. Dalam masa sama, IRGC turut berperang menentang pengganas seperti Islamic State (IS). Walaupun begitu, pakar menganggap – kematian Soleimani tak akan banyak mengubah pengaruh IRGC di rantau itu.
Menurut pakar geopolitik, Azmi Hassan, walaupun Soleimani adalah orang penting dalam menghubungkan Tehran dengan kumpulan militan sudah tiada. Tapi, keutuhan kumpulan militan hanya akan terencat buat sementara waktu je, sehingga pengganti Soleimani mampu memikul tanggungjawab seperti yang dilakukan oleh Soleimani sebelum ini.
“Hakikatnya ialah struktur kumpulan militan tetap kukuh dan begitu juga hierarki IRGC cuma terencat sedikit sahaja.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Pembunuhan Soleimani juga menimbulkan spekulasi tentang perang antara AS dan Iran. Tapi menurut pakar…
Perang Iran – AS kemungkinan besar tak akan berlaku
Walaupun pembunuhan Soleimani adalah satu tamparan hebat buat Iran, dan boleh dikatakan memang Trump betul-betul cari pasal dengan negara tu, tapi setakat ini – perang antara dua negara kemungkinan besar tak akan berlaku.
Azmi berkata, kedua-dua negara, sama ada Iran mahupun AS tak mampu dan tak mahu berperang, tak kiralah secara langsung atau proksi besar besaran. Ini kerana, AS tak mahu mimpi ngeri seperti Perang Vietnam kembali menghantui rakyat AS, manakala Iran pula dalam kesempitan ekonomi dan tak mahu kembali berperang seperti dengan Iraq dulu yang mengorbankan setengah juta nyawa.
Buat masa sekarang, apa yang Iran boleh lakukan adalah cuma buat serangan proksi menggunakan kumpulan militan di bawah pengaruh Iran dengan mensasarkan fasiliti AS di negara sasaran seperti Israel, Qatar dan Arab Saudi.
“Saya tidak menjangkakan Iran akan mensasarkan sasaran awam tetapi lebih menumpukan sasaran tentera AS yang berada di luar AS. Dengan cara ini akan menyukarkan AS mengambil tindakan serangan balas semberono sepertui yang didabik oleh Trump akan serang 52 sasaran di Iran.
Dan jangan lupa Iran mempunyai senjata ampuh yang boleh ranapkan ekonomi dunia iaitu jika Iran ambil keputusan untuk menutup Selat Hormuz laluan dagang penting global.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Walaupun begitu, kita juga masih boleh nampak ada pihak tertentu yang agak skeptikal dengan persengkataan antara Iran – AS, dan cuba kaitkannya dengan ‘taqiyah’ Syiah. Tak kurang juga yang berhujah, Iran sebenarnya sekutu AS dan cuma berlakon je selama ni. Tapi hakikatnya…
Permusuhan antara Iran dan AS adalah benar belaka
Bagi pemerhati politik antarabangsa, permusuhan antara Iran dan AS tu sebenarnya bukan sandiwara dan ia benar belaka. Cumanya, ungkapan ‘taqiyah’ tu wujud sebab AS bijak mempergunakan sengketa Syiah – Sunni dalam kepentingan mereka. Malah, cara ni nampaknya diamalkan dengan begitu berjaya oleh AS.
“AS dan Iran sudah lama berperang iaitu Iran guna proksi kumpulan militan kawalan mereka seperti Hezbollah dan Hamas. Begitu juga AS menyerang Iran dengan sekatan ekonomi yang dikenakan.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Tapi apa yang pasti, senario terbaru ni akan menambahkan lagi ketegangan di Timur Tengah. Dengan usaha Iran melebarkan pengaruh dan Arab Saudi dengan sokongan AS akan sentiasa cuba mengekangnya. Kita akan melihat suasana yang cukup mencabar di rantau itu. Tahun 2020 nampaknya masih lagi meletakkan Timur Tengah sebagai pentas perhatian pergolakan dunia.
- 456Share sekarang!
- Email29
- Facebook427
- Share