Sebelum Maszlee, Tunku pernah letak jawatan kerana surat Mahathir

*Artikel ni pada asalnya disiarkan pada 4 Oktober 2016

UPDATE 8/1/2020: Isu surat Tun Mahathir kepada Dr. Maszlee dah menjadi perhatian. Ia dilaporkan menjadi punca kenapa Dr. Maszlee meletakkan jawatan beberapa hari yang lalu sebagai Menteri Pendidikan. Tun M mengakui bahawa memang ada surat ke pejabat ahli parlimen Simpang Renggam itu.

Dikatakan juga bahawa surat berisi 17 perenggan yang mencadangkan Dr. Maszlee meletakkan jawatan. Isu surat dan Tun M sebenarnya perkara biasa. Dalam sejarah politik dah terbukti bahawa Tun M pernah mengutus surat kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman suatu masa dulu. Kesan surat tu telah mengubah landskap politik Malaysia. Kita mulakan dengan…


“Amat menyedihkan sekali sekeping surat yang memerlukan masa 10 minit menulisnya telah memusnahkan khidmat saya selama lebih 17 tahun.

Dr Mahathir sendiri tahu untuk bangsa dan negara, saya telah mengorbankan segala kesenangan dan telah menjadi miskin dan papa malah untuk membayar cukai pendapatan pun saya terpaksa menjual harta benda.” – Tunku Abd Rahman, dipetik dari Surat daripada Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, p27

Itu adalah kata-kata bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman bila ditanya pasal surat Dr Mahathir kepadanya.

Mesti korang pernah dengar atau baca pasal surat Dr Mahathir kat Tunku Abdul Rahman yang mintak Tunku letak jawatan sebagai Perdana Menteri (klik sini untuk baca surat tersebut).

Imej asal dari mahathir-mohamad.blogspot
Imej asal dari mahathir-mohamad.blogspot

Walaupun, perkara ni dah berlaku lebih kurang 47 tahun lalu, tapi kalau kita tengok balik perkara ni dengan zaman sekarang, kita akan nampak satu persamaan. Iaitu:

“DR MAHATHIR MINTA PERDANA MENTERI LETAK JAWATAN”

Semua orang tau, Dr Mahathir jugaklah yang pernah desak Pak Lah (Tun Abdullah) dulu supaya letak jawatan. Lepas Pilihan Raya Umum ke 12, Pak Lah terpaksa surrender dan undur. Jadi bila cerita pasal perkara macam ni, korang kena tau yang Dr Mahathir dah mula desak seorang Perdana Menteri letak jawatan sejak zaman Perdana Menteri pertama lagi, seperti yang kami dah ceritakan dalam artikel “Apa jadi tiap kali Dr M keluar UMNO?

Klik untuk baca, “Apa jadi tiap kali Dr M keluar UMNO?”

Ye! Dr Mahathir jugaklah yang desak Tunku Abdul Rahman letak jawatan dengan bagi surat penuh kritikan kat Tunku. Jadi hari ni, kami akan ceritakan asal surat ni ditulis. Tentang dakwaan Dr Mahathir kat Tunku dan kesan dari surat ni.

[Nota: Selain daripada link yang diberikan, artikel ini akan banyak merujuk buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad (dipendekkan jadi ADITH) tulisan Dr Mahathir dan buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas (dipendekkan jadi 13MSDS) tulisan Tunku Abdul Rahman]

Punca utama surat ini ditulis adalah kerana Perikatan hampir kalah dalam Pilihan Raya 1969

Sebelum Dr Mahathir tulis surat ni, parti pimpinan Tunku Abdul Rahman iaitu Parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC) telah hampir kalah dalam Pilihan Raya 1969. Perikatan menang 76 dari 144 kerusi, jauh dari pilihanraya 1964 (Perikatan menang 89 dari 104 kerusi).

Pilihan Raya 1969, Perikatan menang tipis. Imej dari Halen Ang.

Dr Mahathir jugak masa tu kalah kat parlimen Kota Star Selatan dengan calon PAS, Yusuf Rawa (bekas Mursyidul am PAS). Sehari lepas pilihanraya tu pulak, negara kita dikejutkan dengan rusuhan kaum 13 Mei yang menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Jadi dalam surat Dr Mahathir kat Tunku tu, Dr Mahathir dah kritik dan dakwa Tunku dengan pelbagai macam benda antaranya:

1. Tunku punca 13 Mei 1969?

“Tunku biasa cherita kepada patek sendiri iaitu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang dijatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenarnya tindakan Tunku inilah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.” – Surat Dr Mahathir pada Tunku, 17 Jun 1969

Dalam surat ni secara jelas Dr Mahathir menuduh Tunku Abdul Rahman sebagai punca berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Rumah kedai yang dibakar ketika 13 Mei 1969 di Jalan Campbell. Imej dari 13 Mei Sebelum dan Selepas.

Sebenarnya sebelum itu pada tahun 1968, 11 orang berbangsa Cina yang juga anggota Parti Komunis Malaya (PKM) telah dijatuhkan hukuman gantung kerana membantu Indonesia menyerang Semenanjung Malaysia. Dua orang Melayu jugak telah dijatuhkan hukuman sama kat Perak.

Selepas hukuman tu dijatuhkan, banyak bantahan, protes, tunjuk perasaan dari Parti Buruh, ahli keluarga tertuduh dan penyokong komunis. Disebabkan dengan bantahan tu dan nak elakkan rusuhan kaum, Tunku ambil keputusan merayu kepada Sultan Perak dan Sultan Johor ketika tu untuk kurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup.

“Untuk mengelakkan daripada timbulnya pergaduhan di seluroh negara yang mungkin membawa kapada rusuhan antara kaum yang boleh menumpahkan darah, maka saya sendiri telah menyembahkan rayuan kapada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak bagi pihak orang-orang  yang dihukum gantung itu, dan kedua-dua baginda telah berkenan meringankan hukuman itu kepada penjara seumor hidup.” – 13MSDS, p09

Dr Mahathir pulak tak setuju dengan tindakan Tunku tu dan dia sifatkan tindakan Tunku sebagai terlalu bertolak ansur, berlembut dan boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu.

“Kesediaan beliau seperti biasa untuk terlalu bertolak ansur dan tunduk kepada tuntutan orang Cina, menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu dan ini membuatkan beliau tidak popular. Saya dapat merasakan kekecewaan orang Melayu.” – ADITH, p198

Dr Mahathir dan Tunku Abdul Rahman di bangunan parlimen pada 1982. Imej dari A Doctor in the House: The Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika tu, boleh nampak perbezaan pendapat antara Tunku dan Dr Mahathir. Walau macam mana pun, dalam buku “13 Mei Sebelum dan Selepas”, Tunku mengaku yang beliau sendiri tidak pasti tindakannya tu betul atau tidak.

“Sama ada tindakan itu betul atau salah, tujuan saya adalah untuk menyelamatkan 1000 jiwa dengan menyelamatkan 11 orang komunis di Johor dan dua penderhaka Melayu di Perak daripada dihukum gantung.” – 13MSDS,p09

Bagi Dr Mahathir pulak tindakan Tunku tu dah buat komunis dan orang Cina pandang rendah kat Tunku dan nampak Tunku sebagai pemimpin yang pengecut.

“Orang-orang China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh ditolak ke sana ke mari. Sebab itu orang-orang China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang-orang Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan.” – Surat Dr Mahathir pada Tunku, 17 Jun 1969

Demonstrasi anti-Tunku selepas peristiwa 13 Mei 1969. Imej dari 13 Mei Sebelum dan Selepas

2. Orang kerajaan dah tak percaya Tunku

Polis FRU zaman 1960an. Imej dari ipohworld.org.

Dalam surat tu jugak, Dr Mahathir kata yang orang kerajaan termasuk polis dan pegawai tentera dah tak percaya dan hilang respek kat Tunku.

“Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. (Permanent Secretary) kabawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos.

Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri.” – Surat Dr Mahathir kepada Tunku, 17 Jun 1969

Dr Mahathir jugak tulis yang orang Melayu sama ada PAS atau UMNO sudah benci pada Tunku.

“Yang lebih melukakan perasaannya apabila saya menberitahu Tunku bahawa orang Melayu, sama ada daripada PAS atau UMNO membencinya.” – ADITH, p202

Rejimen Askar Melayu DiRaja pada tahun 1941. Imej dari Wikipedia.

Bagi Dr Mahathir, orang Melayu dan orang kerajaan ketika tu sudah kecewa pada Tunku. Dr Mahathir jugak takut kalau kerajaan tak dapat kawal tentera dan kalau perkara tu jadi, harapan untuk kerajaan kembalikan keadaan kepada yang asal adalah mustahil.

“Patek tahu Tunku takut komunis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula “lose control over the armed forces”. Sakali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bilapun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi “Happy Prime Minister” tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai “happiness” apa2.” – Surat Dr Mahathir kepada Tunku, 17 Jun 1969

3. Tunku main poker masa darurat 13 Mei?

Main poker masa darurat? Ushh berat dakwaan ni. Salah satu dakwaan Dr Mahathir kat Tunku yang nampak agak berat, bila Dr Mahathir dakwa Tunku main poker ketika negara darurat sebab peristiwa 13 Mei.

“Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku menggunakan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.” – Surat Dr Mahathir pada Tunku, 17 Jun 1969

Dakwaan ni nampak berat dan agak sensitif untuk dibincangkan. Walaupun macam tu, dalam satu temu bual antara Zainuddin Maidin (bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu) dan Tunku Abdul Rahman. Tunku tak menafikan perkara tu.

“Ketika api sedang membakar di Jalan Chow Kit dan Kampung Baru, Kuala Lumpur dalam peristiwa itu, Tunku memanggil kawan-kawannya untuk bermain poker di kediamannya.

Beliau mengakuinya apabila saya tanya sama ada benar atau tidak dakwaan Dr Mahathir dalam perkara ini yang tersebar dalam surat terbangnya. Tunku tidak teragak-agak terus menjawab, Memang betul! Salahkah? Saya bukan ambil duit bapa dia.

Apabila beliau lihat saya tidak mencatat, Tunku berkata, “Tulis,tulis,” dalam satu pertemuan dengannya tidak lama selepas peristiwa 13 Mei.” – Hari itu sudah berlalu, Zainuddin Maidin, p85

Tunku pernah isytihar yang beliau Perdana Mentari paling gembira pada 1959.
Imej dari Wira tak Didendang.

Tentang main poker ni sebenarnya, Tunku sendiri memang dah mengaku yang beliau jadikan poker, lumba kuda dan sukan sebagai cara beliau nak berehat. Malah kami ada tulis artikel pasal Tunku yang mengaku dirinya adalah seorang playboy.

“Memanglah berbahaya bermain kuda dengan secara besar besaran, tetapi jika disifatkan permainan itu sebagai sukan, sebagaimana yang saya lakukan, maka ia boleh menjadi satu permainan yang menghiburkan.

Inilah falsafah hidup saya. Sekali sekala saya bersuka ria dengan permainan poker bersama-sama dengan kawan-kawan saya.

Saya sifatkan poker sebagai satu permainan yang menghiburkan pada masa lapang, dan sebagaimana permainan kuda, dalam permainan poker ini kami bermain dengan secara yang kecil.” – 13MSDS, p153 & p153

Tapi bagi Dr Mahathir, tindakan Tunku tu dah buatkan orang Cina pandang rendah kat Tunku.

“Sabaleknya pula orang2 China tidak ada sedikitpun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku “naive” dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebutkan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sahinggga China becha.” – Surat Dr Mahathir pada Tunku, 17 Jun 1969

Walaupun macam tu, Tunku anggap perkara dan tuduhan macam ni cuma benda biasa yang penentangnya buat untuk menjatuhkan maruah beliau.

Mengenai surat Dr Mahathir yang menyebut saya bermain poker adalah satu taktik biasa yang diamalkan oleh pihak-pihak pelampau…” – 13MSDS,p152

Tunku Abdul Rahman dan P Ramlee sedang berbual di kediaman Perdana Menteri. Imej dari zamkata.

Selepas surat tersiar, Dr M disisihkan oleh UMNO dan rakan-rakan

Bila surat Dr Mahathir kat Tunku mula tersebar ke seluruh negara. Orang UMNO yang setia pada Tunku mula marah dan sifatkan Dr Mahathir kurang ajar dan tak hormat pemimpin. Tunku juga marah dan anggap yang beliau tak pernah dapat surat sekasar surat Dr Mahathir.

Pada 12 Julai 1969, di Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak dan dihadiri Dr Mahathir. Isu surat tu mula dibincangkan.

Dr Mahathir diminta tarik balik surat beliau dan minta maaf pada Tunku. Tapi macam mana yang kita kenal Dr Mahathir, beliau bertegas tak nak tarik balik surat tu dan tak nak minta maaf.

“Saya ditanya oleh Tun Razak adakah saya saya bersedia untuk menarik balik surat itu dan minta maaf kepada Tunku. Saya memberi penjelasan ringkas tentang latar belakang surat menyurat di antara saya dan Tunku, tetapi menegaskan bahawa saya tidak bersedia untuk menarik balik surat atau memohon maaf. Saya kemudiannya diminta untuk menunggu di bilik menunggu.”

“Sebelum mesyuarat tamat, Tun Dr Ismail datang menemui saya di bilik menunggu. Beliau bertanya sekali lagi adakah saya bersedia untuk tarik balik surat dan memohon maaf kepada Tunku. Saya tetap dengan pendirian saya dan beliau kembali ke bilik mesyuarat.” – ADITH, p206 & 207

Tun Dr Ismail, Tun Razak dan Tun Tan Siew Sin. Imej dari New Straits Times.

Hasil dari mesyuarat tu, Dr Mahathir dipecat dari Majlis Tertinggi UMNO. Sehari lepas tu, surat Dr Mahathir diharamkan dan sesiapa yang ada surat tu tanpa kebenaran boleh dipenjara setahun atau denda $1000 atau kedua-duanya sekali. Sesiapa yang menerbit, mencetak atau mengedarkan surat tu pulak boleh dipenjara tiga tahun atau denda $2000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika tu jugaklah, rumah Dr Mahathir mula digeledah Jabatan Hasil Dalam Negeri dan kawan-kawannya mula jauhkan diri dari dia. Itulah yang Dr Mahathir cakap kat Tan Sri Zainuddin Maidin (bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu).

“Saya berasa seperti terbuang. Orang pun dah takut nak datang rumah saya.” – Surat Dari Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, p28

Sebenarnya masa tu memang dah ada arahan untuk tangkap Dr Mahathir di bawah ISA. Tapi perkara itu tak dapat restu dari Tun Abdul Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya, Dr Mahathir dipecat dari UMNO pada 26 September 1969.

Imej dari kutukandewata.blogspot

Tun Razak bawa Dr Mahathir balik ke UMNO

Macam yang diceritakan tadi, kemenangan tipis Perikatan pada Pilihan Raya 1969, peristiwa 13 Mei, darurat dan tersebarnya surat Dr Mahathir kat Tunku dah buat keadaan politik masa tu kucar kacir.

Walaupun, Tunku boleh dikatakan masih ada sokongan dalam kerajaan dan UMNO tapi tentangan terhadap beliau sangat hebat. Tunku pun sedar yang orang Melayu masa tu dah hilang keyakinan kat beliau. Pelajar-pelajar universiti antara yang banyak melakukan demonstrasi menentang Tunku.

Tunjuk perasaan anti-Tunku oleh pelajar Maktab MARA dengan sepanduk “Abdul Rahman Nyanyuk-Gila Kuasa”. Imej dari 13 Mei Sebelum dan Selepas.

Kerajaan pun masa tu dah tubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipimpin oleh Tun Razak. MAGERAN ini bertanggungjawab dalam pulihkan balik negara lepas peristiwa berdarah 13 Mei dan pulihkan perpaduan rakyat ketika tu.

Masa ni jugak lah, Rukun Negara dibuat. Akhirnya, pada 1971 MAGERAN dibubar lepas parlimen dipulihkan. Dengan tekanan yang semakin kuat, terutama dari golongan pemuda UMNO. Pada 22 September 1970, Tunku letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan pada Jun 1971 Tunku berundur sebagai Presiden UMNO.

Walaupun ada yang cakap, Tun Razak yang ambil alih kuasa Tunku dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tapi Tunku nafikan perkara tu:

“Beliau (Tunku) menafikan laporan media asing bahawa Tun Razak telah mengambil alih kuasa daripadanya, sambil menjelaskan bahawa beliau kurang sihat dan tidak dapat memikul semua tanggungjawab mentadbir negara.” – ADITH, p208

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibubarkan pada 1971. Imej dari Majlis Keselamatan Negara.gov.

Lepas Tun Razak jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, usaha nak bawak balik Dr Mahathir ke UMNO makin kuat. Masa tu orang yang paling sokong Dr Mahathir masuk balik UMNO adalah Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor).

Pertemuan pertama Dr Mahathir dengan Tun Razak selepas beliau dipecat dari UMNO di Morib pada 1971. Imej dari tv14.

Akhirnya pada 7 Mac 1972, Dr Mahathir diterima balik masuk UMNO. Lepas pilihan raya 1974, Tun Razak lantik Dr Mahathir jadi Menteri Pelajaran. Semua ni takkan jadi kalau Tun Razak tak terima balik Dr Mahathir masuk UMNO.

“Tetapi beliau (Tun Razak) bukan sahaja membenarkan saya kembali ke pangkuan tetapi kemudiannya melantik saya sebagai seorang menteri penuh. Saya telah digambarkan sebagai anak emas Tun, yang menimbulkan kemarahan ramai orang kuat UMNO.” – Petikan dari blog Dr Mahathir, Chedet.cc, 18 Jan 2016

‘Super M’ tersiar di Utusan Zaman selepas Dr Mahathir kembali ke UMNO. Dr. Mahathir berkata: “Kartun ini memaksa mereka menyambut saya”. Imej dari Surat daripada Dr Mahathir.

“Dia lebih bijak dari saya” – Dr Mahathir

Dr Mahathir melawat Tunku Abdul Rahman di kediaman rasmi Tunku di Jalan Putra, Kuala Lumpur pada 12 Nov 1989. Imej dari Surat daripada Dr Mahathir.

Surat Dr Mahathir kat Tunku dah buat Tunku marah, tersinggung dan rasa tak dihargai. Sejak dari tu jugak hubungan Tunku dengan Dr Mahathir tak berapa baik.

Lepas Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, Tunku adalah antara orang yang aktif mengkritik pentadbiran Dr Mahathir. Perkara ini jadi lebih serius masa krisis UMNO 1987, yang menyaksikan UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988.

Bila Tengku Razaleigh buat parti baru “Semangat 46”. Tunku Abdul Rahman antara yang sokong kuat parti ni dan aktif berkempen untuk “Semangat 46” masa Pilihan Raya 1990, walaupun beliau tak berapa sihat. Tapi parti ni tak lama, Semangat 46 dibubarkan pada Mei 1996.

Lepas UMNO diharamkan, UMNO Baru ditubuhkan. Imej dari kedahlanie2u.

Walaupun ada yang cakap dua orang pemimpin ni takkan sepakat, tapi apa yang lebih penting kedua mereka ni ada aura dan cara mereka sendiri. Dr Mahathir sendiri menyesal sebab terlalu berkasar dengan Tunku dalam suratnya.

“Bila kenang kembali, saya seorang yang keras dan sengaja bersifat provokatif dalam surat saya itu. Saya mungkin boleh berlembut sedikit, tapi memang tujuan saya nak sakiti hati Tunku, untuk menyentak agar beliau sedar mengenai isu yang beliau cuba elakkan selama ini. Saya nak beliau tahu yang beliau menyebabkan semua masalah dalam negara. Hari ini, saya sangat menyesal dengan nada keras saya itu.” – ADITH, p203

Dr Mahathir pun mengaku yang dia masih hormat Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan dan tak akan benci kat Tunku.

“Saya mengiktiraf cara Tunku mencapai kemerdekaan dan konsep kemerdekaannya. Banyak tindakannya yang positif. Walau apa pun dilakukan oleh Tunku kepada saya, saya tidak pernah membencinya. Saya tetap menghormatinya.” – Surat Dari Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, p275 & 276

Selain tu, Dr Mahathir sendiri anggap yang dia pernah buat silap kat Tunku dan mengaku yang Tunku sebenarnya lebih bijak dari dia.

“Pada masa tu, saya tak berapa nampak lah Tunku punya pendapat, saya muda masa tu. Saya pun tentang Tunku. Tapi sekarang ni baru saya faham, dianya lebih bijak daripada saya.” – Petikan ucapan Dr Mahathir di Bicara Negarawan

Dr Mahthir dan Tunku di Perhimpunan Agung UMNO. Imej dari A Doctor in the House: The Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun, hubungan Dr Mahathir dan Tunku tak berapa baik. Tapi Dr Mahathir adalah orang yang bersama Tunku ketika Tunku menghembuskan nafas terakhir.

“Maka itu, Dr Mahathir adalah antara mereka yang berada di sisi Tunku ketika beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 6 Disember 1990, malah Dr Mahathir yang lebih dulu menyedari bahawa Tunku sebenarnya hidup pada zahir sahaja (clinically dead).” – Surat Dari Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, p276 & 277

Dr Mahathir menziarahi jenazah Tunku Abdul Rahman. Imej dari warisanpermaisuri.blogspot

Kalau kita tengok masa Tunku memimpin dulu, Dr Mahathir lantang kritik kepimpinan Tunku. Masa Dr Mahathir memimpin pulak, Tunku antara orang yang keras menentang Dr Mahathir. Jadi nampaknya sejarah berulang bila Dr Mahathir teruskan tradisi tu dengan kritik cara kepimpinan Pak Lah dan Najib Razak,

Hubungan Dr Mahathir dan Tunku mungkin kita boleh jadikan pengajaran dan tauladan. Walaupun hubungan diorang tak baik dalam politik, tapi diorang masih lagi mengamalkan hubungan baik di luar politik.

Ingat! Politik tak patut buat kita bermusuh, tapi kebencian yang selalu buat kita bermusuh. (Tapi kebencian jugak kadang-kadang sebab politik). Tak tau la…

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.