Gaddafi pernah baling buku sewaktu perhimpunan PBB, dah kenapa?

Perhimpunan Agung PBB ke-72 di New York telah pun berakhir pada 25 September 2017. Himpunan ni telah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin negara untuk menyatakan pandangan di depan ketua-ketua negara lain pada setiap tahun.

Perhimpunan PBB kali ni nampaknya banyak berita yang hangat bermula dengan ucapan Presiden Amerika Syarikat (US), Donald Trump yang pertama kali menyertai himpunan ni. Apa yang mengejutkan, Trump mengatakan US sangat bersedia untuk menghancurkan secara keseluruhan Korea Utara serta menamakan Kim Jong Un sebagai Rocket-Man. Trump turut mengkritik Iran dan perjanjian nuklear yang dibuat masa zaman Barack Obama bersama Iran dianggap memalukan. Maka bermulalah ucapan balas yang hangat dari pemimpin lain.

Ucapan yang paling ditunggu media. Imej dari National Review.

Kalau korang nak tahu, ini bukanlah pertama kali perisitwa hangat berlaku di perhimpunan PBB. Ianya telah banyak berlaku sebelum-sebelum ni hingga mengejutkan dunia. Di sini, kami senaraikan beberapa peristiwa dan ucapan yang mengejutkan dalam sejarah himpunan PBB.

1) Muammar Gaddafi sepatutnya berucap 15 minit tapi dia bantai berucap sejam 36 minit

Muammar Gaddafi adalah pemimpin yang pernah memerintah Libya selama lebih 40 tahun. Ada pelbagai pendapat mengenai pemerintahannya. Ada laporan mengatakan yang dia sangat disayangi rakyatnya dan tak kurang juga yang mengatakannya sebagai diktator. Walau apa pun, dia akhirnya digulingkan oleh kumpulan pemberontak yang dilaporkan mendapat sokongan kuasa luar.

Gaddafi akhirnya dibunuh. Imej dari Shoah.

Tapi, kalau korang pernah dengar ucapan-ucapannya di Persidangan Antarabangsa memang nampaklah ketegasannya. Waktu Sidang Kemuncak Negara Arab 2008 di Syria, dia kritik semua pemimpin Arab sebab tak nak bersatu walaupun sama darah dan bahasa. Apa yang paling tajam kata-katanya apabila mengingatkan pemimpin Arab lain.

“Seluruh kepimpinan Arab telah dihukum gantung, sekarang kita juga duduk di barisan yang sama. Kenapa? Salah seorang daripada kamu adalah yang seterusnya. Ya…Kita adalah musuh sesama kita. Sedih untuk saya katakan. Kita benci sesama kita. Kita membuat tipu daya sesama kita” – Muammar Gaddafi, petikan dari MemriTV

Itu depan pemimpin-pemimpin Arab. Bagaimana kalau Gaddafi berucap di Perhimpunan Agung PBB? Pada tahun 2009, Gaddafi telah berucap di himpunan tersebut buat pertama kalinya walaupun telah berkuasa sejak tahun 1969. Setiap pemimpin negara hanya dibenarkan berucap 15 minit seorang. Tapi tidak bagi Gaddafi, dia telah mengambil masa 1 jam 36 minit (96 minit) untuk berucap.

Sakit kepala. Lama benau ucapannya tu. Imej dari NBC News.

Sambil pegang buku nota bertulisan tangan, banyak perkara yang dia sentuh termasuk menyatakan yang selsema babi (swine flu) adalah senjata biologikal yang dicipta di makmal tentera serta menamakan Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB yang terdiri daripada Amerika, Britain, France, Russia dan China sebagai Majlis Pengganas. Dia juga mengingatkan pemimpin negara yang terdiri daripada 192 negara dalam dewan tu, bahawa suara mereka takkan didengari sebab ada kuasa veto dari kuasa-kuasa besar.

“Kamu bagi ucapan dan kemudian kamu hilang. Itulah kita semua sekarang ini” – Muammar Gaddafi, petikan dari The Guardian

Apa yang paling mengejutkan, Gaddafi turut membaling Piagam PBB ke belakang sebab menyatakan yang dia tak percaya dengan dokumen tu.

Selamba je tu. Imej dari Daily Mail.

2) Hugo Chavez perli Bush sebagai ‘setan’ dan membawa bau sulfur dalam dewan himpunan

Pada himpunan PBB tahun ni, ada beberapa ketua negara tidak datang seperti yang dijangka adalah Bashar Al-Asad (Syria) dan Kim Jong Un (Korea Utara). Begitu juga negara yang sedang mengalami pergolakan dalaman seperti Venezuela yang berada bawah pemerintahan Nicolas Maduro. Tapi, pemimpin Venezuela sebelum tu juga pernah membuat sesuatu yang mengejutkan ketika berucap di himpunan pada tahun 2006.

Sebelum Maduro naik jadi Presiden Venezuela, pemimpin sebelumnya iaitu Hugo Chavez telah menjadi presiden sejak 1999 lagi. Chavez adalah antara pemimpin yang berjaya menggulingkan kerajaan sebelum itu. Semasa pemerintahan Chavez, antara tindakannya yang sangat kontroversi adalah menjual minyak kepada Cuba, menolak usaha untuk menghentikan penjualan dadah di Colombia dan hubungan yang tegang dengan US.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez melawat kediaman rasmi Gaddafi yang merupakan khemah. Imej dari Justice In Conflict.

Walaupun begitu, ada juga laporan yang mengatakan Chavez telah berjaya membantu membentuk semula negara. Contohnya memperkenalkan kempen celik huruf (Mission Robinson) yang telah berjaya sampai kepada semua peringkat umur. Hasilnya kemiskinan dan kadar buta huruf berkurang. Begitu juga, memperkenalkan supermarket (Marcels) yang barangnya sangat murah kerana subsisidi kerajaan.

Dalam ucapannya, dia telah memerli Presiden US, Bush yang telah berdiri berucap ditempat yang sama 24 jam sebelum tu.

“Semalam, syaitan telah datang ke sini…Di sini. Di sini. Dan bau Sulfurnya masih lagi ada hingga hari ini, meja ini yang mana saya sekarang berdiri di depan” – Hugo Chavez, petikan dari New York Times.

Bucuk bau Sulfur ni. Sumber dari Giphy.

Selain memerli Bush sebagai syaitan dan membawa bau sulfur, sewaktu memulakan ucapan, dia telah mencadangkan kepada semua perwakilan negara untuk baca satu buku. Dia sendiri telah bawa dan tunjuk buku tu. Buku yang dia minta baca adalah Hegemony and Survival: Imperialist Strategy of the United States tulisan Noam Chomsky (Intelektual dari Amerika). Dia mengatakan buku tu akan memahamkan kita semua siapa sebenarnya yang bagi risiko kepada manusia.

“Saya fikir, orang pertama yang perlu membaca buku ini adalah abang-abang dan kakak-kakak kita di Amerika Syarikat, kerana ancaman terhadap mereka berada betul-betul di rumah mereka sendiri” – Hugo Chavez, petikan dari C-Span.

Berucap di himpunan PBB sambil promote buku gitu. Imej dari Evening Report.

Setelah ucapan tu, buku ni telah menjadi best seller di Amazon dan BN.com. Memang jarang ada pemimpin yang promote buku masa himpunan PBB macam Chavez buat ni.

3) Ahmadinejad mengatakan negara Eropah membayar wang tebusan kepada Zionis oleh kerana Holocaust

Pada himpunan PBB 2017, Trump telah pun mengkritik Iran sebagai negara yang dulunya kaya dengan nilai sejarah dan budaya kepada negara yang mengetuai eksport keganasan, pertumpahan darah dan kekacauan. Dia jugak mengajak seluruh dunia untuk menyertainya dengan meminta Iran menghentikan segala perkara yang membawa kematian dan kemusnahan.  Namun begitu, bila tiba giliran Presiden Iran, Rouhani berucap, dia mengatakan yang ucapan Trump adalah retorik yang tak masuk akal.

“Ianya sangat kasihan jika perjanjian ini akan dirosakkan oleh pendatang baru yang tidak berprinsip ke dunia politik” – Rouhani, Presiden Iran, petikan dari The Guardian.

Vladimir Putin serius bersembang dengan Rouhani. Imej dari The Duran.

Perjanjian yang dimaksudkan adalah Perjanjian Pengurangan Program Nuklear yang ditanda tangani pada tahun 2015. Perjanjian ni melibatkan negara-negara kuasa besar seperti US bersama Iran yang bakal menghentikan sekatan antarabangsa terhadap Iran. Kritikan Trump ke atas perjanjian tu nampaknya seperti mahu merosakkannya tapi apa yang pasti negara lain akan tetap bersama dengan perjanjian tu. Tapi, masa Rouhani buat ucapan ni taklah macam Presiden Iran sebelumnya iaitu Ahmadinejad. Apa yang berlaku?

Mahmoud Ahmadinejad adalah antara pemimpin muslim yang berpengaruh pada zamannya. Dia ni sangat lantang apabila mengkritik US, negara barat, Israel dan gerakan Zionis. Sewaktu berucap di Perhimpunan PBB 2011, Ahmadinejad telah menimbulkan persoalan antaranya,

“Siapa yang telah menggunakan insiden misteri 11 September sebagai punca untuk menyerang Afghanistan dan Iraq, membunuh, mencederakan dan menghilangkan tempat tinggal jutaan orang di dua negara dengan tujuan utama untuk mendominasi Timur Tengah dan sumber minyaknya?” – Mahmoud Ahmadinejad, petikan dari IB Times.

Ucapan pedas, bila ambil gambar pandai pulak buat peace yow. Imej dari The Telegraph.

Dia turut mempersoalkan mengenai kewujudan bilangan ratusan kem tentera US di negara-negara seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan, Itali, UK dan Portugal. Selain mengkritik US, dia juga menggunakan peluang berucap ini untuk mengkritik negara Eropah.

“Jika sebahagian negara Eropah masih menggunakan Holocaust, selepas enam dekad, sebagai alasan untuk membayar denda atau wang tebusan kepada Zionis, bukan ke sepatutnya menjadi kewajipan untuk tuan kepada hamba atau negara penjajah untuk membayar wang pampasan kepada negara yang terkesan (yang pernah dijajah)?” – Mahmoud Ahmadinejad, petikan dari IB Times.

Hasilnya, ramai Diplomat termasuk dari US, UK dan Perancis angkat kaki meninggalkan dewan tu. Bagi CNN, ini adalah antara perisitiwa paling gila dalam himpunan antarabangsa ini.

Bukan pergi toilet tu. Sakit telinga je. Imej dari Daily Mail.

4) Presiden Sudan cakap yang Zionis adalah punca negara dia bergolak

Pada Persidangan PBB 2004, Bush telah menyentuh mengenai pergolakan yang berlaku di Darfur, Sudan sebagai pembunuhan beramai-ramai. Walaupun PBB yang buat siasatan sebelum tu menyatakan yang ianya bukan pembunuhan beramai-ramai tapi jenayah terhadap manusia. Sebenarnya, apa yang berlaku di Darfur adalah konflik tradisi sejak dulu lagi antara pengembala dan peladang untuk bersaing mendapatkan sumber dalam keadaan iklim yang kering.

Tapi, pada tahun 2003, ianya bertukar menjadi pemberontakan terhadap kerajaan apabila ada kumpulan pemberontak mula menyerang lapangan terbang dan menghancurkannya. Jadinya, kerajaan bawah pimpinan Omar Al-Bashir telah menghantar tentera untuk melawan pemberontak. Bagi Bashir, dia tak lawan orang Darfur tapi pemberontak.

Kesan konflik perang di Darfur dianggap krisis kemanusiaan paling teruk di dunia oleh PBB. Imej dari NBC News.

Konflik di Darfur berterusan hingga membawa 2.5 juta orang dipindahkan ke kem berdekatan. Kumpulan aktivis hak asasi manusia dan lain-lain organisasi dari Eropah menganggap Bashir sebagai diktator dan raksasa. Walapun ada pihak lain menganggap Bashir antara orang penting yang menghentikan perang dengan selatan Sudan hingga tertubuhnya negara South Sudan yang merdeka dari Sudan.

Ketika di himpunan PBB 2006, Bashir telah bercakap mengenai punca utama konflik yang berlaku di Sudan.  Bashir mengatakan yang barat cuba menganggu negara dia sebab nak jaga keselamatan Israel. Dia juga mengatakan yang organisasi Zionis ada niat untuk melemahkan Sudan. Tambahnya lagi, pihak antarabangsa perlu ambil tindakan terhadap jenayah yang dilakukan Israel ke atas Palestin dan lain-lain negara serantau.

Bashir berucap di himpunan PBB. Imej dari IPS News.

“Tujuan utama adalah keselamatan untuk Israel. Mana-mana negara di rantau ini akan dilemahkan, dipecah-belahkan demi melindungi orang-orang Israel untuk menjamin keselamatan Israel” – Omar Al-Bashir, petikan dari Sudan Tribune.

Kalau korang nak tahu, Israel telah mendakwa yang Sudan ada seludup senjata kepada Hamas di Semenanjung Gaza. Tapi, Bashir dah nafikan. Tapi apa yang mengejutkan, aktivis-aktivis dari Israel pada tahun ini telah mengumpulkan petisyen untuk mendakwa kerajaan Israel ke mahkamah jenayah atas kesalahan mengeksport senjata kepada South Sudan waktu perang saudara berlaku di sana.

Israel nak tolong South Sudan agaknya. Sumber dari Giphy.

Perhimpunan PBB tempat untuk dengar buah fikiran pemimpin dunia

Banyak sebenarnya ucapan-ucapan pemimpin dunia lain yang mungkin kurang kontroversi tapi ada buah fikiran yang baik. Tujuannya supaya kita dengar sendiri dari mulut pemerintah sana apa yang berlaku di negara mereka berbanding di media. Contohnya, semua orang hari ni boleh keluar pendapat sendiri mengenai konflik di Syria. Tapi, dengan ucapan Walid Al-Moallem (Timbalan PM Syria sekarang) baru-baru ni mungkin boleh kita ambil sikit pandangan yang berbeza.

Antara isi ucapannya ialah Organisasi Pelarangan Senjata Kimia (OPCW) mengesahkan yang Syria dah menghentikan segala aktiviti melibatkan bahan kimia. Selain tu, dia juga menyatakan tak terkejut langsung dengan terlibatnya Israel dengan kumpulan pemberontak di Syria sebab diorang ada misi yang sama untuk menguasai Golan sejak 1967 lagi. Begitu juga, kenyataan tentang kewujudan pasukan pemberontak tajaan Turki.

Menteri Luar Malaysia berucap di himpunan PBB kali ni. Imej dari Reuters.

Selain tu jugak, kita boleh dengar apa pendirian negara kita dalam sesuatu isu. Pada tahun ni, kerajaan Malaysia telah berucap diwakili oleh Datuk Seri Anifah Aman yang merupakan Menteri Luar. Apa pendapat Malaysia pasal Korea Utara dan krisis Rohingya? Kalau nak tahu, boleh dengar kat sini.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT