- 260Share sekarang!
- Email25
- Facebook235
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Baru-baru ni, saudara kitorang di ClLISOS ada perasaan satu benda pelik di akaun media sosial Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon. Sebabnya, dalam post tu, ada gambar Sin Woon dekat kedai bak kut teh, tengah minta derma. Ini dia post tu:
https://www.facebook.com/chongsinwoon/posts/139482377455133
Sebenarnya, kitorang pun tak faham apa yang ditulis tu, tapi nasib baiklah ada yang faham dan tolong terjemahkan. Bunyinya macam ni lah lebih kurang:
“MCA telah secara rasmi memulakan aktiviti mengumpul dana untuk TAR UC, dan perhentian pertama adalah di Samy & Min Bak Kut Teh. Kami berjaya mengumpul RM5,935 hanya dalam masa dua jam, dan kami menggalakkan semua ahli MCA (tanpa mengira daerah, bandar atau cawangan) untuk menyertai aktiviti mengumpul dana TAR UC ini.
Kami juga berharap semua kumpulan, vendor, ahli perniagaan dan orang-orang dari sektor pendidikan yang relevan dapat menyertai pengumpulan dana ini,” – Chong Sin Woon, diterjemahkan dari FB-nya.
Kalau korang masih lagi tak berapa jelas, sebenarnya Sin Woon ni dah minta derma di sebuah kedai bak kut teh bagi dapatkan dana untuk Tunku Abdul Rahman University College (TAR UC). Tapi kenapa pula institusi pendidikan tinggi terkenal macam ni minta derma? Dah takde duit sangat ke?
Sebelum kita jawab persoalan tu, kita kena faham dulu sejarah TAR UC ni.
MCA asaskan sebuah kolej untuk beri peluang kepada orang Cina
Sebelum dinaiktaraf jadi kolej universiti pada 2013, TAR UC dikenali sebagai Tunku Abdul Rahman College. Sejarahnya bermula pada tahun 1960-an, bila MCA masa tu nampak yang komuniti Cina susah sikit nak dapat peluang untuk sambung pelajaran.
Jadinya, datanglah idea nak bina universtiti yang menggunakan bahasa Cina yang dipanggil sebagai Universiti Merdeka pada 1967. Tapi nampaknya, pembinaan universiti tu dah ditolak oleh kerajaan dan mahkamah. Tapi lepas tu, kerajaan benarkan MCA buat Kolej Tunku Abdul Rahman.
TARC akhirnya dibuka pada 24 Februari 1969, dan ambil 320 orang pelajar masa tu. Tanpa adanya bangunan rasmi, ada kelas yang dibuat di sekolah, dan ada juga yang dijalankan di luar.
Tak lama lepas tu, jadi pula peristiwa hitam 13 Mei, yang membawa kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya. Salah satu yang diperkenalkan juga adalah kuota etnik di institut pengajian tinggi dan pada tahun 1970-an dah ditetapkan kuota untuk Bumiputera (55%), Cina (35%) dan Inda serta lain-lain (10%).
Makanya, TARC masa tu mula jadi satu institusi penting kepada bukan bumiputera (khususnya masyarakat Cina) sebab ia sebahagian dari usaha politik. Pada tahun 1972, Menteri Pelajaran masa tu, Tun Hussein Onn dah umumkan yang kerajaan akan sediakan bantuan kewangan kepada TARC dalam bentuk 50:50. Lepas tu, kerajaan BN sediakan pula dana tahunan sampai RM60 juta setahun, sejak institusi ni jadi kolej universiti.
Pada tahun 1970-an juga, kerajaan ada luluskan kawasan di Setapak untuk dibina kampus induk TARC. Orang di sebalik nama kolej ni, Tunku Abdul Rahman sendiri ada dalam majlis pecah tanah tu.
Bagaimanapun, nak bina institut pengajian ni bukan kena ada tu je, tapi lebih dari tu. Dan sebab itu jugalah MCA buat kempen derma selama 3 tahun. Ramai orang yang datang dari pelbagai latar belakang, macam peniaga, persatuan Cina dan ahli-ahli MCA sendiri – sama-sama menderma dan bantu apa yang patut untuk bina kolej. Program macam walkathon juga diadakan bagi kutip derma untuk pinjaman pelajar. Seperti mana yang dikatakan oleh penjaja ini:
“Saya masih ingat, orang seperti penjaja, penarik beca dan pendandan rambut melakukan yang terbaik untuk mengumpul wang dan mendermakannya ke kolej,” – Loke Thean Meng, penjaja, dipetik dari The Star.
Pada tahun 1980-an dan 1990-an, usaha mengembangkan lagi TARC nampaknya diteruskan, memandangkan TARC masa tu dah ada ramai pelajar iaitu sekitar 6,272 orang pada 1980 jauh dari jumlah masa mula-mula beroperasi dulu. Presiden MCA masa tu, Tun Dr Ling Liong Sik pun buat pelbagai kempen derma dan aktiviti kumpul dana.
Lepas tu, pelbagai lagi pembangunan yang TARC lalui, macam pembinaan kompleks sukan, pusat siber dan juga cawangan-cawangan baru di seluruh Malaysia. Tapi, masa Ling Sik jadi Presiden MCA, dia bukan je nak kembangkan TARC.
Liong Sik mahukan universiti, dan minta dengan Dr Mahathir masa atas kapal terbang
Lepas berdekad sejak TARC dibina, Liong Sik nak tambah baikkan lagi pendidikan di institut ni dengan rancangan menaik tarafnya menjadi – Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Ceritanya, Liong Sik dengan PM masa tu Dr Mahathir dua-dua ada dalam kapal terbang, dan baru je makan tengah hari nasi lemak kegemaran Dr Mahathir. Bila nampak perdana menteri tengah gembira di depannya, Liong Sik pun fikir inilah masa paling sesuai nak minta rancangannya supaya UTAR diwujudkan.
Bila Liong Sik suarakan hasratnya tu, Dr Mahathir dengar je dan tak balas apa-apa. Tapi, Dr Mahathir tulis idea Liong Sik dalam buku notanya. Bila nampak Dr Mahathir buat macam tu, Liong Sik dah pun senang hati, sebab dia tahu – kalau Dr Mahathir dah tulis dalam buku nota, tu maknanya idea tu baik.
Hampir seminggu lepas peristiwa atas kapal terbang tu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim datang ke rumahnya dengan bawa – surat permohonan MCA untuk tubuhkan UTAR.
“Anda tidak memohon untuk membentuk sebuah universiti, anda tahu? Jika mereka fikir anda layak, mereka menjemput anda untuk membentuk universiti…
Jadi, idea UTAR dilahirkan di udara, bukan di laut atau di atas katil. Ia berada di atas kapal terbang,” – Dr Ling, dipetik dari The Star.
Bila dah dapat lampu hijau macam tu, Liong Sik pun mula kumpulkan dana untuk bina UTAR. Dia dengan setiausaha politiknya, Tan Sri Ong Ka Ting lepas tu terbang ke Hong Kong dan diorang pun jumpa dengan Robert Kuok.
Lepas beritahu Kuok pasal berita gembitra tu, Kuok beritahu yang Liong Sik kena ada banyak duit kalau nak bina universiti, jadinya dia boleh tolong bagi RM20 juta. Tapi jumlah ni masih lagi tak cukup, dan lepas tu beberapa lagi taikun sudi tolong termasuklah – Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Tan Sri Lim Goh Tong yang derma berjuta ringgit untuk bina UTAR.
Persatuan Penjaja pun tolong sama, dan membina UTAR memakan kos hampir RM200 juta. UTAR akhirnya siap terbina pada 2002. Sekarang universiti ni dah ada dua kampus utama iaitu di Kampar dan Sungai Long.
Sejak PH ambil alih, Menteri Kewangan dah kurangkan peruntukan kepada TAR UC
Ingat tak lagi yang kitorang beritahu di awal tadi, bahawa kerajaan bagi geran sepadan (matching grant) kepada TAR UC sebanyak RM60 juta? Tapi, sejak Belanjawan 2019 (belanjawan pertama PH), nampaknya keadaan dah tak macam tu lagi.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, setakat ni tak berikan geran sepadan yang sepatutnya kepada institut pengajian tinggi MCA ni. Ini kerana, dalam Belanjawan 2019, hanya RM5.5 juta diperuntukan kepada TAR UC dan ia lebih berkurangan dalam Belanjawan 2020 apabila TAR UC cuma dapat RM1 juta.
Tapi, Lim ada kata yang kerajaan sedia nak berikan peruntukan RM30 juta, kalau MCA lepaskan kawalan parti tu dalam TAR UC. Sebabnya, kerajaan nak buat reformasi institusi iaitu termasuk memisahkan dana dan parti politik.
“Atas sebab itu, dana awam tidak boleh diberikan kepada institusi yang dikendalikan oleh parti politik.
Prinsip dasar akauntabiliti awam ini diamalkan di semua negara demokrasi di dunia dan dihormati oleh semua parti politik di Malaysia, termasuk parti pembangkang, kecuali MCA.” – Lim Guan Eng, katanya dipetik dari Malaysiakini.
Apa-apa pun, memandangkan Belanjawan 2019 dan Belanjawan 2020 hanya peruntukan sejumlah kecil kepada TAR UC, daripada apa yang dapat sebelum ni – MCA memang sah-sahlah tak puas hati. Bagi Presiden MCA, Wee Ka Siong, apa yang kerajaan buat ni adalah ‘dendam politik’, dan PH juga nampaknya melanggar janji diorang tentang pendanaan TAR UC.
“Apa yang sedang berlaku sekarang bila dia telah menjadi menteri kewangan? Beliau kata dengan lantang yang Pakatan akan terus memberikan peruntukan kepada TAR UC dan UTAR tanpa melihat latar belakang kerana mereka menekankan pembangunan modal insan.
Tapi tiba-tiba perkara berubah sebab dendam politik dan rasa tak sukanya kepada MCA,” – Wee Ka Siong, dipetik dari The Star.
MCA juga dakwa, tak ada sesen pun dana yang diberikan kepada institut itu disalurkan ke dalam parti. Ka Siong kata macam tu, lepas Guan Eng minta lembaga TAR UC supaya letak jawatan dan ancam akan ambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang didakwa buat ambil peruntukan kerajaan.
Tapi, apa yang agak melucukan adalah, masa Belanjawan 2018 dulu – peruntukan untuk TAR UC tak didedahkan, sampaikan DAP mempersoalkan kerajaan BN masa tu tentang kekurangan dana kepada institusi itu. Bagaimanapun, kerajaan lepas tu jelaskan yang memang ada RM30 juta yang diperuntukkan.
Apa yang pasti, perbalahan politik ni dah tentu akan meletakkan masa depan pelajar-pelajar TAR UC dalam risiko. Disebabkan hal ni juga, nampaknya ada di kalangan rakyat sendiri yang cari ikhtiar buat kempen derma untuk TAR UC.
Contohnya, macam Loke Thean Meng atau lebih dikenali sebagai Uncle Loke penjaja mi kari di Pulau Pinang ni. Untuk setiap mangkuk mi yang dia jual, dia dermakan 10 sen kepada TAR UC.
“Selama setengah abad, TARC telah menjadi tempat yang melahirkan banyak bakat di Malaysia, dari profesional hingga menteri. Keadaan TARC hari ini menyayat hati, tetapi ia juga mengingatkan saya betapa rela masyarakat Cina akan mendermakan kepada TARC 50 tahun yang lalu…
Saya mungkin tidak dapat menyumbang sumbangan yang besar, tetapi saya akan melakukan apa yang saya boleh. Saya mengumumkan dari 1 November dan seterusnya, akan ada pengumpulan dana jangka panjang sebanyak 10 sen untuk setiap mangkuk mi kari yang dijual.
Uncle Loke berharap, langkah kecil ini akan bangkit semua peringkat masyarakat dan menyertai pengumpulan dana,” – Loke Thean Meng, diterjemah dari Facebook-nya.
Akhirnya, nampaklah kita walaupun di kalangan orang politik bergaduh sesama sendiri, masih ada orang yang rasional dan sanggup mengambil langkah membantu pendidikan bangsa mereka, seperti Uncle Loke. Dalam masa sama, persoalannya sekarang, sampai bila isu ni akan berlarutan dan apa langkah kerajaan seterusnya.
- 260Share sekarang!
- Email25
- Facebook235
- Share