Syarikat yang bertanggungjawab atas empangan pecah di Brazil ni ambil alih projek Malaysia?

(Untuk korang yang nak tahu sama ada berita tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Bagi kebanyakan orang Perak, Teluk Rubiah satu masa dulu merupakan sebuah pusat pelancongan di negeri mereka yang sangat strategik dan sesuai untuk percutian keluarga. Disebabkan tempatnya yang agak terpencil, ia sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan dari kesibukan bandar.

Teluk Rubiah yang satu masa dulu dikatakan sangat cantik. Imej dari pulau-pangkor

Tapi nampaknya pada tahun 2010, segalanya berubah apabila resort di Pantai Teluk Rubiah dijual kepada sebuah syarikat berpangkalan di Brazil untuk projek transit bijih besi untuk diedarkan ke tempat lain.

Ini yang kemudiannya menyebabkan kepada penutupannya pada bulan Oktober tahun yang sama…

Terbengkalai seberapa ketika sebelum beroperasi

Walaupun merupakan syarikat perlombongan dari Brazil, bagaimanapun ia dinamakan sebagai ‘Projek Malaysia’. Dengan pelaburan modal permulaan sebanyak AS $900 juta (RM3 bilion) oleh syarikat perlombongan besi kedua terbesar di dunia, Vale S.A. (Vale), ia akan melibatkan pembinaan terminal pelabuhan laut yang mampu menampung kapal dengan kapasiti 400,000 tan berat mati (dwt). 

Laluan akses jeti berukuran 2.2 kilometer dan kepala jeti operasi adalah 800 meter panjang milik Vale SA di negara kita. Imej dari baminternational.com

Projek ni adalah di mana jumlah kuantiti bijih besi akan diimport dari Brazil, sebelum ditukar menjadi pelet dan diedarkan kepada pelanggan di Asia Tenggara, China dan rantau Asia Pasifik. Jeti khusus juga akan dibina untuk mengimport bahan mentah dan mengeksport produk siap. Perak pada masa tu dikatakan kekurangan sumber untuk pelaburan dan pembangunan, lalu menandatangani perjanjian dengan syarikat Brazil tersebut.

Masa tahun 2010, projek tu hanya menunggu masa untuk dapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kedua. Malah, syarikat tu sempat melantik konsultan bagi menyediakan laporan pada tahun tersebut disebabkan projek yang besar, dan banyak aspek alam sekitar perlu diambil kira.

”Laporan EIA yang pertama sudah diterima dan ia sudah diluluskan tetapi Vale diminta kemukakan satu lagi laporan EIA kerana ia projek yang besar dan banyak aspek alam sekitar perlu diambil kira.

Vale sudah melantik konsultan bagi menyediakan laporan tersebut dan projek dijangka bermula sebaik mendapat kelulusan,” – Menteri Perak pada masa tu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir

Zambry Abd. Kadir, bekas Menteri Besar Perak

Bagaimanapun pada pertengahan tahun 2011, kerja-kerja projek tu bermula. Marcello Figueiredo, pengarah operasi Vale di Malaysia kata takkan ada kesan alam sekitar  fasa semasa projek itu kerana mereka hanya membina pusat pengedaran.

Bagaimanapun pada tahun 2012, projek tersebut terbengkalai. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bekas menteri besar Perak sebelum tu mengakui yang dia pernah menandatangani surat sokongan terhadap projek pusat pengagihan bijih besi Vale International yang bertarikh 17 Disember 2008 tu apabila ditanya pihak pembangkang di mana projek tersebut sepatutnya berlangsung di Bagan Dato, dan bukannya Teluk Rubiah.

Perbezaan besar sebelum dan selepas projek. Imej dari alchetron.com & pulau-pangkor.com

Dia juga merupakan antara ADUN yang mengadakan bantahan operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang didakwa akan memusnahkan alam sekitar  bersama  Ngeh dan Adun Tronoh V. Sivakumar menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak (JAASP).

Kilang itu kemudiannya memulakan operasi pada bulan Jun 2014 apabila syarikat tersebut bercadang untuk memperluas terminal yang dikatakan mampu mengendalikan pemindahan 30 juta tan bijih besi pada peringkat awal dan sehingga 90 juta tan apabila diperbesarkan.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai Terminal Maritim Teluk Rubiah pada majlis perasmian terminal tersebut pada tahun 2014. Imej dari Utusan

Dah lama ditentang penduduk setempat

Kalau nak diikutkan, penentangan terhadap pembinaan Kilang Bijih Besi di Teluk Rubiah dah lama, iaitu sejak 10 tahun lalu. Penentangan terhadap pelaburan Vale Manufacturing Malaysia Projek Teluk Rubiah di Teluk Rubiah tak diendahkan walaupun dah dapat kelulusan kerajaan Perak. Bukan setakat pantai dan zon penangkapan ikan persisiran pantai, malah kita juga kehilangan hutan simpan, zon pelancongan, dan juga tanah kubur lama masyarakat asal Teluk Rubiah.

Malah sebelum bermulanya projek tersebut, ada satu sidang umum yang dianjurkan oleh kerajaan negeri pada November 2009 di mana Abdul Rahman Said Alli, Presiden Persatuan Alam Sekitar Perak berkata pihak berkuasa tak dengar pun bantahan masyarakat setempat di mana mereka tak bersetuju sebab penduduk kampung bergantung hidup dengan memancing, dan pergerakan kapal besar di lorong laut akan membahayakan kapal nelayan mereka. Dia dalam masa yang sama menolak tuntutan yang kilang tu akan menyediakan pekerjaan kepada masyarakat setempat, tapi lebih kepada golongan profesional je.

Macam familiar je?

Buat projek kat tanah orang, tapi ketepikan tuan tanah. Klik untuk baca.

Pada majlis pecah tanah, Menteri Besar Perak pada masa tu, Zambry Abdul Kadir meredakan kebimbangan orang ramai dan berkata teknologi hijau digunakan,

“Negeri telah mengemukakan syarat di mana Vale mengikuti prosedur penilaian kesan alam sekitar dengan ketat… Saya tidak akan bertolak ansur dengan apa yang akan membawa kepada masalah alam sekitar.”

Pengarah Eksekutif Vale, Jose Carlos Martins Antonio juga memberi jaminan kepada rakyat Perak yang Vale akan mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk melindungi alam sekitar.

“Ini adalah komitmen kami kepada negara ini, pihak berkuasa negara ini dan rakyat Perak. Kami berada di sini untuk memperbaiki kehidupan rakyat. “

Dan kebimbangan yang pernah disuarakan mereka berasas apabila syarikat yang berpusat di Brazil tersebut nampaknya bukan merosakkan alam sekitar, malah sehinggakan mendapat anugerah syarikat paling teruk di dunia.

Perbalahan antara Zambry dan Nizar Jamaluddin mengenai dokumen persetujuan projek Vale di Teluk Rubiah. Imej dari darisungaiderhaka

Vale S.A, mendapat undian syarikat paling teruk di dunia pada 2012

Pada tahun 2012, Vale, syarikat yang diasaskan di Brazil ni nampaknya, mendapat undian masyarakat antarabangsa dalam anugerah World Worst Corporation terhadap isu alam sekitar, kemanusian, sosial, kebajikan pekerja dan komuniti tempatan di beberapa buah negara pelaburannya, berdasarkan laporan dari Forbes.

Lakaran artis terhadap syarikat Vale. Imej dari habitants.org

Pada tahun 2015, empangan Samarco yang dimiliki oleh usaha sama Samarco Mineracao SA antara Vale dan BHP, yang membunuh 19 orang dan sebuah pencemaran yang tak boleh diperbaiki dari seluruh lembangan Sungai Doce. Masa tu, lebih 20 orang dituduh melakukan jenayah termasuk pembunuhan, tapi tak pernah dihadapkan ke mahkamah, apatah lagi disabitkan kesalahan atau dipenjarakan.

Bukan tu je, kita sekali lagi menyaksikan runtuhan empangan maut yang berlaku awal Januari tahun ni yang dah mengorbankan seramai 186 nyawa, manakala 122 lagi masih hilang di kota Brumadinho, Brazil.

Sejak berlakunya bencana pada 25 Januari lepas, Vale nampaknya dah kehilangan satu per empat nilai pasarannya – hampir $ 19 bilion, dan akhirnya membawa kepada penangkapan lapan pekerja syarikat perlombongan tersebut.

Pihak berkuasa Brazil akan menyiasat penambang Vale SA atas kemungkinan berlaku rasuah di kalangan pegawai yang mengelirukan mengenai keselamatan empangannya yang meletus dan membunuh beratus-ratus orang, kata jurucakap Kementerian Pertambangan dan Tenaga.

Perbezaan dulu dan sekarang. Imej dari news.com.

Manakala di Malaysia pula, bukan setakat Teluk Rubiah, malah beberapa kawasan berhampiran juga nampaknya mendapat nasib yang sama. Contohnya Teluk Muroh yang ditambak secara rakus, membuatkan hasil laut seperti kerang, kepah dan remis semakin sukar untuk membiak serta menyebabkan kekurangan hasil pendapatan penduduk tempatan.

Dan nampaknya pada tahun 2014, barulah ada kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh Vale di Teluk Rubiah.

Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh 50 sukarelawan mengumpul lebih daripada 50kg sisa yang terperangkap di sungai berhampiran. Imej dari vale.com

Teluk Rubiah merupakan tanah rizab Melayu yang tergadai

Selain daripada skandal tersebut, nampaknya Teluk Rubiah sendiri dikatakan sebuah kampung nelayan tradisional Melayu dan merupakan tanah simpanan Melayu, atau tanah rizab Melayu sehingga tahun 1984.

Perkampungan Melayu zaman dulu yang unik, sayangnya ditelan zaman. Imej dari merdeka.com

Ini kerana pada tahun 1983, Kerajaan Negeri Perak nampaknya bercadang untuk memajukan tempat tersebut kepada pusat pelancongan mewah yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Teluk Rubiah Country Club’ dan ‘Teluk Rubiah Resort’.

Jadinya, mereka mengguna-pakai peruntukan perundangan mengikut Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960  bagi Projek Pelancongan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam kawasan Teluk Batak/Teluk Rubiah, Mukim Lumut. Disebabkan ia adalah kawasan kampung, kerajaan negeri nampaknya memansuhkan Rizab Melayu, dan membayar pampasan ataupun penempatan baru kepada orang kampung tersebut.

Kalau nak diikutkan, kerajaan negeri memang boleh mansuhkan tanah rizab Melayu, tapi tanah tu perlu diganti dengan tanah yang sama saiz (dan nilainya).

Baca kat sini. Imej dari Soscili

Tapi persoalannya, macam mana nak ganti tanah di Teluk Rubiah dengan sesuatu yang setanding dengannya bukan setakat saiz, malah nilainya yang terdahulu sebelum berlakunya pemusnahan alam atas nama kemajuan negara.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)