- 2.0KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share
Dengan keadaan Malaysia yang terus menuju ke arah negara maju sekarang ni, maka banyaklah pembangunan yang kita dapat tengok kat sana sini. Tak kiralah kat kawasan bandar, pekan atau kampung. Kalau kat KL jangan cakaplah banyak sangat pembangunan yang kita boleh nampak, macam tak pernah berhenti. Ada yang buat bangunan, jalan, MRT dan macam-macam lagi.
Dalam kita mengejar kemajuan, ada satu berita yang tak berapa sedap kita dengar. Perkara tu adalah pasal kes Tanah Rizab Melayu yang semakin berkurang. Baru-baru ni, seorang pengkaji ada mendakwa yang 9 juta hektar Tanah Rizab Melayu masih lagi belum diganti.
https://www.youtube.com/watch?v=heBjA21gggQ
Apa tu Tanah Rizab Melayu? Istimewa sangat ke Tanah Rizab Melayu ni? Macam mana pulak cara nak gantikan tanah tu? Ini mungkin apa yang ada kat fikiran kita sekarang ni. Jadinya, SOSCILI ambil peluang ni untuk terangkan kepada semua pasal isu ni.
Tanah Rizab Melayu dah wujud sejak lebih 100 tahun dulu
Menurut sejarawan negara, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim, pada tahun 1900 dulu, kat Kuala Lumpur dah takde orang Melayu sebab terhakis dengan pembangunan. British pun mula risau sebab majoriti kaum kat negara ni orang Melayu, tapi takde orang Melayu kat Kuala Lumpur. Jadinya British pun perkenalkan ‘Malay Agricultural Settlement’ yang kita kenal sebagai Kampung Baru sekarang ni.
Walaupun macam tu, masalah ni belum selesai bila orang Melayu masa tu suka jual tanah kat orang asing. Jadinya, British perkenalkan pulak Enakmen Rizab Melayu (atau Enakmen Tanah Simpanan Melayu) pada tahun 1913. Bermula dari itu jugalah, takrif Melayu diperkenalkan.
“Seorang Melayu mestilah beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu secara lazim dan mengamalkan adat istiadat Melayu.” – Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan.
Lepas tu, semua negeri kat Semenanjung Tanah Melayu pun perkenal Enakmen Rizab Melayu, kecuali Pulau Pinang dan Melaka. Sebabnya, dua negeri ni termasuk dalam negeri-negeri Selat (tak beraja). Apa yang pasti, tanah rizab ni diperkenalkan untuk menjamin dan melindungi kepentingan tanah orang Melayu.
Bila merdeka, Tanah Rizab Melayu ni diperkuatkan lagi dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 89) sebagai undang-undang teragung kat negara ni. Tapi ada benda penting yang kita kena tahu – semua hal berkaitan dengan tanah adalah kuasa negeri dan bukannya kuasa persekutuan. Sebab tu jugaklah, takrif Melayu tu boleh berbeza-beza mengikut negeri (klik sini untuk baca dalam PDF).
Dengan adanya enakmen ni, mana-mana tanah yang dijadikan Tanah Rizab Melayu (TRM) jadi tanah khas untuk orang Melayu dan tak boleh dijual, dipajak atau buat apa-apa urus niaga dengan orang bukan Melayu. Sebenarnya, ada dua jenis TRM, satunya yang dimiliki kerajaan (negeri) dan satu lagi yang dimiliki individu (orang Melayu). Bila Tanah Rizab Melayu ni diambil, tanah tu mestilah diganti balik.
“Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja, maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti.” – Enakmen Rizab Melayu.
Walaupun Tanah Rizab Melayu ni nampak macam tindakan British yang baik. Tapi sebenarnya, ia masih ada kelemahan dan agenda sendiri.
“…salah satu alasan pihak British memperkenalkan TRM adalah untuk mengukuhkan Dasar Pecah dan Perintah yang dilaksanakan bagi memastikan masyarakat Melayu untuk terus kekal tinggal di kawasan luar bandar dan pendalaman serta meneruskan aktiviti pertanian tradisional…” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak.
Disebabkan kelalaian orang Melayu dan kerajaan, Tanah Rizab Melayu cuma tinggal 12 peratus!
Sebenarnya, Tanah Rizab Melayu ni berkait rapat dengan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu masa negara nak merdeka dulu. Dalam wasiat ni, Raja-Raja Melayu dah tetapkan yang 50 peratus tanah kat Semenanjung ni mestilah Tanah Rizab Melayu. Tapi ,apa yang jadi sekarang nampaknya masih lagi tak sampai dengan apa yang diharapkan.
Sebabnya, seorang pensyarah UiTM – Dr Mohd Hasrol dah buat kajian pasal Tanah Rizab Melayu ni dan dia dapati cuma tinggal 12 peratus je Tanah Rizab Melayu yang tinggal. Maknanya tak sampai 50 peratus.
Tapi baru-baru ni, SOSCILI ada tanya Dr Hasrol pasal peratus yang terbaru dan dia dapati peratus tu dah pun meningkat. Mungkin sebab isu ni dah dibangkitkan dulu dan kerajaan negeri pun ganti balik tanah-tanah rizab yang diorang dah ambil.
“Ada satu analisis yang telah saya buat pada tahun 2015, keluasan Tanah Rizab Melayu telah mencapai 30% tetapi masih tidak melengkapkan nisbah 50% seperti yang diwasiatkan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu dan saya tidak memperoleh data tepat mengenai keluasan sebenar Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur.” – Dr Mohd Hasrol, katanya kepada SOSCILI.
Dalam kajiannya lagi, Dr Hasrol ada senaraikan beberapa sebab kenapa Tanah Rizab Melayu ni boleh merosot. Antaranya, sebab tanah ni diambil oleh pihak kerajaan dengan gunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Akta ni selalu digunakan bila kerajaan nak sesuatu tanah untuk buat projek awam, macam buat sekolah, hospital, balai raya, tanah perkuburan dan sebagainya.
Tapi masalahnya, ada Tanah Rizab Melayu yang diambil tapi tak diganti dengan sepatutnya. Kebanyakannya cuma dibayar dengan pampasan yang tak setanding dengan nilai tanah.
Itulah antara masalah yang jadi kat Tanah Rizab Melayu ni. Masalah ni juga jadi bila ada orang Melayu yang meng-Ali Baba kan Tanah Rizab Melayu. Caranya, diorang buat perjanjian sulit dengan orang bukan Melayu untuk usahakan tanah diorang.
Selain tu, ada juga orang Melayu yang lucutkan status Tanah Rizab Melayu diorang sebab nak jual tanah tu kat syarikat atau orang bukan Melayu. Ada banyak sebab kenapa diorang buat macam ni, contohnya macam: takde duit, nak pergi haji, tak faham pasal undang-undang dan sebagainya.
“Berdasarkan satu kajian yang saya jalankan dari tahun 2009 sampai tahun 2011, hampir 75 peratus responden yang saya temui melihat tanah sebagai komoditi. Ada tanah, cukup untuk beberapa tahun tertentu, mereka akan jual.” – Dr Mohd Hasrol, dipetik dari IsmaTV.
Itulah masalah yang jadi kat orang Melayu. Jadinya, kita tak bolehlah nak salahkan pihak kerajaan je.
Jadi, macam mana caranya nak ganti Tanah Rizab Melayu?
Itulah persoalan yang kita fikirkan sekarang ni. Tapi sebenarnya, ada masalah sikit dalam hal ni, sebab ia ada kaitan dengan undang-undang dan cara undang-undang tu dilaksanakan. Sama ada dengan cara yang betul atau tak.
Kita ambil contoh macam ni, seorang Melayu tu batalkan status Tanah Rizab Melayunya sebab nak jual tanah tu kat orang bukan Melayu. Kalau kita ikut undang-undang, tanah yang dibatalkan statusnya tu kena diganti dengan tanah lain yang ada ciri-ciri yang sama dengan tanah rizab tu. Senarionya macam ni:
“Kalau Ali nak batalkan status Tanah Rizab Melayu untuk tanahnya tu, dia kena kemukakan bersama tanah gantian secara serentak dengan tanah rizab yang dia nak batalkan statusnya tu. Kerajaan negeri cuma terlibat dalam proses meluluskan je. Tanah gantian tu mesti Ali yang punya dan bukannya tanah kerajaan.”
Tapi nampaknya, hal ni jadi masalah bila ada kes yang kerajaan negeri batalkan dulu status tanah dan proses ganti tanah tu dibuat kemudian. Masalah juga jadi dalam kes Tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan untuk buat projek-projek pembangunan.
Perkara ni disahkan sendiri oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan, Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof, katanya – pada tahun 1990 je, lebih kurang 120 ribu ekar Tanah Rizab Melayu dah diambil untuk buat projek-projek awam. Tapi masalahnya, kerajaan negeri tak lucutkan status tanah-tanah ni.
“Cara ni paling senang, kalau warta keluar (lucut status) kena ganti, jadi mereka tak warta keluar..” – Katanya kepada ismaTV.
Berdasarkan pengalamannya lagi, ada juga Menteri Besar yang kata diorang takde niat nak ganti Tanah Rizab Melayu, sebab nilai tanah ni rendah. Menurut Zaharah Sulaiman (Pengkaji Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia) pula, sebenarnya tak ramai orang Melayu yang jual tanah rizab, tapi…
“…hakikatnya, yang paling galak jual Tanah Rizab Melayu ni memang kerajaan… Tibalah pula masanya kerajaan beli tanah swasta yang tidak diguna urus bagi pembangunan rakyat Malaysia. Jangan diusik Tanah Rizab Melayu.” – Zaharah Sulaiman, dipetik dari Media Isma.
Malah pada tahun 2015, Sultan Selangor ada bertitah supaya kerajaan negeri gantikan semula semua Tanah Rizab Melayu yang dilucutkan statusnya untuk dibuat projek pembangunan.
Jadinya, Dr Hasrol ada cadangkan supaya ditubuhkan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu. Kalau ada badan khas yang macam ni, senang sikit urusan Tanah Rizab Melayu dipantau dan diuruskan.
“Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu dicadangkan menjadi sebuah badan bebas yang diberi kuasa menurut undang-undang Persekutuan untuk mentadbir, mengurus dan membangun Tanah Rizab Melayu di sembilan buah negeri-negeri Melayu bersultan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Dr Mohd Hasrol.
Selain tu, kita juga boleh rujuk syor-syor yang dibuat oleh Laporan Ketua Audit Negara pasal Tanah Rizab Melayu. Antaranya macam:
- Kemaskini semula keluasan Tanah Rizab Melayu.
- Sediakan garis panduan khusus untuk uruskan Tanah Rizab Melayu.
- Ambil tindakan untuk gantikan semula kawasan Tanah Rizab Melayu.
- Tambah baik sistem rekod pengurusan Tanah Rizab Melayu.
- Perbaiki kekurangan Pejabat Tanah dan Galian Negeri-Negeri dalam menguruskan Tanah Rizab Melayu.
Mungkin ada tanya, tak boleh ke kita saman kerajaan negeri yang masih tak ganti Tanah Rizab Melayu? Jawapannya…
“…dalam Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara khusus siapa yang boleh mendakwa mana-mana kerajaan negeri yang tidak menggantikan semula Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan. Apa yang terkandung di dalam artikel tersebut, ‘Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan mestilah digantikan dengan serentak‘.” – Dr Mohd Hasrol, katanya kepada SOSCILI.
https://www.youtube.com/watch?v=V97QyEksB68&t=822s
Kontroversi tentang Wasiat Raja-Raja Melayu
Kalau korang perasan, kat atas tadi kitorang dah cerita macam mana Tanah Rizab Melayu ni jadi kontroversi sebab tak sampai 50 peratus yang ditetap dalam 7 Wasiat Raja-Raja Melayu. Dalam wasiat yang ke-2, ada disebut pasal Tanah Rizab Melayu ni.
“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”
Tapi ada sikit kontroversi pasal Wasiat Raja-Raja Melayu. Menurut sumber, wasiat ni dibuat masa Raja-Raja Melayu turunkan tandatangan persetujuan untuk bentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Tapi kajian yang dilakukan oleh Dr Mohd Fauzi Shaffie dari Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) mendapati yang dokumen asal wasiat ni masih lagi tak dijumpai. Malah katanya lagi, tak ada laporan mana-mana akhbar pasal wasiat ni dari tarikh 3 Ogos sampailah dua minggu selepasnya (5 Ogos 1957 seperti yang didakwa).
Walaupun macam tu, hal pasal Tanah Rizab Melayu ni masih lagi selaras dengan Perlembagan Persekutuan seperi mana yang termaktub dalam Perkara 89 dan 90.
(Nak baca artikel penuh kitorang pasal isu ni, klik sini)
Tanah Rizab Melayu adalah lambang maruah bangsa Melayu
Sebelum ni, UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) ada cadangkan supaya Tanah Rizab Melayu boleh dipajakkan kepada orang bukan Melayu. Cadangan ni dibuat sebab Tanah Rizab Melayu boleh dibangun dan dipasarkan. Tapi cadangan ni tak jadi, sebab dah sah-sah ia melanggar Enakmen Tanah Rizab Melayu. Kementerian Alam Sekitar pun ada kata benda yang sama, dan kalau nak jugak, pindaan enakmen kena dibuat.
Tapi masalah yang ada kat Tanah Rizab Melayu ni adalah nilainya yang rendah. Sebabnya, pasaran tanah ni terlalu hanya terhad untuk orang Melayu je. Jadinya, Dr Hasrol ada mencadangkan supaya diwujudkan sebuah petempatan komersial macam bandar baru kat Tanah Rizab Melayu .
“Ini adalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah kawasan petempatan Melayu elit yang memiliki tanah serta memajukan tanah-tanah tersebut untuk kepentingan Melayu itu sendiri. Dalam konteks ini, masalah meng”Ali Baba”kan Tanah Rizab Melayu dapat dielakkan…” – Dr Mohd Hasrol, dipetik dari blognya.
Selain tu, Dr Hasrol juga cadangkan supaya Tanah Rizab Melayu yang tak ada nilai ekonomi dan tak sesuai untuk pertanian – dijadikan sebagai hutan simpan kekal dan digantikan dengan tanah-tanah yang ada nilai ekonomi yang boleh diusahakan.
Kesimpulannya, Tanah Rizab Melayu juga adalah satu-satunya harta orang Melayu Semenanjung dalam mengekalkan hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Jadinya, pihak berkuasa sebagai yang dah diberi tanggungjawab sepatutnya menjaga tanah ini dan perbaiki segala kelemahan yang ada. Apa yang pasti, sehingga ke hari ni, dilema dan isu tentang Tanah Rizab Melayu akan terus dibahaskan.
- 2.0KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share