Ada haiwan kat Malaysia ni, tanduknya boleh rawat orang kena rasuk?

Baru-baru ni ada satu laporan tergempar yang mengatakan populasi badak sumbu Sumatera kat Malaysia dah tak dapat nak dikesan dan hilang jejak. Laporan yang dikeluarkan ni berdasarkan kajian yang dijalankan di Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu yang merupakan tempat adanya populasi badak sumbu Sumatera ni.

Dulu, kitaorang dah pernah buat artikel berkaitan haiwan-haiwan yang dah semakin pupus kat muka bumi ni. Dan antara salah satunya adalah populasi badak sumbu tersebut tak nak mengawan. (Klik sini untuk baca artikel tu).

Badak sumbu ambil masa yang lama untuk dapatkan seekor anak

Saya memang suka manja-manja dengan mak saya. Imej dari Giphy

Pada asalnya dan ikut sejarah asal usul dia, ada 5 spesis badak kat dunia ni. Dan, tiga daripada lima spesis badak-badak tu terdiri daripada badak-badak yang berasal dari Asia. Badak-badak tersebut ialah Badak Sumatera, Badak Sumbu Raya atau dikenali sebagai Badak Jawa (Rhinocerus Sondaicus) dan Badak Sumbu India (Rhinocerus Unicornis). Dua spesis lagi tu boleh didapati dan dijumpai kat kawasan sekitar Afrika iaitu Badak Sumbu Hitam (Diceros Bicornis) dan Badak Sumbu Putih (Ceratotherium Simum).

Kalau diikutkan statistik mengenai badak sumbu kat Malaysia ni, taburan populasi badak sumbu ni memang dah semakin sikit. Mengikut pertubuhan konservasi spesis badak sumbu yang ada kat Malaysia ni, iaitu Borneo Rhino Alliance (BORA), pada tahun 2016, populasi badak sumbu Sumatera kat Malaysia hanya tinggal 3 ekor je. Seekor jantan dan dua ekor betina.

Badak sumbu memang suka berkubang dan bersendiri. Imej dari Deenamik.com

Pada asalnya, taburan dan populasi badak sumbu Sumatera ni memang sukar ditemui kat Malaysia. Spesis badak sumbu Sumatera ni boleh ditemui di kawasan terpencil kat Malaysia, Thailand, selatan Myanmar, Kemboja dan Vietnam. Dan spesis ni, habitat dia membiak di kawasan hutan gunung dan di kawasan hutan tanah pamah.

Tak tahu sama ada masih hidup ataupun sebaliknya. Populasi badak sumbu ni didapati semakin menurun dan tak dapat nak dibiakkan disebabkan oleh populasi jantinanya yang tak seimbang. Dan hal yang macam ni menjejaskan pembiakkan haiwan spesis ni. Selain tu, aktiviti penerokaan hutan dan pemburuan oleh manusia yang tak bertanggungjawab ni lah lagi memburukkan keadaan.

“Pencabulan terhadap alam sekitar, misalnya pembalakan haram bukan sahaja akan memberi kesan pada haiwan liar, tetapi juga kepada manusia,” – Mazrul Mahadzir, Pengarah Projek Animal Projects & Environmental Education Sdn. Bhd (APE Malaysia), sumber dari Kosmo Online.

Kalau korang nak tahu, badak sumbu Sumatera ni merupakan spesis badak sumbu yang terkecil kalau nak dibandingkan dengan spesis badak sumbu yang lain. Struktur badan dia pulak agak rendah tapi kelihatan tegap. Dan badak sumbu ni jugak merupakan haiwan yang suka bersendirian. Bukan sebab dia sunyi tapi memang habitat dia jenis yang macam ni.

Badak sumbu Sumatera ni antara badak sumbu yang terkecil dari spesis yang lain. Imej dari Astro Awani

Badak sumbu Sumatera jugak hanya melahirkan seekor anak dalam masa tiga hingga empat tahun. Dan tempoh dia mengandung kira-kira 15 hingga 17 bulan. Cuba korang bayangkan, kalau ada seekor je badak betina kat Malaysia, sudah semestinya nak biakkan dia makan masa yang lama. Ditambah pulak dengan faktor-faktor lain yang jejaskan proses pembiakan dia tu.

Ia punyai emosi tersendiri serta nilai harga sumbu yang capai ratusan ribu ringgit

Korang jangan tak tahu yang badak sumbu ni jugak boleh menunjukkan emosi dia menerusi bunyi-bunyi tertentu. Menurut penjaga dan pelatih badak-badak sumbu yang ada kat pusat konservasi tu, kalau emosi badak tu terganggu ataupun sedih, badak tu akan mengeluarkan bunyi “eep”. Bunyi “eep” tu selalu keluar dari badak bila badak ni terlalu lapar dan waktu dia mintak makanan. Selain tu, bila badak tu gembira pulak, dia akan keluarkan bunyi “whale”. Mesti comelkan?

Laparlah weh! (Tapi ni badak air la). Imej dari Thescientificlesson

Badak sumbu merupakan haiwan yang tergolong dalam spesis Order Perissodactyla dan dalam kumpulan Rhinocerotidae. Order Perissodactyla merupakan haiwan kategori mamalia yang berbulu dan berkuku. Jenis-jenis haiwan yang ada dalam spesis ni adalah seperti kuda dengan keldai.  Dan kaki dia jugak seakan-akan lebih kurang sama. Haiwan jenis ni jugak lebih cendurung untuk mencerna tumbuh-tumbuhan. Dan, badak sumbu jugak merupakan haiwan yang mempunyai bulu-bulu halus yang meliputi lipatan kulit dia.

Sebelah kiri tu kaki kuda dan sebelah kanan tu kaki badak sumbu. Lebih kurang sama kan? Imej dari Inspira Data & Mongabay

Rhinoceros ni pulak bermaksud ‘hidung yang mempunyai tanduk’. Jadi, ia memang sesuai dengan badak memandangkan haiwan ni jelah yang mempunyai sumbu/tanduk berdekatan dengan hidung dia. Tanduk yang dimaksudkan tu sama lah macam sumbu dia.

Ciri fizikal badak sumbu ni pulak dia mempunyai dua sumbu dekat atas bahagian hidung dia. Sumbu depan lebih panjang daripada yang belakang. Dan kebiasaannya sumbu badak jantan lebih besar daripada sumbu badak yang betina. Itu lah ciri-ciri ketara yang membezakan kedua-dua jantina haiwan ni.

Kesian dia =( Imej dari Giphy

Ramai sedia maklum yang badak sumbu ni jadi buruan ramai sebab orang nak dapatkan sumbu dia. Tanduknya kerap diburu sebab dia boleh digunakan dalam bidang perubatan Cina. Disebabkan kegunaan dia yang macam ni lah, harga dan nilai tanduknya boleh mencapai USD30,000 iaitu bersamaan RM90,000 sekilogram.

Disebabkan ini jugaklah, kebanyakkan badak sumbu dibunuh serta sumbunya dijual kat pasaran gelap (ala-ala macam pasar malam tu kot). Dan nilai yang ditawarkan kat pasaran gelap tu harganya lebih lumayan berbanding harga semasa. Menurut Statistik Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam pasaran gelap, harga yang ditawarkan bagi sekilogram sumbu ni dalam lingkungan harga mencecah AS$65,000 (RM240,000).

Haih tak kesian ke kat badak sumbu tu. Imej dari BH Online

Mesti korang tertanya-tanyakan apa keistimewaan sumbu badak ni sampai boleh dijadikan ubat. Okay, kitaorang bagitahu korang. Menurut ahli farmasi Cina pada abad ke-16, Li Sheh Chan ada nyatakan penyakit utama yang boleh dirawat menerusi sumbu badak ni adalah gigitan ular, halusinasi, demam kepialu, sakit kepala, bisul, demam, muntah, keracunan makanan, dan kena rasuk. Dan sampai sekarang, dalam perubatan Cina, sumbu badak ni dijadikan perubatan untuk mengurangkan suhu badan, contohnya boleh kurangkan suhu demam.

Selain daripada perubatan, tanduk badak sumbu jugak boleh dijadikan sebagai perhiasan. Tanduk badak sumbu jugak dijadikan sebagai perisai dan senjata golongan bangsawan waktu zaman dulu.

Bila cakap pasal tanduk ni, mesti dalam fikiran korang, struktur dia mestilah daripada tulang kan. Tapi apa yang menariknya, tanduk badak sumbu ni asasnya bukanlah daripada tulang. Asas tanduk badak sumbu ni adalah daripada bulu dia sendiri! Ia terdiri daripada sumber keratin dan protein yang sama dalam penghasilan rambut, bulu dan kuku. Menarik kan?

Badak sumbu dibiakkan menerusi kaedah yang korang tak terfikir

Dalam senarai haiwan yang semakin pupus yang kitaorang dah nyatakan sebelum ni, badak sumbu merupakan salah satu antara haiwan tu. Disebabkan badak sumbu merupakan antara haiwan yang terancam dan semakin pupus, banyak aktiviti konservasi telah pun diwujudkan untuk memulihara spesis badak ni.

Dibantu lagi dengan kerjasama agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang lain, contohnya Jabatan Lindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Animal Projects & Environmental Education Sdn. Bhd. (APE), Borneo Rhino Alliance (BORA), dan Borneo Rhino Sanctuary (BRS) di bawah kelolaan Yayasan Sime Darby.

Pakar perubatan yang rawat badak sumbu kat Malaysia. Imej dari BORA

Program pemuliharaan haiwan spesis badak sumbu ni dah lama dijalankan sekitar tahun 1980-an lagi serta ditambah dengan pelaksanaan kajian Faunal Survey of Sabah. Tapi jumlah badak sumbu yang dipulihara semakin menurun dan merosot dari hari ke hari disebabkan faktor kesihatan dan kegagalan persenyawaan daripada badak sumbu tersebut. Walaupun begitu, konservasi dan pemuliharaan tetap dijalankan sehingga sekarang untuk memastikan kelestarian haiwan-haiwan ni terjaga.

Antara salah satu caranya adalah kaedah pemasangan perangkap kamera. Kaedah pemasangan perangkap kamera ni merupakan kaedah yang digunakan untuk jejak kesan tapak kaki dan kesan bekas makanan haiwan-haiwan yang dipulihara ni. Menerusi kaedah ni, pihak konservasi dapatlah tahu maklumat tentang habitat badak sumbu ni, sama ada dia hidup lagi ataupun tak.

Selain tu, pihak-pihak berwajib jugak giat menjalankan aktiviti konservasi ni menerusi penggunaan kaedah hibrid. Strategi hibrid ni berdasarkan kajian saintis dengan penemuan teknologi terbaru yang boleh mengatasi situasi kepupusan ni. Tapi strategi hibrid yang macam mana tu ye?

Embrio badak sumbu putih utara. Imej dari Kosmo Online

Hibrid yang dimaksudkan menerusi usaha pemuliharaan ni adalah dengan mengumpul sperma badak jantan yang masih hidup dan disuntik ke dalam rahim badak betina untuk menghasilkan embrio. Dan, menurut kajian dalam Proceedings of the Royal Society B, genetik badak sumbu yang digunakan untuk kaedah hibrid ni sesuai untuk menghidupkan semula spesis badak-badak yang terancam.

Dan, kaedah lain yang giat dilakukan adalah menerusi kaedah Teknologi Pembiakan Berbantu (ART). Ia boleh merangsang penghasilan embrio luar rahim menerusi kaedah suntikan Intrasitoplasmik (ICSI). Penggunaan kaedah teknologi ni selalu digunakan untuk pasangan yang nak dapatkan anak, tapi sekarang ni kaedah tu digunakan untuk haiwan pulak. Dan kaedah suntikan ni dibantu dengan suntikan penyubur hormon ke atas badak betina.

Kumpul RM12 juta untuk konservasi badak kat Malaysia

Saya suka jugak kalau orang manjakan saya. Imej dari Giphy

Pada tahun 2009, ada 30 agensi dan pertubuhan bekerjasama dalam menyalurkan dana bernilai lebih kurang RM12 juta yang dibekalkan oleh Yayasan Sime Darby untuk program pemuliharaan badak sumbu kat Malaysia. Serta untuk mengekalkan populasi tersebut daripada terus terancam.

“SDF (Yayasan Sime Darby) menyokong pemuliharaan spesies terancam secara konsisten menerusi program Big 9 kami. Ia merangkumi sembilan spesies yang diklasifikasikan sebagai terancam di Malaysia. Selain program badak sumbu, kami juga menjalankan program bagi orang utan, gajah dan kera Bekantan,” – Yatela Zainal Abidin, Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Sime Darby, sumber dari mStar.

Selain tu, semua masyarakat pun kena ada jugak kesedaran untuk lindungi haiwan-haiwan lain yang terancam. Walaupun kita memang tak bahayakan populasi badak sumbu, tapi kena ingat jugak haiwan lain pun dalam bahaya. Bukan badak sumbu je. Kalau korang pergi travel ke, cubalah elakkan buat aktiviti animal ride. Sebab tu salah satu aktiviti penderaan haiwan, dan salah satu punca haiwan jadi sakit dan jadi punca kepada kepupusan.

Tengoklah apa hasilnya dari animal-ride tu. Imej dari Ohmymedia
About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)