- 545Share sekarang!
- Email21
- Facebook524
- Share
Korang mesti familiar dengan perkataan susuk kan? Susuk ialah memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam tubuh badan untuk mendapatkan sesuatu kelebihan. (tapi bukan kelebihan macam superpower tu ye)
Kalau korang nak tahu, amalan susuk ni sebenarnya dah lama ada sejak ratusan tahun lalu. Malah, ia juga pernah dikaji oleh para doktor dari luar negara.
Susuk ibarat “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu tradisional banyak mengamalkan susuk ni. Namun, hanya orang kenamaan dan para bangsawan menggunakannya untuk nampak lebih menyerlah dari rakyat biasa. Lagipun, susuk waktu tu sangat mahal bagi rakyat biasa.
Betul ke perempuan je yang pakai susuk? Sebenarnya, lelaki pun ada yang pakai tau. Zaman dulu-dulu, susuk besi dikatakan memberi kekuatan untuk mengerjakan ladang serta menjadi kebal dalam ilmu persilatan. Ia selalu digunakan oleh kaum lelaki. Bagi kaum perempuan pula, untuk mencantikkan wajah dan tidak berusia, mereka menggunakan susuk emas.
Bentuk jarum biasanya berukuran 0.5 diameter dan 1-1.5 cm panjang. Macam mana proses memakai susuk ni? Jarum emas, jarum perak, jarum besi dan berlian dimasukkan ke dalam tubuh badan dan bergantung pada tujuan susuk yang mahu digunakan. Memasukkan susuk ke dalam tubuh mesti diikuti dengan jampi serapah oleh ‘orang handal’ dan pertolongan dari Jin.
Filem ‘Susuk’ pernah ditayangkan pada tahun 2008 dan pada minit 7:13 – 8:27, korang boleh tengok macam mana susuk dimasukkan ke dalam tubuh badan.
Kalau nak mencantikkan raut wajah, susuk akan ditanam pada dagu, bahagian pipi atau bibir. Manakala, ada susuk yang ditanam dalam tubuh badan — bahagian lengan, betis, bibir, buah dada serta kemaluan. Kebiasaanya, susuk Geliga Buaya digunakan oleh pelacur untuk penguat syahwat.
Korang mungkin dah biasa dengar jenis-jenis susuk kat atas. Tapi… en pernah dengar tak pasal dua jenis susuk ni — susuk dari Siam dan susuk memuji bunian yang menyalahgunakan ayat suci Al-Quran?
Susuk memuji bunian kebanyakkan dari tanah seberang dan diamalkan oleh orang Melayu yang percaya menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Walaupun ayat Al-Quran telah diselitkan dengan mantra jawa dan wali songo, masyarakat melayu masih lagi terpengaruh.
Tambahan pula, susuk dari Siam dianggap bahaya dan lagi jahat. Kenapa bahaya? Walaupun tak ada pantang larang, tetapi perlu dipuja pada tempoh tertentu. Harus memuja sehingga lupa agama dan siapa Pencipta. Lagipun, susuk dari Siam lagi cepat berkesan dari susuk yang lain.
Lepastu, jarum yang ditanam cuma perantaraan je. Si pemakai ada option lain seperti guna serbuk perak, emas dan mutiara tapi ia susah untuk dibuang. Sebabnya… serbuk tu dah jadi debu santau dalam badan.
Setiap ‘susuk nyata’ ada pantang larangnya. Biasa yang kita dengar tak boleh makan pisang, tak boleh makan sate atau tak boleh lalu bawah ampaian kain. Sebenarnya, ada banyak pantang larang yang lain juga — dilarang menghadiri majlis pengebumian atau ke tanah kubur, tak boleh makan labu air, makan daun kelor serta melihat cermin pada waktu tertentu.
Terdapat jenis-jenis ‘susuk nyata’ yang boleh digunakan oleh si pemakai. Antaranya…
- Susuk Emas (paling popular) untuk pengasih kecantikan.
- Susuk Berlian.
- Susuk Mutiara untuk suara merdu.
- Susuk Besi/Susuk kuku beruang untuk menjadi kebal.
- Susuk Bunga.
- Susuk Buluh Perindu untuk pengasih dan kemerduan suara.
- Susuk Bulu Rusa untuk bersemangat waja.
- Susuk Raksa untuk menjadi kebal senjata tajam atau besi.
Telah menjadi satu fenomena dalam dunia radiografi
Untuk pengetahuan korang, para doktor dari Jabatan Perubatan Oral dan Radiologi di India telah melakukan kajian mengenai susuk. Mereka menjumpai beberapa jarum susuk melalui ujian radiografi (x-rays) dalam tubuh badan pesakit.
Dalam kajian mengatakan betapa pentingnya x-rays untuk mengesan jarum susuk ni. Objek yang digunakan oleh si pemakai adalah logam berharga dan biocompatible (bahan yang digunakan dalam implan pembedahan yang tak bahaya pada tisu hidup). Namun, ada satu pertikaian yang timbul dalam pemikiran profesional kesihatan tentang keselamatannya.
1. Wanita Melayu ada jarum 2 mm dalam giginya
Ni adalah hasil x-rays seorang wanita Melayu-Islam yang berumur 32 tahun. Dilaporkan mempunyai dua ruang berbentuk jarum linier berukuran kira-kira 10 mm panjang dan 2 mm. Yang peliknya, tak ada sejarah rawatan pergigian pun dilakukan. Setelah ditanya banyak kali, perempuan tu mendedahkan dia menanam susuk sejak enam tahun lalu.
2. Lelaki Melayu mempunyai jarum pada gusi
Seorang lelaki Melayu berusia 50 tahun yang mengalami gigi berkarat dan gigi yang reput. Hasil x-rays menunjukkan ada dua jarum kecil di atas gusi.
3. Seorang lelaki Malaysia-Amerika memakai susuk di kepala, dada, dan perut
Selain itu, terdapat kajian lain dari American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine. Seorang lelaki Malaysia-Amerika berusia 50 tahun yang mempunyai sejarah kencing manis dan darah tinggi. Dia mengalami sakit kepala yang kronik sejak beberapa tahun lalu. Selepas melihat x-rays yang dilakukan oleh doktor, banyak jarum dijumpai di leher dan bahagian dada.
Semasa ditanya, dia mengaku yang dia menanam jarum emas di Arizona untuk mengurangkan sakitnya. Lelaki tu menanamkan susuknya di kulit kepala, dada serta perut.
Susuk melayu dah sampai ke level international?
Walaupun pada asalnya diamalkan oleh orang Melayu, amalan ni sudah pun merebak kepada etnik-etnik lain. Yang paling menarik, kajian ada mengatakan yang kaum Cina dan India juga mengamalkan susuk ni dan percaya pada kuasanya. Selain di Malaysia, ia juga dipraktikkan di Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Korang percaya tak, bukan orang di Asia Tenggara je yang pakai susuk. Malah, berdasarkan kajian, pesakit caucasian di Malaysia, pesakit korea di Amerika Syarikat dan ada satu kes dari United Kingdom juga memakai susuk.
Biasanya, sains harus berpaksikan fakta yang dapat diukur dan teori yang sudah teruji. Tetapi, adakah sains boleh mengkaji hal-hal mistik atau black magic?
- 545Share sekarang!
- Email21
- Facebook524
- Share