Prof. Yusuf al-Qaradawi, sebuah permata berharga bagi seluruh masyarakat Islam sedunia telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 September 2022. Tidak tahu apa punca beliau meninggal dunia, tapi menurut beberapa media, beliau menghidap satu penyakit.
Pemergian Yusuf al-Qaradawi sangat memberikan kesan besar dalam masyarakat Islam. Banyak pahit manis beliau dalam perkembangan ilmu dunia Islam.
انتقل إلى رحمة الله سماحة الإمام يوسف القرضاوي الذي وهب حياته مبينا لأحكام الإسلام، ومدافعا عن أمته.. نسأل الله أن يرفع درجاته في عليين، وأن يلحقه بالنبيين والصديقين والشهداء والصالحين.. وحسن أولئك رفيقا. وأن يجعل ما أصابه من مرض وأذى رفعا لدرجاته.. اللهم آمين pic.twitter.com/euoUztZeMQ
— يوسف القرضاوي (@alqaradawy) September 26, 2022
Pelbagai sumbangan yang beliau telah lakukan, antaranya…
1. Pernah menyandang banyak jawatan besar dalam institusi & kesatuan
Ramai dah tahu, yang Yusuf al-Qaradawi ni ialah Pengerusi Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa. Sebuah kesatuan yang paling hebat dan berpengaruh di dunia serta terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Yusuf al-Qaradawi juga pernah menjadi trustee (pemegang amanah) bagi Oxford Centre for Islamic Studies. Fakta menarik mengenai Oxford Centre for Islamic Studies ditubuhkan pada 1985. Ia merupakan sebuah institusi pengajian lanjutan tentang Islam dan dunia Islam.
Antara jawatan yang beliau pernah pegang dalam institusi dan persatuan:
- Ahli Lembaga Fiqh Islam di Mekah.
- Ahli Gabungan ekonomi Islam di Kaherah.
- Penyelia Hal Ehwal di Kementerian Wakaf dan Jabatan Kebudayaan Islam al-Azhar.
- Ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis.
- Pengasas dan Dekas Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Qatar.
2. Mengarang buku dalam banyak bidang Islam
Setiap ulama Islam mempunyai kepakaran mereka dalam sesuatu bidang Islam. Maksudnya, ada ulama ni dia pakar dalam bidang syariah, ada ulama ni hebat dalam bidang muamalah, kiranya ia spesifik kepada satu bidang saja.
Contohnya, Syeikh Dr. Muhammad Sa’id al-Bouti seorang ulama tersohor yang hebat dalam bidang syariah atau Dr. Mustafa al-Khin seorang pakar dalam bidang fiqh.
Tapi… lain pula cerita bagi Yusuf al-Qadrawi, beliau hebat dalam pelbagai bidang Islam. Beliau telah menulis banyak buku yang merangkumi bidang Islam.
Berikut ini buku-buku yang beliau tulis mengikut bidang-bidang Islam:
Fiqh & Usul Fiqh:
- Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.
- Fatawa Mu’asarah.
- Al-Ijtihad fi al-Syari’ah al-Islamiyyah.
- Min Fiqh al-Dawlah al-Islamiah.
- Nahw Fiqh Taysir.
Ekonomi Islam:
- Fiqh al-Zakat.
- Mushkilat al-Faqr wa kayfa Alajaha al-Islam.
- Bay’u al-Murabahah li al-Amri bi al-Shira.
- Fawa’id al-Bunuk Hiya alRiba al-Hara,.
- Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islami.
Pemahaman al-Qur’an & Hadis:
- Al-Sabru fi al-Qur’an.
- Tafsir Surah al-Ra’d.
- Kayfa Nata’amal ma’a al-Sunnah al-Nabawiyyah.
- Madkhal li Dirasat al-Sunnah.
- Kayfa Nata’amal ma’a al-Quran.
Tauhid:
- Wujudullah.
- Haqiqat al-Tawhid.
- Mawqif al-Islam min al-Ilham wa al-Kashaf wa al-Ru’a wa Min al-Tamai’m wa al-Kahanah wa al-Raqy.
- Al-Iman bi al-Qadr.
3. Menulis buku mengenai perkara-perkara asas dalam Islam
Semestinya ramai orang ingat buku-buku yang ditulis oleh Yusuf al-Qadarawi susah nak dibaca atau golongan cendekiawan saja yang boleh faham. Sebenarnya, ya, ada sesetengah bukunya yang memang susah nak difaham, tapi ada juga yang mudah difahami oleh seluruh lapisan masyarakat Islam.
Contohnya, buku Al-Halal Wal Haram Fil Islam. Rasanya, pelajar-pelajar yang mengambil pengajian Islam mesti kenal dengan buku ni. Kenapa kami cakap buku ni mudah difahami oleh semua orang Islam?
Buku ini merangkumi serta membahaskan hukum-hukum berkaitan perkara asas dalam Islam seperti pemakanan, pemakaian, pernikhahan mahupun hiburan. Ia juga boleh dikatakan merangkumi hukum-hukum untuk perbuatan rutin seharian masyarakat Islam.
Kami bedah sikitlah buku ni, iaitu dari segi pemakanan (kita ambil yang pelik sikitlah). Perasan tak baru-baru ni, ada orang buat bisnes jual belalang goreng dan ramailah orang ragu-ragu, boleh makan ke belalang ni? Yela, ada orang cakap belalang ni bangkai.
Nak tahu tak dalam buku ni ada menghuraikan tentang makan belalang ni. Dalam buku ni mengatakan ikan dan belalang dikecualikan dari bangkai. Maksudnya, ikan dan belalang bukan dalam kategori bangkai dan boleh dimakan.
Menariknya buku ni, walaupun ia telah diterbitkan pada tahun 1960, tapi relevan dan boleh dijadikan sumber rujukan sepanjang zaman. Tak caya? Pergilah cari buku ni dekat kedai buku lepas tu baca, mesti awak semua terkejut punya.
Kehilangan yang tiada ganti
Semestinya, pemergian Yusuf al-Qaradawi memberikan impak dalam bidang ilmu Islam kerana beliau boleh dikatakan ulama serba boleh. Macam kami cakap tadi, beliau antara ulama yang hebat dalam pelbagai bidang Islam.
Bak kata pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’.
Kami juga ada banyak kisah ulama lain, seperti:
Ada juga kisah ulama Nusantara yang pernah jadi imam di Masjidil Haram
Sumber: